Rabu, 18 Julai 2012

Nasib Bahasa Melayu di Bumi Sendiri


CADANGAN mewajibkan subjek Bahasa Melayu (BM) untuk sekitar 65,000 pelajar asing yang kini menuntut di Malaysia adalah satu langkah yang sudah tentu baik dalam usaha kita mengembangkan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi untuk mengantarabangsakannya. Antara kepentingannya dalam konteks ini, bahasa Melayu adalah wadah komunikasi di negara ini, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik akan membolehkan pelajar ini berfungsi dengan baik dalam masyarakat Malaysia, sama ada dari segi kedua-dua kecekapan tatabahasa dan budi bahasa Melayu. Sebetulnya kesan ini cukup sahih dan perlu disokong.

Namun, adakah prasarana serta ekologi bahasa Melayu yang wujud kini, sama ada yang formal atau sebaliknya, mendukung keadaan yang kondusif? Kedua-dua ini amat penting dalam membantu serta mendorong pelajar ini untuk menekuni bahasa Melayu, khususnya atas rangsangan integratif, yakni bukan saja untuk bercampur gaul, tetapi mengadunkan diri mereka dalam kehidupan tempatan, sementara mereka berada di Malaysia. 
Jawapannya tidak positif seperti yang sepatutnya. Bahasa Melayu walaupun diberi pelbagai paparan baik lagi indah oleh sesetengah pihak, sebenarnya ia melukut di tepi gantang dalam beberapa hal di bumi watannya sendiri. Ekologi linguistik di negara ini tidak selalu memperlihat kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, iaitu dalam konteks sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sebagai contoh, penamaan awam di Malaysia tidak banyak yang menggunakan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Inggeris lebih menjadi norma. ‘Bangsar South’ untuk sebuah perbandaran baru di Kuala Lumpur serta ‘Mara Liner’ bagi bas yang memberi perkhidmatan di kawasan luar bandar, khususnya penempatan komuniti Melayu adalah antara contohnya. 
Mahu tidak mahu, semua ini memberi mesej bahawa bahasa Melayu tidak penting lagi, bukan saja kepada pelajar asing ini, tetapi juga kepada masyarakat Malaysia sendiri. Sehubungan ini, masyarakat tempatan ikut memberi gambaran negatif terhadap bahasa Melayu apabila mereka tidak banyak menggunakannya, khususnya dalam konteks sebagai bahasa negara untuk berkomunikasi sesama sendiri. Mereka lebih gemar dan bangga menggunakan bahasa lain dan jika bahasa Melayu digunakan, ia digunakan dalam bentuk campur aduk pula.

Gambaran yang buruk terhadap bahasa Melayu ikut berlaku apabila kita tidak mahu menggunakannya ketika bercakap dengan sesetengah pelajar asing ini, walaupun ada antara mereka fasih dalam bahasa Melayu. Sebaliknya, kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai ganti. Sikap jelek kita ini memberi gambaran bahawa masyarakat Malaysia tidak bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara sendiri. Sesungguhnya ini bukan gambaran lagi, tetapi kenyataan benar mengenai perbuatan, pandangan dan kepatuhan kita terhadap bahasa Melayu.

Komuniti Melayu selaku penutur natif atau asal bahasa Melayu perlu mempamerkan teladan yang baik dalam memperlihat sikap positif terhadap bahasa itu. Mereka perlu pada setiap masa ‘memperlaku’ bahasa Melayu, yang bukan saja bahasa ibunda mereka, tetapi kini sudah menjadi bahasa negara yang mewakili dan dimiliki oleh semua, dengan penuh tertib dan adab. Dalam hal ini, mereka perlu menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul serta yang tidak bercampur aduk, khususnya pada majlis dan upacara rasmi. 
Penggunaan seperti itu bukan saja penting dalam menyampaikan mesej bahawa bahasa Melayu berwibawa, tetapi dibangga selain diyakini sendiri oleh kalangan penutur natifnya mengenai kewibawaan itu. Sebetulnya kewibawaan bahasa Melayu perlu wujud dalam pelbagai bentuk yang mantap. Antaranya ialah pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya yang bukan asal, yang perlu dipertingkatkan agar melepasi bentuk yang dikenali sebagai ‘bahasa pasar’. 
Masih ramai dalam kalangan ini yang hanya mampu berbahasa pasar ketika menggunakan bahasa Melayu, misalnya dalam bentuk “Saya atak pompuan punya, balu kawin sama Ipoh punya olang.” Kecekapan bahasa Melayu sebegini, khususnya dalam kalangan muda, selepas menghuni Malaysia sejak 1957 adalah bukan saja tidak baik untuk imej bahasa Melayu sebagai bahasa negara, tetapi yang lebih mudarat lagi ialah pengertian nasionaliti Malaysia mereka dalam konteks bahasa Melayu, iaitu bahasa tanah air mereka! 

Sikap begini sudah tentu diperhati oleh kalangan pelajar asing, yang mungkin merumuskan bahawa bahasa Melayu tidak banyak dihormati oleh warga Malaysia sendiri. Hal ini ikut dirumuskan oleh pekerja asing. Sesetengah daripada mereka didapati fasih dalam bahasa Melayu, walaupun baru saja tiba, jika dibandingkan dengan segelintir pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), yang didapati sama sekali tidak fasih dalam bahasa Melayu, walaupun dilahir dan dibesarkan di Malaysia!

Dalam soal pengekalan bahasa Melayu dalam bentuk daif ini, komuniti Melayu boleh ikut dipersalah. Mereka sering berkomunikasi dengan komuniti bukan asal dalam bahasa Melayu sebegini, walaupun ketika berkomunikasi dengan mereka yang amat fasih. Sifat akomodatif ini daripada komuniti Melayu perlu dihentikan dan digantikan dengan komunikasi dalam bahasa Melayu yang baik dan betul, tetapi dalam bentuk yang mudah. 

Sebenarnya banyak yang perlu dilakukan sebelum kita memperluas domain penggunaan bahasa Melayu, khususnya kepada pelajar asing di negara ini dan juga dalam usaha kita mengantarabangsakan bahasa Melayu. Untuk tujuan ini, pertamanya, masyarakat Malaysia perlu memperlihatkan sikap yang lebih positif terhadap bahasa Melayu. Sikap ini boleh dipupuk dan seterusnya diperlihatkan oleh semua sektor masyarakat Malaysia dengan agak mudah. Bahasa Melayu yang menjadi alat perpaduan bangsa dan kemajuan negara, sudah ‘dikodifikasikan’ dalam sistem pendidikan kebangsaan. 
Dalam soal ini, tekad terhadap bahasa Melayu perlu diperbaharui semula, melalui teladan yang penuh dengan iltizam dan tanggungjawab daripada komuniti Melayu selaku penutur natif, yang akan pula diikuti dengan kesan yang positif daripada pelbagai komuniti bukan Melayu lain. Ini penting bukan saja dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, tetapi juga untuk melestarikannya pada persada dunia. Sesungguhnya bahasa Melayu yang juga bahasa kelima terbesar di dunia, mempunyai banyak potensi. 
Penulis ialah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Memorandum PENA Kepada TPM


Memorandum kepada 
Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan
Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia

Daripada 
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

Tarikh: 28 Jun 2012
Tempat: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pendahuluan

Pembentukan sebuah negara bangsa tidak hanya memerlukan pembangunan ekonomi dan kemajuan fizikal, tetapi yang lebih penting ialah pembangunan jati diri, semangat patriotisme dan nasionalisme. Tumpuan kepada kebudayaan untuk dijadikan alat pembinaan negara bangsa sejajar dengan saranan Malek Bennnabi: budaya merupakan belajar untuk hidup secara bertamadun; ertinya kita menggunakan semua kekuatan kejiwaan dan pemikiran serta kebolehan dalam unsur diri manusia mengikut suara hati kita. Daripada kebudayaan manusia membina jaringan sosialnya, dan dalam masa yang sama, jaringan sosial membina kebudayaan. Hasil daripada itulah terbinanya peradaban apabila hubungan atau jaringan sosial yang diikat oleh kebudayaan bersama menghasilkan produk peradaban demi memenuhi tuntutan kehidupan.

Dalam konteks Malaysia, perpaduan kaum perlu digembleng dengan cara merumuskan satu wadah bernilai sepunya. Tanpa kefahaman dan rasa kekitaan antara kaum yang masing-masing telah memiliki rasa bangga terhadap kebudayaannya sendiri, perpecahan dan pergeseran sangat mudah berlaku disebabkan perspektif dan kepentingan kaum yang berbeza. Sekiranya perpecahan berlaku, binaan satu peradaban yang khusus bagi negara ini akan runtuh. Malek Bennabi menegaskan bahawa hubungan sosial merupakan aset penting untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan masyarakat serta menjaga sifatnya di samping berfungsi untuk menyusun tadbir tenaga hayat masyarakat bagi membolehkan mereka menjalankan tindakan bersama dalam sejarah. 

Satu alat kebudayaan yang dapat merapatkan pelbagai kaum ialah bahasa. Sudah termeterai dalam Perlembagaan Persekutuan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, dan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan kedudukan bahasa Melayu tertegak kukuh. Oleh itu, sebarang tuntutan untuk mengubah persefahaman yang bersifat undang-undang ini perlu ditanggapi sebagai usaha untuk memecahkan perpaduan yang sedang dibina, atau sebagai kaedah halus untuk menakluki seluruh sendi kehidupan di negara ini. Dengan leburnya bahasa Melayu atau terpinggirnya dalam sistem pendidikan akibat daripada tuntutan untuk melaksanakan sistem sekolah dua aliran akan mengakibatkan kemusnahan bangsa Melayu sebagai pemegang hak ke atas negara ini.

Menyedari bahaya itu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) meminta jaminan dan ketegasan kerajaan untuk memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Penegasan ini perlu dilaksanakan dengan beberapa kaedah:

1. Menyegerakan pemansuhan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tanpa tunduk kepada desakan pihak yang mahukan PPSMI dikekalkan. 
Di samping itu, tanpa mengetepikan kepentingan bahasa Inggeris, kami menyokong usaha YAB Tan Sri selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran memperkemas MBMMBI. Tindakan serampang dua mata inilah yang dapat menyelesaikan pertikaian PPSMI dan mengembalikan kepercayaan kaum penulis, ilmuwan, dan budayawan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional, terutama untuk mengikis anggapan bahawa pemimpin negara telah bertindak sangat autoritarian walaupun dalam hal yang menyangkut kehidupan berjuta-juta pelajar dan ibu bapa, dan maruah bahasa serta tamadun Melayu itu sendiri.

2. Mengekalkan sistem persekolahan satu aliran, iaitu beraliran bahasa Melayu dan menolak tuntutan mengadakan sekolah dua aliran. Kewujudan sekolah dua aliran akan menyebabkan bahasa Melayu terpinggir kerana masyarakat yang berkemampuan dan memegang tampuk ekonomi akan menggunakan sekolah beraliran Inggeris manakala masyarakat tidak berkemampuan kekal dengan keterpinggirannya di sekolah aliran Melayu. Akhirnya, bukan sahaja bahasa, malahan bangsa Melayu pun akan tenggelam dalam arus besar bahasa Inggeris yang mempunyai nilai ekonomi.

3. Memandangkan bahasa mempunyai kaitan yang rapat dengan kesusasteraan, dan perkembangan bahasa dapat dijanakan melalui karya kesusasteraan, subjek kesusasteraan Melayu perlu diperluas penawarannya di sekolah, sama ada di sekolah rendah mahupun menengah dan IPTA. Pada tempat yang munasabah, penggunaan karya sastera Melayu perlu diwajibkan. Jika sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil dan Cina telah menggunakan karya sastera mereka dalam kurikulumnya kenapa sastera Melayu dinafikan haknya?

4. Kerajaan juga perlu menolak tuntutan pihak tertentu supaya hanya guru Cina boleh mengajarkan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina. Tuntutan tersebut cenderung bersifat perkauman dan bertujuan menghilangkan peranan guru Melayu di sekolah jenis itu.

5. Di samping itu, dalam jangka panjang, strategi memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu perlu disegandingkan kerana kedua-dua berhubungan secara simbiotik. Oleh itu, perhatian wajar diberikan kepada penyuburan dan pemuliharaan korpus tentang bahasa dan persuratan Melayu. Bagi tujuan tersebut, kerajaan perlu meningkatkan taraf Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi pusat dokumentasi rujukan terbesar di dunia untuk merumahkan:
i) Semua terbitan/karya lisan atau tulisan berbahasa Melayu yang terbit di Malaysia dan di dunia;
ii) Semua tulisan dalam bahasa asing yang membicarakan tentang bahasa dan persuratan Melayu;
iii) Semua terjemahan terhadap tulisan dalam bahasa Melayu yang diterjemah dalam bahasa-bahasa asing. [BM termasuk Bahasa Melayu Brunei dan Bahasa Indonesia; Perpustakaan Nasional Jerman di Frankfurt dan Munich mengumpulkan semua khazanah dalam bahasa Jerman atau tentang Jerman.]

6. Kerajaan menubuhkan suatu Majlis Bahasa dan Persuratan Nasional yang menjadi badan kehormat tertinggi yang memberi pandangan serta nasihat tentang arah perkembangan bahasa kebangsaan dan persuratannya. Mereka bertanggungjawab memastikan kedudukan bahasa dan kesusasteraan kebangsaan sentiasa terpelihara dan tersebar dalam kalangan masyarakat berbilang kaum bagi tujuan meneguhkan ideologi perpaduan kebangsaan. Dalam majlis itu juga wajar ditubuhkan sebuah tribunal khas yang menjaga kebajikan sasterawan atau penulis memandangkan nasib mereka selama ini sering diperkotak-katikkan oleh penerbit kapitalis, terutama dalam soal hak cipta. 

7. Kerajaan memperuntukkan dana awal sekurang-kurangnya RM10 juta sebagai bantuan permulaan bagi menerbitkan jurnal ilmiah/saintiifik dalam bahasa Melayu tentang sastera/kemanusiaan dan sains kemasyarakatan; terbit dua kali setahun yang anggota editorialnya terdiri daripada ilmuwan/akademik berwibawa dari dalam dan luar negara.

Semoga pandangan yang menyebelahi bahasa Melayu diterima dengan tidak berbelah bahagi. Pandangan ini selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tonggak pentadbiran, perundangan, dan pendidikan di negara ini. Insya-Allah, Allah memberkati usaha kita untuk mewujudkan perpaduan dan mengekalkan bangsa Melayu sebagai pemegang hak di negara ini.

Wassalam

Dr Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

(Sebahagian daripada idea memo ini adalah daripada Baha Zain yang saya minta sebelum saya menulisnya semula dan menyerahkannya bersama memo lain dalam majlis di DBP anjuran Gapena.
Saya tidak tahu sama ada cadangan TS Muhyiddin untuk menjadikan bangunan lama DBP sebagai Pusat Persuratan Melayu terbit daripada memo ini atau tidak, tapi ideanya samalah. Semoga jadi kenyataan)

Selasa, 17 Julai 2012

'Maruah' Usman Awang Tergadai?


Oleh: Uthaya Sankar

16 JULAI — Sasterawan Negara Datuk Usman Awang meninggal dunia pada 29 November 2001. Hampir sebelas tahun kemudian, apakah segala sumbangan bakti Allahyarham dalam bidang bahasa, sastera, seni dan budaya Malaysia masih dikenang?
Demikian persoalan yang timbul dalam minda saya pada 11 Julai 2012 apabila berpeluang bertemu dan berbual panjang bersama-sama Haslina Usman (anak sulung Allahyarham) dan suaminya, Abdul Rahim Affandi.
Usman Awang yang antara lain menggunakan nama pena Tongkat Warrant, Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A. dan Zaini dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor.
Usman diangkat sebagai Sasterawan Negara pada 1983.
Bagaimanapun, pada tahun ini, tiada apa-apa majlis untuk mengenang tarikh lahir beliau memandangkan pelbagai masalah besar menyelubungi UA Enterprises Sdn Bhd selaku pemegang amanah dan hak cipta karya-karya Usman Awang.
Hasil penelitian saya, masalah itu muncul susulan pementasan “Muzikal Uda & Dara” (MUDD) di Istana Budaya pada Julai 2010. Selepas dua tahun, khabarnya UA Enterprises berdepan kemungkinan diisytiharkan bankrap dan hak cipta muzikal berkenaan pula diambil pihak bank.
Saya dimaklumkan bahawa UA Enterprises dipelawa mementaskan “Muzikal Uda & Dara” untuk mengisi “Slot Sasterawan Negara” yang diwujudkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).
“Kami hanya setuju mementaskan apabila ada pihak yang bersetuju menjadi penaja utama. Persetujuan itu dibuat secara lisan. Kerana percaya akan penajaan ini, kami teruskan kerja-kerja produksi untuk mementaskan MUDD.
“Malangnya, penaja tidak meneruskan hajat itu beberapa bulan sebelum tarikh pementasan. Sewaktu itu, kami telah menggadaikan rumah, mula bayar produksi dan separuh jalan dalam produksi. Maka, pementasan terpaksa diteruskan,” kata Haslina yang merupakan Pengarah Eksekutif UA Enterprises.
Saya sedia maklum bahawa beliau memohon Pinjaman Dana Industri Kreatif iaitu satu gabungan pinjaman antara KPKK dan sebuah bank ke arah membantu produksi seni persembahan dan pelbagai kesenian. Syaratnya melalui dua proses kelulusan iaitu kelulusan KPKK dan kelulusan bank berkenaan.

Antologi ‘Keranda 152’ (1968) diterbitkan semula pada 2002.
“Kami mendapat kelulusan pinjaman RM1.5 juta, iaitu bajet minimum; cukup-cukup sahaja untuk mementaskan MUDD. Jumlahnya besar kerana kebanyakan kemudahan di Istana Budaya telah rosak dan kami terpaksa menyewa berbagai peralatan yang memang mahal  dari luar untuk pementasan tersebut,” kata Rahim yang menganggur sejak seminggu lalu.
Rahim sebelum ini bekerja secara kontrak di sebuah stesen televisyen dengan gaji sekitar RM1,000 sebulan, manakala Haslina membuat kek untuk menyara keluarga. Anak-anak mereka pula terpaksa berhenti belajar dan bekerja akibat kesempitan kewangan yang sedang dialami.
Amat sukar untuk saya membayangkan bahawa waris yang sedang berusaha bersungguh-sungguh memelihara pusaka peninggalan seorang Sasterawan Negara berhadapan segala masalah seperti ini! Namun, berat mata memandang, pasti berat lagi bahu yang memikul.
Saya ada menulis mengenai legasi karya Usman Awang di akhbar Sinar Harian pada 29 Jun 2009. Saya turut menyampaikan kertas kerja bertajuk “Antara KeMelayuan dan Kemanusiaan Sejagat: Sorotan Karya Usman Awang” sempena Simposium Lim Lian Geok dan Usman Awang: Nasionalis Malaysia yang Tulen anjuran LLG Cultural Development Centre pada 19 Jun 2010 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.
Usman Awang mula berkhidmat sebagai sidang pengarang majalah Dewan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1962 sebelum dilantik menjadi pengarang majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya.

Hak cipta karya dipegang oleh UA Enterprises.
Harus dinyatakan juga bahawa Allahyarham adalah individu pertama yang menerajui kepimpinan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) iaitu pada 1962-65. Saya tidak pasti jika mana-mana persatuan penulis masih mengadakan majlis bagi mengenang tarikh kelahiran/pemergian Usman Awang.
“Pada tahun 1991-2001, ayah dilantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan; suatu pelantikan yang disifatkan oleh arwah sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses pembentukan Bangsa Malaysia,” Haslina pernah menceritakan kepada saya sambil menambah bahawa Usman Awang juga dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank dari 1991 hingga 2001.
Pada tahun 1991, Usman Awang dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak, yang membawa gelaran Datuk.
Terdahulu, pada 29 Mei 1976, Usman Awang dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera”; SEA Write Award pada tahun 1982; Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya pada 11 Ogos 1983; Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran “Sasterawan Negara” pada tahun 1983; dan “Zamalah Sastera” daripada akhbar Berita Harian pada tahun 1985.
Usman Awang juga terlibat dalam penerbitan antologi sajak “Keranda 152” (1968) yang merakamkan penentangan kaum Melayu terhadap Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Antologi berkenaan diterbitkan semula (“cetakan kedua”) pada 2002 sebagai merakamkan penentangan kaum Melayu terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Namun, apalah gunanya segala sumbangan Usman Awang terhadap bahasa pada saat kita dikejutkan dengan berita bahawa UA Enterprises mungkin terpaksa “dibungkus” dan hak cipta “Muzikal Uda & Dara” bakal tergadai!

‘Muzikal Uda & Dara’ dipentaskan pada Julai 2010 di Istana Budaya.
Hasil risikan, saya mendapat maklumat bahawa walaupun pinjaman bank yang diluluskan adalah RM1.5 juta, namun pada 20 Julai 2010 — tarikh akhir pementasan MUDD di Istana Budaya — bank terbabit hanya memberi RM900 ribu.
“Bayangkan, betapa peritnya kami terpaksa meminjam sana sini untuk menampung kos produksi dan membayar segala macam kos,” kata Haslina sambil menahan air mata apabila saya ajukan soalan berkaitan perkara itu kepada beliau.
UA Enterprises sebenarnya mahu mementaskan muzikal tersebut sekali lagi supaya mampu membayar balik pinjaman bank. 
“Bank minta tunjuk pelan cadangan untuk pementasan kedua itu. Setelah kami tunjuk cadangan kami, mereka membuat keputusan menarik balik pinjaman RM900 ribu kerana pihak Istana Budaya belum memberi tarikh untuk pementasan,” kata Rahim pula yang ternyata agak emosional mengenangkan segala apa yang berlaku.
Khabarnya Haslina juga mengirim surat kepada Ketua Setiausaha KPKK untuk meminta bantuan. Adakah surat rayuan itu menerima apa-apa balasan atau reaksi? Pasangan suami-isteri itu tidak mahu memberi komen apabila saya ajukan pertanyaan itu.
“Apabila semua jalan buntu, saya menulis kepada Menteri KPKK, Datuk Seri Utama Rais Yatim pada 2 Februari 2012. Saya mendapat jawapan segera! Beliau sangat prihatin tentang nasib karya tersebut dan memberitahu bahawa tindakan selanjutnya akan diambil oleh pihak KPKK,” Haslina memberikan jawapan alternatif.
KPKK khabarnya memanggil beliau untuk bermesyuarat dan Haslina diberi jaminan bahawa MUDD akan dipentaskan semula di Istana Budaya dengan kerjasama KPKK.
Saya masih tidak mampu menarik nafas lega kerana pada realiti, hasil maklumat dari sumber dalaman, belum ada sebarang tarikh ditetapkan oleh Istana Budaya bagi pementasan semula yang dimaksudkan.
Pada masa sama, pihak bank sebenarnya sudah memberi notis 21 hari untuk UA Enterprises menjelaskan hutang RM900 ribu. Hak cipta karya “Muzikal Uda & Dara” yang dicagarkan itu kini berdepan dengan kemungkinan besar diambil alih oleh pihak bank.
Sementara itu, tidaklah menghairankan jika pelbagai pihak (individu, persatuan, agensi) yang kononnya berjuang demi maruah, hak, karya, bahasa, sastera, seni, kaum dan sebagainya, terus berdiam diri dan memberikan alasan “tidak tahu” mengenai perkara ini. Saya teringat akan kata-kata Usman Awang: “Musuh orang-orang Melayu bukanlah orang-orang Cina, dan musuh orang-orang Cina bukanlah orang-orang Melayu, tetapi musuh kita bersama ialah kemiskinan, ketidakadilan ...”
* Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya serta presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

Ahad, 15 Julai 2012

Bangsa Malaysia Yang Layu?


MESKIPUN isu bahasa Melayu sudah lama diperkatakan, namun setakat ini tiada perubahan drastik yang boleh dilihat bagi memartabatkan bahasa rasmi Malaysia di buminya sendiri.

Bahasa Melayu layu di tanah air sendiri. Layu umpama menanti rebah ke bumi. Pengalaman penulis ketika berada di Kuala Lumpur baru-baru ini, menggambarkan bahawa Bahasa Melayu dipinggirkan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Ketika penulis tercari-cari jalan menuju ke sebuah kilang di Petaling Jaya, penulis berhenti sejenak untuk bertanya laluan ke kilang tersebut di salah sebuah kilang automatif. Penulis menemui tiga orang pekerja rakyat Malaysia di kilang tersebut dan bertanyakan soalan dalam bahasa Melayu. Setiap kali penulis bertanya dalam bahasa Melayu, dibalas oleh mereka dalam bahasa Inggeris.

Sebanyak tiga kali penulis bertanya kepada mereka sehinggakan penulis beranggapan betapa rendahnya martabat bahasa Melayu di hati pekerja-pekerja kilang tersebut. Walhal, mereka sememangnya memahami soalan penulis. Jika tidak mana mungkin mereka mampu menjawab dengan baik apa yang ditanya oleh penulis.

Itu kejadian pertama. Kejadian kedua berlaku pada bekas-bekas pelajar penulis. Ramai di antara mereka bercita-cita untuk bekerja di syarikat multinasional antarabangsa. Ada di antara mereka dipanggil temu duga.

Sungguh memeranjatkan, terdapat syarikat minyak antarabangsa yang mengenakan syarat mahir berbahasa Mandarin untuk diambil bekerja. Sudahlah hanya segelintir orang Melayu dipanggil temu duga berbanding bukan Melayu, syarat berbahasa Mandarin pula disebut ketika ditemu duga.

Kalau begitu, lebih baik tidak dipanggil temu duga langsung. Buang masa sahaja! Adakah memanggil orang Melayu untuk ditemu duga hanya untuk memenuhi syarat kononnya tiada berlaku diskriminasi kaum? Syarat sebegini wajib dihapuskan.

Pernahkah kita mendengar syarikat-syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia mengenakan syarat bahasa Jepun untuk mengambil pekerja Malaysia bekerja dengan mereka? Mohon pihak berkuasa dan barisan kabinet buatlah sesuatu agar lebih ramai orang Melayu dan bumiputera bekerja di syarikat-syarikat multinasional tanpa adanya syarat mahir berbahasa Mandarin.

Kalau tidak, orang Melayu dan bumiputera hanya bekerja di jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bagi penulis perkara ini amat memalukan. Kita cuba lihat di negara-negara lain seperti Perancis dan Jepun, hatta jiran kita Indonesia dan Thailand, rata-rata keseluruhan rakyat mereka menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan peribadi dan rasmi.

Penulis ingin memberi dua contoh bagaimana rakyat mereka berbangga dengan bahasa mereka sendiri. Cuba kita bercakap dalam bahasa Inggeris ketika mula-mula menjejaki bumi Perancis. Percayalah, mereka tidak akan layan kita. Mereka akan layan sehinggalah kita bercakap dalam bahasa Melayu atau bahasa selain bahasa Inggeris, barulah mereka mula bercakap dalam bahasa Ingeris. Sebenarnya mereka mengharapkan kita bercakap dalam Bahasa Perancis.

Itu kes pertama, kes kedua berlaku sendiri pada rakan penulis ketika belajar di United Kingdom. Wajah rakan penulis ini ada iras-iras orang Jepun, maka, selalu sahaja berlaku kejadian orang Jepun memarahi beliau.

Puncanya kerana menyangkakan beliau merupakan orang Jepun, maka soalan-soalan yang diajukan kepada beliau dalam bahasa Jepun. Apabila setiap kali beliau menjawab dalam bahasa Inggeris dengan menyatakan bahawa beliau tidak memahami bahasa Jepun, orang Jepun ini memarahinya dalam bahasa Inggeris bahawa beliau sudah lupa daratan kerana tidak mahu bercakap dalam bahasa Jepun!

Perancis dan Jepun adalah dua bangsa yang jauh maju ke hadapan berbanding Malaysia tetapi di hati mereka hanyalah bahasa kebangsaan mereka. Kita pula masih tercari-cari rentak untuk bergelar negara maju, tetapi sudah mula lupa diri.

Apakah akan terjadi pada tahun 2020 nanti? Adakah ketika itu bahasa Melayu hanya sesuai menjadi tatapan generasi 2020 sebagai salah satu lipatan sejarah di Muzium Negara?

Malaysia tidak akan menjadi negara maju dan mapan jika rakyatnya sendiri tidak mempunyai jati diri mempertahankan kekuatan yang ada. Bahasa Melayu adalah salah satu kekuatan yang wajib dipertahankan. Paling penting bahasa Melayu wajib dimartabatkan sehingga seluruh Malaysia menggunakannya tanpa rasa segan dan silu.

Mengambil iktibar seorang profesor rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu, bekerja di luar negara berpuluh-puluh tahun lamanya tetapi masih berbicara dalam bahasa Melayu dengan fasihnya apabila berada di sini.

Kita yang menetap di Malaysia janganlah sesekali merendahkan bahasa kebangsaan kita sendiri. Tiada gunanya bahasa Melayu dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan tetapi pengisiannya tidak langsung menggambarkan ia sebagai bahasa teras rakyat Malaysia.

Pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Sebagai permulaan, penulis mencadangkan agar bahasa Melayu diamalkan dan dimartabatkan dalam segala program transformasi kerajaan (Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi) dan selepas itu diperluaskan dalam segala urusan kehidupan rakyat Malaysia.

Oleh ROHAMI SHAFIE
Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Jumaat, 13 Julai 2012

DBP akan audit penggunaan Bahasa Melayu dikalangan kakitangan kerajaan


KUALA LUMPUR, 13 Julai — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan melancarkan program audit bahasa tahun hadapan untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dikalangan penjawat awam, kata timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Program audit ini adalah inisiatif terbaru DBP dibawah pelan strategik untuk 2011-2015 untuk meningkatkan pengunaan bahasa Melayu dikalangan rakyat tempatan.
Di bawah program audit ini, DBP akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan kementerian untuk memastikan bahasa Kebangsaan digunakan dengan sebaiknya oleh rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian, kata timbalan perdana menteri.
“Program audit ini mensasarkan untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan bahasa Kebangsaan dikalangan pekerja kerajaan,” kata Muhyiddin yang juga menteri pelajaran.
Program ini akan dimulakan dengan jabatan kerajaan dan kementerian seperti kementerian perumahan dan kerajaan tempatan, kementerian pengajian tinggi, kementerian kewangan dan kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.
“DBP akan membantu kementerian perumahan untuk mengaudit papan iklan ditepi jalan untuk memastikan ejaan mengikut standard an menggunakan bahasa Melayu yang betul di semua institusi pengajian tinggi,” kata beliau.
“Saya yakin semua usaha ini boleh dilakukan secara konsisten melalui pengelibatan semua kementerian, agensi kerajaan dan pihak swasta.
“Bahasa Melayu tidak akan dipinggirkan,” tambah beliau.
Muhyiddin mencadangkan DBP menggunakan teknologi seperti telefon pintar dan komputer “tablet” yang kini digunakan secara meluas oleh pelajar dan profesional muda untuk mempromosikan bahan rujukan dalam bahasa Melayu.

TPM Mahu Gelombang Baru Guna BM Diwujudkan



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu supaya satu gelombang baru tentang penggunaan bahasa Melayu dapat diwujudkan dalam tempoh terdekat.
    
Beliau berkata Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), satu-satunya badan yang diberi mandat oleh kerajaan untuk melaksanakan dasar berkaitan bahasa kebangsaan, perlu menjadi badan pemegang amanah atau penjaga perbendaharaan ilmu dan persuratan Melayu di negara ini.
    
Katanya selain perlu berperanan sebagai pusat rujukan sehenti oleh penyelidik dalam dan luar negara tentang ilmu dan persuratan Melayu, DBP juga perlu meningkatkan kerjasama strategik dan sinergi dengan pusat-pusat penyelidikan dan universiti di dalam dan di luar negara.
    
"Usaha-usaha penyelidikan dan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu perlu dilipatgandakan lagi. Penubuhan Pusat Persuratan Melayu Malaysia yang dicadangkan di bangunan lama DBP boleh dijadikan gerak awal untuk memulakan usaha ini," katanya ketika melancarkan Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015 di ibunegara hari ini.
    
Muhyiddin berkata kedudukan dan peranan bahasa Melayu tidak seharusnya terbatas pada peringkat negara semata-mata, sebaliknya perlu diangkat menjadi bahasa serantau dan antarabangsa yang diiktiraf sebagai salah satu bahasa penting di dunia.

Katanya DBP perlu memanfaatkan prasarana dan mekanisme sedia ada terutama yang melibatkan hubungan dan kerjasama antara negara seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dalam usaha untuk
meletakkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia.
    
Katanya pelancaran Pelan Strategik DBP selama lima tahun itu, boleh dijadikan landasan untuk memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu sebagai teras jati diri rakyat dalam persediaan negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. 

Beliau berkata dalam pelan tersebut, satu inisiatif baru yang berimpak tinggi ialah program Audit Bahasa, program yang bukan bertujuan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya langkah kerajaan untuk membantu meningkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam.
    
Audit Bahasa yang akan dimulakan pada tahun hadapan memberikan tumpuan awal terhadap enam sektor di bawah Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang dipengerusikan oleh beliau, iaitu perkhidmatan awam, tempat awam, penyiaran dan komunikasi, kewangan dan perbankan, perdagangan dan pendidikan, katanya.
    
Muhyiddin berkata Audit Bahasa dalam sektor lain akan dilaksanakan dalam fasa kedua program itu.
    
Katanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan audit bahasa terhadap papan iklan luar selain mewujudkan penarafan bintang kepada Pihak Berkuasa Tempatan.
    
"Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan beberapa bahagian terpilih di JPA untuk diaudit bahasa pada Disember ini.
    
"Kementerian Pengajian Tinggi juga telah meletakkan sasaran penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di IPT, manakala Kementerian Kewangan telah mengarahkan bank dan (syarikat) insurans untuk menggunakan bahasa kebangsaan.
    
"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengadakan seminar untuk kumpulan peniaga dan usahawan. Saya yakin, jika usaha sebegini dapat dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh melibatkan semua kementerian dan agensi kerajaan serta sektor swasta, bahasa Melayu tidak akan terpinggir di buminya sendiri," katanya.

- Bernama

Khamis, 12 Julai 2012

SEMUA KAUM PERLU SENTIASA GUNA BAHASA MELAYU


Pendirian tegas kerajaan untuk terus memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara adalah satu jaminan untuk membela, memelihara serta memartabatkan bahasa Melayu, sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan. Dalam mengharungi era globalisasi, bahasa Melayu berdepan pelbagai cabaran bagi menghalangnya menjadi bahasa ilmu.
Pelbagai bentuk pencemaran bahasa akibat ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memburukkan lagi keadaan, sekali gus menuntut usaha bersepadu semua pihak bagi menjadikan bahasa Melayu terus relevan sebagai bahasa ilmu seiring perkembangan semasa.
Walaupun kedudukan bahasa Melayu dijamin Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, usaha memastikan bahasa Melayu digunakan secara ilmiah di samping dapat menggambarkan citra Melayu perlu diperkukuhkan. Toleransi dalam bertutur menggunakan bahasa ibunda mengikut kaum di negara ini memang sudah sebati, namun  alangkah lebih manis jika semua kaum di negara ini menjadikan bahasa Melayu sebagai medium utama dalam berkomunikasi tanpa sebarang prejudis.
Komitmen ditunjukkan kerajaan untuk mempertahan bahasa Melayu tidak sepatutnya dipandang serong atau diiringi dengan perasaan perkauman kerana bahasa lain juga bebas dituturkan di negara ini.  Selepas 57 tahun Malaysia merdeka, rakyat sepatutnya tidak lagi memandang negatif terhadap kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi seperti digunakan secara meluas dalam bidang sains, teknologi dan perundangan termasuk digunakan dalam dokumen perjanjian serta surat-menyurat.
Hakikat sebenar yang mungkin kurang diketahui umum ialah kita sebenarnya mempunyai ribuan istilah dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi di dalam kamus serta glosari yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Panduan penggunaan bahasa kebangsaan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam pekelilingnya adalah antara formaliti yang harus dikekalkan, manakala kelemahan yang masih wujud adalah satu isu yang harus ditangani dengan berkesan.
Namun demikian, mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi akan terkubur sekiranya rakyat sendiri tidak peka ke arah itu. Sekiranya bahasa Melayu tinggi dipraktikkan dengan meluas dalam kalangan rakyat, maka amalan itu akan meningkatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Amalan penggunaan bahasa Melayu rendah, seperti bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) dan bahasa rojak wajar dihindarkan dengan harapan martabat bahasa Melayu terus terpelihara. Sebagai rakyat yang terdedah dengan bahasa Melayu, semua pihak perlu bersikap positif untuk menggunakan bahasa Melayu tinggi dalam semua urusan tanpa mengira status atau keturunan.
Sumber : Berita Harian 30 Jun 2012