Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) hari ini menyelar pemimpin yang mengejar
kekayaan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar sebagai ahli politik.
Mantan perdana menteri itu turut mengingatkan pemimpin hari ini bahawa
objektif menceburi bidang politik bukanlah untuk mencari kekayaan tetapi lebih
memberikan fokus kepada pembangunan negara.
"Apabila kita miskin, kita biasanya bersatu-padu kerana diri perlu
dipertahankan. Sekarang ini negara kita lebih kaya dari dahulu, masing-masing
merebut kekayaan dan tidak tertumpu kepada tugas sebenar sebagai ahli politik.
Dr Mahathir berkata ada pemimpin yang mendapat kuasa pentadbiran tetapi
menggunakannya demi kepentingan sendiri."Berada dalam politik bukan untuk
memperkayakan diri tetapi untuk membangunkan negara. Daripada pembangunan itu
ada bahagian kita dan pihak lain pula mendapat bahagian mereka," katanya
ketika ditemubual Radio 24 Bernama petang tadi.
Katanya, landskap politik semasa berbeza seperti zaman sebelum kemerdekaan
yang lebih menumpukan kepada usaha bersatu-padu di antara kaum.
"Ini menjadi masalah sekarang. Dahulu masa tidak menjadi wakil rakyat,
masing-masing tumpu kepada bersatu-padu mencapai kemerdekaan tetapi selepas
menjadi wakil rakyat, mereka tidak lagi menuju kepada pembangunan negara.
"Jika kuasa politik digunakan untuk diri sendiri, ini salah. Ini bukan
tujuan politik sebenarnya. Politik adalah berkenaan pentadbiran dan cara
memajukan negara," katanya.
Dalam wawancara selama 45 minit itu, Dr Mahathir turut mengulas isu
pembatalan projek jambatan bengkok yang menghubungkan Malaysia dan Singapura
semasa era pemerintahan mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, keputusan Abdullah itu melambangkan kelemahan serta menunjukkan
kerajaaan gagal meneruskan projek yang dapat memberikan keuntungan kepada
rakyat.
"Ia mengurangkan keyakinan kepada pemerintah.
"Apabila pemerintah tidak dapat melaksanakan sesuatu perancangan yang
dianggap menguntungkan rakyat maka pandangan rakyat adalah kerajaan lemah dan
tidak berpegang kepada janji," katanya.
Dr Mahathir turut ditanya apakah jangkaan kemajuan yang diharapkan
menjelang 2020, beliau berkata: "Kita mesti maju dalam semua bidang. Tahap
pencapaian ilmu pengetahuan mestilah tinggi, industri, ekonomi dan sosio-budaya
mestilah boleh dianggap progresif dan maju. – 29 Januari, 2014.