Oleh
Rosani Hiplee
Mengapa
Menulis? Apa manfaatnya? Antara pertanyaan yang sering membelenggu keraguan
atau kebuntuan fikiran saat berkeinginan untuk meluahkan sesuatu dari dalam
diri secara peribadi. Namun begitu, setiap diri juga mempunyai alasan tersendiri
apabila dipersoalkan sedemikian.
Dalam Islam, menulis mempunyai nilai
yang sangat penting selepas perintah membaca seperti yang tercatat dalam surah
al-‘Alaq 96:1-4, marfhumnya;
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama
Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku
darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia
melalui pena dan tulisan.”
Kebenaran ini dapat dilihat dari
sejarah perkembangan ilmu ketika dunia Islam mencapai zaman kemasyhurannya,
betapa nama-nama tokoh cendekiawan Islam seperti Abu Nasru al-Farabi, ahli
falsafah dan pakar ilmu mantik, matematik, Ibnu Sina, doktor dan ahli filsafat.
Karyanya lebih dari seratus buah buku, di antara judul bukunya yang tersohor
ialah “Al-Qanun” dalam bidang kedoktoran dan “Al-Shifa” dalam bidang falsafah. Manakala
Ibnu Rusydi, ahli falsafah berbangsa Arab dari Andalusia juga pakar dalam
bidang ilmu fiqh, syair, kedoktoran, matematik dan astronomi. Ibnu Khaldun,
pakar sejarah dan ahli falsafah. Beliau pencetus gagasan ilmu falsafah sejarah
dan ilmu sosiologi.
Sebelumnya pula terdapat tokoh-tokoh
seperti Imam Abu Hanifah an-Nu’man, Imam Malik bin Anas, Imam asy-Syafi’i dan
Imam Ahmad bin Hambal. Mereka ialah ulama ahli fiqh dan ahli hadis yang
terkenal dengan gelaran ulama empat mazhab. Karya mereka telah menjadi rujukan
bukan sahaja oleh umat muslim tapi bangsa lain (barat). Begitu juga dengan
ulama seperti Ibnu Taimiyah, Ibnul Jauzi, Ibu Qoyim Al Jauziah, Al Ghazali,
Syeik Athailah, Al Qusyairi dan lain-lainnya.
Hal ini jelas sekali membuktikan bahawa
menulis itu mempunyai peranan atau impak yang besar dalam melengkapi kehidupan kita
ini. Seperti kata Imam Al-Ghazali bahawa;
“Kalau kamu bukan anak raja dan
engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis.”
Menurut petikan dari akaun tweeter novelis Indonesia, Alberthiene
Endah, beliau telah memberikan sembilan (9) alasan mengapa harus menulis iaitu;
1.
Wadah
fikiran, keinginan berekspresi, hasrat menumpahkan perasaan.
2. Menulis
adalah pilihan menghasilkan sesuatu sebagai hasil buah fikiran yang 'hanya' memerlukan
tekad hati kita saja. Mudah.
3.
Menulis
memindahkan kegelisahan menjadi tenaga berkarya.
4.
Menulis
boleh menciptakan 'dunia' baharu dengan ruang-ruang yang tak pernah habis.
5. Menulis
membuat kita merasa bererti, kerana pesan-pesan yang kita yakini mampu
mencerahkan orang lain.
6. Menulis
bahkan mampu membuat kita tidak terlalu berkubang dalam kekecewaan hidup. Kita mempunyai
pijar cahaya lain.
7. Menulis
membuat kita tak merasa 'mati'. Fikiran yang berkelana adalah petualangan yang
menghidupkan.
8.
Menulis
membuat kita belajar tentang perasaan. Membuat kita peka pada orang lain.
9.
Menulis
membuat kita tahu, diri kita boleh mencipta sesuatu yang mungkin jadi sesuatu.
Jika sembilan alasan tadi masih belum
cukup sebagai inspirasi dalam memberi alasan untuk menulis, barangkali dua belas
(12) alasan yang dipetik dari buku berjudul Nulis
Aja! oleh Bete boleh membantu, iaitu;
1. Menulis
membantumu menemukan siapa dirimu.
2. Menulis
dapat membantumu percaya diri dan meningkatkan kebanggaan.
3. Saat
menulis, kamu mendengar pendapat unikmu sendiri.
4. Menulis
menunjukkan hal yang dapat kamu berikan pada dunia.
5. Dengan menulis, kamu mencari jawaban
terhadap pertanyaan dan menemukan pertanyaan baru untuk ditanyakan.
6. Menulis
meningkatkan kreativiti.
7. Kamu
dapat berbagi dengan orang lain melalui kegiatan menulis.
8. Menulis
memberimu tempat untuk melampiaskan amarah atau ketakutan,
kesedihan
dan perasaan menyakitkan lainnya.
9. Kamu
dapat membantu menyembuhkan diri dengan menulis.
10. Menulis
memberimu kesenangan dan cara mengungkapkannya.
11. Menulis
membuatmu hidup.
12. Kamu
dapat menemukan impianmu melalui menulis.
Barangkali empat(4) alasan islamik
yang dipetik dari laman www.mediarobbani.com
ini lebih kuat daripada alasan-alasan sebelumnya iaitu;
1.
Menulis bagiku adalah dakwah, sebagai muslim berkewajiban untuk
beramar ma'ruf nahi munkar, menyebarkan kebaikan dan mencegah keburukan serta
memberi peringatan kepada sesama, kerana manusia adalah khalifah di bumi yang
diamanahkan untuk mengatur dan mewarnai kehidupan di dunia, maka sudah seharusnya
kita mengisi hidup ini dengan hal-hal yang bermanfaat, itulah ciri-ciri muslim
yang beriman.
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan
umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah
dari yang munkar, merekalah orang yang beruntung." (Surah Ali Imran:
104)
2.
Menulis bagiku adalah nasihat, maka karya tulisan haruslah boleh
memberikan pengaruh positif bagi pembacanya, boleh menjadi nasihat yang baik
bagi orang lain atau minimal untuk diri sendiri kerana sesungguhnya agama adalah
nasihat.
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali
orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya
mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah
Al-‘Asr: 1-3)
3.
Menulis bagiku sebuah motivasi, maka karya tulisan harus boleh
memberikan semangat berhijrah menuju kebaikan, setidak-tidaknya memberi
motivasi kepada pembaca untuk lebih bersemangat menjalani kehidupan, boleh
membangkitkan semangat beribadah, semangat berjihad di jalan Allah kerana Al-Quran
sesungguhnya penuh dengan ayat-ayat motivasi.
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu
ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah
Alam Nasyrah:5-6)
4.
Menulis adalah ungkapan rasa cinta, maka di dalam karya tulisan
seharusnya selalu menebarkan rasa cinta, kasih sayang dan kedamaian, bukan
menimbulkan rasa benci, kebencian dan permusuhan kepada sesama manusia, kerana
Islam adalah agama rahmatan lil alamin
maka sudah seharusnya umat muslim pun menjadi rahmat bagi sesama.
“Kalian tidak akan
beriman sehingga kalian menyayangi. Para sahabat pun bertanya, Wahai
Rasulullah, secara keseluruhan kami ini penyayang. Beliau menjawab, kasih
sayang bukan kepada teman saja tetapi kepada manusia seluruhnya.” (Hadis Riwayat
Imam Thabrani)
Sebenarnya banyak alasan lagi yang
membolehkan kita untuk menulis. Sememangnya diakui bahawa kerja menulis ini
tidak mudah. Justeru banyak hal yang harus ditangani sebelum berupaya
menghasilkan sesebuah tulisan yang bagus dan terampil. Antaranya kita harus
banyak membaca bahan-bahan yang bermanfaat, juga meneliti sepenuh pengertian
terhadap apa-apa yang terjadi dalam kehidupan ini dengan wajar dan waras.
Paling mencabar ialah keupayaan dalam menghadapi keyakinan diri apabila tulisan
menghadapi jalan buntu, ditolak atau dikritik hebat. Kata Stephen King;
“Untuk
menjadi penulis, yang diperlukan hanyalah kemahuan keras untuk menulis dan
kemudian mempraktikkannya, orang yang hanya mempunyai kemahuan untuk menulis
namun tidak pernah melakukannya maka ia sama saja dengan bermimpi untuk
memiliki kereta tanpa ada usaha dan kerja keras untuk memilikinya.”
Kebenaran ini turut diakui oleh Thomas
Alva Edison yang terkenal dengan kata-katanya bahawa kejayaan itu 10% inspirasi,
dan 90% usaha. Tepatnya, seseorang penulis itu bukan hanya berbekal ide, tapi
juga ketegaran minda dan kerja keras yang tidak pernah berhenti.
Namun demikian, sekiranya kemahuan
kita memang utuh maka tetaplah berusaha untuk mencari jalan mudah dalam
mencapai impian menulis ini dengan keyakinan yang kita ada. Sesungguhnya setiap
kerumitan itu pasti ada cara penyelesaiannya. Paling mudah, sebagai langkah
awal untuk menulis, teladanilah saranan J.K Rowling ini;
“Mulailah dengan menuliskan hal-hal
yang kauketahui. Tulislah tentang pengalaman dan perasaanmu sendiri.”
Barangkali pengalaman Cynthia Voight bahawa salah satu hal yang saya
lakukan sebagai seorang penulis: mencuba berkonsentrasi penuh, kemudian
bersantai dan membiarkan sebahagian diri saya mengatakan apa yang harus saya lakukan,
bagaikan tangan-tangan ilmuan gila membolak-balik tubuh orang yang tidak
bersalah, dapat memberikan motivasi kepada kita untuk memulai kerja menulis.
Paling tidak pun kata-kata sasterawan besar Indonesia,
Pramoedya Ananta Toer
ini boleh memberikan semangat luar biasa sekali gus ditanggapi sebagai cabaran
paling tegar kepada kita untuk menulis iaitu;
“Orang boleh pandai setinggi langit,
tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari
sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.”
Dalam
kata lain juga, bolehlah ditanggapi bahawa dengan menulis akan membuat kita
semakin atau sentiasa hidup. Justeru sesebuah hasil tulisan yang baik pasti
membekas pada jiwa pembacanya sampai bila-bila pun. Malah kata-kata yang penuh
inspirasi pasti berupaya mengubah hidup menjadi lebih berjiwa dan positif.
Sesungguhnya jalan hidup ini tidak selamanya cerah, pasti ada ketika-ketikanya
badai akan melanda. Seperti jalan rama-rama yang kadang indah melenggok-lenggok
tapi bila angin kencang bertiup, pasti kerdip sayapnya tersasar jua.
Selain
itu pekerjaan menulis ini sebenarnya juga membuat kita semakin kaya. Bukan sekadar
kaya secara material, tapi juga kaya dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Justeru standard
untuk menjadi penulis, kita harus banyak membaca sebagai menambah ilmu bantu. Penguasaan
ilmu yang baik pasti menambah kualiti dalam hasil karya sama ada yang bersifat
kreatif ataupun non kreatif. Sesungguhnya pembaca juga terdiri daripada
kelompok yang pelbagai lapisan latar pendidikan dan hidupnya.
Menulislah
dengan segenap jiwa murni dan etika semangat yang wajar. Mudah-mudahan yang
terlahir, yang terungkap kelak bukanlah sekadar pemikiran statik tapi juga
perasaan yang malar segar dalam pembacaan yang mengujakan. Seperti kata Khalil
Gibran;
"Penulis yang menulis dengan
tinta itu berbeda dengan penulis yang menulis dengan darah hatinya."
Apabila selesai menulis sesebuah
karya, janganlah pernah gagal menyebarkannya. Dalam era keupayaan menembusi
dunia maya kini, sememangnya tiada alasan untuk penulis tidak dapat menyiarkan
hasil tulisannya. Pilihan ada di tangan penulis sendiri iaitu sama ada di media
cetak ataupun media elektronik. Sebagai langkah awal dan mudah, jadilah penulis
blog sebagai promosi diri jika belum yakin sepenuhnya untuk menambat hati
editor atau menjadi penulis buku dan ruangan tertentu di media cetak.
Jika penulis masih terlalu ingin menerbitkan
buku di Malaysia khasnya, kini terdapat ramai penerbit buku yang tumbuh seperti
cendawan selepas hujan. Tinggal sahaja penulis untuk memilihnya. Tapi perlu
diingatkan bahawa sebagai penulis juga harus tahu haknya ke atas karyanya.
Janganlah sewenangnya dikaburi oleh helah penerbit yang prejudis.
Rumusnya, sesungguhnya pada masa
kini, tiada lagi tantangan, kekangan atau halangan untuk setiap diri individu
untuk tidak menulis. Menulislah setiap hari walaupun sekadar di atas lembar
kertas buku diari ataupun di laman sesawang. Kekadang kita tidak dapat
menjangka bahawa apa yang dicatat setiap hari itu boleh menjadi sesuatu yang
berharga pada suatu hari kelak. Manfaatkanlah sisa hari dengan menulis dan
menghargai apa juga yang difikirkan dan dirasai setiap hari. Pengalaman dan
pengetahuan itu catatan yang bernilai.
Jom! Menulis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan