Selasa, 3 Julai 2012

Penulis Generasi Muda Malas?

SIKAP penulis generasi muda yang malas memerah idea bagi menghasilkan karya bermutu ditempelak Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2004 yang juga penyair veteran, Dr Zurinah Hassan, pada Sesi Borak Buku.

“Kelemahan bangsa Melayu antaranya kurangnya keyakinan dan tidak percaya kepada keupayaan diri sehingga ada kalanya membawa kepada putus asa dan tidak mahu berusaha lebih gigih. Saya cadangkan anak muda masa kini jadikan buku ini sebagai bahan bacaan wajib.

“Za’ba dalam Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1982 membincangkan secara kritis sikap dan budaya Melayu yang sering bergantung harap kepada orang lain. Allahyarham juga banyak menyelitkan ayat Al-Quran untuk renungan,” katanya pada majlis di KL Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Puisi adalah khazanah berharga yang perlu dipegang kerana ia melambangkan budaya bangsa. Bagaimanapun, ketandusan penyair serius sememangnya membimbangkan. Kini penulis muda ramai yang lebih cenderung menghasilkan novel popular kerana pulangan lumayannya. - Dr Zurinah Hassan, Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2004.

Dr Zurinah turut mencadangkan agar DBP memberi nafas baru kerana gaya bahasa lama buku terbabit yang mungkin sukar difahami pembaca generasi baru terutama pelajar sekolah, agar ia lebih memberi manfaat kepada lebih ramai pihak.

“Ketika ini sukar untuk menemui penulis sehebat Za’ba yang begitu lantang mengkritik bangsa Melayu yang mudah lupa jati diri, mengabaikan bahasa dan nilai murni yang dipegang bangsa Melayu selama ini,” katanya pada sesi yang dihadiri lebih 50 khalayak.

Beliau turut berkongsi buku puisinya, Unsur Alam Dalam Puisi Melayu Moden yang diterbitkan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2010 yang memuatkan keterujaannya melihat alam sebagai tanda kekuasaan Allah SWT yang mencipta segala-galanya yang indah.

“Objek alam seperti laut, tumbuhan, haiwan dan peredaran waktu siang dan malam saya jadikan metafora dalam semua puisi saya. Pada saya, setiap karya sama ada genre puisi, cerpen atau novel, mesti mengandungi mesej positif dan unsur iktibar, sekali gus mampu mendidik pembaca,” katanya yang turut menyifatkan bukunya itu turut menyelitkan unsur keagamaan kerana turut menganalisis kandungan kitab suci, al-Quran. 

Program Borak Buku anjuran Biro Penulis Muda, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) turut membongkar rahsia peribadi Dr Zurinah yang gemar membaca komik jenaka santai seperti Majalah Ujang dan Gila-Gila.

Peminat novel berat berbahasa Inggeris itu turut memegunkan khalayak seketika apabila membuka nostalgia ketika mula berjinak-jinak dalam dunia penulisan dan cabaran berliku yang perlu ditempuh penulis zaman dulu.

“Saya masih ingat, dulu kegiatan menulis saya lakukan secara bersembunyi. Saya duduk daripada satu pohon ke satu pohon kerana orang dulu tidak melihat penulisan sebagai kerjaya yang memberi manfaat.

“Bayangkan untuk menghantar karya pula mengambil masa berbulan-bulan kerana menunggu giliran meminjam mesin taip dan selepas selesai, saya perlu mengirim karya secara pos dengan menaiki bas pula ke pejabat pos di pekan besar yang jauh dari kampung,” katanya pada acara yang berlangsung lebih satu sejam setengah.

Dr Zurinah turut berharap penulis muda berani menangani penulisan puisi yang kini ibarat hidup segan mati tak mahu dalam usaha mengubah tanggapan masyarakat yang melihat penulis puisi hidup dalam dunia khayalan.

“Puisi adalah khazanah berharga yang perlu dipegang kerana ia melambangkan budaya bangsa. Bagaimanapun ketandusan penyair serius sememangnya membimbangkan. Kini penulis muda ramai yang lebih cenderung menghasilkan novel popular kerana pulangan lumayannya,” katanya.
 
25 Jun 2012 - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan