Isnin, 15 April 2013

TPM: RM2j untuk persatuan, penulis


TPM hari ini telah mengumumkan dana berjumlah RM2 juta untuk membantu penulis. Pengumpuman tersebut telah dilakukan ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Penulis di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, pagi tadi. 

Mudah-mudahan, tidak terlalu benyak birokrasinya kelak dalam pada persatuan penulis atau individu penulis untuk memohon dana berkenaan. 

Sejumlah RM2 juta akan disalurkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membantu penulis menghasilkan karya bermutu. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan khas itu akan diguna bagi melaksanakan lima inisiatif membina bakat dan kemahiran penulis di negara ini.

"Saya melihat golongan penulis, khususnya menerusi persatuan-persatuan penulis di negara kita telah memainkan peranan penting dalam proses pembinaan negara bangsa.

"Golongan penulis di negara kita perlu terus dibela supaya mereka dapat menyumbang secara lebih bermakna terhadap usaha membina sebuah masyarakat yang maju, berilmu dan bersatu padu," katanya pada majlis ramah mesra bersama penulis, di Kuala Lumpur hari ini.

Lima inisiatif itu termasuk memberi bantuan kewangan RM10,000 kepada setiap persatuan penulis untuk membiayai program pembudayaan bahasa dan sastera, bantuan khas RM5,000 kepada penulis yang berminat menerbit dan memasarkan karya mereka serta membiayai kos menjalani program latihan luar negara.

Peruntukan itu juga diguna untuk membekalkan buku sastera ke perpustakaan sekolah dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan menjadikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebagai acara tahunan bermula tahun ini berbanding dwi-tahunan sebelum ini.

Muhyiddin turut menyarankan DBP dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengkaji semula program-program yang berpotensi melonjakkan penghasilan karya penulis dalam semua bidang.

Beliau berkata kerajaan BN amat menghargai peranan para penulis yang telah memberikan sumbangan besar terhadap usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang maju, berilmu dan bersatu padu.

Katanya, untuk memastikan bidang penulisan dalam pelbagai genre terus berkembang seiring dengan kemajuan pesat negara, kerajaan akan terus membantu golongan penulis menerusi pemberian insentif, dana dan program latihan penulis muda.

"Bagi pihak kerajaan, usaha murni ini perlu sentiasa disokong supaya cita-cita mewujudkan sebuah negara maju beracuan sendiri dapat dicapai," katanya.

Justeru, beliau mahu penulis dan kerajaan sentiasa bersama-sama berganding bahu membina sebuah negara bangsa bertamadun tinggi melalui industri penulisan dan perbukuan negara.

Katanya, kerajaan bersedia menerima cadangan penambahbaikan dasar mahupun program bagi menjaga kebajikan penulis meliputi kemudahan berkarya, insentif, kebajikan dan pengiktirafan.

Dalam ucapannya, beliau turut menarik perhatian mengenai kejayaan pelaksanaan program transformasi kerajaan khususnya dalam bidang pendidikan termasuk pelaksanaan Pelan Induk Pendidikan Malaysia (2013-2015) yang sedang dan akan terus dilaksanakan jika BN terus diberi mandat.

Turut hadir Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Ketua Pengarah DBP Dr Awang Sariyan.

Sumber Bernama

Khamis, 11 April 2013

PRU13: Penamaan calon 20 April, pengundian 5 Mei


#Dipaparkan untuk rekod dan rujukan sepanjang zaman#

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pengundian bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan diadakan pada 5 Mei manakala penamaan calon ditetapkan pada 20 April.

Ini diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dalam satu sidang akhbar hari ini. Ini bermakna tempoh kempen PRU13 adalah selama 15 hari, yang bermula selepas proses penamaan calon dan berakhir pada tengah malam 4 Mei.

Menurutnya, seramai 13,268,002 layak mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 ini. Aziz berkata, untuk PRU13 ini, SPR menggunakan daftar pemilih induk 2012, daftar tambahan suku tahun pertama 2012, daftar tambahan suku tahun kedua 2012, daftar tambahan suku tahun ketiga 2012 dan daftar tambahan suku tahun keempat 2012.

Manakala tarikh pengundian awal ditetapkan pada 30 April untuk anggota tentera dan pasangan, anggota polis dan pasangan; serta pengundi tidak hadir (pengundi di luar negara).


Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk menentukan tarikh pengundian dan pencalonan bagi PRU13 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April lepas.

Sebelum dibubarkan, komposisi Dewan Rakyat menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, selebihnya DAP (29), PAS (23), PKR (23), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas.

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Aziz berkata SPR telah menerima pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 3 April 2013 berhubung pembubaran Dewan Rakyat.


Semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak telah dibubarkan setakat 5 April dan menurut Fasal 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran.Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011. Abdul Aziz berkata SPR menetapkan writ pilihan raya dikeluarkan esok dan notis pilihan raya pada Jumaat, 12 April.

Beliau berkata berdasarkan daftar pemilih, terdapat 12,992,661 pemilih biasa dan 275,341 pengundi awal.Pengundi awal terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan; 111,136 anggota polis dan pasangan; serta 2,954 pengundi tidak hadir (pengundi di luar negara).

Abdul Aziz berkata sebanyak RM400 juta diperuntukkan untuk pengendalian PRU13 melibatkan 234,905 petugas pilihan raya.




Untuk tujuan pengundian keseluruhan, SPR menyediakan 8,789 pusat mengundi dengan 26,219 tempat/saluran mengundi.

Bagi pengundian biasa, 8,245 pusat mengundi dengan 25,337 saluran mengundi akan disediakan, manakala pengundian awal membabitkan 544 pusat mengundi dengan 882 tempat/saluran mengundi.

Empat peraturan baharu akan diperkenal pada pilihan raya kali ini ke arah penambahbaikan proses pengundian iaitu penggunaan dakwat kekal; pengundian awal oleh anggota polis dan tentera menggantikan undi pos; membenarkan orang kurang upaya (OKU) membawa orang dipercayai untuk membantu semasa pengundian, serta pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik pencalonan.

Peraturan itu dilaksanakan berikutan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan) 2012 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 (Pindaan) 2012.

Ia diwartakan tahun lepas.Peraturan dakwat kekal mewajibkan setiap individu yang ingin mengundi untuk dicalit jari telunjuk kiri mereka sebelum diberikan kertas undi. Bagi pengundi yang enggan mematuhi peraturan itu, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepada mereka.

Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum Malaysia, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, juga layak memohon untuk mengundi awal.


Bagi memastikan proses pelaksanaan PRU13 berjalan lancar, SPR meminta semua pihak mematuhi undang-undang dan peraturan serta arahan pihak polis dalam memastikan ketenteraman awam terpelihara sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

Parti-parti politik, para penyokong parti serta mana-mana individu lain yang terlibat semasa berkempen hendaklah mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya serta tatasusila berkempen sebagaimana yang ditetapkan SPR, kata Abdul Aziz.

Beliau turut mengingatkan calon dan parti yang bertanding agar tidak terlibat dengan perbuatan rasuah bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam membolehkan pekerja menunaikan hak mereka sebagai pengundi, majikan diingat memperuntuk tempoh yang munasabah kepada mereka untuk mengundi.

"Mana-mana majikan yang secara langsung atau tidak langsung enggan membenarkan pekerjanya keluar mengundi, boleh apabila disabitkan, didenda sebanyak RM5,000 atau dipenjara selama setahun sebagaimana yang diperuntuk di bawah subseksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954," katanya.

Para majikan juga, katanya, tidak boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan pemilih, mengenakan atau menuntut daripadanya apa-apa penalti kerana tidak hadir bekerja dalam tempoh itu. (Diterbitkan pada 10 April 2013, Malaysiakini BM)

Rabu, 3 April 2013

PRU Ke-13, ibu segala pilihan raya di Malaysia?


Hari ini penulis melihat kecelikan rakyat Malaysia di merata-rata tempat berkenaan isu semasa khususnya berkenaan pembubaran parlimen negara. Sama ada di laman sesawang seperti facebook, mahupun lembaran akhbar dan artikel-artikel yang ditulis. Walaubagaimanapun masih ada yang hidup di bawah tempurung atau memilih untuk tidak mengambil tahu langsung akan keadaan semasa.
Hari ini, pada jam 11.30 pagi, Datuk Seri Najib Abdul Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia yang keenam telah mengumumkan pembubaran parlimen. Selaras dengan itu, di bawah Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, pilihanraya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh pembubaran dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada tempoh satu ratus dua puluh (120) hari dari tarikh pembubaran iaitu 3 April 2013.
Di mana ianya bermaksud Parlimen hendaklah dibentuk pada atau sebelum 1 Ogos 2013. Dengan kata lain, tempoh pilihanraya daripada satu penggal ke penggal yang lain bukanlah lima (5) tahun walaupun jangka hayat Parlimen adalah lima (5) tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya seperti yang dinyatakan di dalam Perkara 55(3) tetapi adalah lima tahun dan seratus dua puluh hari. Apabila Parlimen dibubarkan maka secara otomatik kabinet juga akan terbubar dan dengan kata lain semua menteri dan timbalan menteri adalah berstatus penganggur bermula hari ini.
Justeru, isunya ialah, siapakah yang akan memerintah dalam tempoh satu ratus dua puluh hari itu?
Dengan meminjam konsep atau sistem “Westminster Parliament”, kerajaan “caretaker” atau “Penjaga Kerajaan” akan menggalas amanah itu. Sekiranya diselak Perlembagaan Persekutuan, tidak ada dalam mana-mana bahagian yang menyatakan berkenaan perkara ini. Tanggapan “Penjaga Kerajaan” ini pada asasnya adalah konvensyen parlimen atau kerajaan. Ianya boleh digambarkan  sebagai kerajaan interim   yang akan mentadbir sementara menunggu keputusan daripada sesuatu peristiwa atau keadaan yang akan menentukan siapakah kerajaan baru di mana dalam keadaan ini ialah pilihanraya 2013 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Dua negara iaitu Britain dan Australia telah dijadikan sumber rujukan berkenaan perkara ini memandangkan ianya tidak dinyatakan di dalam undang-undang Malaysia.
Pada September 2012, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengumumkan bahawa mereka telah menyediakan draf panduan untuk “Penjaga Kerajaan” dan ianya akan dibentangkan kepada kerajaan untuk perbincangan lanjut. Panduan itu adalah salah satu daripada 22 syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan untuk Pembaharuan Sistem Pilihanraya dalam usaha untuk memperbaiki sistem pilihanraya negara.
Walaubagaimanapun, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah menyatakan bahawa suruhanjaya itu tidak ada mandat untuk membuat draf panduan berkenaan memandangkan tidak ada proviso di bawah perlembagaan yang membenarkan perkara sedemikian dilaksanakan. Malah sekiranya SPR mempunyai polisi berkenaan perkara ini juga tidak akan ada jaminan “Penjaga Kerajaan” akan mematuhi akan polisi yang disediakan.
Persoalan yang sering diajukan berkenaan tugas “Penjaga Kerajaan” ini ialah adakah kuasa mereka ini sama seperti kerajaan pemerintah?
Ingin diingatkan “Penjaga Kerajaan” hanya dibenarkan untuk “memegang negara” sementara menunggu keputusan pilihanraya 2013 yang akan diadakan dan tidak dibenarkan untuk membuat sebarang polisi yang akan mengikat kerajaan yang akan dibentuk, tidak dibenarkan untuk membuat sebarang komitmen perbelanjaan baru selain daripada yang telah ditetapkan, tidak dibenarkan untuk membuat sebarang perlantikan yang akan mengikat kerajaan baru dan tidak dibenarkan untuk memasuki sebarang kontrak yang melibatkan kerajaan.
Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan telah jelas menyatakan jika sesuatu perlantikan itu dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru itu dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Dengan kata lain, perlantikan jawatan untuk menjadi “Penjaga Kerajaan” dalam tempoh 120 hari itu bukanlah tiket yang membolehkan seseorang itu secara otomatik memegang jawatan di dalam kerajaan semasa pembentukan kerajaan baru.
Maka dengan ini, sementara kita semua di bawah lembayung sayap “Penjaga Kerajaan”, penulis mendoakan agar negara berada dalam keadaan sejahtera sehingga pembentukan kerajaan baru dilaksanakan dan selamat maju jaya kepada semua.

Teks Ucapan PM Pembubaran Parlimen ke-12


Teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena pembubaran Dewan Rakyat yang disiarkan secara langsung melalui televisyen dan radio, pada jam 11.30 pagi tadi:
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia Rakyat Malaysia yang dikasihi,
1. Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya saya dan Timbalan Perdana Menteri dapat bersama-sama secara langsung dengan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian pada pagi ini.
2. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini saya telah pun menghadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013. Sehubungan dengan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.
3. Sehubungan dengan itu saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap Ketua-ketua Negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara. Rakyat Malaysia yang dikasihi,
4. Hari ini, empat tahun yang lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah pun mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang tercinta. Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan anggota-anggota pentadbiran yang lain telah dengan segala ikhtiar serta upaya mencetus dan melaksanakan perubahan dan pembaharuan berpaksikan kepada Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.
5. Dalam tempoh empat tahun yang lepas rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional yang melibatkan Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik dan Sosial telah dilaksanakan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara.
6. Kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji menepati janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya. Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan “Track record” kami sepanjang empat tahun yang lalu. Rakyat Malaysia yang dikasihi,
7. Pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ketiga belas untuk negara semenjak tahun 1959 iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum pertama pasca merdeka.
8. Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.
9. Sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi Malaysia telah berjaya menyediakan asas yang subur untuk kestabilan dan kemakmuran nasional yang telah dinikmati warganegara ini selama lebih lima dekad.
10. Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.
11. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.
12. Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.
13. Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di Malaysia semenjak merdeka lagi proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi sarwajagat.
14. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia. Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan malah jika ditangani dan diurus secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.
15. Marilah kita sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibuat oleh rakyat. Marilah kita sama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar, aman dan selamat.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
16. Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya.
17. Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama  ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib. Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi, inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik, inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat.
18. Kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Pantai Timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia, pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
19. Setiap undi anda adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia. Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.
20. Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tetap juga memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
21. Saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk mengkhidmati tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat, kami telah dan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.
22. Di sini saya selaku Ketua Kerajaan Barisan Nasional ingin merakamkan rasa penghargaan dan ucapan kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada kami Kerajaan Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas. Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu rakyat di seluruh pelosok negara bagi meyakinkan warga Malaysia kenapa kami BN perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.
23. Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua. Ayuh teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang ada.
24. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti, Malaysia yang maju, makmur dan selamat, penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua. Demi Malaysia, usaha bakti kita curah, kepada Tuhan kita berserah.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih.