Oleh Nordi
Achie
Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya
jelas: Bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) kerana ``Bahasa Jiwa Bangsa''. Ini
bermakna bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang membentuk jiwa
kita yang sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan.
Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul
mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian kita
sebagai satu bangsa - bangsa Malaysia. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan
bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan
terencatlah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia.
Untuk menghakikatkan gagasan ini bukanlah mudah, apatah lagi jika kita
sebagai rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa-bahasa asing di negara kita sendiri
- dogma pemikiran bahasa yang aneh sekali pada zaman pasca kolonialisme. Perlu
ditegaskan bahawa, dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara
menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa
kebangsaan - bukannya bahasa-bahasa asing.
Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung, jika benar kita serius
untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah
di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Justeru, kita dituntut
menguasai bahasa asing, tetapi janganlah pula jiwa dan pemikiran kita dikuasai
oleh bahasa asing. Ini bukanlah budaya bangsa yang maju. Bangsa yang maju-moden
perkasa menjunjung tiga pacak ketamadunan: Mendaulatkan bahasa kebangsaannya,
menyintai jati diri kebangsaannya (bukan perkauman-kesukuan) dan setia pada
nusanya yang satu.
Secara jujur, perlu diakui bahawa kita belum mematuhi acuan tersebut.
Lantaran itu, Malaysia dilihat sebagai `negara tanpa bangsa' - bangsa Malaysia.
Hakikat ini terasa amat pahit, tetapi itulah kebenarannya.
Persoalannya,
mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai alat pemersatuan
bangsa, seperti yang terpancar menerusi slogan ``Bahasa Jiwa Bangsa''? Perlu
dinyatakan di sini hanya bahasa kebangsaan (bukannya bahasa asing atau bahasa
ibunda) yang dapat menitiskan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa,
senegara dan menyemarak jati diri kebangsaan (lawannya identiti perkauman), di
samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan,
penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta. Malah, bahasa kebangsaan jugalah yang berperanan sebagai bahasa ilmu (dalam
segenap bidang), bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa
peradaban moden.
Oleh itu, kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wadah terpenting - selain
wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa
Malaysia bersemboyankan gagasan “satu bahasa, satu bangsa, satu nusa'', jelas
tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun. Di sini terletaknya peranan
bahasa kebangsaan dalam rancangan merealisasikan Wawasan 2020. Sekiranya kita
mengabaikan peranan dan kepentingan bahasa kebangsaan, ini bermakna kita telah
tergelincir daripada gerabak pembentukan bangsa Malaysia itu sendiri.
Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, selain pengasasan
negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat, sewajarnyalah kita
teladani. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina
bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing.
Justeru, akan tercapaikah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa
Malaysia, jika rakyat tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka sendiri? Sehubungan itu, kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai
konsep bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda.
Pertama, sejak bahasa Melayu
diangkat sebagai bahasa rasmi-kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu yang merdeka, ia bukan lagi menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah,
bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah
Melayu.
Justeru, bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina dan
India yang menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu juga. Lebih penting
lagi, bahasa Melayu itulah yang menjadi bahasa kebangsaan orang Cina-India yang
telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Kedua, apabila orang Cina-India telah diberikan hak kerakyatan dan menjadi warganegara
yang sah, taraf bahasa Mandarin-Tamil dengan sendirinya menjadi bahasa asing
kerana bahasa-bahasa tersebut merupakan bahasa rasmi-kebangsaan China dan
India. Ini juga bermakna bahasa Mandarin-Tamil bukanlah bahasa ibunda mereka
lagi kerana mereka telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Alangkah anehnya, mereka diterima menjadi warganegara (seterusnya
Malaysia), tetapi mereka masih mengatakan bahasa Mandarin-Tamil sebagai bahasa
ibunda mereka. Ketersilapan ini perlu diperbetulkan hatta dalam perlembagaan
negara sekalipun!
Jika ditinjau semula akar sejarahnya, sejak 1957, (lihat pecahan fasal
Perkara 153) kesilapan ini tidak pernah dipinda, walhal bercanggah dengan
hakikat sejarah kenegaraan Malaysia. Kesilapan inilah yang menjadi antara
pemunca utama yang mengakibatkan peranan bahasa kebangsaan terus ditenggelami
oleh gerakan mendaulatkan bahasa-bahasa asing, khasnya sebagai bahasa pengantar
dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Oleh itu, saranan dan gesaan mujahid-mujadid bahasa kebangsaan amatlah wajar dilaksanakan secara tuntas.
Masanya telah hampir-hampir nazak, tetapi belum lagi terlambat. Keazaman
politik amat diperlukan. Jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, bahasa
asinglah yang beruntung kerana ia akan terus kekal sebagai bahasa ilmu,
teknologi dan peradaban moden; sebaliknya bahasa Malaysia akan terus mundur dan
`mandul' di negaranya sendiri.
Perlu ditegaskan bahawa kita bukan antibahasa asing. Prinsip kita jelas dan
tegas: Pelajari dan kuasailah bahasa asing, tetapi pendaulatan hanyalah
terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran yang amat
diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan