Judul: Mudahkan Jangan Susahkan
Pengarang: Syed Alwi Alatas
Tahun: 2012
Penerbit: Telaga Biru
Pengarang: Syed Alwi Alatas
Tahun: 2012
Penerbit: Telaga Biru
Pengarang yang
pernah muncul dengan bestseller Bila Allah Menduga Kita, sekali lagi muncul dengan buku yang
membawa motivasi menyegarkan – dibumbui kisah dan anekdot yang mampu menyuluh
pemikiran dan melembutkan hati.
Buku
ini menggamit pembaca untuk merenung semula segi-segi yang adakalanya kita
terlepas pandang ketika mencari dan mengimpi kemudahan dalam segenap rentetan
hidup. Ini kerana naluri manusia sememangnya mencintai kemudahan dan benci
kepada kesusahan.
Bab
pertama buku ini berjudul Manusia dan Kesusahan Hidup, membawa pembaca merenung
mengenai hakikat kesusahan, sesuatu yang perlu kita tempuh sebagai manusia.
Hanya dengan kesusahan maka hidup ini mempunyai makna, dan kesusahan itu juga
menjadi daya gerak ke hadapan. Kesusahan jika dilihat dari persepsi berbeza,
mampu memberi impak yang berbeza dalam kehidupan seharian. Jadi ia berbalik
kepada cara kita memandang sesuatu.
Dalam
bab kedua Tuhan Tidak Ingin Menyusahkan Kita, pengarang menambah nilai agama
terhadap makna kemudahan dan kesusahan, menjelaskan lagi bagaimana seorang
Muslim patut menimbang kedua-duanya. Antara yang menarik adalah kisah Nasruddin
Hoja yang mencari barang yang hilang di tempat yang tidak sepatutnya, menjadi
sindiran tajam dalam konteks mencari kemudahan biar bertempat.
Bab
ketiga Jangan Semua Dipandang Mudah memperteguh lagi isi dalam bab kedua, yang
bercerita mengenai kepentingan tidak memandang mudah semua perkara. Ini adalah
antara bab yang paling saya suka, kerana aspek inilah yang paling sering
terlupakan ketika naluri kita mendamba kemudahan. Adakalanya dosa itu tampak
mudah di dunia, tetapi di akhirat menjadikan kita sangat susah.
Selain
itu, bab keempat juga memberi sudut pandang yang bernas, mengenai Susah di
Dalam Susah di Luar. Di situ ada beza yang nyata, antara kesusahan yang sudah
menjadi raja di hati, dengan kesusahan yang kita tangani secara hikmah. Banyak
kisah pembuka minda yang boleh direnungkan seperti cerita Cak To, tiga
pengembara dan Syaqiq al-Balkhi dengan Ibrahim Adham.
Namun,
apabila tangan kesusahan mencengkam kita dengan kuat, pesan pengarang adalah
Hadapilah Kesusahan Itu (Bab 5), dengan mencipta kemudahan, berdoa, bertawakal,
memanfaatkan imaginasi, serta kekal positif secara praktis dan teori. Cerita
Abdul Ghafoor dan Soros memberi gambaran lebih jelas bagaimana orang-orang yang
hebat menghadapi kesusahan.
Sudah
tentu dalam memperkata kesusahan tidak lengkap jika kisah dakwah Rasulullah
s.a.w. yang penuh ujian dan tribulasi tidak dijengah. Dalam bab enam Belajar
Daripada Sejarah, kisah-kisah dakwah diperturun semula dalam bahasa mudah dan
dari sudut pandang yang menyegarkan. Antara yang mengesankan adalah bagaimana
menguasai perasaan di kala kesusahan itu mampu menghalang musibah yang lebih
besar yang mungkin terjadi, dan di sini kisah ketewasan Muslimin dalam perang
Uhud benar-benar menyentuh. Manakala kisah perang Khandaq menuntut bakaran
semangat pada saat-saat paling genting. Sejarah Rasulullah sentiasa mengajar
supaya meletakkan Allah dan Rasulullah sebagai penawar segala musibah,
menjadikan kedua-duanya pengubat hati orang-orang Mukmin. Kisah Qadi al-Fadhil
juga sangat menginsafkan, dengan kecacatannya mampu mengubah rentetan sejarah,
dan Salahudin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih sendiri tidak melalui jalan yang
mudah dalam menjadi pahlawan ulung Islam. Begitu pula Malcolm X, mengambil
contoh dari zaman kini.
Seterusnya
bab tujuh Apakah Ini Menyusahkan? menyenaraikan prinsip-prinsip yang harus
dipegang bagi sesiapa yang ingin mencari kemudahan hakiki dalam hidup. Mungkin
sesetengah prinsip ini susah dilaksanakan, tetapi sebenarnya wajib dimiliki
oleh setiap orang. Teristimewa adalah sikap jujur dan mencari yang halal, yang
dalam zaman kini sering dianggap suatu kebodohan jika pada permukaannya
terlihat merugikan. Padahal di sebaliknya ada kesenangan yang terbentang, penuh
keberkatan.
Setelah
melalui pelbagai kesusahan dan kesulitan, Kemudahan Akan Menemui Jalannya (Bab
8), dan inilah yang diyakini oleh pengarang serta dimantapkan dalam bab ini.
Manis sekali apabila pengarang menyimpulkan bahawa apa yang dipilih Allah untuk
seseorang, adalah lebih baik daripada pilihannya sendiri. Meskipun ada
pengulangan yang telah disentuh bab-bab di atas tetapi kisah-kisah yang
dihidangkan adalah penguat kepada kenyataan-kenyataan terdahulu, menyokong
judul yang dibawakan pengarang.
Bab
9, Agar Menjadi Mudah menghidangkan lebih banyak tips dan formula, bagaimana
mencapai kemudahan dalam setiap perkara yang diusahakan. Niat yang baik,
kemahuan yang kuat, persediaan rapi, usaha yang keras dan sikap hati-hati dapat
membantu dalam banyak hal untuk menghindari dan melepasi setiap kesusahan yang
bakal datang.
Bab
akhir sekali, Mudahkan Diri Mudahkan Orang Lain, mengajak pembaca untuk turut
menciptakan kemudahan untuk orang lain, bukan hanya diri sendiri. Secara tidak
langsung, kemudahan yang dicipta untuk orang lain itu, nescaya akan membawa
kemudahan berganda pula kepada yang mencipta kemudahan itu.
Buku
ini sendiri secara keseluruhannya adalah buku yang mudah dihadam, kerana cara
penyampaiannya yang bersahaja dan tidak berat, sesuai dengan judul dan
konsepnya untuk memotivasikan secara berhikmah. Buku ini sesuai terutama kepada
para pelajar yang sedang mendaki tangga pengajian ke peringkat lebih tinggi dan
sedang memasuki dunia kerjaya, selain secara umumnya untuk sesiapa sahaja yang
mencari kemudahan hidup, tetapi belum berasa puas, atau yang bergelumang dengan
kesusahan, dan berasa sangat resah. Mungkin buku ini akan dapat membuka
beberapa aspek sudut pandang dan memberi makna baru kepada susah senang
kehidupan.
Sumber : http://bukuria-malaysia.com/