Teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
sempena pembubaran Dewan Rakyat yang disiarkan secara langsung melalui
televisyen dan radio, pada jam 11.30 pagi tadi:
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
1. Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke
hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya saya dan Timbalan Perdana
Menteri dapat bersama-sama secara langsung dengan Tuan-tuan dan Puan-puan
sekalian pada pagi ini.
2. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada
pagi ini saya telah pun menghadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan
menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12
dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013. Sehubungan dengan itu selaras
dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan baginda telah pun memperkenankan
bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.
3. Sehubungan dengan itu saya menasihatkan kepada ketua-ketua
kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap Ketua-ketua Negeri mereka bagi
mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing agar pilihan
raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara. Rakyat Malaysia
yang dikasihi,
4. Hari ini, empat tahun yang lalu, pada tanggal 3 April 2009,
saya telah pun mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab
sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang tercinta. Dalam tempoh tersebut
saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan
anggota-anggota pentadbiran yang lain telah dengan segala ikhtiar serta upaya
mencetus dan melaksanakan perubahan dan pembaharuan berpaksikan kepada Falsafah
1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta dipandu oleh Dasar
Transformasi Nasional.
5. Dalam tempoh empat tahun yang lepas rakyat Malaysia telah
dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa
Transformasi Nasional yang melibatkan Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi,
Politik dan Sosial telah dilaksanakan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan
kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara.
6. Kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang
bertanggungjawab, kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan kepentingan
tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan
kerajaan yang apabila berjanji menepati janji, kami merupakan kerajaan yang
apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya. Bukan sikap kami
menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta
diukur daripada prestasi dan “Track record” kami sepanjang empat tahun yang
lalu. Rakyat Malaysia yang dikasihi,
7. Pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses
pilihan raya umum bagi kali yang ketiga belas untuk negara semenjak tahun 1959
iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum pertama pasca merdeka.
8. Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem
Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa
mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.
9. Sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi Malaysia
telah berjaya menyediakan asas yang subur untuk kestabilan dan kemakmuran
nasional yang telah dinikmati warganegara ini selama lebih lima dekad.
10. Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana
walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya
kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.
11. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi
kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Semua parti politik yang memilih
untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab.
Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti
masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan
seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang
bakal diadakan.
12. Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di
negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan akhirnya
proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini
dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik
tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur
hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.
13. Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di Malaysia
semenjak merdeka lagi proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa,
adil dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di
peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat
sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi
sarwajagat.
14. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan
mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia. Hakikatnya perbezaan pendapat,
idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan malah
jika ditangani dan diurus secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu
mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.
15. Marilah kita sama ada parti kerajaan mahupun parti
pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan
menghormati keputusan yang akan dibuat oleh rakyat. Marilah kita sama-sama
berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar, aman dan selamat.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
16. Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada akan
meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran
perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya.
17. Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada
semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa jika berlaku
sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun di
peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib. Inilah
iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi, inilah tekad kita dalam
menggerakkan transformasi politik, inilah komitmen kita dalam menghormati suara
dan mendahulukan kepentingan rakyat.
18. Kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di
Pantai Timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah
tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia, pihak
keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang
selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
19. Setiap undi anda adalah penting, jangan bazirkan ia,
janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia. Fikir dan
renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi
saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri
tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.
20. Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja
bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen
dan Dewan Undangan Negeri tetap juga memilih kerajaan yang akan mendukung
aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
21. Saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat
kerana diberi kepercayaan untuk mengkhidmati tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang
telah diberikan oleh rakyat, kami telah dan memberikan yang terbaik demi untuk
Malaysia dan warganya.
22. Di sini saya selaku Ketua Kerajaan Barisan Nasional ingin
merakamkan rasa penghargaan dan ucapan kasih kepada rakyat Malaysia kerana
telah memberi kepercayaan kepada kami Kerajaan Barisan Nasional untuk menerajui
kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas. Mulai hari ini saya dan
rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu rakyat di seluruh pelosok
negara bagi meyakinkan warga Malaysia kenapa kami BN perlu diberi peluang
kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.
23. Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah
untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang
lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu
kita semua. Ayuh teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional
ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah pencapaiannya
bukan secara automatik ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan
kesinambungan kejayaan yang ada.
24. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk
menjadikan impian ini sebuah realiti, Malaysia yang maju, makmur dan selamat,
penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua. Demi Malaysia, usaha bakti
kita curah, kepada Tuhan kita berserah.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan