Hari ini penulis melihat
kecelikan rakyat Malaysia di merata-rata tempat berkenaan isu semasa khususnya
berkenaan pembubaran parlimen negara. Sama ada di laman sesawang seperti
facebook, mahupun lembaran akhbar dan artikel-artikel yang ditulis. Walaubagaimanapun
masih ada yang hidup di bawah tempurung atau memilih untuk tidak mengambil tahu
langsung akan keadaan semasa.
Hari
ini, pada jam 11.30 pagi, Datuk Seri Najib Abdul Razak, bekas Perdana Menteri
Malaysia yang keenam telah mengumumkan pembubaran parlimen. Selaras dengan itu,
di bawah Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, pilihanraya umum hendaklah
diadakan dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh pembubaran dan Parlimen
hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada tempoh
satu ratus dua puluh (120) hari dari tarikh pembubaran iaitu 3 April 2013.
Di
mana ianya bermaksud Parlimen hendaklah dibentuk pada atau sebelum 1 Ogos 2013.
Dengan kata lain, tempoh pilihanraya daripada satu penggal ke penggal yang lain
bukanlah lima (5) tahun walaupun jangka hayat Parlimen adalah lima (5) tahun
dari tarikh mesyuarat pertamanya seperti yang dinyatakan di dalam Perkara 55(3)
tetapi adalah lima tahun dan seratus dua puluh hari. Apabila Parlimen
dibubarkan maka secara otomatik kabinet juga akan terbubar dan dengan kata lain
semua menteri dan timbalan menteri adalah berstatus penganggur bermula hari
ini.
Justeru,
isunya ialah, siapakah yang akan memerintah dalam tempoh satu ratus dua puluh
hari itu?
Dengan
meminjam konsep atau sistem “Westminster Parliament”, kerajaan “caretaker” atau
“Penjaga Kerajaan” akan menggalas amanah itu. Sekiranya diselak Perlembagaan
Persekutuan, tidak ada dalam mana-mana bahagian yang menyatakan berkenaan
perkara ini. Tanggapan “Penjaga Kerajaan” ini pada asasnya adalah konvensyen
parlimen atau kerajaan. Ianya boleh digambarkan sebagai kerajaan
interim yang akan mentadbir sementara menunggu keputusan daripada
sesuatu peristiwa atau keadaan yang akan menentukan siapakah kerajaan baru di
mana dalam keadaan ini ialah pilihanraya 2013 yang akan berlangsung tidak lama
lagi.
Dua
negara iaitu Britain dan Australia telah dijadikan sumber rujukan berkenaan
perkara ini memandangkan ianya tidak dinyatakan di dalam undang-undang
Malaysia.
Pada
September 2012, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengumumkan bahawa mereka
telah menyediakan draf panduan untuk “Penjaga Kerajaan” dan ianya akan
dibentangkan kepada kerajaan untuk perbincangan lanjut. Panduan itu adalah
salah satu daripada 22 syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan untuk
Pembaharuan Sistem Pilihanraya dalam usaha untuk memperbaiki sistem pilihanraya
negara.
Walaubagaimanapun,
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah menyatakan bahawa suruhanjaya
itu tidak ada mandat untuk membuat draf panduan berkenaan memandangkan tidak
ada proviso di bawah perlembagaan yang membenarkan perkara sedemikian
dilaksanakan. Malah sekiranya SPR mempunyai polisi berkenaan perkara ini juga
tidak akan ada jaminan “Penjaga Kerajaan” akan mematuhi akan polisi yang
disediakan.
Persoalan
yang sering diajukan berkenaan tugas “Penjaga Kerajaan” ini ialah adakah kuasa
mereka ini sama seperti kerajaan pemerintah?
Ingin
diingatkan “Penjaga Kerajaan” hanya dibenarkan untuk “memegang negara”
sementara menunggu keputusan pilihanraya 2013 yang akan diadakan dan tidak
dibenarkan untuk membuat sebarang polisi yang akan mengikat kerajaan yang akan
dibentuk, tidak dibenarkan untuk membuat sebarang komitmen perbelanjaan baru
selain daripada yang telah ditetapkan, tidak dibenarkan untuk membuat sebarang
perlantikan yang akan mengikat kerajaan baru dan tidak dibenarkan untuk
memasuki sebarang kontrak yang melibatkan kerajaan.
Perkara
43(2) Perlembagaan Persekutuan telah jelas menyatakan jika sesuatu perlantikan
itu dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat
yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas
permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik
menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru itu dan dalam
apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Dengan
kata lain, perlantikan jawatan untuk menjadi “Penjaga Kerajaan” dalam tempoh
120 hari itu bukanlah tiket yang membolehkan seseorang itu secara otomatik memegang
jawatan di dalam kerajaan semasa pembentukan kerajaan baru.
Maka
dengan ini, sementara kita semua di bawah lembayung sayap “Penjaga Kerajaan”,
penulis mendoakan agar negara berada dalam keadaan sejahtera sehingga
pembentukan kerajaan baru dilaksanakan dan selamat maju jaya kepada semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan