Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah
SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di
dunia dan di akhirat. Sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan, mimbar pada
hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “BAHASA WAHANA PERPADUAN NEGARA”.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Di antara tanda kebesaran Allah SWT ialah menciptakan manusia
berbagai-bagai bangsa dan bahasa. Setiap bangsa dikurniakan bahasa sebagai alat
untuk berurusan di antara satu sama lain demi mencapai kesejahteraan hidup.
Bahasa mempunyai medan yang luas untuk digunakan, sama ada untuk kebaikan atau kejahatan
dan berperanan utama dalam pembinaan tamadun sesuatu bangsa. Kerana itulah
masyarakat Melayu menganggap bahawa bahasa itu merupakan jiwa kepada sesuatu
bangsa dan telah di ungkapkan dalam pepatah masyarakat Melayu seperti, “Bahasa menunjukkan bangsa, Bahasa
jiwa bangsa”.
Agama Islam menyarankan umatnya berbahasa dengan bahasa yang
terbaik kerana ia mencerminkan tahap keimanan dan ketakwaan seseorang. Firman
Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25:
Maksudnya:
“Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu
kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang akar tunjangnya
tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit Ia mengeluarkan buahnya
pada setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan itu untuk
manusia, supaya mereka beringat.”
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam sejarah perkembangan tamadun Melayu-Islam, bahasa Melayu
berfungsi sebagai tonggak dalam proses pembudayaan semula masyarakat. Walaupun
sumber ajaran agama Islam dalam bahasa Arab namun, proses penyebaran ajaran
Islam kepada masyarakat Melayu tidak menggunakan bahasa Arab. Dakwah Islamiah
ke rantau alam Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai alat pengantara
penyebaran ajaran Islam.
Kita amat menghargai perjuangan tokoh-tokoh ilmuwan dan agamawan
Melayu tersohor seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syamsuddin
al-Sumaterani, Abdul Rauf Singkel, Abdul Samad al-Falambani, Sheikh Daud
al-Fatani, Arshad a-Banjari, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi dan
lain-lain lagi yang telah mengarang dan menyebarkan pemikiran agama dengan
menggunakan bahasa Melayu.
Kitab-kitab karangan mereka ini, kini telah menjadi sumber
khazanah pemikiran umat Melayu-Islam. Hal ini jelas membuktikan betapa tahap
dan kualiti pemikiran yang telah berjaya dicapai telah menjadikan bahasa Melayu
sebagai wahana penyebarannya. Peranan mereka dalam usaha mengungkapkan
pemikiran dan ajaran Islam menggunakan wahana bahasa Melayu merupakan sumbangan
teragung dalam pembentukan tamadun umat Melayu yang unik dan utuh hingga kini.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Setelah 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan usaha untuk
memperkasakan bahasa Melayu disempurnakan melalui penggubalan undang-undang.
Dalam perkara 152 mencatatkan bahawa Perlembagaan bahasa Melayu ialah bahasa
kebangsaan negara kita. Malah dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 bahasa
Melayu ialah bahasa rasmi dan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi
kerajaan. Dalam Akta Pendidikan pula menyatakan bahasa Melayu ialah bahasa pengantar
utama di institusi pendidikan.
Apabila undang-undang telah menetapkan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama di institusi
pendidikan maka tugas untuk memperkasakannya hendaklah sama-sama kita dukung
dengan mengambil langkah seperti berikut:
Pertama:
Setiap warganegara Malaysia hendaklah menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan
betul bersesuaian dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi,
bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. Kita hendaklah menjauhkan dari
menggunakan bahasa rojak atau sekerat bahasa Melayu dan sekerat bahasa
Inggeris.
Kedua:
Bahasa Melayu hendaklah digunakan secara meluas di semua peringkat seperti
urusan surat-menyurat, majlis-majlis rasmi dan mesyuarat hendaklah diadakan
dalam bahasa Melayu. Semua papan tanda, iklan dan nama-nama kawasan perumahan
juga hendaklah menggunakan bahasa Melayu.
Kita merasa bangga kerana bahasa Melayu telah dituturkan oleh
lebih daripada 250 juta manusia dan telah menjadi salah satu bahasa yang ditawarkan
untuk dipelajari di 118 institusi pengajian tinggi di dunia. Tujuan utama dasar
‘Memartabatkan Bahasa Melayu’ adalah untuk masyarakat menguasai bahasa Melayu
pada tahap yang baik sehinggakan mereka ini boleh menggunakan bahasa tersebut
untuk segala maksud bersesuaian dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama warga Malaysia
dan bahasa ilmu. Mereka yang mahir berbahasa Melayu inilah yang akan
memartabatkan bahasa Melayu dan memacu pembinaan sebuah negara bangsa yang
bercitrakan ‘ 1Malaysia ’.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam membina tamadun ummah bahasa berperanan besar antaranya
sebagai alat penyebaran agama dan dakwah, alat perpaduan, alat ekonomi dan alat
pendidikan serta budaya. Sejarah membuktikan bahawa bahasa berperanan dalam
penyebaran dan pengukuhan agama. Rasulullah SAW menganjurkan kepada para
ilmuwan dan agamawan agar dalam usaha menyampaikan ajaran agama Islam kepada
masyarakat, maka pengungkapannya hendaklah setimpal dengan kadar kemampuan
berfikir masyarakat setempat. Tentulah, kadar kemampuan tersebut meliputi juga
tahap dan keupayaan berbahasa.
Walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi agama
Islam menggalakkan umatnya menguasai bahasa asing. Dalam kitab Sahih Bukhari
ada menyebut, setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda memerintah
Saidina Zaid bin Thabit supaya mempelajari dua bahasa iaitu bahasa Sirianiah
dan Ibriah( bahasa kitab Injil dan Taurat ). Saidina Zaid bin Thabit
mempelajari kedua-dua bahasa tersebut dalam masa 12 hari sahaja. Sabda
Rasulullah SAW :
Maksudnya: “Dan
telah memerintahkan Nabi SAW Zaid bin Thabit supaya mempelajari bahasa Suryani.
(Riwayat Iman Ahmad)
Persoalannya kenapa Rasulullah SAW memerintahkan sedemikian? Ini
kerana Rasulullah SAW mahu melihat dari kalangan umat Islam
cendekiawan-cendekiawan yang dapat menguasai bidang-bidang ilmu lain yang
menjadi nadi kekuatan umat. Keupayaan menguasai banyak bahasa menentukan umat
Islam dapat mengelak dari tertipu dan terpedaya dengan umat-umat lain. Baginda
ada bersabda kepada Zaid bin Thabit RA, “Wahai
Zaid, pelajarilah tulisan Yahudi untukku, kerana sesungguhnya aku tidak
mempercayai Yahudi itu untuk menulis suratku.”Zaid berkata, “Lalu aku mempelajarinya”.
Demikianlah juga kata-kata hukama’: 'Barangsiapa menguasai bahasa sesuatu kaum itu, maka dia
akan terselamat dari tipu daya mereka'. Diriwayatkan juga bahawa
Abdullah Ibn Zubair mempunyai 100 orang khadam yang berlainan bahasa, dan
beliau berbicara dengan mereka dalam bahasa setiap seorang dari mereka.
Al-Quran telah menggunakan bahasa sebagai wasilah dakwah. Allah
SWT menerapkan penggunaan bahasa yang agung dalam menyentuh hati manusia.
Mereka yang mempelajari pendidikan al-Quran dan as-Sunnah tentang ayat Makkiyyah dan Madaniyyah
tentunya memahami hakikat ini. Ayat al-Quran Makkiyyah
menggunakan ayat-ayat pendek dan bersastera kerana penduduk Mekah kebanyakannya
mahir berbahasa dan mampu menangkap maksud ayat yang diturunkan. Penduduk
Madinah pula tidak sehebat penduduk Mekah dalam berbahasa maka ayat al-Quran Madaniyyah menggunakan
ayat yang panjang-panjang untuk menerangkan sesuatu serta menggunakan bahasa
jelas pada maksudnya. Penggunaan bahasa yang hebat ini bukan sahaja membuatkan
manusia mudah menerima Islam, tetapi turut merangsang perkembangan pemikiran
sehingga menjadi pemangkin kemajuan umat Islam.
Muslimin yang diRahmati Allah,
Mengakhiri khutbah ini marilah kita menginsafi bahawa perjuangan
memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab bersama.
Justeru mimbar menyeru kepada semua pihak agar menyumbang tenaga dan fikiran
untuk terus mengangkat martabat bahasa melayu ini agar ia menjadi bahasa agama,
bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa budaya kita. Dengan menerima bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan tidak menghalang bahasa ibunda setiap
kaum dituturkan serta tidak pula menyekat penggunaan bahasa lain, ia akan
menghasilkan sebuah negara yang makmur, sejahtera serta disegani kawan dan
lawan. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah Ali- Imran ayat
7:
Maksudnya:"Dan orang-orang yang tetap teguh
serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: Kami beriman
kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang
mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan