Artikel ini disiarkan bagi membuka minda masyarakat Malaysia keseluruhannya, adakah selepas 55 tahun sudah cukup peranan dan usaha yang kita lakukan dalam 'merealitikan' bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara? Pasti akan ada pendapat yang berbeza, dan kami mengalu-alukan buah fikiran yang membina dalam usaha kita menjadikan bahasa Melayu bahasa 1Malaysia.
Sesetengah
pihak yang menggelar diri mereka sebagai pejuang bahasa Melayu kebelakangan ini
menggesa agar kebebasan berbahasa rakyat Malaysia disekat agar bahasa Malayu
dapat diagungkan.
Mentaliti mereka ini berparadigmakan dasar
perlindungan (protectionism) bahasa. Ini bukan sesuatu yang baru.
Di dunia Barat, Perancis adalah salah sebuah negara yang asyik sangat untuk
melindungi bahasanya daripada ancaman bahasa Inggeris.
Seperti dalam dunia ekonomi, apabila sesuatu itu
perlu dilindungi, ia pastinya sesuatu yang lemah.
Bahasa Perancis tidak perlu perlindungan 200 tahun
yang dahulu apabila ia adalah bahasa teragung di Eropah. Kuasa-kuasa
pesaing Perancis seperti Jerman, Australia dan Rusia menggunakan bahasa
Perancis di istana mereka.
Bahasa Inggeris hari ini juga tidak menerima
perlindungan daripada United Kingdom, Amerika Syarikat ataupun mana-mana negara
Komanwel. Sebagai bahasa yang paling berleluasa dituturi di dunia, Bahasa
Inggeris hari ini lebih dipertuturkan sebagai bahasa asing daripada bahasa
ibunda.
Kerana ini, bahasa Inggeris menyerap kosa-kata dan
pengaruh daripada bahasa lain dengan kadar yang tinggi, sehingga bahasa
Inggeris yang ditutur di pelbagai perusuk dunia itu semakin berbeza daripada
bahasa klasik yang digunakan oleh Shakespeare, Yeast atau Charles Diskens.
Kalau dulu ada orang yang percaya bahawa seseorang
yang bukan Inggeris boleh diinggeriskan dengan pendidikan bahasa Inggeris,
kepercayaan ini langsung tidak berasas dalam era globalisasi ini.
Kebanyakan penutur bahasa Inggeris hari ini tidak berhajat untuk menjadi orang
Inggeris. Bahasa Inggeris menentukan daya saing mereka, bukan jati diri.
Perkara yang sama akan berlaku kepada bahasa Cina. Penutur bahasa Cina
sebagai bahasa asing semakin meningkat lantaran kebangkitan ekonomi negara
China, sungguhpun ia mungkin mengambil masa sekurun sebelum ia mencapai
kedudukan seperti bahasa Inggeris, di mana lebih penuturnya menuturinya sebagai
bahasa asing daripada bahasa ibunda.
Di Malaysia sekalipun, semakin ramai budak bukan
keturunan Cina yang bersekolah Cina, mencapai kira-kira 11% dalam murid sekolah
rendah jenis kebangsaan bahasa Cina, mengikut data terkini, berbanding dengan
cuma 7% murid sekolah rendah kebangsaan yang berketurunan bukan Bumiputera.
Persoalan yang para pejuang bahasa Melayu perlu
membuat suatu ketetapan ialah sama ada bahasa Melayu harus diperjuangkan supaya
ia berkembang seperti mana bahasa Inggeris dan bahasa Cina melampaui batasan
keturunan malahan tamadun? Ataupun, bahasa Melayu harus dipertahankan
seperti bahasa Perancis yang semakin merosot keagungannya?
Ini suatu pilihan yang cukup besar yang tidak
boleh dielakkan lagi oleh semua penutur dan pencinta bahasa Melayu. Sudah
tiba masanya untuk kita semua berterus-terang dan tidak bermain kata.
Apakah bahasa Melayu itu harus diperjuangkan demi
nilai intrinsiknya, yakni sebagai bahasa? Ataupun bahasa Melayu itu harus
diperjuangkan demi nilai ekstrinsiknya, yakni sebagai alat untuk memajukan kaum
Melayu?
Perjuangan pertama ialah nasionalisme bahasa,
sementara perjuangan kedua ialah nasionalisme ethnic (kaum). Bertentangan
dengan keinginan subjektif ramai orang, kedua-dua perjuangan ini tidak sentiasa
berkawan, sebaliknya mungkin berlawan.
Kalau tujuannya untuk mengagungkan sesuatu bahasa
itu, maka insentif maksima harus diberikan kepada semua rakyat untuk bukan
sahaja bertutur dalam bahasa itu, tetapi juga menambahkayakan ilmu pengetahuan
dalam dan melalui bahasa itu.
Jika dasar ini cukup berjaya, kaum bukan penutur
asal mungkin lebih fasih menutur bahasa itu daripada kaum penutur asal sehingga
menerima paling banyak insentif dasar bahasa.
Ini sebenarnya berlaku di Malaysia di bawah Dasar
Ekonomi Baru, yakni selepas dominasi kaum Melayu ditetapkan selepas rusuhan 13
Mei dan sebelum tamatnya Era Perang Dingin yang membawa liberalisasi ke seluruh
dunia.
Dalam masa dua dekad itu, ramai anak-anak bukan
Melayu bersungguh-sungguh belajar bahasa Melayu demi berjaya dalam sistem
pendidikan kebangsaan yang berorientasikan bahasa Melayu.
Sekiranya kefasihan bahasa akan memberikan mereka
peluang kerjaya yang lebih baik, seperti mana kefasihan dalam bahasa Inggeris,
sudah pasti sekolah kebangsaan akan menjadi semakin popular dan sekolah-sekolah
bahasa ibunda akan merosot.
Akan tetapi, kerana orang bukan Melayu tetap diberi layanan kelas kedua sebagai
Bukan Bumiputera sekalipun jika mereka lebih fasih berbahasa Melayu daripada
orang Melayu, insentif untuk orang bukan Melayu menguasai dan menggunakan
bahasa Melayu adalah minima. Inilah percanggahan keutamaan di antara
nasionalisme bahasa dan nasionalisme kaum.
Ini menjelaskan mengapa peratusan anak Cina yang
pergi ke sekolah rendah Cina memecut dari lebih kurang 70% pada awal
perlaksanaan DEB ke hampir 90% pada dekad 1990-an.
Hakikat ini mungkin mengecewakan sesetengah orang
Melayu: mengapa orang Cina di Indonesia dan Negara Thai sanggup diasimilasikan
sepenuhnya tetapi orang Cina di Malaysia degil mempertahankan jati diri mereka?
Jawapannya ringkas sahaja. Di Negara Thai,
dasar nasionalisme budayanya bermakna sesiapa yang sanggup diasimilasikan
sepenuhnya tidak akan menghadapi apa-apa diskriminasi. Ini menjelaskan
mengapa orang Cina Thai yang kebanyakannya beragama Buddha dengan mudahnya
menerima asimilasi sebaliknya orang Melayu Thai yang berlainan agama dengan
kaum majoriti merasai peminggiran dan ramai bangkit menentang.
Kalau orang Melayu sanggup mengikut contoh negara
Thai (dalam konteks asimilasi bahasa sahaja) dalam tahun-tahun DEB (1971-1990),
ramai orang bukan Melayu juga akan bersetuju menerima asimilasi sebagai syarat
untuk kesamarataan sepenuh. Pokoknya, apakah orang Melayu sanggup
menerima syarat sebegitu? Hari ini, dengan globalisasi, asimilasi
sepenuhnya sudah lenyap sebagai sebuah opsyen dasar.
Mungkin ada yang tertanya: bagaimana pula di
Indonesia? Orang Cina Indonesia menerima asimilasi sungguhpun mereka
tetap didiskriminasi pada zaman Order Baru?
Jawapannya juga ringkas. Orang Cina cuma
merangkumi kira-kira 3% daripada penduduk Indonesia, mereka tidak mempunyai
kekuatan untuk menentang polisi kerajaan, ini terutamanya selepas pembunuhan
besar-besaran orang komunis dan kaum Cina pada tahun 1965.
Dalam erti kata lain, apabila kaum majoriti
mempunyai kuasa mutlak, ia menjadi rasional untuk kaum minoriti menerima
asimilasi dan diskriminasi pada masa yang sama, kerana alternatifnya -
penentangan - kebarangkalian besar cuma akan membawa maut.
Sekali lagi, kaedah ini cuma mungkin berjaya
semasa Perang Dingin kerana keganasan politik sebagai alat pihak kerajaan untuk
mencapai matlamat politiknya tidak akan ditoleransi oleh dunia hari ini.
Dengan ketibaan Era Globalisasi, paksaan termasuk
asimilasi sudah pasti menerima kegagalan. Sekalipun bahasa Melayu
dipaksakan ke atas semua rakyat, bahasa Melayu tidak akan maju di dalam negeri
selagi kita tidak menutup pintu daripada dunia dan menjadi Korea Utara kedua.
Ini adalah sebab pejuang-pejuang bahasa harus
memikir semula apakah sebenar perjuangan yang diingini?
Kalau untuk berjuang demi kaum penutur asal, yakni
orang Melayu, pengagungan bahasa melalui paksaan - dan bukan peningkatan
keupayaan bahasa itu - mungkin lebih memudaratkan daripada menguntungkan bukan
sahaja seluruh rakyat, tetapi juga orang Melayu sendiri.
Sudah nyata, sikap authoritarian dalam bahasa
Melayu akan menyebabkan anak-anak Melayu kurang berminat mempelajari bahasa
lain dan akhirnya mereka akan kurang berdaya saing di arena antarabangsa.
Malahan, kita mungkin kehilangan lebih bakat-bakat yang tidak percaya dengan
dasar eka-bahasa, termasuk bakat orang Melayu sendiri.
Kalau kita ingin membangunkan penutur asal bahasa
Melayu, yakni orang Melayu, maka kita kena cari cara yang lebih berkesan.
Kalau perjuangan adalah benar-benar untuk
memajukan bahasa tinggalan nenek-moyang, maka bahasa Melayu mesti disebarkan ke
khalayak orang bukan Melayu malah di luar sempadan Malaysia atau negara-negara
Nusantara.
Daripada segi ini, ada baiknya bagi
pejuang-pejuang bahasa mengimbas kembali sejarah kebangkitan bahasa Melayu.
Sememangnya kebangkitan awalnya mungkin terhutang budi
kepada penutur asalnya di kawasan Palembang-Jambi, yang membina Empayar Sri
Vijaya, akan tetapi, kejayaan seterusnya tidak dapat dijelaskan dengan kuasa
politik.
Mengapa bahasa Melayu tetap menjadi lingua franca
di Nusantara di bawah Empayar Majapahit yang rajanya berbahasa-asalkan
Jawa? Kuasa SriVijaya pada zaman keagunganya juga tidak merangkumi
Kepulauan Maluku dan Kepulauan Nusatenggara yang tetap menggunakan bahasa
Melayu sebagai bahasa "antarabangsa" dalam urusan dengan penduduk
dari pulau lain.
Perkara ini berulang pada 1928 apabila golongan
nasionalis muda memilih untuk menjunjung bahasa Melayu (namanya bahasa
Indonesia) dan bukan bahasa majoriti (yakni bahasa Jawa) sebagai bahasa
kebangsaan. Mengapa pemimpin-pemimpin revolusi keturunan Jawa tidak
meletakkan bahasa sendiri sebagai bahasa perpaduan?
Ini sudah tentu berkenaan dengan ciri-ciri bahasa
Melayu sebagai bahasa. Ia ringkas, mudah dipelajari tetapi juga kurang
feudalistik daripada bahasa Jawa.
Dalam memperjuangkan bahasa Melayu, kita mesti
mempertingkatkan kegunaan bahasa. Dan apakah musuh paling besar kepada
bahasa Melayu itu? Bukan kebebasan bahasa lain untuk digunakan, tetapi
sekatan ke atas penggunaan bahasa Melayu itu sendiri.
Tanyalah kita sendiri: apakah rasionalnya kalau edisi
asal bahasa Inggeris "The
Origin of Species" oleh Charles
Darwin itu boleh didapati di kedai buku dan perpustakaan tetapi penterjemahan
buku itu dalam bahasa Indonesia itu diharamkan? Apakah bahasa Melayu
dapat berjaya jika disekat daripada membawa ilmu pengetahuan yang tidak disukai
oleh sesetengah pihak?
Usaha sesetengah pihak yang cuma mengIslamkan
bahasa Melayu - yakni menjadikan ia sejenis bahasa yang hanya boleh membawa
pengetahuan yang sesuai dengan Islam dan oleh itu tidak boleh digunakan oleh
penganut agama-agama bukan Islam untuk tujuan agama - itu sebenarnya sedang
cuma melemahkan dan melesukan bahasa itu sahaja.
Kalau orang bukan Islam di Malaysia pun tidak
dibenarkan menggunakan bahasa kebangsaan untuk tujuan keagamaannya, apakah
peluang bahasa Melayu boleh maju di luar Malaysia, Brunei dan Singapura.
Sebenarnya, kalau kita bandingkan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia, bahasa
Indonesia jauh lebih dinamika kerana pelbagai isu boleh dibincangkan dalam
bahasa itu dan usaha-usaha penterjemahan itu tidak berhenti.
Di Malaysia, ramai tokoh-tokoh intelektual dan
golongan kelas pertengahan yang kosmopolitan pandangan cuma menggunakan bahasa
Inggeris untuk berhujah dan bahasa Melayu seolah-olah sudah menjadi bahasa yang
cuma sesuai untuk mencetak Utusan
Malaysia.
Dalam kata lain, bahasa Melayu menjadi lesu dalam
dunia intelektual, tidak setanding dengan saudaranya bahasa Indonesia,
janganlah lagi jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris, Cina, Jepun dan
sebagainya.
Saya amat sedih sekali apabila membaca berita
bahawa ada golongan yang menggelar diri mereka sebagai penulis yang menyokong
pengharaman buku dan penyekatan kebebasan. Manakah keindahan bahasa jika
kita tidak berkebebasan untuk berfikir?
Dan kalau inilah pejuangnya, perlukah lagi musuh
untuk bahasa Melayu?
*Dr.Wong Chin Huat adalah seorang pencinta bahasa
Melayu bukan nasionalis. Beliau cintakan bahasa kerana keindahannya dan
kesal tidak ada peluang menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan romantik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan