Ahad, 17 Jun 2012

Mudahkan, Jangan Susahkan...


Judul: Mudahkan Jangan Susahkan
Pengarang: Syed Alwi Alatas
Tahun: 2012
Penerbit: Telaga Biru

Pengarang yang pernah muncul dengan bestseller Bila Allah Menduga Kita, sekali lagi muncul dengan buku yang membawa motivasi menyegarkan – dibumbui kisah dan anekdot yang mampu menyuluh pemikiran dan melembutkan hati.
Buku ini menggamit pembaca untuk merenung semula segi-segi yang adakalanya kita terlepas pandang ketika mencari dan mengimpi kemudahan dalam segenap rentetan hidup. Ini kerana naluri manusia sememangnya mencintai kemudahan dan benci kepada kesusahan.
Bab pertama buku ini berjudul Manusia dan Kesusahan Hidup, membawa pembaca merenung mengenai hakikat kesusahan, sesuatu yang perlu kita tempuh sebagai manusia. Hanya dengan kesusahan maka hidup ini mempunyai makna, dan kesusahan itu juga menjadi daya gerak ke hadapan. Kesusahan jika dilihat dari persepsi berbeza, mampu memberi impak yang berbeza dalam kehidupan seharian. Jadi ia berbalik kepada cara kita memandang sesuatu.
Dalam bab kedua Tuhan Tidak Ingin Menyusahkan Kita, pengarang menambah nilai agama terhadap makna kemudahan dan kesusahan, menjelaskan lagi bagaimana seorang Muslim patut menimbang kedua-duanya. Antara yang menarik adalah kisah Nasruddin Hoja yang mencari barang yang hilang di tempat yang tidak sepatutnya, menjadi sindiran tajam dalam konteks mencari kemudahan biar bertempat.
Bab ketiga Jangan Semua Dipandang Mudah memperteguh lagi isi dalam bab kedua, yang bercerita mengenai kepentingan tidak memandang mudah semua perkara. Ini adalah antara bab yang paling saya suka, kerana aspek inilah yang paling sering terlupakan ketika naluri kita mendamba kemudahan. Adakalanya dosa itu tampak mudah di dunia, tetapi di akhirat menjadikan kita sangat susah.
Selain itu, bab keempat juga memberi sudut pandang yang bernas, mengenai Susah di Dalam Susah di Luar. Di situ ada beza yang nyata, antara kesusahan yang sudah menjadi raja di hati, dengan kesusahan yang kita tangani secara hikmah. Banyak kisah pembuka minda yang boleh direnungkan seperti cerita Cak To, tiga pengembara dan Syaqiq al-Balkhi dengan Ibrahim Adham.
Namun, apabila tangan kesusahan mencengkam kita dengan kuat, pesan pengarang adalah Hadapilah Kesusahan Itu (Bab 5), dengan mencipta kemudahan, berdoa, bertawakal, memanfaatkan imaginasi, serta kekal positif secara praktis dan teori. Cerita Abdul Ghafoor dan Soros memberi gambaran lebih jelas bagaimana orang-orang yang hebat menghadapi kesusahan.
Sudah tentu dalam memperkata kesusahan tidak lengkap jika kisah dakwah Rasulullah s.a.w. yang penuh ujian dan tribulasi tidak dijengah. Dalam bab enam Belajar Daripada Sejarah, kisah-kisah dakwah diperturun semula dalam bahasa mudah dan dari sudut pandang yang menyegarkan. Antara yang mengesankan adalah bagaimana menguasai perasaan di kala kesusahan itu mampu menghalang musibah yang lebih besar yang mungkin terjadi, dan di sini kisah ketewasan Muslimin dalam perang Uhud benar-benar menyentuh. Manakala kisah perang Khandaq menuntut bakaran semangat pada saat-saat paling genting. Sejarah Rasulullah sentiasa mengajar supaya meletakkan Allah dan Rasulullah sebagai penawar segala musibah, menjadikan kedua-duanya pengubat hati orang-orang Mukmin. Kisah Qadi al-Fadhil juga sangat menginsafkan, dengan kecacatannya mampu mengubah rentetan sejarah, dan Salahudin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih sendiri tidak melalui jalan yang mudah dalam menjadi pahlawan ulung Islam. Begitu pula Malcolm X, mengambil contoh dari zaman kini.
Seterusnya bab tujuh Apakah Ini Menyusahkan? menyenaraikan prinsip-prinsip yang harus dipegang bagi sesiapa yang ingin mencari kemudahan hakiki dalam hidup. Mungkin sesetengah prinsip ini susah dilaksanakan, tetapi sebenarnya wajib dimiliki oleh setiap orang. Teristimewa adalah sikap jujur dan mencari yang halal, yang dalam zaman kini sering dianggap suatu kebodohan jika pada permukaannya terlihat merugikan. Padahal di sebaliknya ada kesenangan yang terbentang, penuh keberkatan.
Setelah melalui pelbagai kesusahan dan kesulitan, Kemudahan Akan Menemui Jalannya (Bab 8), dan inilah yang diyakini oleh pengarang serta dimantapkan dalam bab ini. Manis sekali apabila pengarang menyimpulkan bahawa apa yang dipilih Allah untuk seseorang, adalah lebih baik daripada pilihannya sendiri. Meskipun ada pengulangan yang telah disentuh bab-bab di atas tetapi kisah-kisah yang dihidangkan adalah penguat kepada kenyataan-kenyataan terdahulu, menyokong judul yang dibawakan pengarang.
Bab 9, Agar Menjadi Mudah menghidangkan lebih banyak tips dan formula, bagaimana mencapai kemudahan dalam setiap perkara yang diusahakan. Niat yang baik, kemahuan yang kuat, persediaan rapi, usaha yang keras dan sikap hati-hati dapat membantu dalam banyak hal untuk menghindari dan melepasi setiap kesusahan yang bakal datang.
Bab akhir sekali, Mudahkan Diri Mudahkan Orang Lain, mengajak pembaca untuk turut menciptakan kemudahan untuk orang lain, bukan hanya diri sendiri. Secara tidak langsung, kemudahan yang dicipta untuk orang lain itu, nescaya akan membawa kemudahan berganda pula kepada yang mencipta kemudahan itu.
Buku ini sendiri secara keseluruhannya adalah buku yang mudah dihadam, kerana cara penyampaiannya yang bersahaja dan tidak berat, sesuai dengan judul dan konsepnya untuk memotivasikan secara berhikmah. Buku ini sesuai terutama kepada para pelajar yang sedang mendaki tangga pengajian ke peringkat lebih tinggi dan sedang memasuki dunia kerjaya, selain secara umumnya untuk sesiapa sahaja yang mencari kemudahan hidup, tetapi belum berasa puas, atau yang bergelumang dengan kesusahan, dan berasa sangat resah. Mungkin buku ini akan dapat membuka beberapa aspek sudut pandang dan memberi makna baru kepada susah senang kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan