Isnin, 23 Julai 2012

Satu Bahasa, Satu Bangsa


Oleh Nordi Achie

Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya jelas: Bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) kerana ``Bahasa Jiwa Bangsa''. Ini bermakna bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang membentuk jiwa kita yang sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan.

Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa - bangsa Malaysia. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia.

Untuk menghakikatkan gagasan ini bukanlah mudah, apatah lagi jika kita sebagai rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa-bahasa asing di negara kita sendiri - dogma pemikiran bahasa yang aneh sekali pada zaman pasca kolonialisme. Perlu ditegaskan bahawa, dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan - bukannya bahasa-bahasa asing.

Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung, jika benar kita serius untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Justeru, kita dituntut menguasai bahasa asing, tetapi janganlah pula jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing. Ini bukanlah budaya bangsa yang maju. Bangsa yang maju-moden perkasa menjunjung tiga pacak ketamadunan: Mendaulatkan bahasa kebangsaannya, menyintai jati diri kebangsaannya (bukan perkauman-kesukuan) dan setia pada nusanya yang satu.

Secara jujur, perlu diakui bahawa kita belum mematuhi acuan tersebut. Lantaran itu, Malaysia dilihat sebagai `negara tanpa bangsa' - bangsa Malaysia. Hakikat ini terasa amat pahit, tetapi itulah kebenarannya. 

Persoalannya, mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai alat pemersatuan bangsa, seperti yang terpancar menerusi slogan ``Bahasa Jiwa Bangsa''? Perlu dinyatakan di sini hanya bahasa kebangsaan (bukannya bahasa asing atau bahasa ibunda) yang dapat menitiskan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarak jati diri kebangsaan (lawannya identiti perkauman), di samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta. Malah, bahasa kebangsaan jugalah yang berperanan sebagai bahasa ilmu (dalam segenap bidang), bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban moden.

Oleh itu, kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wadah terpenting - selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan “satu bahasa, satu bangsa, satu nusa'', jelas tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun. Di sini terletaknya peranan bahasa kebangsaan dalam rancangan merealisasikan Wawasan 2020. Sekiranya kita mengabaikan peranan dan kepentingan bahasa kebangsaan, ini bermakna kita telah tergelincir daripada gerabak pembentukan bangsa Malaysia itu sendiri.

Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, selain pengasasan negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat, sewajarnyalah kita teladani. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing.

Justeru, akan tercapaikah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika rakyat tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka sendiri? Sehubungan itu, kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai konsep bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda. 

Pertama, sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi-kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, ia bukan lagi menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Justeru, bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina dan India yang menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu juga. Lebih penting lagi, bahasa Melayu itulah yang menjadi bahasa kebangsaan orang Cina-India yang telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

Kedua, apabila orang Cina-India telah diberikan hak kerakyatan dan menjadi warganegara yang sah, taraf bahasa Mandarin-Tamil dengan sendirinya menjadi bahasa asing kerana bahasa-bahasa tersebut merupakan bahasa rasmi-kebangsaan China dan India. Ini juga bermakna bahasa Mandarin-Tamil bukanlah bahasa ibunda mereka lagi kerana mereka telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

Alangkah anehnya, mereka diterima menjadi warganegara (seterusnya Malaysia), tetapi mereka masih mengatakan bahasa Mandarin-Tamil sebagai bahasa ibunda mereka. Ketersilapan ini perlu diperbetulkan hatta dalam perlembagaan negara sekalipun!

Jika ditinjau semula akar sejarahnya, sejak 1957, (lihat pecahan fasal Perkara 153) kesilapan ini tidak pernah dipinda, walhal bercanggah dengan hakikat sejarah kenegaraan Malaysia. Kesilapan inilah yang menjadi antara pemunca utama yang mengakibatkan peranan bahasa kebangsaan terus ditenggelami oleh gerakan mendaulatkan bahasa-bahasa asing, khasnya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Oleh itu, saranan dan gesaan mujahid-mujadid bahasa kebangsaan  amatlah wajar dilaksanakan secara tuntas. Masanya telah hampir-hampir nazak, tetapi belum lagi terlambat. Keazaman politik amat diperlukan. Jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, bahasa asinglah yang beruntung kerana ia akan terus kekal sebagai bahasa ilmu, teknologi dan peradaban moden; sebaliknya bahasa Malaysia akan terus mundur dan `mandul' di negaranya sendiri.

Perlu ditegaskan bahawa kita bukan antibahasa asing. Prinsip kita jelas dan tegas: Pelajari dan kuasailah bahasa asing, tetapi pendaulatan hanyalah terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan