Selasa, 1 Januari 2013

Biar Sasterawan Mewarnai 2013

Tahun baru 2013 menjelang tiba. Setiap individu dan perancang pelbagai sektor kehidupan seperti sektor pendidikan, perumahan, ekonomi, sosial, politik dan sebagainya melakar cita-cita yang tersendiri. Ada cita-cita atau azam yang dibawa semula dari tahun lalu. Ada pula cita-cita atau azam yang benar-benar baharu.
 
Dunia sastera tanah air juga wajar melakar harapan tahun baru, agar mencapai prestasi lebih baik daripada tahun sebelumnya. Program atau aktiviti yang baik wajar diteruskan dan dipertingkatkan mutunya. Sementara program atau aktiviti yang baik tetapi tenggelam timbul (terutama kegiatan bahasa dan sastera peringkat antarabangsa) wajar dihidupkan semula dan dilaksanakan secara konsisten.
 
Program sastera kita tidak mungkin hanya berlegar dalam arena dan kepentingan domestik semata-mata. Negara lain secara agresif menonjolkan sastera mereka pada peringkat antarabangsa, sama ada melalui karya terjemahan, memperkenalkan penulis mereka, seminar, pameran buku, atau melalui filem serta drama yang diangkat daripada karya sastera. Untuk tujuan ini mereka menjalin kerjasama pintar dengan pusat pengajian, penerbit dan sarjana antarabangsa.
 
Dalam konteks pengembangan sastera kebangsaan ke peringkat antarabangsa, pada hemat saya banyak penulis nasional kita bersetuju bahawa Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) adalah institusi yang dipercayai untuk memikul tanggungjawab ini.
 
ITBM menerbitkan puluhan judul buku sastera kita dalam bahasa asing (termasuk Inggeris, Perancis, Sepanyol, Mandarin) dan puluhan judul lagi sedang dalam proses penerbitannya. ITBM juga aktif menyertai pameran buku peringkat antarabangsa, mengatur aktiviti di luar negara, serta menjalin kerjasama pintar dengan penerbit, universiti dan sarjana bahasa dan sastera Melayu di luar negara.
Kita berharap usaha ITBM akan membuka mata dunia bagi membolehkan pengarang kita mendapat pengiktirafan antarabangsa yang lebih besar pada peringkat Asia Pasifik, Asia dan dunia. Pengiktirafan diberikan kerana kualiti seni serta nilai manusiawinya yang tinggi dalam karya kesusasteraan kita (lebih-lebih lagi yang secara seni menonjolkan kehebatan nilai Islami) bukan kerana unsur erotik atau sensasinya.
 
Sungguhpun sesetengah orang mungkin meremehkan pengiktirafan antarabangsa atas sebab-sebab tertentu, tetapi pengiktirafan terbabit adalah perlu jika kita ingin memasuki medan sastera antarabangsa dan bersaing melalui kekuatan seni, gaya dan pemikiran sastera. Dalam hubungan ini kita bayangkan anugerah yang lebih besar daripada Hadiah Sastera Mastera, SEA Write Award atau Anugerah Sastera Mastera. Untuk itu kita juga memerlukan pengkritik-pengkritik sastera yang berwibawa pada peringkat nasional dan antarabangsa.
2013 juga adalah tahun Pilihan Raya Umum Ke-13. Walau apa pun hasil pilihan raya umum nanti, kita berharap dasar sastera kebangsaan yang mendaulatkan pengucapan kreatif dalam bahasa Melayu dipertahankan. Ini sesuai dengan semangat Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dan pelbagai semangat akta serta penyata pendidikan kebangsaan kita.
Sehubungan itu, kita ingin terus menyaksikan pengarang terbaik yang menulis dalam bahasa kebangsaan kita menerima Anugerah Sastera Negara (yang ke-12 nanti mungkinkah seorang pengarang wanita?), Hadiah Sastera Perdana serta pelbagai hadiah lain anjuran kerajaan atau pihak swasta.
 
Kita memerlukan generasi baru penulis kreatif yang menulis dalam bahasa kebangsaan. Mereka inilah yang akan menyambung tradisi penulisan karya kreatif dalam pelbagai genre. Akan tetapi situasi pendidikan sastera tulen di sekolah-sekolah kita agak mengecewakan. Anehnya mutakhir ini bakat baru yang muncul kebanyakannya dari aliran sains!
 
Barangkali kita wajar melonggarkan nisbah serta dikotomi 60:40 antara pendidikan sains/teknikal dengan sastera. Bagaimana jika subjek sastera dibuka kepada pelajar sains/teknikal yang berminat dalam subjek sastera? Bakat alam saja tidak mencukupi kerana dunia sastera turut memerlukan bakat yang pintar dan yang berfikir.
Akhir sekali kita harus terus memberi sokongan kepada pementasan drama anak muda kita. Genre ini menghimpunkan kemahiran menulis skrip, pengarahan, lakonan, pencahayaan serta pelbagai aspek produksi pementasan. Di Kuala Lumpur, Setor Teater DBP dan Black Box ASWARA amat terkenal dalam kalangan penggiat muda teater.
 
Bagaimana jika pihak kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan dana pementasan khusus yang agak besar kepada anak muda ini? Dengan adanya dana khas, mereka dapat mengatur pementasan yang lebih kerap dan konsisten. Pementasan mereka tidak saja merancakkan semula kehidupan teater, tetapi turut menghidupkan jiwa kota dan warganya yang sentiasa berhempas pulas mencari rezeki serta dihambat kesibukan.
Oleh: Sasterawan Negara Dr. Anwar Ridhwan (Berita Harian 1/1/2013)