*Artikel ini tidak diluluskan untuk terbit di media
cetak kerana dikatakan keterlauan dan menyinggung perasaan pelbagai kaum di
negara ini. Pertimbangan dan penilaian pembaca amatlah dituntut untuk memahami
realiti terkini akan hal yang dibicarakan.*
Oleh A.Zaidel
Pendirian
tegas kerajaan untuk terus memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
utama dalam sistem pendidikan negara adalah satu jaminan untuk membela,
memelihara serta memartabatkan bahasa Melayu, sesuai dengan statusnya sebagai
bahasa kebangsaan. Dalam mengharungi era globalisasi, bahasa Melayu berdepan
pelbagai cabaran bagi menghalangnya menjadi bahasa ilmu.
Pelbagai bentuk
pencemaran bahasa akibat ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)
memburukkan lagi keadaan, sekali gus menuntut usaha bersepadu semua pihak bagi
menjadikan bahasa Melayu terus relevan sebagai bahasa ilmu seiring perkembangan
semasa.
Walaupun kedudukan bahasa
Melayu dijamin Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, usaha memastikan bahasa
Melayu digunakan secara ilmiah di samping dapat menggambarkan citra Melayu
perlu diperkukuhkan. Toleransi dalam bertutur menggunakan bahasa ibunda
mengikut kaum di negara ini memang sudah sebati, namun alangkah
lebih manis jika semua kaum di negara ini menjadikan bahasa Melayu sebagai
medium utama dalam berkomunikasi tanpa sebarang prejudis.
Komitmen ditunjukkan
kerajaan untuk mempertahan bahasa Melayu tidak sepatutnya dipandang serong atau
diiringi dengan perasaan perkauman kerana bahasa lain juga bebas dituturkan di
negara ini. Selepas 54 tahun Malaysia merdeka, rakyat sepatutnya
tidak lagi memandang negatif terhadap kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa
ilmu tinggi seperti digunakan secara meluas dalam bidang sains, teknologi dan
perundangan termasuk digunakan dalam dokumen perjanjian serta surat-menyurat.
Hakikat
sebenar yang mungkin kurang diketahui umum ialah kita sebenarnya mempunyai
ribuan istilah dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi di dalam kamus
serta glosari yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Panduan penggunaan
bahasa kebangsaan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam
pekelilingnya adalah antara formaliti yang harus dikekalkan, manakala kelemahan
yang masih wujud adalah satu isu yang harus ditangani dengan berkesan.
Namun demikian, mengangkat
martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi akan terkubur sekiranya rakyat
sendiri tidak peka ke arah itu. Sekiranya bahasa Melayu tinggi dipraktikkan
dengan meluas dalam kalangan rakyat, maka amalan itu akan meningkatkan martabat
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Ibarat kata pepatah
melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Dengan cara itu, barulah nampak
hasilnya seperti matlamat 1Malaysia. Di alam persekolahanlah tempat terbaik
untuk menyuburkan semangat kekitaan, tolak ansur dan saling menghormati serta
menerima keunikan sesuatu kaum tanpa diskriminasi. Sememangnya sekolah adalah
platform terbaik untuk mewujudkan perpaduan antara kaum, dan ia selaras dengan
konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Rata-rata sekolah di
negara ini mempunyai pelajar yang berbilang kaum, yang menjadi tempat mulanya
perkenalan kanak-kanak dan remaja dengan rakan-rakan daripada kaum lain. Awalnya
di sekolah jugalah mereka belajar dan mula tahu mengenai adat resam, budaya dan
agama rakan-rakan daripada kaum lain. Namun, persahabatan tetap terjalin mesra
dalam pergaulan mereka tanpa merasa harus ada pengasingan atau peminggiran atas
dasar kelainan itu.
Namun,
realiti dengan adanya pelbagai jenis sekolah, seperti sekolah kebangsaan dan
sekolah jenis kebangsaan, yang dibenarkan menggunakan bahasa pengantar dan
seolah-olah pengelasan kaum, bukanlah suatu yang baik untuk jangka masa panjang
penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Hal ini umpama bom jangka bagi jangka
masa panjang keharmonian di Malaysia. Dengan kepelbagaian etnik penduduk
Malaysia, seharusnya ungkapan bahasa rasmi negara yakni Bahasa Melayu,
dikuatkuasakan secara menyeluruh. Bukan sekadar melepas batuk di tangga.
Perkembangan hal ini masih di tahap mengecewakan.
Dalam satu rumusan yang dibuat
terbitan The Malaysian Insider bertajuk "Language
barrier to racial interaction, study reveals", memberitahu
bahawa situasi kewujudan sekolah vernaskular ini amat membimbangkan. Menurut
kajian tersebut, sebahagian besar dari murid-murid yang tercicir dari SRJK(C)
tidak dapat menguasai bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris. Keadaan ini
menyebabkan kaum cina hanya berinteraksi dalam kalangan sesama mereka sahaja.
Hal ini memburukkan lagi polarisasi kaum di Malaysia bagi kesan jangka panjang.
Untuk tujuan itu
sistem atau Dasar Pendidikan perlu diubahsuai secara keseluruhannya bagi
mengatasi masalah ini. Dari sudut 1Malaysia, persoalan yang mungkin
timbul adalah:-
1. Bagaimanakah toleransi
dan penerimaan dapat tercapai sedangkan faham kefahaman berhubung bahasa Melayu
tidak dikuasai?
2. Apakah "Unity in
Diversity" mempunyai sebarang isi atau makna apabila kaum yang tidak
faham bahasa hanya akan berinteraksi dalam kalangan mereka sahaja (diversity)
yang memburukkan lagi polarisasi kaum di Malaysia. Apakah ini yang dinamakan
kesatuan 1Malaysia itu?
Sudah sekian lama Kempen
Satu Sekolah untuk Semua diwujudkan, mendesak dan menyarankan
penggubalan semula (setidak-tidak pun mengkaji semula) Dasar Pendidikan.
Suara-suara sokongan terhadap KEMPAN SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA kedengaran dari pelbagai
lapisan masyarakat, dari rakyat biasa hinggalah ke tokoh-tokoh akademik ,
wartawan dan ahli-ahli politik. Di alam maya pula, sokongan telah suarakan oleh blogger-blogger daripada
kalangan penyokong kerajaan, kalangan pembangkang mahupun yang berkecuali.
Malangnya, kempen dan suara ini tidak diberikan perhatian langsung oleh pihak
yang berkenaan.
Rumusan daripada petikan
dari artikel The Malaysian Insider adalah seperti berikut;
1. Kajian mendapati "A
significant number of secondary school dropouts with Chinese primary vernacular
education have little, or zero, command of English or the national
language, according to a study" yang menyebabkan keadaan di mana
"a group of Chinese who only interact within their own ethnic community
and points to increasing racial polarisation in multicultural
Malaysia."
2. Ujar bekas
gurubesar SRJK(C) Pudu, “Most of our Chinese children do not have this
sort of environment. And nowadays, they do not mix around, not like our time,”
dan tambah beliau lagi “Their interaction is limited. Ninety-eight per
cent keep to their Chinese friends and so speak Chinese every day,”.
3. Pemerhatian Datuk
Dr Toh Kin Woon [Senior fellow Socio-economic and Environmental
Research Institute (Seri)] merumuskan; “this is one of the contributory
factors leading to racial polarisation”.
4. Tan Yew Sing. yang mengetuai KL-Selangor
Chinese Assembly Hall mengakui bahawa "the problem was very
serious" dan menyarankan “The whole [education] system needs
to be revamped...".
Daripada kajian di atas
dan juga entah berapa banyak lagi kajian-kajian mengenai isu ini yang membuktikan
bahawa sistem pendidikan vernakular tidak akan membantu ke arah perpaduan
negara, malah akan memburukkan lagi polarisasi di antara kaum di negara ini.
Seperti yang dipaparkan di atas, dari sudut pembinaan negara melalui
pendidikan, konsep 1Malaysia hanya membawa slogan yang dicipta untuk apa, jika
perpaduan negara tergugat. Yang menjadi mangsanya ialah generasi akan datang.
Tiada maknanya kesatuan 1Malaysia atau "Unity in Diversity"
sedangkan kedua-dua perkataan tersebut pada dasarnya lagi telah pun memberi
makna yang sama sekali bercanggah. Tidak usahlah bercakap soal "Tolerance
& Acceptance" sedangkan pada awal-awalnya lagi "faham bahasa
pun tidak (Understanding via common language)".
Agak pelik apabila
sekolah vernakular ini diberi pembelaan begitu tegar sekali hingga boleh
dikatakan sampai ke tahap menganak-tiri sekolah kebangsaan sendiri. Sudahlah
sistem pendidikan vernakular ini bertentangan dengan Perlembagaan Negara, juga
merupakan kanser kepada perpaduan kaum di Malaysia. Amat pelik bukan
kelakuan seseorang itu yang begitu tegar membela sistem pendidikan vernakular
ini. Nampak macam gali kubur, bukan saja kubur sendiri malahan kubur bangsa dan
negara dalam jangka masa panjang.
Justeru, penulis ingin
mengesyorkan agar pihak Kementerian Pelajaran menimbang semula cadangan yang
pernah dikemukakan pada tahun 2009 agar dibuat kajian semula berhubung idea
Satu Sekolah Untuk Semua.
Pembinaan berpendapat,
pembinaan bangsa Malaysia yang teguh bersatu dan jitu bersepadu tidak akan
tercapai selagi wujudnya sekolah vernakular (Sekolah Jenis Kebangsaan atau
SJK) di bumi Malaysia ini. Sekolah Vernakular tidak selaras dengan matlamat
melahirkan bangsa Malaysia yang harmoni dan bersepadu, berteraskan
unsur-unsur nasionalisme yang sesungguhnya. Malah, kewujudan sekolah vernakular
telah menjadi penghalang utama ke atas hasrat kerajaan membina
masyarakat yang sehaluan bahasa, minda dan kebudayaan asas.
Kewujudan Sekolah
Vernakular telah menimbulkan pelbagai tanda soal ke atas peranan dan statusnya
pada masa kini. Sekolah Vernakular adalah bertentangan dengan status
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Malah, Sekolah Vernakular
nyata bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan di mana bahasa Melayu
diwajibkan untuk segala urusan rasmi, dan Sistem Pembelajaran merupakan suatu
urusan rasmi negara.
Bahasa pengantar di SJKC
ialah bahasa Mandarin, yakni bahasa kebangsaan sebuah negara asing, iaitu
Republik Rakyat China. Malah, ianya bukan bahasa asli mana-mana suku kaum Cina
yang tinggal di negara ini. Bahasa pengantar SJKT pula adalah bahasa Tamil,
yakni bahasa rasmi negeri Tamil Nadu di India. Hal ini merupakan suatu fenomena
sosial yang amat ganjil dan tidak seharusnya dibenarkan di negara kita.
Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Bahasa
Kebangsaan wajib digunakan untuk segala urusan rasmi negara. Sistem
Pembelajaran pula merupakan suatu urusan rasmi negara sepertimana di semua
negara di dunia.
Perkara 152(a) Perlembagaan Malaysia menyatakan :-
"No person shall be prohibited or prevented from using
(otherwise than for official purposes), or from teaching or learning, any other
language."
Fasal tersebut tidak langsung memberi mandat kepada Kerajaan untuk
membenarkan, apatah lagi memberi sokongan wang dan sebagainya, kepada mana-mana
sekolah yang menggunakan bahasa selain daripada Bahasa Kebangsaan kerana sistem
pembelajaran adalah suatu urusan rasm.i (“offical purpose").
Dari segi “protection
of the legitimate interest of the others” yang termaktub dalam Perlembagaan,
"kepentingan sah masyarakat lain" merangkumi urusan peribadi
masyarakat tersebut dan tidak termasuk hak untuk menggunakan bahasa pengantar
lain bagi urusan pembelajaran di sekolah. Peruntukan dalam Perlembagaan
Malaysia membolehkan pengajaran dan pertuturan bahasa lain secara peribadi
dalam kalangan sesesuatu masyarakat, dan bukan hingga ke tahap penggunaan
bahasa lain secara berleluasa termasuk sebagai bahasa pengantar utama di
sekolah.
Sekolah Vernakular pada
amnya mengandungi satu kaum sahaja dalam suasana pembelajaran yang tidak
membayangkan citra dan inti pati sebenar masyarakat negara ini. Hal ini tidak
sesuai dalam melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu dan
bersepadu.
Murid Sekolah Vernakular
wujud dalam suasana terpencil daripada aliran am. Mereka menyerapkan
nilai-nilai satu kaum sahaja, tidak bergaul dengan kaum lain, tidak mendapat
pengalaman berinteraksi, kurang memahami adat resam kaum lain dan sukar
menerima hakikat bahawa adat resam dan budaya kaum majoriti di negara ini perlu
difahami dan dihormati. Hal ini mengakibatkan pemikiran mereka terkongkong,
terhad malah menjadi asing hingga mereka bermasalah untuk menyesuaikan diri
dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Pengasingan sebahagian
warganegara ke alam Sekolah Vernakular sejak umur yang muda, dipengaruhi telah
menjadi tembok gergasi atau terbesar kepada kewujudan sebuah Bangsa
Malaysia yang bersatu di bawah satu bahasa, jati diri dan pemikiran.
Perkara 152 Perlembagaan
Malaysia membenarkan pengajaran bahasa selain daripada bahasa kebangsaan
untuk lain-lain komuniti di Malaysia. Tetapi kebebasan ini nyata terbatas
kepada pembelajaran khusus bahasa tersebut sahaja dan bukan
untuk ianya dijadikan bahasa pengantar bagi mata pelajaran lain dalam sistem
persekolahan negara Malaysia.
Kita tidak harus
mempunyai tiga sistem pembelajaran dalam tiga bahasa pengantar. Bangsa
Malaysia yang bersatu dan bersepadu tidak mungkin lahir daripada suasana
rumit sebegini. Senario tiga sistem pembelajaran ini tidak sejajar dan jelas
bertentangan dengan semangat patriotik dan peruntukan perlembagaan, malah
menyimpang daripada matlamat utama Rukun Negara, iaitu “mencapai perpaduan yang
lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya.”
Keagungan bahasa
Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini mestilah
dilindungi dan dipertahankan dengan sepenuhnya. Perkara yang tidak sejajar,
menghalang atau menentang peruntukan bahasa dalam Perlembagaan adalah disifatkan
sebagai bercanggah atau ingkar dengan Perlembagaan atau “unconstitutional.”
Berdasarkan kepada fakta
dan pendapat yang terpapar di sini dan segala hujah yang dikemukakan di
pautan-pautan berkenaan, penulis dengan takzimnya meminta agar gejala Sekolah
Vernakular ini dihapuskan secara total.
Kesemua
Sekolah Vernakular yang ada sekarang harus diserapkan ke dalam Sistem Sekolah
Kebangsaan, di mana peruntukan secukupnya dibuat untuk menyediakan pembelajaran
dalam bahasa ibunda khusus untuk mana-mana murid yang memerlukannya.
Kewujudan Sekolah Vernakular
merupakan satu-satunya punca utama ketidakserasian dan ketegangan kaum di
negara kita yang bermartabat/berdaulat ini. Fenomena ini hampir tiada
tolak bandingnya di dunia ini dan telah menjadi toksin atau barah yang kian
menular dalam kancah kerapuhan masyarakat Malaysia. Diyakini, sekiranya
gejala Sekolah Vernakular ini tidak dibendung, negara kita pasti condong ke
ambang kemusnahan.
Dari segi Perlembagaan
Persekutuan Malaysia, sekolah vernakular jelas tiada tempatnya apalagi
keistimewaannya, bahkan bercanggah dengan Perlembagaan yang sebegitu ketara
sekali. Percanggahan ini harus dibendung dan diperbetulkan secepat mungkin demi
kewibawaan, kestabilan dan keselamatan negara.
Penulis mohon agar pihak
yang berkaitan memberi perhatian teliti, pertimbangan khusus dan penekanan yang
sewajarnya ke atas cadangan-cadangan yang dikemukakan di sini demi masa depan
Bangsa dan Negara Malaysia yang makmur dan tercinta ini. Usaha untuk
menyatukan perpaduan hari ini akan menjadi sia-saia jika perkara utama tidak
diberikan perhatian sewajarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan