Sabtu, 2 Jun 2012

Kenyataan Rasmi PENULIS


KENYATAAN RASMI
PERSATUAN PENULIS SARAWAK (PENULIS)

Sejak muka buku (facebook) PENULIS diluncurkan pada akhir April 2012, kami menerima banyak pertanyaan, berhubung status, objektif penubuhannya, adakah akan bertindih dengan persatuan karyawan lain yang sudah wujud di Kuching, dan Sarawak amnya. Tidak kurang juga, kami menerima sindiran sinis, wasangka, daripada warga muka buku yang mempertikaikan kewujudan PENULIS. Kami melihat ini sebagai reaksi yang positif, dan bererti kehadiran PENULIS menarik perhatian pelbagai pihak. Bagi menjelaskan persoalan yang pelbagai dan kekeliruan, kami rungkaikan di sini jawapan kepada persoalan yang telah dirangkumkan.
  • PENULIS ditubuhkan oleh sekumpulan penulis, yang mahu ada wadahnya yang tersendiri, untuk menghimpun dan melestarikan penulisan bersifat isu semasa, ilmiah dan kemasyarakatan.
  • PENULIS diwujudkan bukan untuk bersaing dengan persatuan lain, atau tanda protes seperti mana yang dicurigai dalam wajah muka buku.
  • Dari segi aktiviti dan keahliannya, PENULIS tidak akan bersaing dengan persatuan yang telah sedia ada memberikan penekanan berhubung kesusasteraan seperti Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), dan Persatuan Karyawan Limbang (PENGKARYA). PENULIS akan bekerjasama, malah akan membantu persatuan sedia ada untuk menganjurkan apa-apa kegiatan seumpamanya, untuk kebaikan ahli PENULIS dan masyarakat keseluruhannya.
  • PENULIS akan menumpukan kepada program berkaitan kebahasaan, isu semasa dan kemasyarakatan.  
  • Keahlian PENULIS terbuka kepada individu yang bermastautin di Sarawak. Namun, keahlian akan dihadkan kepada ahli-ahli yang dilantik, untuk tujuan membantu melaksanakan sesuatu projek, dan keutamaan keahlian adalah kepada wartawan media masa cetak dan elektronik berbahasa Melayu, dan pihak berkuasa keselamatan (PDRM, ATM, JPA, RELA, dsb) yang terdapat di seluruh Sarawak.
  • PENULIS akan bekerjasama dengan persatuan lain yang terdapat di setiap bahagian bagi menganjurkan pelbagai program yang berunsurkan maklumat dan berpengetahuan.
  • PENULIS menyambut reaksi positif berhubung maklum balas awal daripada pengguna muka buku berhubung kewujudan PENULIS.
  • PENULIS mengalu-alukan sebarang cadangan dan komen daripada pengguna wajah buku, dan silalah hantar ke e-mel: penulissarawak@gmail.com
Sekian, terima kasih.
PERSATUAN PENULIS SARAWAK (PENULIS)

Dipersetujui pada             : 31 Mei 2012 (Bil. Mesy. Khas 1/2012)
Dikeluarkan pada             : Jumaat, 1 Jun 2012, jam 10.20 pagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan