Khamis, 30 Januari 2014

Dr M: Kejar kekayaan, punca ahli politik tidak jalankan tugas

Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) hari ini menyelar pemimpin yang mengejar kekayaan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar sebagai ahli politik.
Mantan perdana menteri itu turut mengingatkan pemimpin hari ini bahawa objektif menceburi bidang politik bukanlah untuk mencari kekayaan tetapi lebih memberikan fokus kepada pembangunan negara.
"Apabila kita miskin, kita biasanya bersatu-padu kerana diri perlu dipertahankan. Sekarang ini negara kita lebih kaya dari dahulu, masing-masing merebut kekayaan dan tidak tertumpu kepada tugas sebenar sebagai ahli politik.
Dr Mahathir berkata ada pemimpin yang mendapat kuasa pentadbiran tetapi menggunakannya demi kepentingan sendiri."Berada dalam politik bukan untuk memperkayakan diri tetapi untuk membangunkan negara. Daripada pembangunan itu ada bahagian kita dan pihak lain pula mendapat bahagian mereka," katanya ketika ditemubual Radio 24 Bernama petang tadi.
Katanya, landskap politik semasa berbeza seperti zaman sebelum kemerdekaan yang lebih menumpukan kepada usaha bersatu-padu di antara kaum.
"Ini menjadi masalah sekarang. Dahulu masa tidak menjadi wakil rakyat, masing-masing tumpu kepada bersatu-padu mencapai kemerdekaan tetapi selepas menjadi wakil rakyat, mereka tidak lagi menuju kepada pembangunan negara.
"Jika kuasa politik digunakan untuk diri sendiri, ini salah. Ini bukan tujuan politik sebenarnya. Politik adalah berkenaan pentadbiran dan cara memajukan negara," katanya.
Dalam wawancara selama 45 minit itu, Dr Mahathir turut mengulas isu pembatalan projek jambatan bengkok yang menghubungkan Malaysia dan Singapura semasa era pemerintahan mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, keputusan Abdullah itu melambangkan kelemahan serta menunjukkan kerajaaan gagal meneruskan projek yang dapat memberikan keuntungan kepada rakyat.
"Ia mengurangkan keyakinan kepada pemerintah.
"Apabila pemerintah tidak dapat melaksanakan sesuatu perancangan yang dianggap menguntungkan rakyat maka pandangan rakyat adalah kerajaan lemah dan tidak berpegang kepada janji," katanya.

Dr Mahathir turut ditanya apakah jangkaan kemajuan yang diharapkan menjelang 2020, beliau berkata: "Kita mesti maju dalam semua bidang. Tahap pencapaian ilmu pengetahuan mestilah tinggi, industri, ekonomi dan sosio-budaya mestilah boleh dianggap progresif dan maju. – 29 Januari, 2014.