Selasa, 9 Oktober 2012

Industri Buku Di Malaysia


Judul kecil bagi buku The Gutenberg Elegies karya Sven Birkerts ialah The Fate of Reading in An Electronic Age. Buku ini menanyakan apakah benar dalam keghairahan kita mengalu-alukan era elektronik kita sebenarnya mengabaikan budaya membaca dan membunuh industri buku?

Sebenarnya manusia lebih banyak membaca daripada sebelum ini. Mungkin mediumnya berubah daripada buku atau akhbar dalam bentuk tradisionalnya kepada membaca dalam dunia siber menggunakan landasan media baru e-mel, SMS, Facebook, Twitter dan sebagainya. Melayari Internet itu sendiri menuntut ketekunan membaca. Akhbar talian menjadi pilihan baru pembaca muda, begitu juga buku dalam bentuk elektronik. Kini kita melahirkan generasi e-pembaca.

Buku belum berkubur, itulah hakikat yang harus diterima. Malah lebih banyak buku diterbitkan pada masa ini daripada zaman sebelum ini. Era elektronik sebenarnya membantu memperkaya dunia buku dan pembacaan.
Debat berkuburnya buku bukan baru. Pada tahun 50-an apabila TV mula menjadi popular, banyak pihak yang meramalkan buku akan pupus. Jumlah penerbitan buku menunjukkan sebaliknya. Menurut Gabriel Zaid dalam bukunya So Many Books, pada tahun-tahun 50-an, dunia menerbitkan kira-kira 250,000 judul setahun. Apabila mesin cetak Gutenberg memungkinkan buku dicetak secara meluas pada tahun 1450, hanya 100 judul mampu diterbitkan setahun. Pada tahun 2000, sejuta judul buku telah diterbitkan. Sebagai perbandingan pada tahun 1947, Amerika Syarikat (AS) mempunyai hanya tujuh saluran TV, pada tahun 1949 jumlah itu menjadi 50 dan 517 pada tahun 1960. Hari ini jumlahnya ribuan. Di antara tahun 1947 dan 1960, judul buku yang diterbitkan di AS meningkat dari 7,000 setahun menjadi 15,000. Stesen TV bertambah banyak kali ganda.

Pada tahun 1550 terdapat 35,000 judul buku yang diterbitkan, seratus tahun kemudian jumlah terkumpul judul buku menjadi 150,000. Pada tahun 1750 jumlahnya ialah 700,000 dan pada tahun 2000, jumlah terkumpul judul buku dunia ialah 52 juta.
Pada hari ini sebuah buku terbit setiap 30 saat. Apabila anda selesai membaca rencana ini, 2,400 judul buku baru telah diterbitkan di dunia.

Sekali lagi, buku belum berkubur. Buku akan terus menjadi wahana ilmu dan maklumat utama manusia. Buku mencorakkan tamadun. Tamadun ditunjang oleh buku. Manusia menjadi cerdik kerana buku dan kecerdikan memungkinkan kelahiran buku. Tradisi keilmuan akan dicorakkan oleh buku, dulu, kini dan selamanya.
Maka itu buku tidak boleh pupus dalam bentuk asalnya. Memang benar era elektronik hari ini mengurangkan waktu membaca manusia dalam konteks yang kita fahami dahulu tetapi tidak mengurangkan jumlah buku yang terbit. Ada pandangan yang mengatakan perpustakaan tidak lagi relevan dengan wujudnya Wikipedia. Semua maklumat boleh didapati di hujung jari. Maklumat dan ilmu pasang siap bukan tandingannya tradisi ilmu sebenar yang teruji oleh amalan kesarjanaan dan budaya fikir yang halus.
Memang benar penerbit buku dan akhbar dicabar dengan hebatnya oleh banyak medium baru dalam era elektronik. Banyak syarikat akhbar yang satu masa dahulu gah kini gulung tikar. Pada waktu yang sama banyak syarikat buku yang berdepan dengan masa depan yang malap. Kompendium ilmu yang tersohor, Encyclopedia Britannica yang bermula pada tahun 1768 mengaku kalah dek asakan elektronik lalu menghentikan penerbitan dalam bentuk tradisionalnya. Pada bulan Mac 2012, penerbit ensiklopedia itu mengumumkan bahawa edisi tahun 2012 merupakan edisi bentuk buku yang terakhir.
Di sebaliknya cerita suram dunia perbukuan, banyak lagi cerita kejayaan luar biasa yang harus kita banggakan. Penerbit masih mampu mengeluarkan judul yang dianggap buku laris dunia yang memberikan kekayaan pada penulis. Penulis yang berjaya hari ini bukan sahaja menjadi selebriti tetapi hidup kaya raya dengan royalti.

Malangnya buku paling laris di Malaysia ialah novel popular dan buku agama. Akhdiat Akasah misalnya telah menulis 87 judul novel menjadikan beliau novelis paling produktif di negara kita. Buku serius sukar dijual, termasuk buku karya Sasterawan Negara kita.


Industri buku di Malaysia sebenarnya lebih kecil daripada industri ayam pedaging. Malaysia hanya mampu menerbitkan paling banyak 5,000 judul buku setahun, kebanyakannya buku teks dan buku kerja sekolah. Kita sepatutnya menerbitkan 12,500 judul buku am setahun. DBP sendiri hanya mampu menerbitkan 300 judul baru setahun. Hari ini China menerbitkan 180,000 judul, United Kingdom 16,000, AS 60,000 dan India 49,000.

Terlalu banyak potensi untuk mengembangkan industri buku di negara ini. Apa yang diperlukan ialah usaha menyemarakkannya. Kita memerlukan komitmen semua pihak bagi tujuan ini. Kita perlu menggalakkan pembacaan di kalangan rakyat. Usaha memasyarakatkan buku dan pembacaan memerlukan strategi baru. Buku dan pembacaan masih lagi anak kunci pada tradisi fikir dan budaya ilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan