Oleh: Uthaya Sankar
16 JULAI —
Sasterawan Negara Datuk Usman Awang meninggal dunia pada 29 November 2001.
Hampir sebelas tahun kemudian, apakah segala sumbangan bakti Allahyarham dalam
bidang bahasa, sastera, seni dan budaya Malaysia masih dikenang?
Demikian persoalan yang timbul dalam
minda saya pada 11 Julai 2012 apabila berpeluang bertemu dan berbual panjang
bersama-sama Haslina Usman (anak sulung Allahyarham) dan suaminya, Abdul Rahim
Affandi.
Usman Awang yang antara lain
menggunakan nama pena Tongkat Warrant, Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis,
Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A. dan Zaini dilahirkan pada 12 Julai
1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor.
Usman
diangkat sebagai Sasterawan Negara pada 1983.
Bagaimanapun,
pada tahun ini, tiada apa-apa majlis untuk mengenang tarikh lahir beliau
memandangkan pelbagai masalah besar menyelubungi UA Enterprises Sdn Bhd selaku
pemegang amanah dan hak cipta karya-karya Usman Awang.
Hasil penelitian saya, masalah itu
muncul susulan pementasan “Muzikal Uda & Dara” (MUDD) di Istana Budaya pada
Julai 2010. Selepas dua tahun, khabarnya UA Enterprises berdepan kemungkinan
diisytiharkan bankrap dan hak cipta muzikal berkenaan pula diambil pihak bank.
Saya dimaklumkan bahawa UA
Enterprises dipelawa mementaskan “Muzikal Uda & Dara” untuk mengisi “Slot
Sasterawan Negara” yang diwujudkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan (KPKK).
“Kami hanya setuju mementaskan apabila
ada pihak yang bersetuju menjadi penaja utama. Persetujuan itu dibuat secara
lisan. Kerana percaya akan penajaan ini, kami teruskan kerja-kerja produksi
untuk mementaskan MUDD.
“Malangnya, penaja tidak meneruskan
hajat itu beberapa bulan sebelum tarikh pementasan. Sewaktu itu, kami telah
menggadaikan rumah, mula bayar produksi dan separuh jalan dalam produksi. Maka,
pementasan terpaksa diteruskan,” kata Haslina yang merupakan Pengarah Eksekutif
UA Enterprises.
Saya sedia maklum bahawa beliau
memohon Pinjaman Dana Industri Kreatif iaitu satu gabungan pinjaman antara KPKK
dan sebuah bank ke arah membantu produksi seni persembahan dan pelbagai
kesenian. Syaratnya melalui dua proses kelulusan iaitu kelulusan KPKK dan
kelulusan bank berkenaan.
Antologi
‘Keranda 152’ (1968) diterbitkan semula pada 2002.
“Kami
mendapat kelulusan pinjaman RM1.5 juta, iaitu bajet minimum; cukup-cukup sahaja
untuk mementaskan MUDD. Jumlahnya besar kerana kebanyakan kemudahan di Istana
Budaya telah rosak dan kami terpaksa menyewa berbagai peralatan yang memang
mahal dari luar untuk pementasan tersebut,” kata Rahim yang menganggur
sejak seminggu lalu.
Rahim sebelum ini bekerja secara
kontrak di sebuah stesen televisyen dengan gaji sekitar RM1,000 sebulan,
manakala Haslina membuat kek untuk menyara keluarga. Anak-anak mereka pula
terpaksa berhenti belajar dan bekerja akibat kesempitan kewangan yang sedang
dialami.
Amat sukar untuk saya membayangkan
bahawa waris yang sedang berusaha bersungguh-sungguh memelihara pusaka peninggalan
seorang Sasterawan Negara berhadapan segala masalah seperti ini! Namun, berat
mata memandang, pasti berat lagi bahu yang memikul.
Saya ada menulis mengenai legasi
karya Usman Awang di akhbar Sinar Harian pada 29 Jun 2009. Saya turut
menyampaikan kertas kerja bertajuk “Antara KeMelayuan dan Kemanusiaan Sejagat:
Sorotan Karya Usman Awang” sempena Simposium Lim Lian Geok dan Usman Awang:
Nasionalis Malaysia yang Tulen anjuran LLG Cultural Development Centre pada 19
Jun 2010 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.
Usman Awang mula berkhidmat sebagai
sidang pengarang majalah Dewan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada
1962 sebelum dilantik menjadi pengarang majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera
dan Dewan Budaya.
Hak cipta
karya dipegang oleh UA Enterprises.
Harus
dinyatakan juga bahawa Allahyarham adalah individu pertama yang menerajui
kepimpinan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) iaitu pada 1962-65. Saya
tidak pasti jika mana-mana persatuan penulis masih mengadakan majlis bagi
mengenang tarikh kelahiran/pemergian Usman Awang.
“Pada tahun 1991-2001, ayah dilantik
sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan; suatu pelantikan yang disifatkan oleh arwah
sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses
pembentukan Bangsa Malaysia,” Haslina pernah menceritakan kepada saya sambil
menambah bahawa Usman Awang juga dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank
dari 1991 hingga 2001.
Pada tahun 1991, Usman Awang
dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak, yang membawa
gelaran Datuk.
Terdahulu, pada 29 Mei 1976, Usman
Awang dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera”; SEA Write Award pada tahun 1982;
Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya pada 11 Ogos 1983;
Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran “Sasterawan Negara” pada tahun
1983; dan “Zamalah Sastera” daripada akhbar Berita Harian pada tahun 1985.
Usman Awang juga terlibat dalam
penerbitan antologi sajak “Keranda 152” (1968) yang merakamkan penentangan kaum
Melayu terhadap Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Antologi berkenaan diterbitkan
semula (“cetakan kedua”) pada 2002 sebagai merakamkan penentangan kaum Melayu
terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI).
Namun, apalah gunanya segala
sumbangan Usman Awang terhadap bahasa pada saat kita dikejutkan dengan berita
bahawa UA Enterprises mungkin terpaksa “dibungkus” dan hak cipta “Muzikal Uda
& Dara” bakal tergadai!
‘Muzikal Uda
& Dara’ dipentaskan pada Julai 2010 di Istana Budaya.
Hasil risikan,
saya mendapat maklumat bahawa walaupun pinjaman bank yang diluluskan adalah
RM1.5 juta, namun pada 20 Julai 2010 — tarikh akhir pementasan MUDD di Istana
Budaya — bank terbabit hanya memberi RM900 ribu.
“Bayangkan, betapa peritnya kami
terpaksa meminjam sana sini untuk menampung kos produksi dan membayar segala
macam kos,” kata Haslina sambil menahan air mata apabila saya ajukan soalan
berkaitan perkara itu kepada beliau.
UA Enterprises sebenarnya mahu
mementaskan muzikal tersebut sekali lagi supaya mampu membayar balik pinjaman
bank.
“Bank minta tunjuk pelan cadangan
untuk pementasan kedua itu. Setelah kami tunjuk cadangan kami, mereka membuat
keputusan menarik balik pinjaman RM900 ribu kerana pihak Istana Budaya belum
memberi tarikh untuk pementasan,” kata Rahim pula yang ternyata agak emosional
mengenangkan segala apa yang berlaku.
Khabarnya Haslina juga mengirim
surat kepada Ketua Setiausaha KPKK untuk meminta bantuan. Adakah surat rayuan
itu menerima apa-apa balasan atau reaksi? Pasangan suami-isteri itu tidak mahu
memberi komen apabila saya ajukan pertanyaan itu.
“Apabila semua jalan buntu, saya
menulis kepada Menteri KPKK, Datuk Seri Utama Rais Yatim pada 2 Februari 2012.
Saya mendapat jawapan segera! Beliau sangat prihatin tentang nasib karya tersebut
dan memberitahu bahawa tindakan selanjutnya akan diambil oleh pihak KPKK,”
Haslina memberikan jawapan alternatif.
KPKK khabarnya memanggil beliau
untuk bermesyuarat dan Haslina diberi jaminan bahawa MUDD akan dipentaskan
semula di Istana Budaya dengan kerjasama KPKK.
Saya masih tidak mampu menarik nafas
lega kerana pada realiti, hasil maklumat dari sumber dalaman, belum ada
sebarang tarikh ditetapkan oleh Istana Budaya bagi pementasan semula yang
dimaksudkan.
Pada masa sama, pihak bank
sebenarnya sudah memberi notis 21 hari untuk UA Enterprises menjelaskan hutang
RM900 ribu. Hak cipta karya “Muzikal Uda & Dara” yang dicagarkan itu kini
berdepan dengan kemungkinan besar diambil alih oleh pihak bank.
Sementara itu, tidaklah
menghairankan jika pelbagai pihak (individu, persatuan, agensi) yang kononnya
berjuang demi maruah, hak, karya, bahasa, sastera, seni, kaum dan sebagainya,
terus berdiam diri dan memberikan alasan “tidak tahu” mengenai perkara ini.
Saya teringat akan kata-kata Usman Awang: “Musuh orang-orang Melayu bukanlah
orang-orang Cina, dan musuh orang-orang Cina bukanlah orang-orang Melayu,
tetapi musuh kita bersama ialah kemiskinan, ketidakadilan ...”
* Uthaya
Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan
Uthaya serta presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
Artikel ini dipetik dari laman web http://www.themalaysianinsider.com/opinion/article/maruah-usman-awang-tergadai/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan