Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah
dalam kehidupan Nabi SAW hingga
seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab
al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada
malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW.
Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila
disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi
makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia
al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti
bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai
perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan
sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran
mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah
sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau
tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam
al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun
binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan
kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami
tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka
semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima
balasan). (Al-An’am:38)
Al-Quran adalah hidayah,
rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi
kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur
bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan
di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi
peringatan.
Dalam sejarah kehidupan
Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW
melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah
Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai
Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia
menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha
Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan
manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Hubungan Lailatul
Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula
ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya.
Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan
dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya
malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam
Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana
yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya
firman Allah SWT.
Maksudnya:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar
itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu,
turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala
perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah
Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
Mengikut satu
pandangan, ayat ini diturunkan
berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah
SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama
80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat
kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah
SAW menyatakan bahawa Allah SWT
menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah
al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa
yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat
gembira.
Dalam hadis yang lain
Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan
bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang
ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Panduan
Dari maklumat serba
sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat
Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:a. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
b. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
c. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan
bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya
memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan
fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial,
perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat
dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat
Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
Manakala penurunan al-Quran pula
didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah
kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat
yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan
manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa
pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam
penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu
ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.
Perkara ketiga ialah
hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat
akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah
maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu
digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah
dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam
al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan
iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh
hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai
malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang
ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan.
Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam
al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan.
Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan
bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang
bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya.
Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari
keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam
Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam
lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa
berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya
setiap kita mencarinya.