Khamis, 14 Februari 2013

Pelancongan Sastera' Perlu Digalakkan

Saya membayangkan sekurang-kurangnya pelancong dalam negeri akan singgah di Banggul Dedab, di daerah Sik, Kedah. Apakah istimewanya kampung itu? Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengabadikan tempat kelahirannya dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan. Ratusan ribu pelajar telah membaca novel itu sebagai buku teks selain ratusan ribu lagi pembaca umum dan peminat sastera. Novel yang ditulis pada tahun 1966 itu mengisahkan kehidupan keluarga Lahuma dan isterinya Jeha serta tujuh orang anak-anak perempuan mereka.
 
Ranjau Sepanjang Jalan merupakan salah sebuah novel yang paling popular yang berlatar belakangkan negara ini. Banyak lagi novel, cerpen, drama dan sajak yang menggunakan pelbagai bandar dan desa di negara ini sebagai latar belakangnya. Karya-karya ini mencerminkan kehidupan setempat dengan nilai dan keunikannya. Novel-novel awal dalam Bahasa Melayu seperti Iakah Salmah (Ahmad Rashid Talu) dan Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (Ahmad Kotot) jelas menggambarkan masyarakat Melayu abad ke-20.
 
Entah ribuan lagi novel, cerpen, drama dan sajak nukilan Usman Awang, A. Samad Said, Latiff Mohidin, T. Alias Taib, Kemala, Muhammad Haji Salleh, Baharuddin Zainal, Suhami Haji Muhammad, Adibah Amin, Azizi Haji Abdullah, Ismail Abas, Kalam Hamidi, Bidin Subari, Hatta Azad Khan, Dinsman, Zaen Kasturi, Faisal Tehrani yang mempunyai latar cerita dan sejarah di belakangnya. Di manakah karya-karya ini terhasil, siapakah di belakang mereka dan apakah inspirasi di sebaliknya?
 
Istilah literary tours atau pelancongan sastera merupakan industri besar di banyak negara. United Kingdom (UK) memanfaatkan sepenuhnya pelancongan cara ini. Menggunakan kemasyhuran karyawan mereka daripada Shakespeare hingga J.K. Rowling (novelis siri Harry Potter), tempat-tempat di mana lahirnya karya tersebut atau tempat bersejarah yang membabitkan karyawan itu sendiri telah dipopularkan. Stratford-upon-Avon, tempat lahir, kematian dan bermulanya karier Shakespeare kini menarik jutaan pelancong. Bandar kecil itu mendapat manfaat daripada kunjungan ini. Pelancongan Shakespeare dipercayai merupakan industri beratus juta ringgit setahun.

Banyak lagi penulis Inggeris yang dijadikan bahan untuk menarik pelancong. Tempat-tempat yang ada kaitannya dengan novelis Jane Austen (karyanya antara lain Pride and Prejudice, Emma dan Persuasion) kini amat dikenal. Demikian juga tempat-tempat yang membabitkan karyawan Charles Dickens, D.H. Lawrence, Thomas Hardy, Agatha Christie, George Orwell, Lord Byron dan ramai lagi.

Filem The French Lieutenants Women arahan Karel Reisz muncul pada tahun 1981, berdasarkan novel John Fowles. Filem ini menggunakan sebuah bandar pelabuhan kecil yang indah bernama Lyme Regis di Dorset, England. Hari ini tempat tersorok yang mempunyai kira-kira 4,000 penduduk ini menjadikan salah satu tarikan pelancongan. Keindahan Lyme Regis telah menjadi inspirasi dan latar belakang oleh karyawan lain seperti Jane Austin, Thomas Hardy dan ramai lagi.
Kita seharusnya menggalakkan industri pelancongan domestik yang berlatar belakangkan sastera. Sekurang-kurangnya ia memberikan pemahaman tentang dunia kreatif tanah air. Sastera adalah cerminan sebenar masyarakat. Ia juga merakamkan nilai dan pandangan dunia manusia yang tercatat di dalamnya. Tidak ada bahan yang lebih tepat menggambarkan psyche dan budaya masyarakat selain karya kreatif yang terhasil.Pelancongan sastera sama sekali belum berkembang di Asia Tenggara. Sayang sekali, kerana wilayah ini mempunyai demikian banyak karyawan terkenal yang telah mencorakkan landskap seni, budaya dan sastera. Novel Di Bawah Lindungan Kabah karya Hamka terkenal sejak sekian lama. Kisah cinta yang malang itu baru sahaja difilemkan oleh Hanny R. Saputra. Demikian juga novel-novel Indonesia lain yang terkenal seperti Salah Asuhan (Marah Rusli), Layar Terkembang (Sutan Takdir Alisjahbana), Keluarga Gerilya dan Nyanyi Sunyi Seorang Bisu (kedua-duanya karya Pramoedya Ananta Toer) yang mempunyai sejarah unik penulisannya. Banyak penyair terbilang Indonesia dari Amir Hamzah, W.S. Rendra hingga Goenawan Mohamad yang karya mereka lahir dalam suasana yang unik. Singapura tempat lahirnya novel A. Samad Said yang awal seperti Salina dan Sungai Mengalir Lesu, juga novel-novel A. Samad Ismail dan banyak cerpen-cerpennya.
Rantau ini juga dijadikan bahan latar belakang banyak penulis novel Barat seperti Joseph Conrad, Anthony Burgess dan W. Somerset Maugham. Salah sebuah novel Conrad kini diadaptasikan oleh Uwei Haji Shaari sebagai Hanyut. Wacana kolonialis (colonialist discourse) merupakan satu cabang ilmu yang mengkaji perspektif penulis orientalis mengenai orang tempatan.

Banggul Dedab tentulah sudah jauh berbeza daripada desa yang dijadikan latar belakang novel Shahnon pada tahun 50-an itu. Besar kemungkinan kemiskinan tegar yang dihadapi oleh keluarga Lahuma sudah tidak wujud lagi di situ. Sik sebagai daerah sudah membangun. Tetapi Banggul Dedap dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan tetap merupakan sejarah bermakna sebuah kehidupan pada era pembangunan sebuah negara bangsa yang baru merdeka. Itu sahaja menjadi alasan yang baik untuk mengenal Banggul Dedab dari dekat.
Oleh Datuk Johan Jaaffar (Berita Harian 10/1/2013)

Yang indah, yang santun itu bahasa

Saya menamakannya 'Sindrom Cengkareng'. Cengkareng merupakan bandara (Bahasa Indonesia bermaksud bandaraya udara) antarabangsa bagi kota Jakarta atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta. Rakyat Malaysia tiba-tiba bertutur dalam ‘longhat Indonesia’ apabila menjejakkan kaki di sana.

Sindrom Cengkareng ini menjadi modal ceramah saya apabila bercakap tentang kedudukan Bahasa Melayu di negara ini. Tanpa kita sedari kita bercakap dalam bahasa formal dengan rakyat Indonesia, tanpa mengira kedudukan mereka, tetapi sesama kita, kita bercakap dalam laras bahasa pasar? Itu belum lagi penggunaan loghat, pengaruh kolokial atau gaya setempat yang menguasai pertuturan kita. Apakah secara tidak sedar kita mengakui bahawa Bahasa Indonesia perlu dituturkan secara lebih formal tetapi Bahasa Melayu tidak perlu? Apakah secara tidak sedar juga kita mengakui bahawa Bahasa Indonesia lebih tinggi darjatnya daripada bahasa kita?
 
Saya selalu menghujahkan bahawa pelakon terkenal seperti Brad Pitt, Ryan Gosling, Danzel Washington, Angelina Jolie dan Megan Fox tidak akan bercakap dalam Bahasa Inggeris yang buruk dalam filem-filem mereka. Mereka tidak melanggar tatabahasa asas dalam bahasa itu. Shah Rukh Khan, Aamir Khan, Hrithik Roshan dan John Abraham menggunakan Bahasa Hindi yang relatif baik. Sinetron dari Indonesia memanfaatkan bahasa yang berkualiti tinggi apabila diucapkan oleh para pelakonnya. Filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Sang Pencerah dan Lashkar Pelangi menonjolkan penggunaan bahasa yang baik dan bermutu.
 
Filem-filem Melayu pada zaman gemilangnya adalah contoh terbaik penggunaan Bahasa Melayu. Filem-filem seperti Hang Tuah, Penarik Beca, Sri Mersing dan Hang Jebat mengetengahkan penggunaan bahasa yang baik. Malah pengarah filem Hang Tuah (Phani Majumdar) tidak boleh berbahasa Melayu tetapi menggunakan pakar bahasa untuk mendapatkan dialog yang baik untuk pelakon-pelakonnya, P Ramlee, Ahmad Mahmud dan Saadiah.
 
Banyak orang menghujahkan bahawa bahasa dalam filem seharus menggambarkan realiti sebenar di luar sana. Saya mohon untuk tidak bersetuju. Realiti dalam filem tidak sama dengan realiti sebenar. Realiti dalam cereka merupakan sajian semula. Seperti novel yang baik mengangkat bahasa dalam penceritaan dan dialog pada tahap yang lebih tinggi daripada realiti, begitu juga filem.
Saya tidak boleh membayangkan Brad Pitt atau Shah Rukh Khan melanggar tatabahasa Bahasa Inggeris atau Hindi seperti juga saya tidak akan percaya para pelakon filem Garin Nugroho yang terbaru, Soegija akan melanggar tatabahasa Bahasa Indonesia. Di Malaysia, semakin buruk bahasa digunakan, ‘semakin real’ dan semakin baik.
Saya juga mengesan terlalu banyak kesilapan bahasa dalam media massa hari ini. Saya tidak tahu bagaimanakah para pelajar kita yang belajar Bahasa Malaysia sejak Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima (11 tahun) tidak boleh membezakan di antara ‘ialah’ dan ‘adalah’, ‘dari’ dan ‘daripada’ atau ‘antara’ dan ‘di antara.’
Saya lebih tidak faham bagaimanakah pengguna Bahasa Melayu tidak boleh membezakan dalam konteks mana sendi nama ‘di’ perlu dirapatkan atau dijarakkan. Lebih malang lagi, bagaimanakah masih terdapat kesalahan menggunakan kata ganti diri ketiga bagi bilangan yang banyak ‘mereka’ hingga menjadi ‘mereka-mereka?’ Bagaimanakah kata sendi nama ‘oleh’ pupus daripada ayat Bahasa Melayu akhir-akhir ini? ‘Rumah itu dibina Awang’ sebenarnya janggal tanpa ‘oleh.’ Sepatutnya ‘majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri’, dan bukan ‘dirasmikan Perdana Menteri.’ Memang ada keadaannya ‘oleh’ boleh ditiadakan, misalnya ‘penoreh getah itu dipatuk ular,’ tetapi lazimnya ‘oleh’ memberikan ayat yang lebih santun dan baik.
 
Saya juga pernah menegur penggunaan kata-kata yang membawa pengertian khusus dalam agama Islam. Seperti juga kalimah ‘Allah’ tidak wajar digunakan dalam Kitab Bible, ada perkataan yang maknanya khusus dan dianggap kudus. ‘Hijrah’ memang bermaksud ‘berpindah’ tetapi maknanya mengkhusus kepada kebaikan mengambil semangat Hijrah Rasullulah. Maka itu, kita tidak boleh menggunakan ‘pelacur berhijrah dari Ipoh ke Kuala Lumpur’ atau ‘panda dari Beijing berhijrah ke Kuala Lumpur.’ Konotasi agamanya harus kita fahami.

Banyak lagi kelemahan dan kesilapan yang berleluasa dalam Bahasa Melayu hari ini. Maka itu saya mengalu-alukan penerbitan buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media Massa. Buku ini diterbitkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Buku kecil ini besar maknanya bagi memperbaiki kelemahan penggunaan bahasa. Anggaplah buku ini usaha awal dalam mengenal pasti kelemahan itu. Buku ini sudah pasti akan diperbaiki berdasarkan maklum balas pengguna bahasa dalam media massa.
 
Saya melihat buku ini mengambil semangat Tatabahasa Dewan dan beberapa siri panduan bahasa yang pernah diterbitkan oleh DBP sebelum ini. Saya bersetuju dengan Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan bahawa dengan terbitnya panduan ini usaha untuk memungkinkan penggunaan bahasa yang lebih baik akan terlaksana.

Kita berharap rakyat kita lebih peka pada keperluan menggunakan bahasa yang baik dan betul. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa kebangsaan merupakan bahasa rasmi negara. Media harus menunjukkan contoh yang baik.
Oleh Datuk Johan Jaaffar (Berita harian 7/2/2013)

Selasa, 1 Januari 2013

Biar Sasterawan Mewarnai 2013

Tahun baru 2013 menjelang tiba. Setiap individu dan perancang pelbagai sektor kehidupan seperti sektor pendidikan, perumahan, ekonomi, sosial, politik dan sebagainya melakar cita-cita yang tersendiri. Ada cita-cita atau azam yang dibawa semula dari tahun lalu. Ada pula cita-cita atau azam yang benar-benar baharu.
 
Dunia sastera tanah air juga wajar melakar harapan tahun baru, agar mencapai prestasi lebih baik daripada tahun sebelumnya. Program atau aktiviti yang baik wajar diteruskan dan dipertingkatkan mutunya. Sementara program atau aktiviti yang baik tetapi tenggelam timbul (terutama kegiatan bahasa dan sastera peringkat antarabangsa) wajar dihidupkan semula dan dilaksanakan secara konsisten.
 
Program sastera kita tidak mungkin hanya berlegar dalam arena dan kepentingan domestik semata-mata. Negara lain secara agresif menonjolkan sastera mereka pada peringkat antarabangsa, sama ada melalui karya terjemahan, memperkenalkan penulis mereka, seminar, pameran buku, atau melalui filem serta drama yang diangkat daripada karya sastera. Untuk tujuan ini mereka menjalin kerjasama pintar dengan pusat pengajian, penerbit dan sarjana antarabangsa.
 
Dalam konteks pengembangan sastera kebangsaan ke peringkat antarabangsa, pada hemat saya banyak penulis nasional kita bersetuju bahawa Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) adalah institusi yang dipercayai untuk memikul tanggungjawab ini.
 
ITBM menerbitkan puluhan judul buku sastera kita dalam bahasa asing (termasuk Inggeris, Perancis, Sepanyol, Mandarin) dan puluhan judul lagi sedang dalam proses penerbitannya. ITBM juga aktif menyertai pameran buku peringkat antarabangsa, mengatur aktiviti di luar negara, serta menjalin kerjasama pintar dengan penerbit, universiti dan sarjana bahasa dan sastera Melayu di luar negara.
Kita berharap usaha ITBM akan membuka mata dunia bagi membolehkan pengarang kita mendapat pengiktirafan antarabangsa yang lebih besar pada peringkat Asia Pasifik, Asia dan dunia. Pengiktirafan diberikan kerana kualiti seni serta nilai manusiawinya yang tinggi dalam karya kesusasteraan kita (lebih-lebih lagi yang secara seni menonjolkan kehebatan nilai Islami) bukan kerana unsur erotik atau sensasinya.
 
Sungguhpun sesetengah orang mungkin meremehkan pengiktirafan antarabangsa atas sebab-sebab tertentu, tetapi pengiktirafan terbabit adalah perlu jika kita ingin memasuki medan sastera antarabangsa dan bersaing melalui kekuatan seni, gaya dan pemikiran sastera. Dalam hubungan ini kita bayangkan anugerah yang lebih besar daripada Hadiah Sastera Mastera, SEA Write Award atau Anugerah Sastera Mastera. Untuk itu kita juga memerlukan pengkritik-pengkritik sastera yang berwibawa pada peringkat nasional dan antarabangsa.
2013 juga adalah tahun Pilihan Raya Umum Ke-13. Walau apa pun hasil pilihan raya umum nanti, kita berharap dasar sastera kebangsaan yang mendaulatkan pengucapan kreatif dalam bahasa Melayu dipertahankan. Ini sesuai dengan semangat Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dan pelbagai semangat akta serta penyata pendidikan kebangsaan kita.
Sehubungan itu, kita ingin terus menyaksikan pengarang terbaik yang menulis dalam bahasa kebangsaan kita menerima Anugerah Sastera Negara (yang ke-12 nanti mungkinkah seorang pengarang wanita?), Hadiah Sastera Perdana serta pelbagai hadiah lain anjuran kerajaan atau pihak swasta.
 
Kita memerlukan generasi baru penulis kreatif yang menulis dalam bahasa kebangsaan. Mereka inilah yang akan menyambung tradisi penulisan karya kreatif dalam pelbagai genre. Akan tetapi situasi pendidikan sastera tulen di sekolah-sekolah kita agak mengecewakan. Anehnya mutakhir ini bakat baru yang muncul kebanyakannya dari aliran sains!
 
Barangkali kita wajar melonggarkan nisbah serta dikotomi 60:40 antara pendidikan sains/teknikal dengan sastera. Bagaimana jika subjek sastera dibuka kepada pelajar sains/teknikal yang berminat dalam subjek sastera? Bakat alam saja tidak mencukupi kerana dunia sastera turut memerlukan bakat yang pintar dan yang berfikir.
Akhir sekali kita harus terus memberi sokongan kepada pementasan drama anak muda kita. Genre ini menghimpunkan kemahiran menulis skrip, pengarahan, lakonan, pencahayaan serta pelbagai aspek produksi pementasan. Di Kuala Lumpur, Setor Teater DBP dan Black Box ASWARA amat terkenal dalam kalangan penggiat muda teater.
 
Bagaimana jika pihak kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan dana pementasan khusus yang agak besar kepada anak muda ini? Dengan adanya dana khas, mereka dapat mengatur pementasan yang lebih kerap dan konsisten. Pementasan mereka tidak saja merancakkan semula kehidupan teater, tetapi turut menghidupkan jiwa kota dan warganya yang sentiasa berhempas pulas mencari rezeki serta dihambat kesibukan.
Oleh: Sasterawan Negara Dr. Anwar Ridhwan (Berita Harian 1/1/2013)

Rabu, 19 Disember 2012

MALAM PENGUCAPAN PUISI KEMANAN SEJAGAT



ATUR CARA
MALAM PENGUCAPAN PUISI KEMANAN SEJAGAT
21 DISEMBER 2012, SANGGAR SENI SATOK, 8.00 MALAM

         8.00   -        ketibaan tetamu, karyawan dan penyair
         8.15   -        bacaan doa
         8.30   -        ucapan aluan pengerusi penulis
         8.40   -        ucapan pencerahan Tuan Rumah Sanggar Seni Satok
         8.50   -        Tayangan Video Gaza
-        Tazkirah Keamanan Buat Diriku yang Lupa
         9.10   -        Baca Puisi Keamanan 1      -       
                            Baca Puisi Keamanan 2      -
                            Lagu Puisi Keamanan 1     -
                            Baca Puisi Keamanan 3      -
                            Baca Puisi Keamanan 4      -
                            Lagu Puisi Keamanan 2     -
                            Monolog 1                       -
                            Baca Puisi Keamanan 5      -
                            Baca Puisi Keamanan 6      -
                            Lagu Puisi Keamanan 3     -
                            Baca Puisi Keamanan 6      -
                            Baca Puisi Keamanan 7      -
                            Baca Puisi Keamanan 8      -
                            Tazkirah
                            Jamuan ringan / Jamuan Buah-buahan Tempatan

Rabu, 5 Disember 2012

Malam Bicara Puisi 'Keamanan Sejagat' 21 Disember 2012


Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS), mempelawa anak-anak seni, kumpulan lagu puisi sekolah, remaja dan belia, untuk turut serta bersama-sama kami dalam memeriahkan lagi Malam Bicara Puisi yang bertemakan 'Keamanan Sejagat' pada 21 Disember 2012, bertempat di Sanggar Seni Satok, jam 8.30 malam.

Orang perseorangan dan kumpulan yang berminat untuk menyertai, sila sms kepada kami ke nombor telefon 012-2520624, dengan memberikan nama penuh, e-mel dan bentuk persembahan.

Kami juga mempelawa para penyair dan karyawan untuk hadir sambil menjual barangan seni yang mereka hasilkan seperti buku, lukisan dan sebagainya untuk dijual pada malam tersebut.

Pihak kami akan menyediakan kemudahan yang diperlukan seperti alat siar raya, dan jamuan ringan.

Individu dan orang perseorangan yang berminat diminta agar bertindak awal bagi memudahkan kami untuk menyusun program pada malam tersebut. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Saudara Mus Lagimu di talian +6011-12626007 atau Saudara Zaidel Jamil di talian +6012-8888759.