Rabu, 18 Julai 2012

Nasib Bahasa Melayu di Bumi Sendiri


CADANGAN mewajibkan subjek Bahasa Melayu (BM) untuk sekitar 65,000 pelajar asing yang kini menuntut di Malaysia adalah satu langkah yang sudah tentu baik dalam usaha kita mengembangkan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi untuk mengantarabangsakannya. Antara kepentingannya dalam konteks ini, bahasa Melayu adalah wadah komunikasi di negara ini, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik akan membolehkan pelajar ini berfungsi dengan baik dalam masyarakat Malaysia, sama ada dari segi kedua-dua kecekapan tatabahasa dan budi bahasa Melayu. Sebetulnya kesan ini cukup sahih dan perlu disokong.

Namun, adakah prasarana serta ekologi bahasa Melayu yang wujud kini, sama ada yang formal atau sebaliknya, mendukung keadaan yang kondusif? Kedua-dua ini amat penting dalam membantu serta mendorong pelajar ini untuk menekuni bahasa Melayu, khususnya atas rangsangan integratif, yakni bukan saja untuk bercampur gaul, tetapi mengadunkan diri mereka dalam kehidupan tempatan, sementara mereka berada di Malaysia. 
Jawapannya tidak positif seperti yang sepatutnya. Bahasa Melayu walaupun diberi pelbagai paparan baik lagi indah oleh sesetengah pihak, sebenarnya ia melukut di tepi gantang dalam beberapa hal di bumi watannya sendiri. Ekologi linguistik di negara ini tidak selalu memperlihat kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, iaitu dalam konteks sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sebagai contoh, penamaan awam di Malaysia tidak banyak yang menggunakan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Inggeris lebih menjadi norma. ‘Bangsar South’ untuk sebuah perbandaran baru di Kuala Lumpur serta ‘Mara Liner’ bagi bas yang memberi perkhidmatan di kawasan luar bandar, khususnya penempatan komuniti Melayu adalah antara contohnya. 
Mahu tidak mahu, semua ini memberi mesej bahawa bahasa Melayu tidak penting lagi, bukan saja kepada pelajar asing ini, tetapi juga kepada masyarakat Malaysia sendiri. Sehubungan ini, masyarakat tempatan ikut memberi gambaran negatif terhadap bahasa Melayu apabila mereka tidak banyak menggunakannya, khususnya dalam konteks sebagai bahasa negara untuk berkomunikasi sesama sendiri. Mereka lebih gemar dan bangga menggunakan bahasa lain dan jika bahasa Melayu digunakan, ia digunakan dalam bentuk campur aduk pula.

Gambaran yang buruk terhadap bahasa Melayu ikut berlaku apabila kita tidak mahu menggunakannya ketika bercakap dengan sesetengah pelajar asing ini, walaupun ada antara mereka fasih dalam bahasa Melayu. Sebaliknya, kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai ganti. Sikap jelek kita ini memberi gambaran bahawa masyarakat Malaysia tidak bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara sendiri. Sesungguhnya ini bukan gambaran lagi, tetapi kenyataan benar mengenai perbuatan, pandangan dan kepatuhan kita terhadap bahasa Melayu.

Komuniti Melayu selaku penutur natif atau asal bahasa Melayu perlu mempamerkan teladan yang baik dalam memperlihat sikap positif terhadap bahasa itu. Mereka perlu pada setiap masa ‘memperlaku’ bahasa Melayu, yang bukan saja bahasa ibunda mereka, tetapi kini sudah menjadi bahasa negara yang mewakili dan dimiliki oleh semua, dengan penuh tertib dan adab. Dalam hal ini, mereka perlu menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul serta yang tidak bercampur aduk, khususnya pada majlis dan upacara rasmi. 
Penggunaan seperti itu bukan saja penting dalam menyampaikan mesej bahawa bahasa Melayu berwibawa, tetapi dibangga selain diyakini sendiri oleh kalangan penutur natifnya mengenai kewibawaan itu. Sebetulnya kewibawaan bahasa Melayu perlu wujud dalam pelbagai bentuk yang mantap. Antaranya ialah pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya yang bukan asal, yang perlu dipertingkatkan agar melepasi bentuk yang dikenali sebagai ‘bahasa pasar’. 
Masih ramai dalam kalangan ini yang hanya mampu berbahasa pasar ketika menggunakan bahasa Melayu, misalnya dalam bentuk “Saya atak pompuan punya, balu kawin sama Ipoh punya olang.” Kecekapan bahasa Melayu sebegini, khususnya dalam kalangan muda, selepas menghuni Malaysia sejak 1957 adalah bukan saja tidak baik untuk imej bahasa Melayu sebagai bahasa negara, tetapi yang lebih mudarat lagi ialah pengertian nasionaliti Malaysia mereka dalam konteks bahasa Melayu, iaitu bahasa tanah air mereka! 

Sikap begini sudah tentu diperhati oleh kalangan pelajar asing, yang mungkin merumuskan bahawa bahasa Melayu tidak banyak dihormati oleh warga Malaysia sendiri. Hal ini ikut dirumuskan oleh pekerja asing. Sesetengah daripada mereka didapati fasih dalam bahasa Melayu, walaupun baru saja tiba, jika dibandingkan dengan segelintir pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), yang didapati sama sekali tidak fasih dalam bahasa Melayu, walaupun dilahir dan dibesarkan di Malaysia!

Dalam soal pengekalan bahasa Melayu dalam bentuk daif ini, komuniti Melayu boleh ikut dipersalah. Mereka sering berkomunikasi dengan komuniti bukan asal dalam bahasa Melayu sebegini, walaupun ketika berkomunikasi dengan mereka yang amat fasih. Sifat akomodatif ini daripada komuniti Melayu perlu dihentikan dan digantikan dengan komunikasi dalam bahasa Melayu yang baik dan betul, tetapi dalam bentuk yang mudah. 

Sebenarnya banyak yang perlu dilakukan sebelum kita memperluas domain penggunaan bahasa Melayu, khususnya kepada pelajar asing di negara ini dan juga dalam usaha kita mengantarabangsakan bahasa Melayu. Untuk tujuan ini, pertamanya, masyarakat Malaysia perlu memperlihatkan sikap yang lebih positif terhadap bahasa Melayu. Sikap ini boleh dipupuk dan seterusnya diperlihatkan oleh semua sektor masyarakat Malaysia dengan agak mudah. Bahasa Melayu yang menjadi alat perpaduan bangsa dan kemajuan negara, sudah ‘dikodifikasikan’ dalam sistem pendidikan kebangsaan. 
Dalam soal ini, tekad terhadap bahasa Melayu perlu diperbaharui semula, melalui teladan yang penuh dengan iltizam dan tanggungjawab daripada komuniti Melayu selaku penutur natif, yang akan pula diikuti dengan kesan yang positif daripada pelbagai komuniti bukan Melayu lain. Ini penting bukan saja dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, tetapi juga untuk melestarikannya pada persada dunia. Sesungguhnya bahasa Melayu yang juga bahasa kelima terbesar di dunia, mempunyai banyak potensi. 
Penulis ialah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan