Rabu, 5 Disember 2012

Malam Bicara Puisi 'Keamanan Sejagat' 21 Disember 2012


Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS), mempelawa anak-anak seni, kumpulan lagu puisi sekolah, remaja dan belia, untuk turut serta bersama-sama kami dalam memeriahkan lagi Malam Bicara Puisi yang bertemakan 'Keamanan Sejagat' pada 21 Disember 2012, bertempat di Sanggar Seni Satok, jam 8.30 malam.

Orang perseorangan dan kumpulan yang berminat untuk menyertai, sila sms kepada kami ke nombor telefon 012-2520624, dengan memberikan nama penuh, e-mel dan bentuk persembahan.

Kami juga mempelawa para penyair dan karyawan untuk hadir sambil menjual barangan seni yang mereka hasilkan seperti buku, lukisan dan sebagainya untuk dijual pada malam tersebut.

Pihak kami akan menyediakan kemudahan yang diperlukan seperti alat siar raya, dan jamuan ringan.

Individu dan orang perseorangan yang berminat diminta agar bertindak awal bagi memudahkan kami untuk menyusun program pada malam tersebut. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Saudara Mus Lagimu di talian +6011-12626007 atau Saudara Zaidel Jamil di talian +6012-8888759.

Hari Keluarga PENULIS 2012

Hari Keluarga PENULIS 2012 telah dia dakan pada 30 November hingga 2 Disember 2012, di Damai Beach Resort. Selain mengadakan aktiviti untuk seisi keluarga, mesyuarat dalam kalangan ahli juga diselit sebagai salah satu program, bagi membincangkan perancangan program bagi tahun 2013.

Mudah-mudahan dengan izinNya, PENULIS akan bergerak lebih aktif lagi pada tahun hadapan. Insya-Allah.

Malam Pengucapan Puisi Maal Hijrah 1434H

MALAM PENGUCAPAN PUISI HIJRAH: TRANSISI KEAZAMAN SASTERA KITA
Oleh: Natasya Jemain

Awal Muharam atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi seluruh umat Islam. Ia menandakan suatu peristiwa penting yang pernah berlaku dalam kalendar sejarah Islam iaitu penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari kota Makkah ke kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku tepat pada tanggal 1 Muharam tahun baharu bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.
         Maal bermaksud "bersama". Maal Hijrah, membawa maksud "bersama berhijrah" atau "bersama hayati Hijrah". Hijrah haruslah difahami sebagai berpindah dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik.
         Oleh yang demikian, sebagai langkah atau usaha awal dalam menghayati tibanya tahun Hijrah ini maka Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS) dengan kerjasama Sanggar Seni Satok  telah menganjurkan Malam Pengucapan Puisi Hijrah bertempat di Sanggar Seni Satok, Kuching.
         Sanggar Seni Satok telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg,  dan dicadangkan sebagai medium pengkongsian dalam mengadakan acara baca puisi secara berkala oleh seluruh penyair tanpa mengira usia dan status, khususnya di Bandar raya Kuching.
Adalah sengaja bagi pihak penganjur untuk membenarkan sesiapa sahaja yang berminat untuk membaca puisi dengan tema yang ditentukan dalam majlis tersebut. Justeru kebebasan berpuisi sedemikian diharapkan akan dapat melahirkan generasi pelapis bagi kelangsungan bersastera di persada setempat atau domestik.
Maka para penyair yang mengisi dan memeriahkan majlis tersebut adalah daripada kalangan otai dan generasi muda yang masih segar penampilannya seperti kemunculan kumpulan Indraloka.
Persembahan pada malam tersebut turut diselitkan dengan takkiran, deklamasi puisi, persembahan lagu puisi, lagu rakyat, monolog dan puisidra. Kehadiran karyawan seperti Haji Hassim Daud, Zakaria Manan, Abdillah Untong, Haziz Wahab, Awang Kelana Awang Hassan, Waizan Saili, Anuar Pisang, Kumpulan Indraloka, Yus, Abang Saiet, dan ramai lagi nama mereka yang tidak dapat dituliskan dalam ini, adalah satu petanda “perpaduan” karyawan Sarawak dalam menyambut tahun hijrah 1434.
Kehadiran wakil kepada Menteri Pelancongan Sarawak, yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Pelancongan Sarawak, Encik Mohamad Abdul Rahman Haji Adenan, memberi semangat baharu kepada para karyawan yang membuat persembahan pada malam tersebut. Malah beliau turut mencadangkan agar program ini diadakan secara berkala, agar dapat menyemarakkan lagi program kesenian khususnya di Bandar raya Kuching.
Kehadiran beliau yang agak lewat kerana baru pulang dari Kuala Lumpur, membuktikan sokongan Menteri Pelancongan Sarawak terhadap program ini. Hakikatnya, kelestarian program baca puisi di Sanggar Seni Sarawak hanya akan dapat diadakan jika mendapat sokongan padu daripada para karyawan sendiri.
Memandangkan sambutan yang diberikan pada malam tersebut cukup membanggakan maka menjadi harapan kepada pihak penganjur untuk tidak hanya mengadakan majlis pengucapan puisi tersebut hanya pada malam Maal Hijrah sahaja tetapi berterusan dari bulan ke bulan. Walaupun tidak disangkal akan kekangan  material, tenaga sukarelawan dan masa tapi diyakini jika ada sokongan padu daripada pihak lain yang berminat untuk turut serta maka sangatlah dialu-alukan.
Menurut Pengerusi Persatuan Penulis Sarawak , Encik Awang Zaidel Bin Awang Jamil, Sanggar Seni Satok ini akan dijadikan lokasi tetap bagi program Baca Puisi, yang akan diadakan pada setiap bulan.
“Dengan memandangkan Sanggar Seni Satok, adalah ruang percuma yang disediakan, maka kami dengan kerjasama persatuan karyawan yang lain, akan merancang untuk mengadakan program baca puisi secara berkala di tempat ini.”
“Kami juga mengalu-alukan golongan belia dan remaja yang sudah membentuk kumpulan lagu puisi, untuk tampil di pentas Seni Sanggar Satok ini. Sanggar Seni Satok ini adalah lokasi untuk berkumpul dan santai semua golongan karyawan, khususnya di Bandar raya Kuching ini,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, “PENULIS berusaha merancang agar program baca puisi dapat diadakan secara berkala setiap bulan, dengan pelbagai tema dan genre persembahan.”
Namun, tegas beliau lagi, semuanya adalah bergantung pada golongan karyawan sendiri. “PENULIS merancang, dan jika dapat sambutan akan diteruskan, dan jika sebaliknya, kita akan fikirkan program yang selayaknya.”
Dalam pada itu, Pengurus Sanggar Seni Satok, Encik Ismail Hamdan, mengharapkan para karyawan dan penyair dari sekitar Bandar raya Kuching agar manfaatkan Sanggar Seni Satok untuk kegiatan kesusasteraan kesenian.
“Program yang dianjurkan di sini adalah bersifat santai, kehadiran semua pihak dialu-alukan. Kepada kaum remaja dan belia yang ingin mengetengahkan bakat mereka dalam bidang nyanyian lagu puisi, mendeklamasi puisi, melukis, menjual hasil seni dan sebagainya yang ada hubung kait dengan seni dan kesusasteraan, kehadiran mereka dialu-alukan,” jelas Ismail.
Mudah-mudahan usaha murni sebegini mudah mendapat tempat di hati mereka yang lain untuk terus memartabatkan aktiviti sastera dan seni masyarakat kita sendiri khasnya. Dengan azam dan hasrat dalam mengangkat jati diri dan peradaban minda yang berkarisma dan berwawasan jauh. Salam Maal Hijrah.



















Sajak - Wira Cendekia Bahasa




 WIRA CENDEKIA BAHASA

(buat YBhg. Prof. Dr. Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP bersempena dengan Muzakarah Munsyi Dewan pada 28 November – 01 Disember 2012 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands)

Dikau bagaikan sang tukang ukir
yang mahir
Antara pahat metafora
dan tukul personifikasi
Tabah cekal mengukir
Seni wasilah bahasa
Untuk telaahan bangsa
Untuk khazanah nusa
zaman-berzaman.

Dikau bagaikan sang petani
Dari daerah pedalaman yang bening
Antara cangkul diksi dan kudrat harapan
Penuh kasih kausemai akrab
benih-benih bahasa
Di kebun ilmu
Di kebun bangsa.

Dikau bagaikan sang tukang jahit zaman
Antara jejarum frasa dan bebenang klausa
Kaucipta busana susila bahasa
manifestasi peradaban
nilai kesantunan
citra ketamadunan
bangsa
di persada nusa
di persada nusantara
di persada antarabangsa

Dikau bagaikan wira sepanjang zaman
Antara merah darah perjuangan
dan keris peradaban
Kaulangkah gagah di persada wacana
Melahirkan anak-anak merdeka
Yang cekal akal budi
Yang tekal jati diri

Wira cendekia bahasaku
Dikau persis kandil ilmu
Obor menerangi buana zulmat
Terampil wibawa menongkah arus cabaran
Pena ilmu di buana manusiawi
Wacana ilmu di buana rabbani

Dirgahayu
Wira cendekia bahasaku
Bahasawan yang cemerlang
Bahasawan yang terbilang
Bahasawan sepanjang zaman!

Chai Loon Guan,
Institut Aminuddin Baki,
Genting Highlands.
28 November – 01 Disember 2012.

(Pertama kali, sajak ini dideklamasikan bersempena dengan Muzakarah Munsyi Dewan pada 28 November - 01 Disember 2012 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands)

Keputusan pemilihan Majlis Munsyi Dewan Malaysia (MMDM)


Keputusan pemilihan Majlis Munsyi Dewan Malaysia (MMDM) hasil daripada mesyuarat pada pukul 5.30 petang, 29 November 2012 di Auditorium Dato' Razali Ismail, Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Pengerusi:
Tuan Haji Zainuddin Saidin (MD Zon Utara)
Naib Pengerusi:
Puan Noraziah Ahmad Ghazali (MD Zon Tengah)
Setiausaha:
Encik Mohamad bin Musip (MD Zon Selatan)
Naib Setiausaha:
Puan Shamsul Mardiyyah Bahrum (MD Zon Tengah)
Bendahari:
Encik Abdul Ghalib Yunus (MD Zon Tengah)

Wakil-wakil Zon:
Puan Zawiyah Abdul Shukor (MD Zon Tengah)
Puan Noor Suraya Adnan Sallehudin (MD Zon Tengah)
Puan Norliza Abu Bakar (MD Zon Selatan)
Puan Sarimah Ahmad (MD Zon Selatan)
Encik Chai Loon Guan (MD Zon Utara)
Puan Hajah Habibah Mohd Samin (MD Zon Utara)
Encik Abdullah Mohd Yassin (MD Zon Timur)
Encik Haron Omar (MD Zon Timur)
Tuan Haji Sh. Mahadda Sh Attar (MD Zon Sabah)
Encik Jais Sahok (MD Zon Sarawak)
Puan Norizan bt. Raja Yunus (MD [Sastera])
Encik Mohd Ridwan Wahab (MD [Jawi])

Pemeriksa Kira-kira:
Encik Tewarajoo a/l Ramasamy (MD Zon Utara)
Encik Quek Cham Seng (MD Zon Tengah)

Selasa, 9 Oktober 2012

Industri Buku Di Malaysia


Judul kecil bagi buku The Gutenberg Elegies karya Sven Birkerts ialah The Fate of Reading in An Electronic Age. Buku ini menanyakan apakah benar dalam keghairahan kita mengalu-alukan era elektronik kita sebenarnya mengabaikan budaya membaca dan membunuh industri buku?

Sebenarnya manusia lebih banyak membaca daripada sebelum ini. Mungkin mediumnya berubah daripada buku atau akhbar dalam bentuk tradisionalnya kepada membaca dalam dunia siber menggunakan landasan media baru e-mel, SMS, Facebook, Twitter dan sebagainya. Melayari Internet itu sendiri menuntut ketekunan membaca. Akhbar talian menjadi pilihan baru pembaca muda, begitu juga buku dalam bentuk elektronik. Kini kita melahirkan generasi e-pembaca.

Buku belum berkubur, itulah hakikat yang harus diterima. Malah lebih banyak buku diterbitkan pada masa ini daripada zaman sebelum ini. Era elektronik sebenarnya membantu memperkaya dunia buku dan pembacaan.
Debat berkuburnya buku bukan baru. Pada tahun 50-an apabila TV mula menjadi popular, banyak pihak yang meramalkan buku akan pupus. Jumlah penerbitan buku menunjukkan sebaliknya. Menurut Gabriel Zaid dalam bukunya So Many Books, pada tahun-tahun 50-an, dunia menerbitkan kira-kira 250,000 judul setahun. Apabila mesin cetak Gutenberg memungkinkan buku dicetak secara meluas pada tahun 1450, hanya 100 judul mampu diterbitkan setahun. Pada tahun 2000, sejuta judul buku telah diterbitkan. Sebagai perbandingan pada tahun 1947, Amerika Syarikat (AS) mempunyai hanya tujuh saluran TV, pada tahun 1949 jumlah itu menjadi 50 dan 517 pada tahun 1960. Hari ini jumlahnya ribuan. Di antara tahun 1947 dan 1960, judul buku yang diterbitkan di AS meningkat dari 7,000 setahun menjadi 15,000. Stesen TV bertambah banyak kali ganda.

Pada tahun 1550 terdapat 35,000 judul buku yang diterbitkan, seratus tahun kemudian jumlah terkumpul judul buku menjadi 150,000. Pada tahun 1750 jumlahnya ialah 700,000 dan pada tahun 2000, jumlah terkumpul judul buku dunia ialah 52 juta.
Pada hari ini sebuah buku terbit setiap 30 saat. Apabila anda selesai membaca rencana ini, 2,400 judul buku baru telah diterbitkan di dunia.

Sekali lagi, buku belum berkubur. Buku akan terus menjadi wahana ilmu dan maklumat utama manusia. Buku mencorakkan tamadun. Tamadun ditunjang oleh buku. Manusia menjadi cerdik kerana buku dan kecerdikan memungkinkan kelahiran buku. Tradisi keilmuan akan dicorakkan oleh buku, dulu, kini dan selamanya.
Maka itu buku tidak boleh pupus dalam bentuk asalnya. Memang benar era elektronik hari ini mengurangkan waktu membaca manusia dalam konteks yang kita fahami dahulu tetapi tidak mengurangkan jumlah buku yang terbit. Ada pandangan yang mengatakan perpustakaan tidak lagi relevan dengan wujudnya Wikipedia. Semua maklumat boleh didapati di hujung jari. Maklumat dan ilmu pasang siap bukan tandingannya tradisi ilmu sebenar yang teruji oleh amalan kesarjanaan dan budaya fikir yang halus.
Memang benar penerbit buku dan akhbar dicabar dengan hebatnya oleh banyak medium baru dalam era elektronik. Banyak syarikat akhbar yang satu masa dahulu gah kini gulung tikar. Pada waktu yang sama banyak syarikat buku yang berdepan dengan masa depan yang malap. Kompendium ilmu yang tersohor, Encyclopedia Britannica yang bermula pada tahun 1768 mengaku kalah dek asakan elektronik lalu menghentikan penerbitan dalam bentuk tradisionalnya. Pada bulan Mac 2012, penerbit ensiklopedia itu mengumumkan bahawa edisi tahun 2012 merupakan edisi bentuk buku yang terakhir.
Di sebaliknya cerita suram dunia perbukuan, banyak lagi cerita kejayaan luar biasa yang harus kita banggakan. Penerbit masih mampu mengeluarkan judul yang dianggap buku laris dunia yang memberikan kekayaan pada penulis. Penulis yang berjaya hari ini bukan sahaja menjadi selebriti tetapi hidup kaya raya dengan royalti.

Malangnya buku paling laris di Malaysia ialah novel popular dan buku agama. Akhdiat Akasah misalnya telah menulis 87 judul novel menjadikan beliau novelis paling produktif di negara kita. Buku serius sukar dijual, termasuk buku karya Sasterawan Negara kita.


Industri buku di Malaysia sebenarnya lebih kecil daripada industri ayam pedaging. Malaysia hanya mampu menerbitkan paling banyak 5,000 judul buku setahun, kebanyakannya buku teks dan buku kerja sekolah. Kita sepatutnya menerbitkan 12,500 judul buku am setahun. DBP sendiri hanya mampu menerbitkan 300 judul baru setahun. Hari ini China menerbitkan 180,000 judul, United Kingdom 16,000, AS 60,000 dan India 49,000.

Terlalu banyak potensi untuk mengembangkan industri buku di negara ini. Apa yang diperlukan ialah usaha menyemarakkannya. Kita memerlukan komitmen semua pihak bagi tujuan ini. Kita perlu menggalakkan pembacaan di kalangan rakyat. Usaha memasyarakatkan buku dan pembacaan memerlukan strategi baru. Buku dan pembacaan masih lagi anak kunci pada tradisi fikir dan budaya ilmu.

Jumaat, 21 September 2012

RESOLUSI SEMINAR KEBANGSAAN PEMANTAPAN AMALAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERKESAN BAHASA MELAYU (16-18 SEP 2012), Merdeka Palace Hotel

SEMINAR KEBANGSAAN PEMANTAPAN AMALAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERKESAN BAHASA MELAYU (16-18 SEP 2012), Merdeka Palace Hotel

Kami, peserta Seminar Kebangsaan Pemantapan Amalan Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan Bahasa Melayu di Kuching, Sarawak dari 16-18 September 2012, bersetuju dan menyokong gagasan pembangunan pendidikan Malaysia yang terkandung dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, khususnya melalui pemantapan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Menyedari hakikat bahawa Bahasa Melayu itu adalah Bahasa Kebangsaan Malaysia, maka kami juga memohon supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan dalam pembinaan intelek, sahsiah dan jati diri modal insan bagi menghadapi cabaran kehidupan semasa dan masa depan melalui tindakan:

1. Menyediakan pengalaman pembelajaran bahasa Melayu yang memikat dan berkesan.
2. Memilih calon guru berdasarkan keseimbangan kriteria intelek, bakat dan potensi
3. Menyediakan bahan pembelajaran bahasa Melayu yang kreatif, inovatif dan memikat bagi memupuk kecintaan dan kebanggaan berbahasa Melayu

Profesor Emeritus Abdullah Hassan
Pengerusi Jawatankuasa Resolusi
Seminar Kebangsaan Pemantapan Amalan Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan Bahasa Melayu
Kuching, Sarawak
Bertarikh: 16-18 Sep 2012