PENULIS/2012/03-KA/02
Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS) ingin merujuk kepada
kenyataan Yang di Pertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Encik Ahmad
Malie, yang tidak setuju pelajaran sastera dijadikan subjek wajib lulus dalam sistem
pendidikan kebangsaan, seperti yang disiarkan dalam akhbar Utusan Sarawak pada
4 Julai 2012.
PENULIS berpendapat,
kenyataan tersebut agak tergesa-gesa, dan tidak melihat realiti sebenar yang
berlaku kepada perkembangan pelajar kita hari ini. Sebagai sebuah kesatuan yang
besar sifatnya, KGBS seharusnya mengambil sikap melihat, meneliti kesan jangka
panjang, dan bukannya sekadar melihat dasar pemisahan aliran yang memberi kesan
kepada sistem pendidikan Negara iaitu aliran Sains dan Sastera.
PENULIS
juga terkilan dan terkesan dengan kenyataan yang tidak rasional KGBS, yang
mengatakan bahawa “memadai pelajar mempelajari sastera sebagai satu subjek,
selain mengetahui unsur-unsur sastera dalam kehidupan”.
Mata pelajaran
Kesusasteraan Melayu mula diperkenal pada tahun 1957. Matlamatnya untuk
membolehkan individu pelajar dapat menjiwai unsur dan nilai murni dari segi
kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam
perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang
dihasratkan tercapai. Peranan utama sastera dalam pendidikan ialah membina
insaniah dalam kehidupan manusia. Dalam maksud lain, memanusiakan manusia
dengan segala watak dan perwatakan yang bermoral dan penuh integriti.
Selain daripada itu, kita perlu faham
bahawa sastera bukanlah sekadar cerita atau dogengan semata-mata. Subjek sastera
secara lateralnya mempunyai nilai pemikiran, pengajaran dan perasaan yang
subjektif. Sesungguhnya amat tepat sekiranya pihak Kementerian Pelajaran bersedia
menerima cadangan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), supaya matapelajaran
sastera wajib dipelajari dari peringkat prasekolah hingga ke institusi
pengajian tinggi, ketika budaya dan akhlak pelajar masa kini semakin membimbangkan
dengan pelbagai kerenah dan salah laku yang kronik.
Diyakini bahawa masalah atau krisis ini
berpunca daripada suasana pelajar kita dewasa ini yang kurang menghayati nilai-nilai
murni dalam kehidupan mereka, sama ada di rumah atau di sekolah. Di rumah, ibu
bapa lebih mementingkan kerjaya mereka dan pembentukan kerjaya anak-anak akan
datang dengan memaksa atau mendesak anak-anak dengan belajar untuk lulus
peperiksaan tanpa penerapan nilai ilmu itu sendiri. Demikian juga di sekolah,
lebih mementingkan peratus kelulusan daripada penerapan nilai dalam diri
pelajar. Hal ini merupakan suatu realiti atau kenyataan sebenar hari ini.
Dalam masyarakat Malaysia
yang berbilang kaum dan sekarang kian terarah dengan hidup berasaskan
ketakjuban ciptaan sains dan teknologi, maka pembelajaran sastera sangat
bererti. Hal ini penting bagi penyeimbangan dalam pencapaian lengkap dalam
membina kehidupan ini. Sesungguhnya tanpa pembelajaran sastera yang sempurna,
masyarakat maju pasti kehilangan unsur terpenting dalam kehidupannya. Hakikat
ini ditegaskan oleh John Naisbitt, melalui bukunya yang bertajuk High Tech High Touch, mengatakan bahawa
ada teknologi (high tech) yang
memabukkan manusia kerana mencengkam semangat manusia dan meningkatkan
pencarian manusia tentang makna atau kepastian. Hasilnya, manusia berada dalam
keadaan yang kompleks, dan sering pula terperangkap dengan hubungan yang
bersifat paradoksikal antara teknologi dengan usaha mencari makna.
Sastera, jika diajar
sebaiknya dapat mendidik pelajar dan pembaca memahami kehidupan dengan lebih
berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan tentang manusia dan masyarakat
yang kadangkala sukar untuk dimengertikan oleh fikiran rasional.
Lapan nilai yang
diterapkan dalam konsep 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah
hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti, semuanya
memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran sastera. Sememangnya kehidupan
manusia ini penuh dengan kemungkinan yang tidak terduga dan sastera mampu
menjelaskannya. Pengarang ialah manusia kreatif yang memiliki kemampuan
berfikir, berimaginasi, dan berbahasa untuk menghasilkan karya, sama ada puisi,
novel, cerpen, ataupun drama. Manusia dan masyarakatnya ialah bahan mentah yang
sangat penting kepada pengarang. Keperihalan manusia dan masyarakat menjadi
ilham kepada pengarang untuk berkarya. Maka, karya sastera dilihat sebagai
cermin masyarakat yang melalui proses pemilihan, pentafsiran, dan penilaian
pengarangnya. Lantaran itu, karya sastera sangat menarik untuk dibaca bukanlah
hanya sebagai cermin kehidupan, tetapi juga sebagai pandangan alternatif kepada
apa-apa yang kita lihat dan fikirkan tentang manusia dan masyarakatnya.
Laporan Akhir PIPP
2006-2010 ini, KPM juga telah mengenal pasti isu-isu yang memerlukan perhatian
dan tindakan lanjut dalam perancangan pendidikan dan cabaran masa hadapan. Antaranya ialah meneruskan program pendidikan yang mempunyai impak tinggi bagi
memupuk perpaduan dalam kalangan murid seperti Rancangan Integrasi Murid untuk perpaduan
(RIMUP) agar menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara mereka. Hal ini
adalah antara matlamat pengajaran subjek sastera, iaitu membolehkan pelajar
menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan,
kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta
tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai.
Sastera mampu
menembusi batas kemungkinan. Kemungkinan sastera melihat masa hadapan
masyarakat ada hubungannya dengan keupayaan sastera untuk memberikan
kebijaksanaan kepada pembacanya dengan membawa pembaca melihat dirinya dan
persekitarannya.
Sastera membawa dunia
baharu kepada pembaca dan dunia ini memperkaya pembaca dalam konteks emosi dan
intelek. Sastera berupaya memberikan pendidikan kepada emosi dan intelek
pembaca. Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mampu berfikir tentang
kehidupan, dan sastera bererti atau berharga kerana memiliki kemampuan ini. Sastera
seni perasaan, lantaran itulah di Barat subjek kesusasteraan amat penting. Malah
dalam jurusan profesional, satu subjek yang wajib untuk mengambil bahagian
dalam apa-apa jua bidang sastera, sama ada kesenian, muzik, seni tampak, dan
sebagainya. Hal inilah yang kurang difahami atau terlepas pandang oleh
masyarakat di Malaysia akan kepentingan sastera dalam kehidupan.
PENULIS
menyokong agar sastera dijadikan subjek wajib dipelajari secara khusus dan
wajib lulus dalam sistem pendidikan persekolahan kebangsaan. KOMSAS yang diajar
secara tempelan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak memberikan kesan yang
mendalam dalam diri pelajar. Peratusan nilai dan pengajaran yang diajar dalam
masa yang terhad itu, ditambah dengan ketiadaan
usaha yang mencukupi untuk menarik rangsangan pengajaran subjek tersebut,
selain daripada belajar untuk menjawab soalan peperiksaan dengan betul.
Sesuai
dengan usaha Kementerian Pelajaran yang sedang mengumpul dan merangka dasar Sistem
Pendidikan Negara yang baharu untuk 15 tahun akan datang, yang akan dilancarkan
pada hujung tahun ini, maka kami menyeru semua pihak terus subur dan tegar
dalam memberikan pandangan dan saranan yang bernas untuk kebaikan dan
ketamadunan negara bangsa pada masa hadapan.
Sudah
tiba masanya untuk kita mengutamakan penerapan nilai dalam diri pelajar selari
dengan usaha kita memartabatkan negara bangsa Malaysia. Jika mata pelajaran
lain yang tidak begitu berkaitan dengan pelajar dan nilai boleh dimasukkan,
kenapa sastera yang lebih penting dan lebih bermanfaat tidak?
PERSATUAN PENULIS SARAWAK (PENULIS)
Dikeluarkan
oleh:
Persatuan Penulis
Sarawak (PENULIS) pada 7 Julai 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan