Selasa, 10 Julai 2012

PENULIS Sifatkan Kenyataan KGBS Sebagai ‘tergesa-gesa’


KUCHING: Pengajaran subjek sastera dalam kalangan pelajar sekolah penting untuk membentuk akhlak yang baik, sekali gus mendapat sokongan Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS) agar menjadikannya sebagai subjek wajib lulus.

PENULIS yang menolak kenyataan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) disiarkan dalam sebuah akhbar baru-baru ini turut meluahkan rasa terkilan dengan kenyataan yang tidak rasional kesatuan yang mengatakan ‘memadai pelajar mempelajari sastera sebagai satu subjek, selain mengetahui unsur-unsur sastera dalam kehidupan.’

“PENULIS berpendapat, kenyataan tersebut agak tergesa-gesa, dan tidak melihat realiti sebenar yang berlaku kepada perkembangan pelajar kita hari ini,” kata kenyataan akhbar dikeluarkan persatuan tersebut semalam.

Mereka mengulas kenyataan Yang Dipertua KGBS Ahmad Malie yang tidak setuju pelajaran sastera dijadikan subjek wajib lulus dalam sistem pendidikan kebangsaan, seperti disiarkan oleh sebuah akhbar baru-baru ini.

PENULIS berkata lagi, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu diperkenal pada 1957 agar pelajar menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai.

“Peranan utama sastera dalam pendidikan ialah membina insaniah dalam kehidupan manusia. Dalam maksud lain, memanusiakan manusia dengan segala watak dan perwatakan yang bermoral dan penuh integriti,” kata kenyataan itu.

Malah, katanya, perlu difahami sastera bukan sekadar cerita atau dogengan – subjek sastera secara lateralnya mempunyai nilai pemikiran, pengajaran dan perasaan yang subjektif.

Justeru, PENULIS berpendapat amat bertepatan jika Kementerian Pelajaran menerima cadangan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) agar mata pelajaran sastera wajib dipelajari dari peringkat prasekolah hingga ke institusi pengajian tinggi, ketika budaya dan akhlak pelajar masa kini semakin membimbangkan dengan pelbagai kerenah dan salah laku yang kronik.

“Diyakini bahawa masalah atau krisis ini berpunca daripada suasana pelajar kita dewasa ini yang kurang menghayati nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka, sama ada di rumah atau di sekolah,” katanya.

PENULIS berkata, jika sastera diajar sebaiknya dapat mendidik pelajar memahami kehidupan dengan lebih berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan tentang manusia dan masyarakat yang kadangkala sukar untuk dimengertikan oleh fikiran rasional.

Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan sekarang kian terarah kepada hidup berasaskan ketakjuban ciptaan sains dan teknologi, pembelajaran sastera sangat bererti dan hal ini penting bagi penyeimbangan dalam pencapaian lengkap dalam membina kehidupan ini, katanya.

“Sesungguhnya tanpa pembelajaran sastera yang sempurna, masyarakat maju pasti kehilangan unsur terpenting dalam kehidupannya,” katanya.

Akhbar Utusan Borneo 8 Julai 2012
http://www.theborneopost.com/2012/07/08/penulis-sifatkan-kenyataan-kgbs-sebagai-tergesa-gesa/#ixzz20BOI0wNM

Sabtu, 7 Julai 2012

PENULIS Sokong Sastera Sebagai Subjek Wajib


                                      PENULIS/2012/03-KA/02

Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS) ingin merujuk kepada kenyataan Yang di Pertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Encik Ahmad Malie, yang tidak setuju pelajaran sastera dijadikan subjek wajib lulus dalam sistem pendidikan kebangsaan, seperti yang disiarkan dalam akhbar Utusan Sarawak pada 4 Julai 2012.
          PENULIS berpendapat, kenyataan tersebut agak tergesa-gesa, dan tidak melihat realiti sebenar yang berlaku kepada perkembangan pelajar kita hari ini. Sebagai sebuah kesatuan yang besar sifatnya, KGBS seharusnya mengambil sikap melihat, meneliti kesan jangka panjang, dan bukannya sekadar melihat dasar pemisahan aliran yang memberi kesan kepada sistem pendidikan Negara iaitu aliran Sains dan Sastera.

         PENULIS juga terkilan dan terkesan dengan kenyataan yang tidak rasional KGBS, yang mengatakan bahawa “memadai pelajar mempelajari sastera sebagai satu subjek, selain mengetahui unsur-unsur sastera dalam kehidupan”.
          Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mula diperkenal pada tahun 1957. Matlamatnya untuk membolehkan individu pelajar dapat menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Peranan utama sastera dalam pendidikan ialah membina insaniah dalam kehidupan manusia. Dalam maksud lain, memanusiakan manusia dengan segala watak dan perwatakan yang bermoral dan penuh integriti.
         Selain daripada itu, kita perlu faham bahawa sastera bukanlah sekadar cerita atau dogengan semata-mata. Subjek sastera secara lateralnya mempunyai nilai pemikiran, pengajaran dan perasaan yang subjektif. Sesungguhnya amat tepat sekiranya pihak Kementerian Pelajaran bersedia menerima cadangan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), supaya matapelajaran sastera wajib dipelajari dari peringkat prasekolah hingga ke institusi pengajian tinggi, ketika budaya dan akhlak pelajar masa kini semakin membimbangkan dengan pelbagai kerenah dan salah laku yang kronik.
         Diyakini bahawa masalah atau krisis ini berpunca daripada suasana pelajar kita dewasa ini yang kurang menghayati nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka, sama ada di rumah atau di sekolah. Di rumah, ibu bapa lebih mementingkan kerjaya mereka dan pembentukan kerjaya anak-anak akan datang dengan memaksa atau mendesak anak-anak dengan belajar untuk lulus peperiksaan tanpa penerapan nilai ilmu itu sendiri. Demikian juga di sekolah, lebih mementingkan peratus kelulusan daripada penerapan nilai dalam diri pelajar. Hal ini merupakan suatu realiti atau kenyataan sebenar hari ini.
         Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan sekarang kian terarah dengan hidup berasaskan ketakjuban ciptaan sains dan teknologi, maka pembelajaran sastera sangat bererti. Hal ini penting bagi penyeimbangan dalam pencapaian lengkap dalam membina kehidupan ini. Sesungguhnya tanpa pembelajaran sastera yang sempurna, masyarakat maju pasti kehilangan unsur terpenting dalam kehidupannya. Hakikat ini ditegaskan oleh John Naisbitt, melalui bukunya yang bertajuk High Tech High Touch, mengatakan bahawa ada teknologi (high tech) yang memabukkan manusia kerana mencengkam semangat manusia dan meningkatkan pencarian manusia tentang makna atau kepastian. Hasilnya, manusia berada dalam keadaan yang kompleks, dan sering pula terperangkap dengan hubungan yang bersifat paradoksikal antara teknologi dengan usaha mencari makna.
       Sastera, jika diajar sebaiknya dapat mendidik pelajar dan pembaca memahami kehidupan dengan lebih berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan tentang manusia dan masyarakat yang kadangkala sukar untuk dimengertikan oleh fikiran rasional.
         Lapan nilai yang diterapkan dalam konsep 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti, semuanya memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran sastera. Sememangnya kehidupan manusia ini penuh dengan kemungkinan yang tidak terduga dan sastera mampu menjelaskannya. Pengarang ialah manusia kreatif yang memiliki kemampuan berfikir, berimaginasi, dan berbahasa untuk menghasilkan karya, sama ada puisi, novel, cerpen, ataupun drama. Manusia dan masyarakatnya ialah bahan mentah yang sangat penting kepada pengarang. Keperihalan manusia dan masyarakat menjadi ilham kepada pengarang untuk berkarya. Maka, karya sastera dilihat sebagai cermin masyarakat yang melalui proses pemilihan, pentafsiran, dan penilaian pengarangnya. Lantaran itu, karya sastera sangat menarik untuk dibaca bukanlah hanya sebagai cermin kehidupan, tetapi juga sebagai pandangan alternatif kepada apa-apa yang kita lihat dan fikirkan tentang manusia dan masyarakatnya.
         Laporan Akhir PIPP 2006-2010 ini, KPM juga telah mengenal pasti isu-isu yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut dalam perancangan pendidikan dan cabaran masa hadapan.  Antaranya ialah meneruskan program  pendidikan yang mempunyai impak tinggi bagi memupuk perpaduan dalam kalangan murid seperti Rancangan Integrasi Murid untuk perpaduan (RIMUP) agar menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara mereka. Hal ini adalah antara matlamat pengajaran subjek sastera, iaitu membolehkan pelajar menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai.
           Sastera mampu menembusi batas kemungkinan. Kemungkinan sastera melihat masa hadapan masyarakat ada hubungannya dengan keupayaan sastera untuk memberikan kebijaksanaan kepada pembacanya dengan membawa pembaca melihat dirinya dan persekitarannya.
        Sastera membawa dunia baharu kepada pembaca dan dunia ini memperkaya pembaca dalam konteks emosi dan intelek. Sastera berupaya memberikan pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca. Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mampu berfikir tentang kehidupan, dan sastera bererti atau berharga kerana memiliki kemampuan ini. Sastera seni perasaan, lantaran itulah di Barat subjek kesusasteraan amat penting. Malah dalam jurusan profesional, satu subjek yang wajib untuk mengambil bahagian dalam apa-apa jua bidang sastera, sama ada kesenian, muzik, seni tampak, dan sebagainya. Hal inilah yang kurang difahami atau terlepas pandang oleh masyarakat di Malaysia akan kepentingan sastera dalam kehidupan.
         PENULIS menyokong agar sastera dijadikan subjek wajib dipelajari secara khusus dan wajib lulus dalam sistem pendidikan persekolahan kebangsaan. KOMSAS yang diajar secara tempelan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak memberikan kesan yang mendalam dalam diri pelajar. Peratusan nilai dan pengajaran yang diajar dalam masa yang terhad itu,  ditambah dengan ketiadaan usaha yang mencukupi untuk menarik rangsangan pengajaran subjek tersebut, selain daripada belajar untuk menjawab soalan peperiksaan dengan betul.
         Sesuai dengan usaha Kementerian Pelajaran yang sedang mengumpul dan merangka dasar Sistem Pendidikan Negara yang baharu untuk 15 tahun akan datang, yang akan dilancarkan pada hujung tahun ini, maka kami menyeru semua pihak terus subur dan tegar dalam memberikan pandangan dan saranan yang bernas untuk kebaikan dan ketamadunan negara bangsa pada masa hadapan.
         Sudah tiba masanya untuk kita mengutamakan penerapan nilai dalam diri pelajar selari dengan usaha kita memartabatkan negara bangsa Malaysia. Jika mata pelajaran lain yang tidak begitu berkaitan dengan pelajar dan nilai boleh dimasukkan, kenapa sastera yang lebih penting dan lebih bermanfaat tidak?
PERSATUAN PENULIS SARAWAK (PENULIS)
                                               Dikeluarkan oleh:
                                               Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS) pada 7 Julai 2012

Selasa, 3 Julai 2012

Penulis Generasi Muda Malas?

SIKAP penulis generasi muda yang malas memerah idea bagi menghasilkan karya bermutu ditempelak Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2004 yang juga penyair veteran, Dr Zurinah Hassan, pada Sesi Borak Buku.

“Kelemahan bangsa Melayu antaranya kurangnya keyakinan dan tidak percaya kepada keupayaan diri sehingga ada kalanya membawa kepada putus asa dan tidak mahu berusaha lebih gigih. Saya cadangkan anak muda masa kini jadikan buku ini sebagai bahan bacaan wajib.

“Za’ba dalam Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1982 membincangkan secara kritis sikap dan budaya Melayu yang sering bergantung harap kepada orang lain. Allahyarham juga banyak menyelitkan ayat Al-Quran untuk renungan,” katanya pada majlis di KL Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Puisi adalah khazanah berharga yang perlu dipegang kerana ia melambangkan budaya bangsa. Bagaimanapun, ketandusan penyair serius sememangnya membimbangkan. Kini penulis muda ramai yang lebih cenderung menghasilkan novel popular kerana pulangan lumayannya. - Dr Zurinah Hassan, Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2004.

Dr Zurinah turut mencadangkan agar DBP memberi nafas baru kerana gaya bahasa lama buku terbabit yang mungkin sukar difahami pembaca generasi baru terutama pelajar sekolah, agar ia lebih memberi manfaat kepada lebih ramai pihak.

“Ketika ini sukar untuk menemui penulis sehebat Za’ba yang begitu lantang mengkritik bangsa Melayu yang mudah lupa jati diri, mengabaikan bahasa dan nilai murni yang dipegang bangsa Melayu selama ini,” katanya pada sesi yang dihadiri lebih 50 khalayak.

Beliau turut berkongsi buku puisinya, Unsur Alam Dalam Puisi Melayu Moden yang diterbitkan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2010 yang memuatkan keterujaannya melihat alam sebagai tanda kekuasaan Allah SWT yang mencipta segala-galanya yang indah.

“Objek alam seperti laut, tumbuhan, haiwan dan peredaran waktu siang dan malam saya jadikan metafora dalam semua puisi saya. Pada saya, setiap karya sama ada genre puisi, cerpen atau novel, mesti mengandungi mesej positif dan unsur iktibar, sekali gus mampu mendidik pembaca,” katanya yang turut menyifatkan bukunya itu turut menyelitkan unsur keagamaan kerana turut menganalisis kandungan kitab suci, al-Quran. 

Program Borak Buku anjuran Biro Penulis Muda, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) turut membongkar rahsia peribadi Dr Zurinah yang gemar membaca komik jenaka santai seperti Majalah Ujang dan Gila-Gila.

Peminat novel berat berbahasa Inggeris itu turut memegunkan khalayak seketika apabila membuka nostalgia ketika mula berjinak-jinak dalam dunia penulisan dan cabaran berliku yang perlu ditempuh penulis zaman dulu.

“Saya masih ingat, dulu kegiatan menulis saya lakukan secara bersembunyi. Saya duduk daripada satu pohon ke satu pohon kerana orang dulu tidak melihat penulisan sebagai kerjaya yang memberi manfaat.

“Bayangkan untuk menghantar karya pula mengambil masa berbulan-bulan kerana menunggu giliran meminjam mesin taip dan selepas selesai, saya perlu mengirim karya secara pos dengan menaiki bas pula ke pejabat pos di pekan besar yang jauh dari kampung,” katanya pada acara yang berlangsung lebih satu sejam setengah.

Dr Zurinah turut berharap penulis muda berani menangani penulisan puisi yang kini ibarat hidup segan mati tak mahu dalam usaha mengubah tanggapan masyarakat yang melihat penulis puisi hidup dalam dunia khayalan.

“Puisi adalah khazanah berharga yang perlu dipegang kerana ia melambangkan budaya bangsa. Bagaimanapun ketandusan penyair serius sememangnya membimbangkan. Kini penulis muda ramai yang lebih cenderung menghasilkan novel popular kerana pulangan lumayannya,” katanya.
 
25 Jun 2012 - Berita Harian

Politik atau Seni?


“Semua penulis adalah politisi”. Itu memang betul apabila politik tidaklah diartikan hanya rujuk Parti Politik. Heboh dikatakan orang, di twitter, di pejabat, warong sampai ke tangga masjid, yang penulis lirik Awan Nano itu adalah politisi.

Apakah yang kita faham tentang “politik”. Saya pernah beri ceramah awam di Muzium Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang tentang hubungan politik-dengan-seni. Rata-rata mahasiswa yang datang, adalah pelajar dalam bidang seni. Di sana, tiga tahun lalu, saya katakan semua karya seni yang dipapar atau dibaca oleh lebih dari seorang, maka karya itu sudah ada unsur politik. Sekali lagi, bukan politik ke-parti-an.
Begitu tafsir itu saya ambil daripada makna politik yang paling murni dan asasi. Apabila satu orang bertemu dengan satu orang, maka bermulalah apa yang disebut sebagai politik. Politik takkan wujud kalau seseorang itu terpendam sahaja di dalam biliknya dan tidak bertemu sesiapa. Begitu juga dengan karya, sekiranya sesebuah lukisan itu, sebagai contoh, digantung sahaja di dalam studio seorang pelukis dengan tak pernah dipamerkan kepada sesiapa, maka tak wujud tafsiran atau permulaan politik. Ia seakan-akan tiada kaitan dengan manusia, kecuali pengkaryanya.

Dalam kata mudah, semua lagu yang dimainkan di radio punya unsur untuk ‘mempengaruhi’ khalayak. Pengaruhnya tidak semestinya tentang menyokong mana-mana kelompok politik, tetapi mungkin sahaja menyebar rasa yang manusiawi. Begitu jugalah dengan filem mahupun apa sahaja bentuk karya, sekiranya dinikmati lebih daripada sang karyanya, maka, ia adalah politik.

Kesian apabila mendengar cerita penulis lirik lagu Awan Nano adalah seorang politisi. Ada yang mula-mula suka, kemudian memaksa telinga untuk tidak suka. Manusia sebegini bukan sahaja datang daripada satu parti sahaja, tetapi daripada pelbagai parti sama ada oposisi mahupun parti pemerintah. Agaknya ini masalah “kemodenan”. Moden juga bermaksud apabila manusia menyusun cabang dan bidang-bidang di dalam kehidupan mereka. Di era pra-moden, manusia tidak menyusun apa-apa, termasuk tempat tinggalnya. Mereka tinggal di dalam gua, atau di mana-mana sahaja yang difikirkan selamat.

Apabila pengalaman pun terkumpul, barangkali ada yang mati dibaham harimau atau terpijak gajah ketika tidur, manusia mula menyusun hidup dan keperluan hidup untuk tujuan keselamatan. Begitu juga dengan rumah yang pada awalnya dibuat secara berselerak, semakin hari semakin tersusun—walaupun kadang-kala susunan itu juga membosankan. Itu cerita lain. Pokok pangkalnya, manusia “menyusun”.

Lihatlah bagaimana ketika waktu-waktu awal manusia mencipta kereta. Mereka tak terfikir untuk menyediakan tempat letak kereta. Hanya ketika kereta semakin dan semakin banyak, maka sepertimana hari ini, manusia pun merancang tempat letak kereta. Ayuh dipanjangkan pula kepada bidang ilmu pengetahuan. Manusia mulai menyusun dan memisah-misahkan antara satu bidang dengan bidang yang lain. Sebagai contoh, seorang doktor perubatan bukan seorang pelukis. Seorang peguam bukan seorang ahli agama. Seorang peniaga bukan seorang birokrat. Banyak lagi contoh-contohnya.

Bahkan di sekolah atau universiti, bidang seni dipisahkan daripada bidang sains, bidang teknikal dipisahkan daripada bidang sastera. Pemisahkan ini ada pro dan ada kontra. Ada baik dan ada buruknya.
Pada peringkat awal ilmu berkembang, terutama sebelum dan sewaktu era Renaissance di Eropah, dinding pemisah atau disebut sebagai “dikotomi” itu belum begitu ketara. Seorang ahli kaji bintang, masih boleh sahaja dianggap sebagai seorang sasterawan. Seorang doktor boleh menjadi ahli falsafah kemasyarakatan. Seorang aktivis boleh sahaja menjadi seorang penulis puisi atau lirik. Tradisi ini masih kuat termasuk di dalam sejarah tamadun Islam, terutamanya di Andalusia.

Begitu juga selalu saya sebutkan dan jadikan contoh bagaimana pejuang kemerdekaan  dan pendiri pelbagai bangsa dahulu juga dalah seorang penulis. Soekarno, Hatta dan Muhammad Natsir di Indonesia, bukan hanya seorang ahli politik, tetapi juga seorang penulis. Ada yang menjadi seorang ahli agama. Begitu juga Mahatma Ghandi di India sampailah kepada Thomas Jefferson sebagai bapa pendiri bangsa Amerika Syarikat, juga adalah seorang penulis yang sangat tekun. Baru sahaja di dalam kolum saya yang lalu, “Politik hati Nurani Havel”, saya menulis kenang-kenangan terhadap mantan Presiden Czech.

Havel bukan sahaja seorang presiden, tetapi dia juga seorang sasterawan, seorang pembikin teater bahkan penulis skrip filem. Bagaimanakah lagi hendak saya jelaskan, selepas bertahun-tahun, tentang apa artinya “politik” sebagai bidang asas kemasyarakat. Betapa gelapnya hari-hari kita apabila disebut sahaja sebagai “politik”, terus dirujuk kepada “parti politik”.

Lantas, untuk mengembalikan kejernihan akal fikir masyarakat, sejak saya menemukan apa yang disebut sebagai Pencerahan sebagai cara untuk keluar daripada kebingungan yang sudah melebar. Gunalah apa sahaja istilah, sama ada perubahan, tranformasi, pembaharuan mahupun reformasi; itu semua tidak akan memberi arti apa-apa andai tidak dilatari dengan pencerahan. Bagi yang belum jelas, “pencerahan” itu merujukan kepada “kecelekan akal”.

Politik kekuasaan boleh membodohkan manusia. Tak kira oleh siapa dan parti apa. Sentiasa ada tendency atau kecenderungan untuk membodohkan manusia. Politikus yang ketagih kekuasaan memang suka andai orang lain, apatah lagi seniman tidak tahu apa itu maknanya politik. Mereka rasa ‘selamat’, tak dicabar. Apabila manusia (baca: rakyat) itu bodoh, maka senang untuk ‘ditawan’. Masyarakat yang terkena penyakit pembodohan akan menjadi bukan sahaja takut dan semakin takut, tetapi juga tidak kreatif. Mereka jumud. Beku.

Jumud, beku adalah permulaan kepada kemunduran tamadun. Memang ada politik yang bisa mengangkat atau menganjak tamadun, namun, ada juga mainan politik kekuasaan yang menarik kebelakang sesuatu tamadun itu. Contoh begini: begitu kasar, biadap dan kotornya mainan politik untuk merebut kekuasaan, maka semakin rosaklah tamadun. Kita boleh temukan gaya tulisan, bahkan lukisan yang bukan sahaja cenderung mencerca, bahkan memfitnah manusia terang-terangan. Lawak jenaka atau dengan alasan seni, maka apa sahaja hinaan seakan-akan terizinkan.

Keadaan ini, pada saya, semakin dan semakin merebak, terutama sejak hampir 15 tahun lalu. Apakah mainan politik sebegini mampu menjadikan kebenaran timbul? Bagi saya tidak. Apakah juga budaya dan tamadun bangsa kita akan berkembang segar dengan cara yang barbarik dan bebalis? Juga tidak dan tidak.
Terpulanglah sama ada untuk mengancurkan bangsa ini secara pelan-pelan, mahupun  mahu membinanya agar setiap nyawa itu bahagia. Sama ada saya dipanggil dengan gelar “ahli politik” atau “seniman”, saya tak punya pilihan kecuali dengan sedar memilih yang kedua.

 Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.

Sumber: http://jalantelawi.com/2012/02/sekali-lagi-politik-atau-seni/

Isnin, 2 Julai 2012

Resolusi Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan

RESOLUSI SEMINAR BAHASA KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN DALAM SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
GABUNGAN PERSATUAN PENULIS NASIONAL MALAYSIA (GAPENA) dengan kerjasama DBP (28 Jun 2012)

1. Mukadimah

Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Sistem Pendidkan Kebangsaan yang bersidang pada 28 Jun 2012 di Dewan Bahasa dan Pustaka serta dihadiri oleh 21 pertubuhan kerabat GAPENA serta 20 badan bukan kerajaan (NGO) lain-lain dan tokoh-tokoh perseorangan serta masyarakat awam sejumlah 250 orang telah dengan sebulat suara membuat ketetapan berikut:

2. Ketetapan-ketetapan

I. Bahasa:

i. Persidangan menegaskan bahawa sebarang ulangkaji sistem pendidikan nasional dalam negara mestilah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan Perkara 152 - bahasa kebangsaan, Akta 32 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidkan 1961, Akta 550 Akta Pendidikan 1996 yang kesemuanya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan kebangsaan. Sebarang penyelewengan dari semua peruntukan ini adalah pelanggaran serius undang-undang negara, warganegara yang menganjurkan selain peruntukan ini adalah dianggap sebagai anti-nasional serta penjenayah. Jika pihak kerajaan yang menyeleweng dari peruntukan semua undang-undang mengenai perlaksanaan bahasa ini adalah tidak bertanggung-jawab, melanggar ikrar jawatan mereka dan wajib meletak jawatan dari pemerintahan negara.

ii. Falsafah pendidikan ‘bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaa’ mestilah dilaksanakan dengan sempurna kepada semua murid dan pelajar di dalam semua tahap persekolahan dalam sistem kebangsaan sehingga ke tahap fasih dan cekap. Adalah amat perlu kurikulum ‘bahasa lisan’ diadakan semula untuk memastikan pencapaian kecekapan yang patut dalam kalangan semua warga negara sebagai jatidiri mereka.

iii. Kelulusan bahasa kebangsaan yang cekap mestilah menjadi syarat kelulusan mendapat taraf kewarganegaraan melalui cara ‘pendaftaran’ dan ‘kemasukan’. Kelulusan bahasa lisan yang fasih mesti menjadi syarat sebagai cara mendapat kewarganegaraan mengikut ‘kuat-kuasa undang-undang’ ketika seseorang warganegara mendapat kad pengenalan. Demikian juga kecekapan dalam bahasa Melayu mesti menjadi syarat kenaikan pangkat dalam khidmat awam.

iv. Pengantar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti berlaku di semua tahap pendidikan termasuk tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi untuk menjadi bahasa jalinan perhubungan dan interaksi yang mantap dan berkesan di antara warganegara untuk menghapuskan masalah perhubungan dalam pelbagai tindakan resmi dan tidak resmi dan meneguhkan jatidiri.

v. Persidangan menolak usaha membuka sistem pendidikan ‘sekolah antarabangsa’ tanpa kouta, dan menuntut supaya semua pelajar Malaysia yang mengikuti sistem sekolah antarabangsa ini disyaratkan mengikuti Pengajian Malaysia seperti berlaku dalam IPTS dengan mencapai kecekapan dalam bahasa kebangsaan setaraf SPM.

vi. Persidangan dengan sebulat suara menolak sepenuhnya usaha pihak-pihak tertentu untuk menjadi ‘bahasa selain bahasa Melayu’ sebagai asas kemasukan ke dalam maktab perguruan, cadangan mengadakan pusat perguruan bahasa-bahasa lain dan juga tindakan mengeluarkan guru-guru bahasa kebangsaan yang tidak berbahasa mandarin dari sekolah SJKC, kerana segala ini adalah usaha-usaha jalan belakang untuk menegakkan bahasa lain setara dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

vii. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan dan Buku Negara mesti memperuntukkan kewangan yang cukup bagi membanyakkan penerbitan dalam semua bidang ilmu dalam bahasa Melayu sebagai mengisi keperluan dan menerapkan ilmu ke dalam semua lapisan pendidikan dan masyarakat, dan penerbitan itu mesti dianggap sebagai tanam modal untuk membina bangsa yang berilmu demi kemajuan bangsa dan negara pada masa hadapan seperti berlaku di dalam negara-negara ‘pasaran baru muncul’.

viii. Persidangan memperakukan penubuhan Majlis Pemantauan Bahasa dan Tindakan Bahasa Kebangsaan sebagai badan berautonomi oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Akta Bahasa Kebangsaan untuk memastikan amalan dan kegunaan bahasa kebangsaan berlaku dengan meluas dan sempurna, pada sebarang masa dan tempat, dalam pelbagai bidang tadbiran, dagangan dan awam sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

II. Kesusasteraan

i. Pendidikkan kesusasteraan kebangsaan mestilah dipertingkatkan menjadi satu mata pelajaran wajib sebagai usaha meneguhkan pendidikan bahasa Melayu dalam dasar MBMMBI dan meningkatkan kemahiran dan kefasihan dalam bahasa Melayu.

ii. Kementerian Pelajaran Malaysia dituntut menubuhkan mata pelajaran baru bernama ‘Rukunegara’ secara pengajaran ‘modular’ bagi menggantikan mata pelajar ‘tatanegara’, dan kursus baru ini mesti mengandungi mata pelajaran ‘sejarah’, ‘perlembagaan persekutuan’, ‘kesusasteraan’, ‘nilai-nilai dan etika nasional’ dan ‘kebudayaan pelbagai kaum’. Mata pelajaran ini wajib diikuti dalam semua jenis sekolah dari sekolah rendah sehingga ke tahap pengajian tinggi selama 15 tahun pembelajaran dan pengajian untuk memupuk patriotisme, kesatuan bangsa dan hubungan mesra antara pelbagai kelompok kaum bagi membina persefahaman antara kaum atau ‘intercultural understanding’.

III. Kebudayaan

i. Kebudayaan nasional berlandaskan Dasar Kebudayaan Nasional mesti ditafsir dalam bentuk kurikulum untuk menjadi mata pelajaran dalam semua tahap persekolahan di Malaysia untuk memupuk kesedaran kebangsaan, meneguhkan sistem negara dan melahirkan persefahaman antara warganegara Malaysia.

ii. Bentuk-bentuk seni dan budaya kaum-kaum di Malaysia dapat menjadi bahan pengajaran di dalam perlaksanaan mata pelajaran ‘kokurikulum’ dan pengajaran bahasa sebagai landasan estetika dan kesedaran kesenian yang lebih luas dalam kalangan para pelajar dalam semua tahap pendidikan.

iii. Pendidikan seni di sekolah wajib berlandaskan kebudayaan nasional dan penerimaan unsur-unsur dari luar berfungsi untuk memperkaya pencapaian kesenian itu.

Termaktub di Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur
Pada 28 Jun 2012

Datuk Wira Profesor Dr Abdul Latif bin Abu Bakar
Ketua Satu
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)
Merangkap Pengarah Seminar

Disampaikan oleh Prof. Datuk Zainal Kling, kepada YB Dr. Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.