Saya menamakannya 'Sindrom Cengkareng'. Cengkareng merupakan bandara
(Bahasa Indonesia bermaksud bandaraya udara) antarabangsa bagi kota Jakarta
atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta. Rakyat
Malaysia tiba-tiba bertutur dalam ‘longhat Indonesia’ apabila menjejakkan kaki
di sana.
Sindrom Cengkareng ini menjadi modal ceramah saya apabila bercakap tentang kedudukan Bahasa Melayu di negara ini. Tanpa kita sedari kita bercakap dalam bahasa formal dengan rakyat Indonesia, tanpa mengira kedudukan mereka, tetapi sesama kita, kita bercakap dalam laras bahasa pasar? Itu belum lagi penggunaan loghat, pengaruh kolokial atau gaya setempat yang menguasai pertuturan kita. Apakah secara tidak sedar kita mengakui bahawa Bahasa Indonesia perlu dituturkan secara lebih formal tetapi Bahasa Melayu tidak perlu? Apakah secara tidak sedar juga kita mengakui bahawa Bahasa Indonesia lebih tinggi darjatnya daripada bahasa kita?
Sindrom Cengkareng ini menjadi modal ceramah saya apabila bercakap tentang kedudukan Bahasa Melayu di negara ini. Tanpa kita sedari kita bercakap dalam bahasa formal dengan rakyat Indonesia, tanpa mengira kedudukan mereka, tetapi sesama kita, kita bercakap dalam laras bahasa pasar? Itu belum lagi penggunaan loghat, pengaruh kolokial atau gaya setempat yang menguasai pertuturan kita. Apakah secara tidak sedar kita mengakui bahawa Bahasa Indonesia perlu dituturkan secara lebih formal tetapi Bahasa Melayu tidak perlu? Apakah secara tidak sedar juga kita mengakui bahawa Bahasa Indonesia lebih tinggi darjatnya daripada bahasa kita?
Saya selalu menghujahkan bahawa pelakon
terkenal seperti Brad Pitt, Ryan Gosling, Danzel Washington, Angelina Jolie dan
Megan Fox tidak akan bercakap dalam Bahasa Inggeris yang buruk dalam
filem-filem mereka. Mereka tidak melanggar tatabahasa asas dalam bahasa itu.
Shah Rukh Khan, Aamir Khan, Hrithik Roshan dan John Abraham menggunakan Bahasa
Hindi yang relatif baik. Sinetron dari Indonesia memanfaatkan bahasa yang
berkualiti tinggi apabila diucapkan oleh para pelakonnya. Filem Tenggelamnya
Kapal Van Der Wijck, Sang Pencerah dan Lashkar Pelangi menonjolkan penggunaan
bahasa yang baik dan bermutu.
Filem-filem Melayu pada zaman gemilangnya adalah contoh terbaik penggunaan
Bahasa Melayu. Filem-filem seperti Hang Tuah, Penarik Beca, Sri Mersing dan
Hang Jebat mengetengahkan penggunaan bahasa yang baik. Malah pengarah filem
Hang Tuah (Phani Majumdar) tidak boleh berbahasa Melayu tetapi menggunakan
pakar bahasa untuk mendapatkan dialog yang baik untuk pelakon-pelakonnya, P
Ramlee, Ahmad Mahmud dan Saadiah.
Banyak orang menghujahkan bahawa bahasa dalam filem seharus menggambarkan
realiti sebenar di luar sana. Saya mohon untuk tidak bersetuju. Realiti dalam
filem tidak sama dengan realiti sebenar. Realiti dalam cereka merupakan sajian
semula. Seperti novel yang baik mengangkat bahasa dalam penceritaan dan dialog
pada tahap yang lebih tinggi daripada realiti, begitu juga filem.
Saya tidak boleh membayangkan Brad Pitt atau Shah Rukh Khan melanggar
tatabahasa Bahasa Inggeris atau Hindi seperti juga saya tidak akan percaya para
pelakon filem Garin Nugroho yang terbaru, Soegija akan melanggar tatabahasa
Bahasa Indonesia. Di Malaysia, semakin buruk bahasa digunakan, ‘semakin real’
dan semakin baik.
Saya juga mengesan terlalu banyak kesilapan bahasa dalam media massa hari ini.
Saya tidak tahu bagaimanakah para pelajar kita yang belajar Bahasa Malaysia
sejak Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima (11 tahun) tidak boleh membezakan di
antara ‘ialah’ dan ‘adalah’, ‘dari’ dan ‘daripada’ atau ‘antara’ dan ‘di
antara.’
Saya lebih tidak faham bagaimanakah pengguna Bahasa Melayu tidak boleh
membezakan dalam konteks mana sendi nama ‘di’ perlu dirapatkan atau dijarakkan.
Lebih malang lagi, bagaimanakah masih terdapat kesalahan menggunakan kata ganti
diri ketiga bagi bilangan yang banyak ‘mereka’ hingga menjadi ‘mereka-mereka?’
Bagaimanakah kata sendi nama ‘oleh’ pupus daripada ayat Bahasa Melayu
akhir-akhir ini? ‘Rumah itu dibina Awang’ sebenarnya janggal tanpa ‘oleh.’
Sepatutnya ‘majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri’, dan bukan ‘dirasmikan
Perdana Menteri.’ Memang ada keadaannya ‘oleh’ boleh ditiadakan, misalnya
‘penoreh getah itu dipatuk ular,’ tetapi lazimnya ‘oleh’ memberikan ayat yang
lebih santun dan baik.
Saya juga pernah menegur penggunaan kata-kata yang membawa pengertian khusus
dalam agama Islam. Seperti juga kalimah ‘Allah’ tidak wajar digunakan dalam
Kitab Bible, ada perkataan yang maknanya khusus dan dianggap kudus. ‘Hijrah’
memang bermaksud ‘berpindah’ tetapi maknanya mengkhusus kepada kebaikan
mengambil semangat Hijrah Rasullulah. Maka itu, kita tidak boleh menggunakan
‘pelacur berhijrah dari Ipoh ke Kuala Lumpur’ atau ‘panda dari Beijing
berhijrah ke Kuala Lumpur.’ Konotasi agamanya harus kita fahami.
Banyak lagi kelemahan dan kesilapan yang berleluasa dalam Bahasa Melayu hari ini. Maka itu saya mengalu-alukan penerbitan buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media Massa. Buku ini diterbitkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Buku kecil ini besar maknanya bagi memperbaiki kelemahan penggunaan bahasa. Anggaplah buku ini usaha awal dalam mengenal pasti kelemahan itu. Buku ini sudah pasti akan diperbaiki berdasarkan maklum balas pengguna bahasa dalam media massa.
Saya melihat buku ini mengambil semangat Tatabahasa Dewan dan beberapa siri
panduan bahasa yang pernah diterbitkan oleh DBP sebelum ini. Saya bersetuju
dengan Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan bahawa dengan terbitnya panduan ini
usaha untuk memungkinkan penggunaan bahasa yang lebih baik akan terlaksana.
Kita berharap rakyat kita lebih peka pada keperluan menggunakan bahasa yang baik dan betul. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa kebangsaan merupakan bahasa rasmi negara. Media harus menunjukkan contoh yang baik.
Oleh Datuk Johan Jaaffar (Berita
harian 7/2/2013)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan