Rabu, 25 Julai 2012

Teks Khutbah Jumaat: BAHASA WAHANA PERPADUAN NEGARA

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan, mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “BAHASA WAHANA PERPADUAN NEGARA”.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di antara tanda kebesaran Allah SWT ialah menciptakan manusia berbagai-bagai bangsa dan bahasa. Setiap bangsa dikurniakan bahasa sebagai alat untuk berurusan di antara satu sama lain demi mencapai kesejahteraan hidup. Bahasa mempunyai medan yang luas untuk digunakan, sama ada untuk kebaikan atau kejahatan dan berperanan utama dalam pembinaan tamadun sesuatu bangsa. Kerana itulah masyarakat Melayu menganggap bahawa bahasa itu merupakan jiwa kepada sesuatu bangsa dan telah di ungkapkan dalam pepatah masyarakat Melayu seperti, “Bahasa menunjukkan bangsa, Bahasa jiwa bangsa”.

Agama Islam menyarankan umatnya berbahasa dengan bahasa yang terbaik kerana ia mencerminkan tahap keimanan dan ketakwaan seseorang. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25:

Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang akar tunjangnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit Ia mengeluarkan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam sejarah perkembangan tamadun Melayu-Islam, bahasa Melayu berfungsi sebagai tonggak dalam proses pembudayaan semula masyarakat. Walaupun sumber ajaran agama Islam dalam bahasa Arab namun, proses penyebaran ajaran Islam kepada masyarakat Melayu tidak menggunakan bahasa Arab. Dakwah Islamiah ke rantau alam Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai alat pengantara penyebaran ajaran Islam.

Kita amat menghargai perjuangan tokoh-tokoh ilmuwan dan agamawan Melayu tersohor seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf Singkel, Abdul Samad al-Falambani, Sheikh Daud al-Fatani, Arshad a-Banjari, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi dan lain-lain lagi yang telah mengarang dan menyebarkan pemikiran agama dengan menggunakan bahasa Melayu.

Kitab-kitab karangan mereka ini, kini telah menjadi sumber khazanah pemikiran umat Melayu-Islam. Hal ini jelas membuktikan betapa tahap dan kualiti pemikiran yang telah berjaya dicapai telah menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana penyebarannya. Peranan mereka dalam usaha mengungkapkan pemikiran dan ajaran Islam menggunakan wahana bahasa Melayu merupakan sumbangan teragung dalam pembentukan tamadun umat Melayu yang unik dan utuh hingga kini.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Setelah 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu disempurnakan melalui penggubalan undang-undang. Dalam perkara 152 mencatatkan bahawa Perlembagaan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara kita. Malah dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 bahasa Melayu ialah bahasa rasmi dan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan. Dalam Akta Pendidikan pula menyatakan bahasa Melayu ialah bahasa pengantar utama di institusi pendidikan.

Apabila undang-undang telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama di institusi pendidikan maka tugas untuk memperkasakannya hendaklah sama-sama kita dukung dengan mengambil langkah seperti berikut:

Pertama: Setiap warganegara Malaysia hendaklah menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul bersesuaian dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. Kita hendaklah menjauhkan dari menggunakan bahasa rojak atau sekerat bahasa Melayu dan sekerat bahasa Inggeris.

Kedua: Bahasa Melayu hendaklah digunakan secara meluas di semua peringkat seperti urusan surat-menyurat, majlis-majlis rasmi dan mesyuarat hendaklah diadakan dalam bahasa Melayu. Semua papan tanda, iklan dan nama-nama kawasan perumahan juga hendaklah menggunakan bahasa Melayu.

Kita merasa bangga kerana bahasa Melayu telah dituturkan oleh lebih daripada 250 juta manusia dan telah menjadi salah satu bahasa yang ditawarkan untuk dipelajari di 118 institusi pengajian tinggi di dunia. Tujuan utama dasar ‘Memartabatkan Bahasa Melayu’ adalah untuk masyarakat menguasai bahasa Melayu pada tahap yang baik sehinggakan mereka ini boleh menggunakan bahasa tersebut untuk segala maksud bersesuaian dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama warga Malaysia dan bahasa ilmu. Mereka yang mahir berbahasa Melayu inilah yang akan memartabatkan bahasa Melayu dan memacu pembinaan sebuah negara bangsa yang bercitrakan ‘ 1Malaysia ’.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam membina tamadun ummah bahasa berperanan besar antaranya sebagai alat penyebaran agama dan dakwah, alat perpaduan, alat ekonomi dan alat pendidikan serta budaya. Sejarah membuktikan bahawa bahasa berperanan dalam penyebaran dan pengukuhan agama. Rasulullah SAW menganjurkan kepada para ilmuwan dan agamawan agar dalam usaha menyampaikan ajaran agama Islam kepada masyarakat, maka pengungkapannya hendaklah setimpal dengan kadar kemampuan berfikir masyarakat setempat. Tentulah, kadar kemampuan tersebut meliputi juga tahap dan keupayaan berbahasa.

Walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi agama Islam menggalakkan umatnya menguasai bahasa asing. Dalam kitab Sahih Bukhari ada menyebut, setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda memerintah Saidina Zaid bin Thabit supaya mempelajari dua bahasa iaitu bahasa Sirianiah dan Ibriah( bahasa kitab Injil dan Taurat ). Saidina Zaid bin Thabit mempelajari kedua-dua bahasa tersebut dalam masa 12 hari sahaja. Sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya: “Dan telah memerintahkan Nabi SAW Zaid bin Thabit supaya mempelajari bahasa Suryani. (Riwayat Iman Ahmad)

Persoalannya kenapa Rasulullah SAW memerintahkan sedemikian? Ini kerana Rasulullah SAW mahu melihat dari kalangan umat Islam cendekiawan-cendekiawan yang dapat menguasai bidang-bidang ilmu lain yang menjadi nadi kekuatan umat. Keupayaan menguasai banyak bahasa menentukan umat Islam dapat mengelak dari tertipu dan terpedaya dengan umat-umat lain. Baginda ada bersabda kepada Zaid bin Thabit RA, “Wahai Zaid, pelajarilah tulisan Yahudi untukku, kerana sesungguhnya aku tidak mempercayai Yahudi itu untuk menulis suratku.”Zaid berkata, “Lalu aku mempelajarinya”.

Demikianlah juga kata-kata hukama’: 'Barangsiapa menguasai bahasa sesuatu kaum itu, maka dia akan terselamat dari tipu daya mereka'. Diriwayatkan juga bahawa Abdullah Ibn Zubair mempunyai 100 orang khadam yang berlainan bahasa, dan beliau berbicara dengan mereka dalam bahasa setiap seorang dari mereka.

Al-Quran telah menggunakan bahasa sebagai wasilah dakwah. Allah SWT menerapkan penggunaan bahasa yang agung dalam menyentuh hati manusia. Mereka yang mempelajari pendidikan al-Quran dan as-Sunnah tentang ayat Makkiyyah dan Madaniyyah tentunya memahami hakikat ini. Ayat al-Quran Makkiyyah menggunakan ayat-ayat pendek dan bersastera kerana penduduk Mekah kebanyakannya mahir berbahasa dan mampu menangkap maksud ayat yang diturunkan. Penduduk Madinah pula tidak sehebat penduduk Mekah dalam berbahasa maka ayat al-Quran Madaniyyah menggunakan ayat yang panjang-panjang untuk menerangkan sesuatu serta menggunakan bahasa jelas pada maksudnya. Penggunaan bahasa yang hebat ini bukan sahaja membuatkan manusia mudah menerima Islam, tetapi turut merangsang perkembangan pemikiran sehingga menjadi pemangkin kemajuan umat Islam.

Muslimin yang diRahmati Allah,

Mengakhiri khutbah ini marilah kita menginsafi bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab bersama. Justeru mimbar menyeru kepada semua pihak agar menyumbang tenaga dan fikiran untuk terus mengangkat martabat bahasa melayu ini agar ia menjadi bahasa agama, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa budaya kita. Dengan menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan tidak menghalang bahasa ibunda setiap kaum dituturkan serta tidak pula menyekat penggunaan bahasa lain, ia akan menghasilkan sebuah negara yang makmur, sejahtera serta disegani kawan dan lawan. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah Ali- Imran ayat 7:

Maksudnya:"Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan