Ahad, 17 Jun 2012

Mudahkan, Jangan Susahkan...


Judul: Mudahkan Jangan Susahkan
Pengarang: Syed Alwi Alatas
Tahun: 2012
Penerbit: Telaga Biru

Pengarang yang pernah muncul dengan bestseller Bila Allah Menduga Kita, sekali lagi muncul dengan buku yang membawa motivasi menyegarkan – dibumbui kisah dan anekdot yang mampu menyuluh pemikiran dan melembutkan hati.
Buku ini menggamit pembaca untuk merenung semula segi-segi yang adakalanya kita terlepas pandang ketika mencari dan mengimpi kemudahan dalam segenap rentetan hidup. Ini kerana naluri manusia sememangnya mencintai kemudahan dan benci kepada kesusahan.
Bab pertama buku ini berjudul Manusia dan Kesusahan Hidup, membawa pembaca merenung mengenai hakikat kesusahan, sesuatu yang perlu kita tempuh sebagai manusia. Hanya dengan kesusahan maka hidup ini mempunyai makna, dan kesusahan itu juga menjadi daya gerak ke hadapan. Kesusahan jika dilihat dari persepsi berbeza, mampu memberi impak yang berbeza dalam kehidupan seharian. Jadi ia berbalik kepada cara kita memandang sesuatu.
Dalam bab kedua Tuhan Tidak Ingin Menyusahkan Kita, pengarang menambah nilai agama terhadap makna kemudahan dan kesusahan, menjelaskan lagi bagaimana seorang Muslim patut menimbang kedua-duanya. Antara yang menarik adalah kisah Nasruddin Hoja yang mencari barang yang hilang di tempat yang tidak sepatutnya, menjadi sindiran tajam dalam konteks mencari kemudahan biar bertempat.
Bab ketiga Jangan Semua Dipandang Mudah memperteguh lagi isi dalam bab kedua, yang bercerita mengenai kepentingan tidak memandang mudah semua perkara. Ini adalah antara bab yang paling saya suka, kerana aspek inilah yang paling sering terlupakan ketika naluri kita mendamba kemudahan. Adakalanya dosa itu tampak mudah di dunia, tetapi di akhirat menjadikan kita sangat susah.
Selain itu, bab keempat juga memberi sudut pandang yang bernas, mengenai Susah di Dalam Susah di Luar. Di situ ada beza yang nyata, antara kesusahan yang sudah menjadi raja di hati, dengan kesusahan yang kita tangani secara hikmah. Banyak kisah pembuka minda yang boleh direnungkan seperti cerita Cak To, tiga pengembara dan Syaqiq al-Balkhi dengan Ibrahim Adham.
Namun, apabila tangan kesusahan mencengkam kita dengan kuat, pesan pengarang adalah Hadapilah Kesusahan Itu (Bab 5), dengan mencipta kemudahan, berdoa, bertawakal, memanfaatkan imaginasi, serta kekal positif secara praktis dan teori. Cerita Abdul Ghafoor dan Soros memberi gambaran lebih jelas bagaimana orang-orang yang hebat menghadapi kesusahan.
Sudah tentu dalam memperkata kesusahan tidak lengkap jika kisah dakwah Rasulullah s.a.w. yang penuh ujian dan tribulasi tidak dijengah. Dalam bab enam Belajar Daripada Sejarah, kisah-kisah dakwah diperturun semula dalam bahasa mudah dan dari sudut pandang yang menyegarkan. Antara yang mengesankan adalah bagaimana menguasai perasaan di kala kesusahan itu mampu menghalang musibah yang lebih besar yang mungkin terjadi, dan di sini kisah ketewasan Muslimin dalam perang Uhud benar-benar menyentuh. Manakala kisah perang Khandaq menuntut bakaran semangat pada saat-saat paling genting. Sejarah Rasulullah sentiasa mengajar supaya meletakkan Allah dan Rasulullah sebagai penawar segala musibah, menjadikan kedua-duanya pengubat hati orang-orang Mukmin. Kisah Qadi al-Fadhil juga sangat menginsafkan, dengan kecacatannya mampu mengubah rentetan sejarah, dan Salahudin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih sendiri tidak melalui jalan yang mudah dalam menjadi pahlawan ulung Islam. Begitu pula Malcolm X, mengambil contoh dari zaman kini.
Seterusnya bab tujuh Apakah Ini Menyusahkan? menyenaraikan prinsip-prinsip yang harus dipegang bagi sesiapa yang ingin mencari kemudahan hakiki dalam hidup. Mungkin sesetengah prinsip ini susah dilaksanakan, tetapi sebenarnya wajib dimiliki oleh setiap orang. Teristimewa adalah sikap jujur dan mencari yang halal, yang dalam zaman kini sering dianggap suatu kebodohan jika pada permukaannya terlihat merugikan. Padahal di sebaliknya ada kesenangan yang terbentang, penuh keberkatan.
Setelah melalui pelbagai kesusahan dan kesulitan, Kemudahan Akan Menemui Jalannya (Bab 8), dan inilah yang diyakini oleh pengarang serta dimantapkan dalam bab ini. Manis sekali apabila pengarang menyimpulkan bahawa apa yang dipilih Allah untuk seseorang, adalah lebih baik daripada pilihannya sendiri. Meskipun ada pengulangan yang telah disentuh bab-bab di atas tetapi kisah-kisah yang dihidangkan adalah penguat kepada kenyataan-kenyataan terdahulu, menyokong judul yang dibawakan pengarang.
Bab 9, Agar Menjadi Mudah menghidangkan lebih banyak tips dan formula, bagaimana mencapai kemudahan dalam setiap perkara yang diusahakan. Niat yang baik, kemahuan yang kuat, persediaan rapi, usaha yang keras dan sikap hati-hati dapat membantu dalam banyak hal untuk menghindari dan melepasi setiap kesusahan yang bakal datang.
Bab akhir sekali, Mudahkan Diri Mudahkan Orang Lain, mengajak pembaca untuk turut menciptakan kemudahan untuk orang lain, bukan hanya diri sendiri. Secara tidak langsung, kemudahan yang dicipta untuk orang lain itu, nescaya akan membawa kemudahan berganda pula kepada yang mencipta kemudahan itu.
Buku ini sendiri secara keseluruhannya adalah buku yang mudah dihadam, kerana cara penyampaiannya yang bersahaja dan tidak berat, sesuai dengan judul dan konsepnya untuk memotivasikan secara berhikmah. Buku ini sesuai terutama kepada para pelajar yang sedang mendaki tangga pengajian ke peringkat lebih tinggi dan sedang memasuki dunia kerjaya, selain secara umumnya untuk sesiapa sahaja yang mencari kemudahan hidup, tetapi belum berasa puas, atau yang bergelumang dengan kesusahan, dan berasa sangat resah. Mungkin buku ini akan dapat membuka beberapa aspek sudut pandang dan memberi makna baru kepada susah senang kehidupan.

Rabu, 13 Jun 2012

Cabaran PENULIS Sarawak


PENGARANG Sarawak menggalas tanggungjawab besar dalam menggali, mengetengah dan memperkembangkan nilai tradisi masyarakat pelbagai etnik negeri itu menerusi penerbitan karya dengan aspirasi tempatan, tetapi malangnya kelebihan itu belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Ketua Satu Persatuan Karyawan Limbang (PENGKARYA), Benyamin Matussin berkata, masih ramai penulis Sarawak yang tidak menonjolkan kesungguhan dalam menghasilkan karya yang diadun dengan nilai budaya bangsa.

“Sarawak kaya dengan cerita rakyat, pantun, syair, seloka, mantera, lagu rakyat, perbilangan dan mantera. Ia indah dan satu kerugian sekiranya segala tradisi yang kaya dengan teladan itu hilang ditelan zaman. Ia lambang keintelektualan dan kebijaksanaan bangsa,” katanya ketika berkongsi Memperteguh Jati Diri Pengarang: Mempertahan Nilai-nilai Tradisi, Meneropong Masa Depan Secara Realistik bersempena Perhimpunan Karyawan Sarawak 2012.

Benyamin memaklumkan, ada lebih daripada 24 suku kaum di Sarawak yang mengamalkan nilai budaya, sistem politik, sosial, kesenian, bahasa dan sastera yang sehingga kini masih belum diterokai sepenuhnya. 

“Suatu kerugian sekiranya penulis tidak menggunakan ‘modal’ kepelbagaian kebudayaan setempat dalam memperkenalkan sastera Sarawak pada peringkat nasional dan antarabangsa, apatah lagi kisah kebudayaan Borneo mendapat permintaan menggalakkan penduduk di Semenanjung Malaysia. 

Setakat ini, Sarawak boleh berbangga dengan kehadiran pengarang seperti penerima Anugerah Penulisan Sea 2006, Jong Chian Lai; Jais Sahok, Abang Patdeli Abang Muhi, Jaya Ramba, Hajijah Jais, Latifah Shebli dan Poul Nanggang yang tegar mempertahan nilai budaya dengan karya mengenai tradisi masyarakat Melayu, Melanau, Iban, Kedayan dan Bisaya.

Bagaimanapun, kehadiran pelapis muda dalam menterjemah persuratan bangsa termasuk cerita mitos, legenda, cerita penglipur lara secara kreatif dan segar amat diperlukan dan berupaya meletakkan sastera Sarawak dalam liga tersendiri. Benyamin mencadangkan usaha pengumpulan khazanah tradisi, kajian dan penerbitan semula dilaksanakan menerusi sinergi membabitkan pihak berwajib termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak, persatuan penulis, kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan sejarah, seni dan kebudayaan tradisional terus dihayati. 
Penulis Sarawak yang kerap mengadun etnik Iban, Jong Chian Lai meluahkan kekecewaannya mengenai ketidakprihatinan pihak bertanggungjawab dalam membantu penulis dalam penerbitan karya berunsur tradisi dan budaya bangsa.

“Kebanyakan penulis kurang berkarya bukan kerana tidak produktif, tetapi kekangan dana serta sokongan pihak berwajib yang membantutkan penghasilan karya berunsur ilmu. Kebanyakan bantuan diberikan untuk aktiviti persatuan penulis, sewajarnya dana turut disalur untuk membantu penulis secara individu terutama dalam urusan penerbitan buku, apatah lagi karya yang mengangkat unsur budaya dan tradisi agak lembap penjualannya,” katanya.
Oleh Latifah Arifin BERITA HARIAN

Adat Perkahwinan Orang Melayu Sarawak


JARANG sekali penulis membuat penyelidikan mendalam tentang budaya sesebuah puak atau kaum, apatah lagi menjalankan penyelidikan terperinci mengenai adat perkahwinan serta pantang larang yang mesti dipatuhi oleh pasangan pengantin dan keluarga mereka. Kekurangan ini diisi buku Adat Perkahwinan Orang Melayu Sarawak yang dihasilkan berdasarkan penyelidikan mendalam oleh Abang Yusuf Puteh yang juga banyak menghasilkan buku berdasarkan budaya dan adat orang Melayu khususnya.

Buku ini adalah terbitan edisi kedua dan kesinambungan daripada edisi pertama yang dihasilkan penulis semasa menulis tesisnya pada 1958 dan edisi kedua ini menghuraikan adat perkahwinan orang Melayu Sarawak secara khusus. Buku ini memberi tumpuan kepada perjalanan perkahwinan suku itu khususnya di Kuching, bermula dengan proses pemilihan teman hidup, berkenalan dan bertenung, selain dilengkapi pandangan tentang asal usul, status pendidikan, ekonomi, agama serta bahasa.

Pengarang membahagikan buku ini kepada lima bahagian, dimulai dengan pandangan asal usul keturunan, sistem kekeluargaan, bahasa, agama dan lapisan masyarakat, diikuti tanggapan tentang perkahwinan dan perceraian, adat permulaan perkahwinan, persediaan dan sesudah berlangsungnya perkahwinan. Dapatan kajian pengarang menunjukkan adat perkahwinan orang Melayu di Kucing sudah bercampur baur ekoran mengalami penghijrahan dan perkahwinan campur dan penulis merumuskan orang Melayu Sarawak sebagai satu anggota daripada satu keluarga bangsa Melayu.

Bagi pengarang, pasangan pengantin dan keluarga melalui beberapa proses rumit dan ‘leceh’ sebelum perkahwinan kerana mengikut adat tradisi turun-temurun budaya mereka termasuk berkenal-kenalan dan ‘berugam’ iaitu menilik keserasian pasangan berdasarkan horoskop dan sekiranya didapati sepadan, maka proses seterusnya akan dilakukan. Seperti juga masyarakat Melayu di Semenanjung, wakil untuk melihat gadis yang bakal disunting akan dihantar dan ini dipanggil ‘bertenung’ dengan petanda seperti kicauan burung, kucing menyapu muka dengan kaki dan ular melintas disifatkan sebagai petanda baik.

Adat merisik atau disebut ‘kerisit kerimum’ pula dijalankan untuk mengetahui sama ada seseorang gadis yang dihajati sudah berpunya atau sebaliknya, dan jika belum berpunya, maka tarikh bagi rundingan seterusnya akan dibincangkan secara rasmi melalui adat ‘jarum-jarum’. Dalam upacara adat ‘jarum-jarum’, wakil lelaki yang berkunjung ke rumah gadis yang hendak disunting akan memilih tarikh untuk acara ‘tekul’ atau pertunangan rasmi yang akan ditetapkan secara kasar.  Adat ‘mereya’ atau menghantar duit iaitu menghantar belanja bagi orang Semenanjung akan dirundingkan dan sekiranya si gadis mempunyai kakak yang belum berkahwin, pemberian hadiah dikenali ‘langkah batang’ kepada si kakak ditetapkan bagi mengelak nasib malang.

Hampir tibanya hari perkahwinan, pelbagai acara dilakukan untuk menyambut hari bersejarah itu dan uniknya upacara orang Melayu Sarawak sangat menitikberatkan persiapan untuk bilik pengantin seperti acara ‘ngantung kelambu’ dan bilik pengantin akan dihias seperti pentas bangsawan. Akad nikah dijalankan seperti masyarakat Melayu di Semenanjung, disusuli ‘mandi air perantan’ sebelum memakai persalinan untuk upacara ‘berbandin’ iaitu duduk di atas kerusi di hadapan bilik pengantin, selain amalan memberi sagu hati kepada tuan rumah yang dikenali ‘sarung surat’ turut diamalkan masyarakat Melayu Sarawak.

Buku ini memberi gambaran jelas mengenai adat perkahwinan orang Melayu Sarawak, terutama adat serta upacara tradisional amalan nenek moyang yang semakin pupus dan semakin dilupakan masyarakat zaman kini. Pelbagai amalan, budaya dan pantang larang telah dirangkumkan dengan sempurna dalam buku setebal 135 halaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dapat menambah pengetahuan mengenai budaya kaum lain. 

Oleh Shuhaniza Said, BERITA HARIAN

Isnin, 11 Jun 2012

Jadua Perlawanan Euro 2012 Waktu Malaysia

Pertandingan bola sepak eropah sudah bermula minggu ini. Perlawanan euro 2012 akan bermula pada tarikh 08.06.2012 dan tarikh tersebut adalah perasmian pertandingan dan juga bermulanya perlawanan bola sepak yang akan berlangsung di poland dan ukraine. Mesti ramai nak tahu jadual perlawanan bola sepak euro 2012 terkini dan terbaru yang akan berlangsung nanti. Di sini aku sharekan jadual perlawanan bola sepak euro 2012 waktu malaysia. Senang bagi mereka yang gila bola untuk stay up sampai mata lebam nak tengok pasukan kegemaran masing-masing bermain.

Aku jangkakan pasukan pilihan yang akan menang euro 2012 ini adalah sepanyol atau belanda. Ini kerana barisan pemain mereka yang majoritinya adalah datang dari pasukan kelab gergasi eropah. Semuanya kebanyakan adalah bintang terkenal bola sepak dunia. Tetapi itu adalah prediction aku atas kertas.

Bola itu bulat dan apa-apa boleh terjadi dalam dunia pertandingan bola sepak. Betul tak?

Selasa, 5 Jun 2012

Klik dan Terima Cenderamata.

Kami berpendapat, salah satu cara untuk penyebaran maklumat dan promosi, muka buku (Facebook) wajar dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Sehubungan dengan itu, kami telah membuat ketetapan dan sepakat agar ahli yang ke-500, ke-1000, ke-3000, ke-5000, mendaftar sebagai ahli muka buku kami, akan diberikan cenderamata oleh PENULIS. Begitu juga kepada yang “LIKE” pada halaman utama muka buku kami. Untuk tujuan tersebut, sila e-melkan alamat penuh anda kepada kami. Sila ke https://www.facebook.com/pages/Persatuan-Penulis-Sarawak-PENULIS/257912244307513 dan https://www.facebook.com/penulissarawak

Isnin, 4 Jun 2012

Tahniah Tan Sri SUK Sarawak


Tahniah diucapakan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, yang telah dikurniakan pingat Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM), yang membawa gelaran 'Tan Sri' sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu`adzam Shah.

Daulat Tuanku!


Seluruh warga Persatuan Penulis Sarawak (Penulis) mengucapkan Dirgahayu kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Xiv Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, bersempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda SPB Yang Di-Pertuan Agong. Semoga Allah Memberkati Usia Pemerintahan Tuanku.

Fokus Kepada PENULIS



Pengerusi Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS), yang baharu dipilih dan dilantik, Encik Awang Zaidel Bin Awang Jamil, telah secara sukarela menarik diri untuk mengganggotai ahli jawatankuasa kecil Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), bagi menumpukan fokus kepada PENULIS. 

Menurut kenyataan beliau kepada Blog PENULIS, keputusan itu diambil bagi memastikan tidak berlaku pertindihan dan perselisihan dalam etika berpersatuan. Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha, dan Penolong Setiausaha PEKASA selama satu penggal, dan pernah berkhidmat bersama PEKASA semasa diterajui oleh Tuan Haji Taufiq Firdausi dan Encik Jaafar Haji Hamdan.

“Terima kasih diucapkan kepada kepimpinan PEKASA di atas kepercayaan yang telah diberikan selama ini, dan insya-Allah, kerjasama erat tetap akan diteruskan walau pemimpin silih berganti,” ujar beliau dalam twitternya kepada Blog PENULIS.

Selama bersama PEKASA, beliau terlibat dalam melestarikan penubuhan PEKASA Cawangan Simunjan, penerbitan buku Harum Manis Negeri Kami, penganjuran Bicara Orang Muda (BOM), Perkampungan Karyawan Sarawak 2012, Bengkel Penerbitan PENA-ITBM-DBP, Hari Penyair Nusantara di Palembang, Indonesia, sambutan Hari Pejuang Bahasa 152, penganjuran pertandingan lagu puisi, penganjuran bengkel penulisan dan penulisan kreatif.

PEKASA yang ditubuhkan pada 27 Mei 2004, telah dilulus daftarkan penubuhannya pada 21 Julai 2005. Selain PEKASA yang berada di selatan Bumi Kenyalang, terdapat dua buah lagi persatuan penulis iaitu Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan Persatuan Karyawan Limbang (PENGKARYA). Oleh JS

Sabtu, 2 Jun 2012

Peraduan Mengarang Esei Kenegaraan 2012

Jabatan Penerangan Negeri Sarawak menganjurkan Peraduan Mengarang Esei Kenegaraan 2012 , dan terbuka kepada warganegara Malaysia menetap di Sarawak.Terdapat 2 kategori penyertaan iaitu kategori pelajar sekolah menengah & kategori orang awam. Peraduan ini terbahagi kepada 3 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris & Iban. Tarikh tutup peraduan pada 29 JUN 2012

Kenyataan Rasmi PENULIS


KENYATAAN RASMI
PERSATUAN PENULIS SARAWAK (PENULIS)

Sejak muka buku (facebook) PENULIS diluncurkan pada akhir April 2012, kami menerima banyak pertanyaan, berhubung status, objektif penubuhannya, adakah akan bertindih dengan persatuan karyawan lain yang sudah wujud di Kuching, dan Sarawak amnya. Tidak kurang juga, kami menerima sindiran sinis, wasangka, daripada warga muka buku yang mempertikaikan kewujudan PENULIS. Kami melihat ini sebagai reaksi yang positif, dan bererti kehadiran PENULIS menarik perhatian pelbagai pihak. Bagi menjelaskan persoalan yang pelbagai dan kekeliruan, kami rungkaikan di sini jawapan kepada persoalan yang telah dirangkumkan.
  • PENULIS ditubuhkan oleh sekumpulan penulis, yang mahu ada wadahnya yang tersendiri, untuk menghimpun dan melestarikan penulisan bersifat isu semasa, ilmiah dan kemasyarakatan.
  • PENULIS diwujudkan bukan untuk bersaing dengan persatuan lain, atau tanda protes seperti mana yang dicurigai dalam wajah muka buku.
  • Dari segi aktiviti dan keahliannya, PENULIS tidak akan bersaing dengan persatuan yang telah sedia ada memberikan penekanan berhubung kesusasteraan seperti Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), dan Persatuan Karyawan Limbang (PENGKARYA). PENULIS akan bekerjasama, malah akan membantu persatuan sedia ada untuk menganjurkan apa-apa kegiatan seumpamanya, untuk kebaikan ahli PENULIS dan masyarakat keseluruhannya.
  • PENULIS akan menumpukan kepada program berkaitan kebahasaan, isu semasa dan kemasyarakatan.  
  • Keahlian PENULIS terbuka kepada individu yang bermastautin di Sarawak. Namun, keahlian akan dihadkan kepada ahli-ahli yang dilantik, untuk tujuan membantu melaksanakan sesuatu projek, dan keutamaan keahlian adalah kepada wartawan media masa cetak dan elektronik berbahasa Melayu, dan pihak berkuasa keselamatan (PDRM, ATM, JPA, RELA, dsb) yang terdapat di seluruh Sarawak.
  • PENULIS akan bekerjasama dengan persatuan lain yang terdapat di setiap bahagian bagi menganjurkan pelbagai program yang berunsurkan maklumat dan berpengetahuan.
  • PENULIS menyambut reaksi positif berhubung maklum balas awal daripada pengguna muka buku berhubung kewujudan PENULIS.
  • PENULIS mengalu-alukan sebarang cadangan dan komen daripada pengguna wajah buku, dan silalah hantar ke e-mel: penulissarawak@gmail.com
Sekian, terima kasih.
PERSATUAN PENULIS SARAWAK (PENULIS)

Dipersetujui pada             : 31 Mei 2012 (Bil. Mesy. Khas 1/2012)
Dikeluarkan pada             : Jumaat, 1 Jun 2012, jam 10.20 pagi

Penubuhan PENULIS Diluluskan


Alhamdulillah, dengan izinNya, Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS), dapat diwujudkan. Asalnya, persatuan ini hanyalah sebagai landasan untuk sekelompok wartawan dan bekas wartawan, berpesatuan. Setelah memikir  nama yang sesuai, maka telah dicadangkan namanya ialah PENULIS, merujuk kepada sesiapa juak yang boleh menulis. Dalam konteks ini, merujuk kepada individu yang menulis menggunakan bahasa Melayu. 

Seperti mana kewujudan persatuan lain, banyak ‘suara-suara sumbang’ yang bersifat negetif terlebih dahulu dikhabar kepada kami. Yang jelas, segala suara sumbang dan curiga negatig berhubung PENULIS akan kami jadikan sebagai dorongan. Dalam hal ini kami berpegang kepada kata hikmah yang berbunyi “ Perjalanan Yang Jauh Bermula Dengan Langkah Yang Pertama”. Insya-Allah, dengan dorongan dan kerjasama semua barisan kerabat PENULIS di setiap bahagian, dan AJK yang dipilih, PENULIS akan berjaya mencapai hasratnya. Insya-Allah.

Persatuan ini akan dikenali dengan nama Persatuan Penulis Sarawak atau singkatannya PENULIS. No. Pendaftaran 0833-12-SWK diluluskan pada 21 April 2012.

Alamat berdaftar dan tempat urusan PENULIS ialah; 

Rumah PENULIS,
No. 289 H, Lorong 6A-IB, 
Taman Matang Jaya,
Jalan Matang, 
93050 Kuching, Sarawak, Malaysia.

E-mel   : penulissarawak@gmail.com
Twitter  : @PENULISSwk
FB         Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS)
Tel        : +6017.2520.624
Faks     : +6082.646471

 MATLAMAT
·         Menggalakkan dan melobi penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dalam semua urusan dan dokumen rasmi di Sarawak;
·         Mengkhalayak dan mengukuh penggunaan bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu dalam hubungan integrasi masyarakat tempatan;
·         Mengeratkan dan memantapkan hubungan sesama penulis dan wartawan media massa berbahasa Melayu di Sarawak;
·         Mempertahan dan menjaga kebajikan serta hak-hak setiap ahli PENULIS dalam berkarya;
·         Menyediakan kemudahan tertentu yang berkaitan dan menganjurkan kursus, bengkel, forum, diskusi dan seminar bagi keperluan dan manfaat para ahli dan masyarakat setempat;
·         Memberi pendedahan dan pendekatan ilmiah berkaitan sesuatu isu kepada para ahli dan khalayak tempatan; dan
·         Menerbitkan hasil karya ahli sebagai bahan rujukan negara bangsa.