Selasa, 3 September 2013

Tentang buku cerita BM

Oleh Uthaya Sankar SB

Erna Mahyuni dalam makalah berjudul “Time we stopped rejecting Bahasa Malaysia (The Malaysian Insider, 13 Februari 2013) antara lain menegaskan apabila seseorang menguasai bahasa-bahasa lain atau lebih fasih bercakap bahasa ibunda berbanding Bahasa Malaysia, keadaan itu tidak menjadikannya “kurang berjiwa Malaysia” (less Malaysian).

Saya amat bersetuju dengan pandangan ini. Malah, saya secara automatik berfikir dalam Bahasa Inggeris tetapi memilih untuk menulis menggunakan Bahasa Malaysia. Sejak kecil, semasa belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong — sebuah sekolah campur di Aulong, Taiping — saya banyak membaca buku-buku cerita Bahasa Malaysia dan Inggeris.
Pada masa sekarang, pelbagai kempen galakan membaca tetap dijalankan pada skala kecil dan besar di seluruh negara. Rungutan “rasmi” pihak kerajaan dan kementerian terbabit adalah bahawa tahap/minat membaca rakyat Malaysia masih rendah; berbeza dengan data “sebenar” yang diperoleh oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang menunjukkan peningkatan yang memuaskan.
Jumlah buku-buku cerita (cerpen/novel) Bahasa Malaysia dalam pasaran juga semakin meningkat. Namun, kelemahan ketara yang saya sendiri perhatikan sejak dahulu adalah salah tanggap yang sering wujud dalam kalangan penulis.
Ramai yang masih beranggapan bahawa apabila seseorang menulis menggunakan “bahasa Melayu”, maka karya itu mestilah mengenai “orang Melayu” dan “budaya Melayu”. Seolah-olah pembaca kaum Melayu sendiri tidak akan, tidak boleh dan tidak sanggup membaca mana-mana karya yang keluar daripada sempadan itu.
Dalam hal ini, seperti yang saya tegaskan dalam prakata kumpulan cerpen “Kisah dari Siru Kambam” (2013), mujurlah saya menulis menggunakan “Bahasa Malaysia” dan karya-karya saya adalah mengenai “orang Malaysia” dan “budaya Malaysia”. Saya tidak menulis untuk kaum tertentu atau penganut agama tertentu. Karya saya adalah untuk Bangsa Malaysia. 
Saya sedar bahawa pendirian saya menyebabkan puak tertentu melabel saya sebagai “cuba menyebarkan agama Hindu” selain membuat fitnah bahawa saya bersikap “anti-Melayu” semata-mata kerana saya lebih gemar menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.
Kehadiran puak berfikiran sempit dan golongan etnosentrik yang jahil memang tidak dapat dielakkan. Hal ini juga amat nyata apabila kita perhatikan senario politik dan parti politik di negara kita. Apatah lagi apabila politikus tertentu turut memberi sokongan moral — dan habuan kewangan — kepada puak-puak yang cuba menghancurkan perpaduan yang cuba dilahirkan menerusi bahasa kebangsaan.
Secara tidak langsung, apabila bahasa kebangsaan di negara kita dikatakan tidak boleh dipanggil “Bahasa Malaysia” tetapi harus dirujuk hanya sebagai bahasa milik kaum/kelompok tertentu, pasti sahaja minat dan kecintaan orang ramai akan mula pudar.
Mujurlah Kabinet pada Mei 2007 serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah memperakukan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” betul dan sah digunakan apabila merujuk kepada bahasa kebangsaan; khususnya dalam konteks mewujudkan perasaan kekitaan dalam kalangan Bangsa Malaysia.
Maka, usaha juga perlu dipergiatkan untuk menggalakkan masyarakat pelbagai kaum kembali menggemari buku-buku cerita dalam Bahasa Malaysia — tanpa sedikit pun menafikan hak meneruskan minat membaca karya dalam mana-mana bahasa lain.
Bercakap mengenai topik ini, pengarang novel “Ngeri” (2011) dan “Mangsa” (2012), Gina Yap Lai Yoong terkenang akan bagaimana minatnya terhadap pembacaan buku cerita Bahasa Malaysia bermula pada zaman persekolahan.
“Minat saya dipupuk selepas membaca novel ‘Bukit Kepong’ dan ‘Konserto Terakhir’ untuk SPM dulu. Itu pertama kali saya membaca novel Bahasa Malaysia dan rasanya saya terpegun seketika kerana tidak sangka sesebuah cerita boleh mengundang perasaan dan pengalaman yang berbeza apabila ditulis dalam bahasa lain,” kata pereka grafik itu yang lebih banyak membaca karya Bahasa Inggeris.
Menurut anak jati Kuala Lumpur itu, selepas pengalaman awal (yang agak lewat!) itu, beliau meneruskan minat membaca karya Bahasa Malaysia kerana “saya percaya pengalaman yang diperoleh adalah berbeza dalam setiap cerita yang ditulis dalam bahasa yang berbeza.”
Sementara itu, seorang lagi rakan di Facebook, Nur ‘Azzyati mengakui bahawa beliau lebih mengutamakan karya-karya pelbagai bahasa dari luar negara yang diterjemah ke Bahasa Malaysia atau Inggeris. 
Beliau yang berasal dari Kota Baru, Kelantan dan kini sedang meneruskan pengajian bidang sarjana sains di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut berpendapat bahawa “dalam konteks masyarakat pelbagai kaum di negara ini, elok jika buku cerita dalam Bahasa Tamil dan Mandarin dibuat edisi terjemahan Bahasa Malaysia. Dengan itu, kaum Cina dapat membaca buku cerita dari kaum India dan sebaliknya. Begitu juga dengan kaum Melayu. Pendek kata, setiap kaum boleh mengenali dan membaca karya-karya hebat kaum yang berlainan.”
Pandangan yang dikemukakan adalah amat wajar. Malah, sejak dahulu, saya mengimpikan supaya majalah Dewan Sastera (DBP) menyiarkan cerpen terjemahan penulis Tamil/Mandarin tempatan berbanding karya pengarang dari India/China.
Impian itu menjadi kenyataan apabila sebuah cerpen oleh Dr Re. Karthigesu disiarkan dalam Dewan Sastera keluaran Julai 2012. Malangnya, usaha murni seperti itu turut mendapat bantahan puak etnosentrik tertentu yang kurang menyenangi usaha-usaha memupuk perpaduan menerusi terjemahan karya pengarang tempatan.
“Adalah sesuatu yang ironis jika kita boleh membaca karya luar negara untuk berkenal-kenalan dengan budaya asing, sedangkan  kita kurang mengambil tahu budaya pelbagai kaum rakyat Malaysia. Saya yakin, (hampir) setiap penulis pasti menyerapkan nilai budaya kaum masing-masing dalam karya mereka,” kata Nur ‘Azzyati lagi tanpa menyedari kekangan dan halangan yang wujud.
Sesungguhnya, seperti dikatakan oleh beliau, jika terjemahan Bahasa Malaysia dilakukan, pembaca-pembaca yang berminat tentu akan mendapatkan edisi terjemahan itu. Dalam hal ini, satu-satunya kumpulan cerpen Tamil yang diterjemahkan ke Bahasa Malaysia adalah Seruling di Persimpangan (1999). 
Sama-sama kita harapkan agar akan ada usaha seperti itu pada masa hadapan. Atau sekurang-kurangnya tiada usaha sabotaj oleh puak tertentu yang tidak mahu penulis pelbagai kaum dan pelbagai bahasa memperkaya khazanah sastera kebangsaan.
Dalam pada itu, tentu sahaja kita wajar mengharapkan serta menggalakkan penulis pelbagai kaum menulis mengenai budaya dan citra masyarakat pelbagai kaum menerusi karya Bahasa Malaysia. Hasil pengalaman saya sejak 1991, memang ramai penulis yang ketara mengangkat watak, kisah dan budaya Melayu-Islam dalam cerpen dan novel. 
Perkara sama juga diperhatikan A. Praveen Raj dari Melaka. Pada penelitian beliau, satu aspek yang paling penting adalah penglibatan rakyat berbilang kaum dalam kisah yang disajikan. 
“Kebanyakan cerita memaparkan watak daripada kaum tertentu. Malah, watak tersebut digambarkan sebagai superior character berbanding watak-watak kaum lain. Tidak perlulah dinyatakan watak kaum mana yang saya maksudkan,” kata graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.
Perkara yang dinyatakan oleh Praveen adalah realiti yang saya perhatikan sejak tahun 1970-an. Mungkin pengarang Melayu kurang memahami budaya kaum/agama lain untuk mampu menulis mengenai watak-watak selain watak Melayu — kecuali jika watak itu adalah watak jahat atau watak yang tiada pegangan agama (asal) lalu memeluk Islam pada akhir cerita.
Malangnya, pengarang kaum India, Cina dan sebagainya turut ketara mengangkat kisah mengenai budaya Melayu-Islam semata-mata dalam karya. Akhirnya, tahap kualiti dan kepelbagaian khazanah sastera kebangsaan tidak ke mana. Mujurlah penulis pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak mampu mengatasi kekurangan ini.
“Untuk menangani isu ini, seelok-eloknya penceritaan harus dibuat dengan memberikan watak-watak daripada pelbagai kaum atau latar belakang peranan yang setara. Tidak ada kaum yang lebih bagus atau superior daripada kaum lain. Perkara ini harus diketengahkan, diamalkan dan diterapkan kepada semua,” kata Praveen lagi dalam membincangkan topik sama.
Pandangan beliau memang ada kebenarannya dalam konteks karya Bahasa Malaysia yang disasarkan kepada Bangsa Malaysia. Sekiranya kesemua watak tanpa mengira kaum diberikan peranan yang adil dan saksama, pembaca pelbagai kaum akan selesa membaca cerpen/novel berkenaan. 
“Bukan itu sahaja, cerpen/novel Bahasa Malaysia juga harus mengandungi elemen berkaitan masyarakat pelbagai kaum dan tidak menjurus kepada komuniti majoriti semata-mata. Adakah saya akan tertarik untuk membaca cerpen/novel yang menceritakan kisah hidup watak-watak yang tidak ada kaitan dengan diri saya, atau cerita yang boleh saya kaitkan serba sedikit dengan diri saya?” Praveen bertanya soalan retorik yang tidak memerlukan jawapan.
Pandangan yang dikemukakan ini sedikit sebanyak mampu membuatkan kita memikirkan persoalan sama secara mendalam — sebagai penulis, penerbit, pustakawan, guru dan ibu bapa. Tambahan pula, cara paling mudah memupuk rasa cinta akan Bahasa Malaysia dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum adalah dengan menggalakkan mereka membaca karya/cerita Bahasa Malaysia.
Bak kata sebuah perbahasa Tamil, “kalau ada nasi di dalam periuk, barulah boleh dicedok dengan senduk”. Maknanya, jika novel dan cerpen Bahasa Malaysia tidak menarik, janganlah mengharapkan orang ramai membacanya dengan penuh minat; sama ada sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) atau sebagai bahan bacaan santai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan