Selasa, 31 Julai 2012

Audit Bahasa atasi Bahasa Cacamarba


Usaha memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan terus mendapat perhatian  kerajaan.  Pendekatan terbaru adalah, Projek rintis Audit Bahasa Melayu  yang akan dilaksanakan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  mulai penghujung tahun ini hingga ke tahun hadapan adalah untuk memperkasa dan memperluas penggunaan bahasa kebangsaan yang baik, betul dan santun dalam perkhidmatan awam.

Usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu juga akan dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai  Disember ini   dengan mengaudit kesemua tindakan dan aktiviti di JPA . Tujuan nya untuk melihat sejauh mana agensi  kerajaan itu mengguna pakai bahasa Melayu.   Sebenarnya Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 sudah menyediakan  panduan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam. Pekeliling itu  menetapkan bahawa bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan untuk setiap urusan rasmi dalam negara , selain memberi  tanggungjawab kepada pegawai awam dan anggota pentadbiran untuk menggunakan bahasa Kebangsaan dengan baik dan betul .

Usaha memperkasa  dimantapkan lagi dengan ujudnya Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jawatankuasa itu akan membuat pemantauan  di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta,  untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus dipelihara.

Setakat ini Jawatankuasa itu  telah berjaya melaksanakan beberapa inisiatif untuk menggalakkan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam sektor awam dan swasta . Antaranya garis panduan penggunaan Bahasa Melayu dalam komunikasi massa, program ahli parlimen bersama masyarakat di 21 buah pihak berkuasa tempatan, program penggalakan penggunaan bahasa Kebangsaan di enam buah Kampung Baru Cina dan Seminar Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Perdagangan dan Kepenggunaan.

Sistem penarafan bintang bahasa Kebangsaan bagi  menghargai usaha pihak berkuasa tempatan PBT memartabatkan penggunaan bahasa Kebangsaan di tempat awam turut diujudkan. Tiga agensi iaitu  DBP, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri bekerjasama membangunkan sistem penarafan bintang  untuk dilaksanakan secara rintis  tahun depan.

Dalam memperkasakan bahasa Kebangsaan kita yakin sistem pendidikan di Malaysia punyai  peranan dan mampu memupuk semangat perpaduan nasional. Melalui penggunaan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, rakyat di negara ini bukan sahaja dapat menguasai bahasa Kebangsaan tetapi juga menghayati nilai-nilai perpaduan dan jati diri nasional yang ingin diterapkan.

Tan Sri Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan akan memastikan ia menjadi bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang kukuh dan bersatu padu.

Usaha itu ternyata mendapat sokongan apabila 32 wakil badan bukan kerajaan telah menyerahkan memorandum kepada kerajaan supaya bahasa Melayu sebagai aliran bahasa Kebangsaan.

Kita berharap agar setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum boleh bertutur bahasa Kebangsaan dengan baik dan betul, serta menghormati penggunaannya di jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta dan di tempat-tempat awam.

Di tangan orang yang tepat, segala yang disentuh menjadi emas. Begitulah kisah mitos raja Greek purba yang turut menarik perhatian ahli falsafah Yunani, Aristotle. Demikian asal usul perkataan midas yang berasal daripada pelbagai versi mitos dan sejarah kerajaan Phrygia sekitar abad 8 sebelum Masihi.

Dewan Bahasa dan pustaka (DBP), pihak berkuasa tertinggi bahasa di negara kita kini telah menemui sentuhan emasnya. Di tangan sarjana bahasa terulung, Profesor Dr. Awang Sariyan, DBP mula berani mengacah kumpulan pemuja bahasa Inggeris tegar dengan bermula daripada sektor awam sendiri. Kumpulan itu boleh ketawa terbahak-bahak, tetapi mereka harus ingat bahawa DBP diperuntukkan bidang kuasa perundangan tertentu di bawah Akta Bahasa Kebangsaan.

Puak kapitalis dan elit tertentu mungkin memandang sinis usaha DBP dan akan mendendangkan lagu lapuk seperti keperluan menarik pelabur asing dan kepentingan diplomatik. Siapa kata bahasa Inggeris tidak penting? Namun, harus diingat bahawa kedudukan bahasa Melayu tetap paling atas dan bahasa Inggeris nombor dua, titik. 

DBP mungkin perlu melantik lebih banyak "penguatkuasaan" bahasa yang berfungsi mengikut peruntukan akta bahasa. Setelah lebih setengah abad merdeka, kedudukan bahasa Melayu tidak boleh dibiarkan terumbang-ambing hingga terdedah kepada risiko akan tenggelam. Bahasa Melayu ialah lambang jati diri rakyat yang mengaku cintakan negara.

Selama ini, barangkali tumpuan DBP terhadap kedudukan bahasa Melayu terjejas kerana isu stok buku yang bertimbun-timbun dan hal pentadbiran. Daripada bersusah payah mengadakan jualan murah, lebih baik stok lama yang masih sarat dengan ilmu pengetahuan itu dihadiahkan kepada perpustakaan awam dan institusi pendidikan. Syor seumpama itu boleh dipanjangkan kepada jemaah menteri untuk kelulusan rasmi.

DBP mesti kembali kepada tujuan asal penubuhannya sebagai agensi pembangunan dan perancangan bahasa Melayu. Tugas penerbitan, percetakan dan pemasaran buku ilmiah boleh diserahkan kepada jawatankuasa khas yang memiliki kepakaran tentang kajian keperluan supaya keberkesanan kos dapat dicapai. Penerbitan majalah berkala seperti Pelita Bahasa, Jurnal Bahasa dan pelbagai "Dewan" yang telah diswastakan diletakkan di bawah kawalan panel khas yang boleh dilantik daripada kumpulan berkepentingan bahasa seperti sarjana bahasa dan munsyi yang dilantik berdasarkan bidang ilmu yang berlainan.

Keutuhan bahasa Melayu dalam sektor awam merintis jalan kepada audit bahasa secara menyeluruh, termasuk sektor bandar dan perniagaan. Biar bahasa Melayu menjadi identiti bandar di negara kita. Imej Hong Kong atau London kalau masih ada tidak boleh menjadi dominan.

Profesor Awang Sariyan memiliki latar belakang sebagai guru bahasa, penyelidik dan sarjana bahasa. Di tangan beliau, DBP bakal bertindak bijak umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berserakan. Pengalaman mempromosi bahasa baku kepada media dan mahkamah sebelum ini boleh dilanjutkan pula kepada pemuja bahasa Inggeris tegar...

Isnin, 30 Julai 2012

Bahasa Melayu dan Perpaduan Kaum


SEMINAR Bahasa Kebangsaan dengan Masyarakat Cina yang antara lain bertujuan mencari kaedah supaya masyarakat Cina dapat memperluaskan penggunaan bahasa Malaysia dalam kehidupan harian mereka. Bagaimanapun, ia juga mendedahkan mengenai satu lagi isu penting berkaitan bahasa Malaysia dalam masyarakat Cina iaitu tahap penguasaan yang amat rendah, khususnya dalam kalangan generasi muda. Dengan perkataan lain, generasi muda Cina didapati kurang atau tidak cekap menggunakan bahasa Melayu.

Walaupun ramai di antara mereka melalui sistem pendidikan nasional serta penghidupan ala-Malaysia sejak dilahirkan, penguasaan bahasa Malaysia mereka tidak pada tahap kecekapan yang sepatutnya. Malah, dalam hal ini, ada sebilangan belia Cina yang langsung tidak memahami bahasa Malaysia walaupun pada tahap daif iaitu dalam bentuk bahasa pasar. Oleh itu, mereka ini tidak boleh berbahasa kebangsaan langsung

Banyak persoalan dapat ditimbulkan daripada perilaku kebahasaan negatif ini, khususnya apabila seorang warga negara itu dikehendaki memiliki kefasihan yang baik, atau sekurang-kurangnya sederhana baik sifatnya, mengenai bahasa kebangsaan tanah air dan tanah tumpah darahnya.

Antara soalan penting ialah apa yang sudah terjadi dengan pelbagai sumber untuk penguasaan bahasa Malaysia oleh golongan bukan Melayu, baik yang bersifat pedagogi dalam sistem pendidikan nasional mahupun yang bersifat ekologi yang cukup agam di merata tempat di Malaysia. Sumber ini sudah tentu dapat memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan mereka, baik di sekolah atau di luar lingkungan sekolah.

Penguasaan bahasa Malaysia yang amat rendah, yakni pada tahap bahasa pasar saja, pada kebanyakan kesnya hanya memungkinkan masyarakat Cina menggunakan bahasa kebangsaan untuk mengadakan perbualan asas dan tidak untuk menyampaikan konsep dan gagasan yang lebih kompleks selain menyatakan emosi, apabila berinteraksi dengan masyarakat Melayu selaku masyarakat induk di Malaysia, untuk tujuan integrasi atau tujuan lain.

Dengan kekangan begini yang membabitkan penguasaan hanya beberapa kosa kata asas serta cara penyampaian dalam bahasa Malaysia yang amat terhad, interaksi antara masyarakat Cina dengan masyarakat Melayu tidak mungkin dapat diadakan dengan berkesan, atau barangkali tidak wujud langsung dalam sesetengah kes.

Interaksi yang kurang berkesan atau tiada langsung ini, tidak dapat dinafikan mempunyai implikasi amat buruk kepada perpaduan antara kaum yang ingin dicapai, khususnya melalui penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan.

Dalam mempelajari bahasa Malaysia untuk tujuan penguasaan pada tahap yang lebih membanggakan selaku warga negara, masyarakat Cina perlu mengambil orientasi integratif. Antaranya untuk menjadi sebahagian penting daripada negara bangsa Malaysia dan bukan semata-mata atas orientasi instrumental yang menganggap bahasa kebangsaan sebagai satu subjek peperiksaan yang penting.

Dalam soal ini, masyarakat Cina perlu bertindak dalam cara yang lebih meyakinkan bahawa mereka sebenarnya mendukung kuat identiti nasional, melalui penganjuran penggunaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan, walaupun pada masa yang sama, mereka sebenarnya amat kuat melindungi bahasa dan budaya Cina pada kadar yang amat pesat.

Penggunaan bahasa untuk membentuk negara bangsa, yakni melalui promosi bahasa kebangsaan, adalah sesuatu sangat lumrah dalam sejarah dunia, dan memang didapati boleh membawa implikasi yang positif. Dalam konteks ini, selepas Malaysia terbentuk, maka pengisian seterusnya, antara yang terpenting dari dimensi kebahasaan adalah untuk mewujudkan negara bangsa Malaysia daripada pelbagai keturunan, yang disatupadukan oleh sebuah bahasa sepunya, yang ikut berfungsi sebagai bahasa perpaduan.

Gagasan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan, yang bertindak sebagai bahasa perpaduan, tidak boleh dipandang sepi oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi dalam merealisasikan perpaduan kaum. Identiti nasional yang utuh, melalui penggunaan bahasa kebangsaan, sudah tentu yang baik mutunya, pasti adalah satu petanda yang baik untuk kemajuan Malaysia dari pelbagai dimensi. Antara yang terpenting ialah khazanah budaya yang tersimpul dengan kuat melalui satu ikatan dalam formula 'kebudayaan kebangsaan', yang menjadi amalan setiap warga negaranya.

Sehubungan ini, masyarakat, baik Melayu atau bukan Melayu perlu menganggap bahasa kebangsaan lebih daripada sebuah lingua franca, iaitu bahasa yang digunakan secara rutin, sering kali dalam bentuk bahasa pasar/jelek, oleh mereka yang memiliki bahasa yang tidak sama, apabila berurusan antara satu sama lain.

Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan perlu dituturkan pada tahap yang jauh lebih tinggi daripada lingua franca. Bahasa Malaysia bahasa utama dan perlu digunakan dengan baik dan betul pada setiap masa, oleh semua pihak, antaranya untuk memberi maruah yang luhur kepadanya, sepadan dengan status kudus sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam konteks ini, masyarakat Cina, khususnya generasi muda perlu mempertingkatkan penguasaan mereka agar bahasa Malaysia yang digunakan tidak lagi boleh sekali-kali mengaitkan mereka dengan generasi nenek moyang mereka sebagai pendatang. Imej dan label pendatang yang rata-ratanya amat tidak disenangi oleh masyarakat Cina kini, lebih-lebih lagi generasi muda, perlu dikikis mereka sendiri. Antaranya, melalui penguasaan bahasa kebangsaan yang tidak lagi memperlihat pengaruh bahasa ibunda yang terlalu kuat, dari pelbagai segi: sebutan, intonasi, campuran nahu dan lain-lain.

Dalam hal bahasa kebangsaan ini, masyarakat Cina perlu menonjolkan identiti nasional yang lebih menyeluruh sifatnya. Ini antaranya dapat dilakukan melalui penguasaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan yang baik atau tinggi mutunya. Penguasaan begini sudah tentu antara syarat penting untuk mewujudkan komunikasi/interaksi Cina-Melayu yang lebih berkesan, dalam konteks perpaduan kaum.

Yang lebih penting lagi sehubungan ini ialah penguasaan yang baik dan tinggi mutunya ini adalah satu aspek penting dalam nilai nasional Malaysia yang perlu dipertingkatkan oleh masyarakat Cina.

Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan adalah bahasa yang mewakili selain kepunyaan setiap warga negaranya. Adalah aneh jika masih ada walaupun seorang warga Malaysia dalam kalangan muda yang tidak boleh berbahasa Malaysia atau kebangsaan langsung, dan masih ramai, lebih-lebih lagi generasi muda yang tidak menguasainya dengan baik, selepas lebih setengah abad negara bangsa Malaysia dibina.

Marilah kita atasi masalah ini melalui nasionalisme 1Malaysia!. Bahasa kebangsaan adalah bahasa perpaduan, dan penguasaannya yang baik mutunya boleh mempertingkat komunikasi dan interaksi antara kaum. Ini pula sudah tentu dapat memperkukuhkan perpaduan yang amat penting kepada pembangunan negara.

Rabu, 25 Julai 2012

Teks Khutbah Jumaat: BAHASA WAHANA PERPADUAN NEGARA

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan, mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “BAHASA WAHANA PERPADUAN NEGARA”.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di antara tanda kebesaran Allah SWT ialah menciptakan manusia berbagai-bagai bangsa dan bahasa. Setiap bangsa dikurniakan bahasa sebagai alat untuk berurusan di antara satu sama lain demi mencapai kesejahteraan hidup. Bahasa mempunyai medan yang luas untuk digunakan, sama ada untuk kebaikan atau kejahatan dan berperanan utama dalam pembinaan tamadun sesuatu bangsa. Kerana itulah masyarakat Melayu menganggap bahawa bahasa itu merupakan jiwa kepada sesuatu bangsa dan telah di ungkapkan dalam pepatah masyarakat Melayu seperti, “Bahasa menunjukkan bangsa, Bahasa jiwa bangsa”.

Agama Islam menyarankan umatnya berbahasa dengan bahasa yang terbaik kerana ia mencerminkan tahap keimanan dan ketakwaan seseorang. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25:

Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang akar tunjangnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit Ia mengeluarkan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam sejarah perkembangan tamadun Melayu-Islam, bahasa Melayu berfungsi sebagai tonggak dalam proses pembudayaan semula masyarakat. Walaupun sumber ajaran agama Islam dalam bahasa Arab namun, proses penyebaran ajaran Islam kepada masyarakat Melayu tidak menggunakan bahasa Arab. Dakwah Islamiah ke rantau alam Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai alat pengantara penyebaran ajaran Islam.

Kita amat menghargai perjuangan tokoh-tokoh ilmuwan dan agamawan Melayu tersohor seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf Singkel, Abdul Samad al-Falambani, Sheikh Daud al-Fatani, Arshad a-Banjari, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi dan lain-lain lagi yang telah mengarang dan menyebarkan pemikiran agama dengan menggunakan bahasa Melayu.

Kitab-kitab karangan mereka ini, kini telah menjadi sumber khazanah pemikiran umat Melayu-Islam. Hal ini jelas membuktikan betapa tahap dan kualiti pemikiran yang telah berjaya dicapai telah menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana penyebarannya. Peranan mereka dalam usaha mengungkapkan pemikiran dan ajaran Islam menggunakan wahana bahasa Melayu merupakan sumbangan teragung dalam pembentukan tamadun umat Melayu yang unik dan utuh hingga kini.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Setelah 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu disempurnakan melalui penggubalan undang-undang. Dalam perkara 152 mencatatkan bahawa Perlembagaan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara kita. Malah dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 bahasa Melayu ialah bahasa rasmi dan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan. Dalam Akta Pendidikan pula menyatakan bahasa Melayu ialah bahasa pengantar utama di institusi pendidikan.

Apabila undang-undang telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama di institusi pendidikan maka tugas untuk memperkasakannya hendaklah sama-sama kita dukung dengan mengambil langkah seperti berikut:

Pertama: Setiap warganegara Malaysia hendaklah menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul bersesuaian dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. Kita hendaklah menjauhkan dari menggunakan bahasa rojak atau sekerat bahasa Melayu dan sekerat bahasa Inggeris.

Kedua: Bahasa Melayu hendaklah digunakan secara meluas di semua peringkat seperti urusan surat-menyurat, majlis-majlis rasmi dan mesyuarat hendaklah diadakan dalam bahasa Melayu. Semua papan tanda, iklan dan nama-nama kawasan perumahan juga hendaklah menggunakan bahasa Melayu.

Kita merasa bangga kerana bahasa Melayu telah dituturkan oleh lebih daripada 250 juta manusia dan telah menjadi salah satu bahasa yang ditawarkan untuk dipelajari di 118 institusi pengajian tinggi di dunia. Tujuan utama dasar ‘Memartabatkan Bahasa Melayu’ adalah untuk masyarakat menguasai bahasa Melayu pada tahap yang baik sehinggakan mereka ini boleh menggunakan bahasa tersebut untuk segala maksud bersesuaian dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama warga Malaysia dan bahasa ilmu. Mereka yang mahir berbahasa Melayu inilah yang akan memartabatkan bahasa Melayu dan memacu pembinaan sebuah negara bangsa yang bercitrakan ‘ 1Malaysia ’.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam membina tamadun ummah bahasa berperanan besar antaranya sebagai alat penyebaran agama dan dakwah, alat perpaduan, alat ekonomi dan alat pendidikan serta budaya. Sejarah membuktikan bahawa bahasa berperanan dalam penyebaran dan pengukuhan agama. Rasulullah SAW menganjurkan kepada para ilmuwan dan agamawan agar dalam usaha menyampaikan ajaran agama Islam kepada masyarakat, maka pengungkapannya hendaklah setimpal dengan kadar kemampuan berfikir masyarakat setempat. Tentulah, kadar kemampuan tersebut meliputi juga tahap dan keupayaan berbahasa.

Walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi agama Islam menggalakkan umatnya menguasai bahasa asing. Dalam kitab Sahih Bukhari ada menyebut, setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda memerintah Saidina Zaid bin Thabit supaya mempelajari dua bahasa iaitu bahasa Sirianiah dan Ibriah( bahasa kitab Injil dan Taurat ). Saidina Zaid bin Thabit mempelajari kedua-dua bahasa tersebut dalam masa 12 hari sahaja. Sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya: “Dan telah memerintahkan Nabi SAW Zaid bin Thabit supaya mempelajari bahasa Suryani. (Riwayat Iman Ahmad)

Persoalannya kenapa Rasulullah SAW memerintahkan sedemikian? Ini kerana Rasulullah SAW mahu melihat dari kalangan umat Islam cendekiawan-cendekiawan yang dapat menguasai bidang-bidang ilmu lain yang menjadi nadi kekuatan umat. Keupayaan menguasai banyak bahasa menentukan umat Islam dapat mengelak dari tertipu dan terpedaya dengan umat-umat lain. Baginda ada bersabda kepada Zaid bin Thabit RA, “Wahai Zaid, pelajarilah tulisan Yahudi untukku, kerana sesungguhnya aku tidak mempercayai Yahudi itu untuk menulis suratku.”Zaid berkata, “Lalu aku mempelajarinya”.

Demikianlah juga kata-kata hukama’: 'Barangsiapa menguasai bahasa sesuatu kaum itu, maka dia akan terselamat dari tipu daya mereka'. Diriwayatkan juga bahawa Abdullah Ibn Zubair mempunyai 100 orang khadam yang berlainan bahasa, dan beliau berbicara dengan mereka dalam bahasa setiap seorang dari mereka.

Al-Quran telah menggunakan bahasa sebagai wasilah dakwah. Allah SWT menerapkan penggunaan bahasa yang agung dalam menyentuh hati manusia. Mereka yang mempelajari pendidikan al-Quran dan as-Sunnah tentang ayat Makkiyyah dan Madaniyyah tentunya memahami hakikat ini. Ayat al-Quran Makkiyyah menggunakan ayat-ayat pendek dan bersastera kerana penduduk Mekah kebanyakannya mahir berbahasa dan mampu menangkap maksud ayat yang diturunkan. Penduduk Madinah pula tidak sehebat penduduk Mekah dalam berbahasa maka ayat al-Quran Madaniyyah menggunakan ayat yang panjang-panjang untuk menerangkan sesuatu serta menggunakan bahasa jelas pada maksudnya. Penggunaan bahasa yang hebat ini bukan sahaja membuatkan manusia mudah menerima Islam, tetapi turut merangsang perkembangan pemikiran sehingga menjadi pemangkin kemajuan umat Islam.

Muslimin yang diRahmati Allah,

Mengakhiri khutbah ini marilah kita menginsafi bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab bersama. Justeru mimbar menyeru kepada semua pihak agar menyumbang tenaga dan fikiran untuk terus mengangkat martabat bahasa melayu ini agar ia menjadi bahasa agama, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa budaya kita. Dengan menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan tidak menghalang bahasa ibunda setiap kaum dituturkan serta tidak pula menyekat penggunaan bahasa lain, ia akan menghasilkan sebuah negara yang makmur, sejahtera serta disegani kawan dan lawan. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah Ali- Imran ayat 7:

Maksudnya:"Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran."

Isnin, 23 Julai 2012

Jom! Menulis.


Oleh Rosani Hiplee

Mengapa Menulis? Apa manfaatnya? Antara pertanyaan yang sering membelenggu keraguan atau kebuntuan fikiran saat berkeinginan untuk meluahkan sesuatu dari dalam diri secara peribadi. Namun begitu, setiap diri juga mempunyai alasan tersendiri apabila dipersoalkan sedemikian.

Dalam Islam, menulis mempunyai nilai yang sangat penting selepas perintah membaca seperti yang tercatat dalam surah al-‘Alaq 96:1-4, marfhumnya;
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.”

Kebenaran ini dapat dilihat dari sejarah perkembangan ilmu ketika dunia Islam mencapai zaman kemasyhurannya, betapa nama-nama tokoh cendekiawan Islam seperti Abu Nasru al-Farabi, ahli falsafah dan pakar ilmu mantik, matematik, Ibnu Sina, doktor dan ahli filsafat. Karyanya lebih dari seratus buah buku, di antara judul bukunya yang tersohor ialah “Al-Qanun” dalam bidang kedoktoran dan “Al-Shifa” dalam bidang falsafah. Manakala Ibnu Rusydi, ahli falsafah berbangsa Arab dari Andalusia juga pakar dalam bidang ilmu fiqh, syair, kedoktoran, matematik dan astronomi. Ibnu Khaldun, pakar sejarah dan ahli falsafah. Beliau pencetus gagasan ilmu falsafah sejarah dan ilmu sosiologi.

Sebelumnya pula terdapat tokoh-tokoh seperti Imam Abu Hanifah an-Nu’man, Imam Malik bin Anas, Imam asy-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hambal. Mereka ialah ulama ahli fiqh dan ahli hadis yang terkenal dengan gelaran ulama empat mazhab. Karya mereka telah menjadi rujukan bukan sahaja oleh umat muslim tapi bangsa lain (barat). Begitu juga dengan ulama seperti Ibnu Taimiyah, Ibnul Jauzi, Ibu Qoyim Al Jauziah, Al Ghazali, Syeik Athailah, Al Qusyairi dan lain-lainnya.

Hal ini jelas sekali membuktikan bahawa menulis itu mempunyai peranan atau impak yang besar dalam melengkapi kehidupan kita ini. Seperti kata Imam Al-Ghazali bahawa;
“Kalau kamu bukan anak raja dan engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah    penulis.”

Menurut petikan dari akaun tweeter novelis Indonesia, Alberthiene Endah, beliau telah memberikan sembilan (9) alasan mengapa harus menulis iaitu;
1.            Wadah fikiran, keinginan berekspresi, hasrat menumpahkan perasaan.
2.     Menulis adalah pilihan menghasilkan sesuatu sebagai hasil buah fikiran yang 'hanya' memerlukan tekad hati kita saja. Mudah.
3.            Menulis memindahkan kegelisahan menjadi tenaga berkarya.
4.            Menulis boleh menciptakan 'dunia' baharu dengan ruang-ruang yang tak pernah habis.
5.       Menulis membuat kita merasa bererti, kerana pesan-pesan yang kita yakini mampu mencerahkan orang lain.
6.         Menulis bahkan mampu membuat kita tidak terlalu berkubang dalam kekecewaan hidup. Kita mempunyai pijar cahaya lain.
7.     Menulis membuat kita tak merasa 'mati'. Fikiran yang berkelana adalah petualangan yang menghidupkan.
8.            Menulis membuat kita belajar tentang perasaan. Membuat kita peka pada orang lain.
9.            Menulis membuat kita tahu, diri kita boleh mencipta sesuatu yang mungkin jadi sesuatu.

Jika sembilan alasan tadi masih belum cukup sebagai inspirasi dalam memberi alasan untuk menulis, barangkali dua belas (12) alasan yang dipetik dari buku berjudul Nulis Aja! oleh Bete boleh membantu, iaitu;
1.       Menulis membantumu menemukan siapa dirimu.
2.       Menulis dapat membantumu percaya diri dan meningkatkan kebanggaan.
3.       Saat menulis, kamu mendengar pendapat unikmu sendiri.
4.       Menulis menunjukkan hal yang dapat kamu berikan pada dunia.
5.      Dengan menulis, kamu mencari jawaban terhadap pertanyaan dan menemukan pertanyaan baru untuk ditanyakan.
6.       Menulis meningkatkan kreativiti.
7.       Kamu dapat berbagi dengan orang lain melalui kegiatan menulis.
8.       Menulis memberimu tempat untuk melampiaskan amarah atau ketakutan,
kesedihan dan perasaan menyakitkan lainnya.
9.       Kamu dapat membantu menyembuhkan diri dengan menulis.
10.     Menulis memberimu kesenangan dan cara mengungkapkannya.
11.     Menulis membuatmu hidup.
12.     Kamu dapat menemukan impianmu melalui menulis.

Barangkali empat(4) alasan islamik yang dipetik dari laman www.mediarobbani.com ini lebih kuat daripada alasan-alasan sebelumnya iaitu;
1.    Menulis bagiku adalah dakwah, sebagai muslim berkewajiban untuk beramar ma'ruf nahi munkar, menyebarkan kebaikan dan mencegah keburukan serta memberi peringatan kepada sesama, kerana manusia adalah khalifah di bumi yang diamanahkan untuk mengatur dan mewarnai kehidupan di dunia, maka sudah seharusnya kita mengisi hidup ini dengan hal-hal yang bermanfaat, itulah ciri-ciri muslim yang beriman.
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang yang beruntung." (Surah Ali Imran: 104)
2.    Menulis bagiku adalah nasihat, maka karya tulisan haruslah boleh memberikan pengaruh positif bagi pembacanya, boleh menjadi nasihat yang baik bagi orang lain atau minimal untuk diri sendiri kerana sesungguhnya agama adalah nasihat.
Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah Al-‘Asr: 1-3)
3.    Menulis bagiku sebuah motivasi, maka karya tulisan harus boleh memberikan semangat berhijrah menuju kebaikan, setidak-tidaknya memberi motivasi kepada pembaca untuk lebih bersemangat menjalani kehidupan, boleh membangkitkan semangat beribadah, semangat berjihad di jalan Allah kerana Al-Quran sesungguhnya penuh dengan ayat-ayat motivasi.
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah Alam Nasyrah:5-6)
4.    Menulis adalah ungkapan rasa cinta, maka di dalam karya tulisan seharusnya selalu menebarkan rasa cinta, kasih sayang dan kedamaian, bukan menimbulkan rasa benci, kebencian dan permusuhan kepada sesama manusia, kerana Islam adalah agama rahmatan lil alamin maka sudah seharusnya umat muslim pun menjadi rahmat bagi sesama.
“Kalian tidak akan beriman sehingga kalian menyayangi. Para sahabat pun bertanya, Wahai Rasulullah, secara keseluruhan kami ini penyayang. Beliau menjawab, kasih sayang bukan kepada teman saja tetapi kepada manusia seluruhnya.” (Hadis Riwayat Imam Thabrani)

Sebenarnya banyak alasan lagi yang membolehkan kita untuk menulis. Sememangnya diakui bahawa kerja menulis ini tidak mudah. Justeru banyak hal yang harus ditangani sebelum berupaya menghasilkan sesebuah tulisan yang bagus dan terampil. Antaranya kita harus banyak membaca bahan-bahan yang bermanfaat, juga meneliti sepenuh pengertian terhadap apa-apa yang terjadi dalam kehidupan ini dengan wajar dan waras. Paling mencabar ialah keupayaan dalam menghadapi keyakinan diri apabila tulisan menghadapi jalan buntu, ditolak atau dikritik hebat. Kata Stephen King;
“Untuk menjadi penulis, yang diperlukan hanyalah kemahuan keras untuk menulis dan kemudian mempraktikkannya, orang yang hanya mempunyai kemahuan untuk menulis namun tidak pernah melakukannya maka ia sama saja dengan bermimpi untuk memiliki kereta tanpa ada usaha dan kerja keras untuk memilikinya.”

Kebenaran ini turut diakui oleh Thomas Alva Edison yang terkenal dengan kata-katanya bahawa kejayaan itu 10% inspirasi, dan 90% usaha. Tepatnya, seseorang penulis itu bukan hanya berbekal ide, tapi juga ketegaran minda dan kerja keras yang tidak pernah berhenti.

Namun demikian, sekiranya kemahuan kita memang utuh maka tetaplah berusaha untuk mencari jalan mudah dalam mencapai impian menulis ini dengan keyakinan yang kita ada. Sesungguhnya setiap kerumitan itu pasti ada cara penyelesaiannya. Paling mudah, sebagai langkah awal untuk menulis, teladanilah saranan J.K Rowling ini;
“Mulailah dengan menuliskan hal-hal yang kauketahui. Tulislah tentang pengalaman dan perasaanmu sendiri.”
Barangkali pengalaman Cynthia Voight bahawa salah satu hal yang saya lakukan sebagai seorang penulis: mencuba berkonsentrasi penuh, kemudian bersantai dan membiarkan sebahagian diri saya mengatakan apa yang harus saya lakukan, bagaikan tangan-tangan ilmuan gila membolak-balik tubuh orang yang tidak bersalah, dapat memberikan motivasi kepada kita untuk memulai kerja menulis.

Paling tidak pun kata-kata sasterawan besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer ini boleh memberikan semangat luar biasa sekali gus ditanggapi sebagai cabaran paling tegar kepada kita untuk menulis iaitu;
“Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.”

Dalam kata lain juga, bolehlah ditanggapi bahawa dengan menulis akan membuat kita semakin atau sentiasa hidup. Justeru sesebuah hasil tulisan yang baik pasti membekas pada jiwa pembacanya sampai bila-bila pun. Malah kata-kata yang penuh inspirasi pasti berupaya mengubah hidup menjadi lebih berjiwa dan positif. Sesungguhnya jalan hidup ini tidak selamanya cerah, pasti ada ketika-ketikanya badai akan melanda. Seperti jalan rama-rama yang kadang indah melenggok-lenggok tapi bila angin kencang bertiup, pasti kerdip sayapnya tersasar jua.

Selain itu pekerjaan menulis ini sebenarnya juga membuat kita semakin kaya. Bukan sekadar kaya secara material, tapi juga kaya dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Justeru standard untuk menjadi penulis, kita harus banyak membaca sebagai menambah ilmu bantu. Penguasaan ilmu yang baik pasti menambah kualiti dalam hasil karya sama ada yang bersifat kreatif ataupun non kreatif. Sesungguhnya pembaca juga terdiri daripada kelompok yang pelbagai lapisan latar pendidikan dan hidupnya.

Menulislah dengan segenap jiwa murni dan etika semangat yang wajar. Mudah-mudahan yang terlahir, yang terungkap kelak bukanlah sekadar pemikiran statik tapi juga perasaan yang malar segar dalam pembacaan yang mengujakan. Seperti kata Khalil Gibran;
"Penulis yang menulis dengan tinta itu berbeda dengan penulis yang menulis dengan darah hatinya."

Apabila selesai menulis sesebuah karya, janganlah pernah gagal menyebarkannya. Dalam era keupayaan menembusi dunia maya kini, sememangnya tiada alasan untuk penulis tidak dapat menyiarkan hasil tulisannya. Pilihan ada di tangan penulis sendiri iaitu sama ada di media cetak ataupun media elektronik. Sebagai langkah awal dan mudah, jadilah penulis blog sebagai promosi diri jika belum yakin sepenuhnya untuk menambat hati editor atau menjadi penulis buku dan ruangan tertentu di media cetak.

Jika penulis masih terlalu ingin menerbitkan buku di Malaysia khasnya, kini terdapat ramai penerbit buku yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Tinggal sahaja penulis untuk memilihnya. Tapi perlu diingatkan bahawa sebagai penulis juga harus tahu haknya ke atas karyanya. Janganlah sewenangnya dikaburi oleh helah penerbit yang prejudis.

Rumusnya, sesungguhnya pada masa kini, tiada lagi tantangan, kekangan atau halangan untuk setiap diri individu untuk tidak menulis. Menulislah setiap hari walaupun sekadar di atas lembar kertas buku diari ataupun di laman sesawang. Kekadang kita tidak dapat menjangka bahawa apa yang dicatat setiap hari itu boleh menjadi sesuatu yang berharga pada suatu hari kelak. Manfaatkanlah sisa hari dengan menulis dan menghargai apa juga yang difikirkan dan dirasai setiap hari. Pengalaman dan pengetahuan itu  catatan yang bernilai. Jom! Menulis.

Satu Bahasa, Satu Bangsa


Oleh Nordi Achie

Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya jelas: Bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) kerana ``Bahasa Jiwa Bangsa''. Ini bermakna bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang membentuk jiwa kita yang sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan.

Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa - bangsa Malaysia. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia.

Untuk menghakikatkan gagasan ini bukanlah mudah, apatah lagi jika kita sebagai rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa-bahasa asing di negara kita sendiri - dogma pemikiran bahasa yang aneh sekali pada zaman pasca kolonialisme. Perlu ditegaskan bahawa, dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan - bukannya bahasa-bahasa asing.

Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung, jika benar kita serius untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Justeru, kita dituntut menguasai bahasa asing, tetapi janganlah pula jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing. Ini bukanlah budaya bangsa yang maju. Bangsa yang maju-moden perkasa menjunjung tiga pacak ketamadunan: Mendaulatkan bahasa kebangsaannya, menyintai jati diri kebangsaannya (bukan perkauman-kesukuan) dan setia pada nusanya yang satu.

Secara jujur, perlu diakui bahawa kita belum mematuhi acuan tersebut. Lantaran itu, Malaysia dilihat sebagai `negara tanpa bangsa' - bangsa Malaysia. Hakikat ini terasa amat pahit, tetapi itulah kebenarannya. 

Persoalannya, mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai alat pemersatuan bangsa, seperti yang terpancar menerusi slogan ``Bahasa Jiwa Bangsa''? Perlu dinyatakan di sini hanya bahasa kebangsaan (bukannya bahasa asing atau bahasa ibunda) yang dapat menitiskan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarak jati diri kebangsaan (lawannya identiti perkauman), di samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta. Malah, bahasa kebangsaan jugalah yang berperanan sebagai bahasa ilmu (dalam segenap bidang), bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban moden.

Oleh itu, kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wadah terpenting - selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan “satu bahasa, satu bangsa, satu nusa'', jelas tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun. Di sini terletaknya peranan bahasa kebangsaan dalam rancangan merealisasikan Wawasan 2020. Sekiranya kita mengabaikan peranan dan kepentingan bahasa kebangsaan, ini bermakna kita telah tergelincir daripada gerabak pembentukan bangsa Malaysia itu sendiri.

Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, selain pengasasan negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat, sewajarnyalah kita teladani. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing.

Justeru, akan tercapaikah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika rakyat tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka sendiri? Sehubungan itu, kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai konsep bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda. 

Pertama, sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi-kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, ia bukan lagi menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Justeru, bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina dan India yang menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu juga. Lebih penting lagi, bahasa Melayu itulah yang menjadi bahasa kebangsaan orang Cina-India yang telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

Kedua, apabila orang Cina-India telah diberikan hak kerakyatan dan menjadi warganegara yang sah, taraf bahasa Mandarin-Tamil dengan sendirinya menjadi bahasa asing kerana bahasa-bahasa tersebut merupakan bahasa rasmi-kebangsaan China dan India. Ini juga bermakna bahasa Mandarin-Tamil bukanlah bahasa ibunda mereka lagi kerana mereka telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

Alangkah anehnya, mereka diterima menjadi warganegara (seterusnya Malaysia), tetapi mereka masih mengatakan bahasa Mandarin-Tamil sebagai bahasa ibunda mereka. Ketersilapan ini perlu diperbetulkan hatta dalam perlembagaan negara sekalipun!

Jika ditinjau semula akar sejarahnya, sejak 1957, (lihat pecahan fasal Perkara 153) kesilapan ini tidak pernah dipinda, walhal bercanggah dengan hakikat sejarah kenegaraan Malaysia. Kesilapan inilah yang menjadi antara pemunca utama yang mengakibatkan peranan bahasa kebangsaan terus ditenggelami oleh gerakan mendaulatkan bahasa-bahasa asing, khasnya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Oleh itu, saranan dan gesaan mujahid-mujadid bahasa kebangsaan  amatlah wajar dilaksanakan secara tuntas. Masanya telah hampir-hampir nazak, tetapi belum lagi terlambat. Keazaman politik amat diperlukan. Jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, bahasa asinglah yang beruntung kerana ia akan terus kekal sebagai bahasa ilmu, teknologi dan peradaban moden; sebaliknya bahasa Malaysia akan terus mundur dan `mandul' di negaranya sendiri.

Perlu ditegaskan bahawa kita bukan antibahasa asing. Prinsip kita jelas dan tegas: Pelajari dan kuasailah bahasa asing, tetapi pendaulatan hanyalah terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020.

Rabu, 18 Julai 2012

Pemimpin 'tolol' Punca Masalah Bahasa

Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menyalahkan pemimpin negara yang gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai program, termasuk dalam acara rasmi, sehingga merencatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Secara sinis, gabungan terbesar 21 persatuan penulis itu berpendapat, terdapat pemimpin mahu kelihatan Melayu hanya dengan berpakaian tradisi, tetapi gemar berbahasa Inggeris walaupun tidak betul.

NONE"Dia (pemimpin) memikirkan bahasa asing itu hebat. Dia tahu (bahasa kebangsaan) tetapi dia tolol sedikit," kata Ketua Satu Gapena Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar sambil menggelar golongan itu "tolol bahasa".

"Misalnya, kerajaan sudah berulang kali (tetapkan) mesyuarat kerajaan dalam bahasa Melayu tetapi kami dapat maklum balas ada yang buat dalam bahasa Inggeris."

Sambil mempersoalkan patriotisme pemimpin itu, Dr Abdul Latif berkata, 'kejanggalan' itu juga dilihat dalam laporan berita di kaca televisyen berbahasa Melayu apabila pemimpin negara bercakap menggunakan bahasa Inggeris.

NONE"Wartawan tanya dalam bahasa Melayu, dia jawab bahasa Inggeris juga. Itu pun nahunya (bahasa Inggeris) salah," katanya sambil ketawa kecil.

Malah, kata Dr Abdul Latif, mereka juga sedang mengusahakan rancangan khas di RTM untuk menyindir golongan tersebut yang menggunapakai judul sama "tolol bahasa" yang kini dalam proses penyediaan skrip.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di Kuala Lumpur baru-baru ini, Dr Abdul Latif juga berkata, fenomena itu turut mendorong Gapena menubuhkan Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa Kebangsaan untuk memantau penggunaan bahasa Melayu di sektor awam.

Perkataan 'presint' di Putrajaya?
 

Majlis itu, yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan pada Oktober lalu, walaupun tiada penguatkuasaan bertujuan mengingatkan pelbagai pihak.

"Kita pun tak boleh mengenakan penguatkuasaan (bersifat) kekasaran, (kita hanya) mengingatkan supaya mereka berasa malu.

"Pemimpin yang tolol bahasa ini berubahlah, bertaubatlah. Ini negara kita ada bahasa kita, bukan bahasa asing. Gunakanlah bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan," katanya.

NONEDitanya sama ada tindakan itu bertindih dengan peranan audit bahasa yang dijalankan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Abdul Latif menberitahu, sebagai NGO mereka akan lebih mudah bersuara dan menegur.

"Kalau Dewan Bahasa, hal-hal berkaitan kerajaan, mereka tak boleh ke depan. Sebab itu mereka ada audit bahasa. Bagi kami, kami bebas (untuk menegur).

"Kalau Dewan Bahasa nak tegur PM depan-depan tak boleh, kami boleh (tegur) tetapi secara terhormat," katanya.

Ditanya tindakan kerajaan menyerap banyak istilah bahasa Inggeris secara terus ke dalam bahasa Melayu seperti perkataan "presint" di Putrajaya, Dr Latif berkata ia kini semakin berubah sedikit demi sedikit.

"Banyak lagi kerajaan buat perubahan tetapi bukan secara melulu. Misalnya Istana Kehakiman dahulu dalam bahasa Inggeris. Presintpun ada rasionalnya tetapi (perubahan) ini berperingkat-peringkat akan dilaksanakan.

"Yang penting kita hendakkan pemimpin yang cinta dan hayati bahasa kebangsaan," katanya lagi.


Dr Abdul Latif diwawancara oleh Jimadie Shah Othman, Hafiz Yatim dan Ahmad Fadli KC di pejabat Gapena di ibu negara pada minggu lalu.
Sumber http://www.malaysiakini.com/news/203950

Gelombang Baharu Bahasa dan Persuratan Melayu


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD.YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI

MAJLIS PELANCARAN PELAN TINDAKAN STRATEGIK DBP 2011-2015
13 JULAI 2012, 9.00 PAGI
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KUALA LUMPUR

Pertama sekali, marilah kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada pagi ini untuk menyempurnakan majlis pelancaran Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015. Saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mengundang saya untuk menyempurnakan majlis ini.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada DBP yang telah berjaya menyusun Pelan Tindakan Strategik 2011-2015 untuk merealisasikan hasrat kerajaan menghasilkan perancangan konkrit usaha pemartabatan bahasa dan persuratan Melayu yang komprehensif ke arah mencapai matlamat menjadikan bahasa Melayu sebagai tunjang tamadun negara dan salah satu bahasa utama dunia. Inilah juga hasrat saya untuk menyaksikan kegemilangan DBP sebagai badan bahasa dan persuratan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Pembinaan sesebuah negara selalunya dilihat dari sudut fizikal seperti prasarana dan ekonomi. Sebilangan orang terlupa bahawa pembinaan dan pembangunan sesebuah negara perlu ditunjangi dengan aspek yang juga penting seperti falsafah, pemikiran, bahasa dan persuratan serta pendidikan bagi memastikan negara yang terbina itu seimbang dari semua segi.

4. Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan untuk melihat dua perkara dasar yang ada kaitannya dengan majlis kita pada pagi ini. Pertama, bahasa Melayu telah ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Hakikat ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 yang diterima pakai sejak negara merdeka pada tahun 1957. Perlembagaan Persekutuan digubal berserta maklum balas dan pandangan daripada parti-parti politik, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan. Perkara ini juga ditetapkan dengan mengambil kira beberapa faktor penting seperti kedudukan Raja-raja Melayu, agama Islam serta peranan bahasa Melayu. Inilah yang membentuk Dasar Bahasa Kebangsaan di negara kita hingga ke hari ini.

5. Satu lagi peristiwa yang tidak kurang pentingnya berlaku pada tahun 1956 apabila rakyat di Tanah Melayu mendesak agar ditubuhkan sebuah badan yang akan memastikan bahasa Melayu terus terpelihara dan maju di negara ini. Oleh itu, pada 22 Jun 1956, Balai Pustaka ditubuhkan di Bukit Timbalan, Johor Bahru, sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Pelajaran dengan tumpuan dalam penerbitan buku berbahasa Melayu. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang bersidang pada 16–21 September 1956 di Universiti Malaya, Singapura mengusulkan supaya Balai Pustaka ditukar namanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

6. DBP ditubuhkan untuk menjadi pusat bagi menjaga hal ehwal dan perkembangan bahasa dan persuratan Melayu dengan bertitik tolak daripada asal usul bahasa Melayu yang telah wujud sejak dua abad lalu serta menjadi pendorong kepada perkembangan kebudayaan Tanah Melayu pada masa itu. Dengan demikian, pada tahun 1957, sesuai dengan usul Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III, bukan sahaja namanya berubah menjadi Dewan Bahasa dan Pustaka, malah tempatnya juga berpindah dari Johor Bahru ke ibu negara, Kuala Lumpur untuk melaksanakan peranannya dengan lebih berkesan.

7. Peristiwa besar yang berlaku ini memberikan bayangan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh DBP sebagai satu-satunya badan yang diberi mandat oleh kerajaan untuk merumuskan dan melaksanakan dasar-dasar yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa kebangsaan. Kemudiannya, bagi memberikan wibawa kepada DBP, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959 (Akta 213) diluluskan oleh Parlimen.

8. Jelaslah bahawa semenjak awal-awal lagi para pengasas negara dan sebahagian besar warga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai pilihan yang sah untuk dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan berdasarkan pertimbangan sejarah dan geopolitik semasa.

9. Pilihan ini diperkukuh lagi dengan tergubalnya Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) yang menghuraikan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dengan lebih lanjut serta Akta Pendidikan 1961 dan 1996 (Akta 550) yang mentakrifkan peranan bahasa kebangsaan dalam sektor pendidikan.

10. Dengan termaktubnya dasar bahasa dalam pelbagai akta dan peraturan negara, maka usaha digerakkan untuk memperlengkap dan memperkukuh bahasa Melayu melalui program perancangan bahasa yang berkesan supaya bahasa tersebut dapat memenuhi peranannya, selain memupuk pengguna untuk menggunakan bahasa yang baik, betul, dan baku dalam semua urusan kenegaraan dan keilmuan.

11. Perkembangan bahasa Melayu, dalam hubungannya dengan pembinaan negara bangsa tidak cukup sekadar dilihat dari aspek perkembangan sistem bahasanya. Perkembangan yang lebih mendasar adalah yang berkaitan dengan pengisian Dasar Bahasa Kebangsaan. Di samping itu, perkembangan bahasa Melayu juga wajar dikaitkan dengan cita-cita besar kita pada peringkat supranasional iaitu menjadikan bahasa Melayu salah satu bahasa utama dunia.

12. Pengurusan dan pelaksanaan dasar bahasa inilah yang menjadi asas kewujudan dan kerelevanan DBP di Malaysia. Liku-liku pemartabatan, pembinaan dan pengembangan bahasa kebangsaan yang dilalui oleh DBP selama lebih 56 tahun ini perlu menjadi pedoman dan panduan kepada kita semua. Masa mendatang ini banyak cabarannya. Fenomena globalisasi dan perkembangan pesat ilmu pengetahuan, khususnya dalam bidang sains, teknologi maklumat dan telekomunikasi sentiasa mencabar kita untuk bertindak balas dengan bijaksana.

13. Sesekali kita perlu menoleh ke belakang untuk melihat sejarah dan menjadikannya sebagai pedoman. Yang lebih penting daripada itu, pada pandangan saya ialah cara kita merangka strategi dan pendekatan baru untuk menghadapi masa hadapan yang lebih kompleks dan mencabar itu.

Tuan-tuan dan puan-puan,

14. Saya mengikuti perkembangan DBP sejak ditubuhkan hingga kini, apatah lagi apabila saya menerajui Kementerian Pelajaran. Saya mendapati sejak 56 tahun penubuhannya, DBP telah mencapai kejayaan yang membanggakan dan pada masa yang sama masih banyak perkara yang perlu dilakukan. DBP memerlukan dukungan semua pihak kerana tidak mungkin DBP dapat memikul tugas berat ini secara bersendirian.


15. Pada hemat saya, DBP perlu menjadi badan pemegang amanah atau penjaga (custodian) perbendaharaan ilmu dan persuratan Melayu di negara kita. DBP juga perlu berperanan sebagai pusat rujukan sehenti oleh penyelidik dalam dan luar negara tentang ilmu dan persuratan Melayu. DBP perlu menjadi penyelaras semua kegiatan penyelidikan dan penerbitan ilmu tentang bahasa dan persuratan dalam bahasa Melayu. Penerbitan ilmiah juga perlu ditingkatkan.

16. Untuk tujuan itu, DBP perlu meningkatkan kerjasama strategik dan sinergi dengan pelbagai pusat penyelidikan dan universiti. Ini akan dapat direalisasikan jika perancangan yang teliti dapat disediakan. Saya bersedia untuk mempertimbangkan cadangan ini dan seterusnya mengemukakan gagasan ini kepada Jemaah Menteri untuk persetujuan. Penubuhan Pusat Persuratan Melayu Malaysia yang dicadangkan di bangunan lama DBP boleh dijadikan gerak awal untuk memulakan usaha ini.

17. Selain itu, saya berharap DBP dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada pencapaian bidang keberhasilan utama Kementerian Pelajaran Malaysia (MKRA) dan bidang keberhasilan utama negara (NKRA) dalam rangka Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Antara langkah yang dapat dilakukan termasuklah menyediakan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan yang dapat diperoleh dengan mudah dan cepat. Penyampaian keberhasilan dengan cepat kepada rakyat ini merupakan antara matlamat GTP kerajaan.

18. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara, Kementerian Pelajaran telah melancarkan Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) Dalam Pendidikan pada tahun 2011. Melalui dasar ini, sasaran kerajaan adalah untuk memperluas capaian jalur lebar di seluruh negara dan menyediakan persekitaran pembelajaran maya kepada rakyat. Pemasangan capaian jalur lebar untuk semua sekolah dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Mac 2013.

19. DBP telah berada pada landasan yang betul dengan menyediakan prasarana TMK untuk capaian mudah. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah melipatgandakan usaha untuk meningkatkan kandungan. Istilah, kamus, ensiklopedia dan bahan rujukan bahasa dan persuratan lain perlulah diperbanyak dan dipelbagaikan. Saya menyarankan agar maklumat dan bahan rujukan bahasa dan persuratan Melayu ini juga disebarkan melalui aplikasi telefon pintar dan komputer tablet kerana peranti sebegini merupakan saluran utama pelajar, remaja dan golongan profesional muda berhubungan dan berinteraksi. Dengan cara inilah perkhidmatan DBP dapat diberikan dengan cekap, tepat dan penuh integriti.

20. Negara kita sedang memasuki era pascaindustri yang menuntut perubahan kepada perubahan sektor sumber manusia melalui pelaburan modal insan. Dalam era pascaindustri, modal insan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan. Sesungguhnya, Kementerian Pelajaran adalah nadi utama dalam usaha untuk membangunkan modal insan. DBP juga perlu mempersiapkan diri untuk bergerak ke hala yang sama.

21. Untuk itu, setiap warga kerja DBP perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta melipatgandakan usaha bagi menjadi warga kerja yang berilmu, kreatif dan inovatif. Penekanan untuk menghasilkan warga kerja yang mempunyai kemahiran yang pelbagai (multi skilling) serta mampu melaksanakan pelbagai tugas (multi tasking) perlu menjadi keutamaan DBP. Tuntutan terhadap kemahiran pelbagai ini merupakan salah satu cabaran besar dalam sesebuah organisasi supaya dapat bertindak balas terhadap perubahan semasa dengan berkesan.

22. Dari aspek wibawa bahasa, kedudukan dan peranan bahasa Melayu tidak seharusnya terbatas pada peringkat negara semata-mata. Bahasa Melayu perlu diangkat menjadi bahasa serantau dan antarabangsa yang diiktiraf sebagai salah satu bahasa penting di dunia. Sejarah lampau bahasa Melayu, terutama dalam zaman kegemilangan bahasa Melayu pada sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19 Masihi membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa dunia yang dihormati. Sejarah kegemilangan bahasa Melayu ini sewajarnya kita jadikan iltizam untuk menggemilangkan semula bahasa ini, bukan sekadar untuk nostalgia semata-mata.

23. Oleh itu, saya berharap DBP akan terus meningkatkan usaha untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia, apatah lagi dengan potensi Malaysia sebagai pusat pendidikan antarabangsa, pusat pelancongan dan pusat kerjaya yang menarik minat warga asing. DBP perlu memanfaatkan prasarana dan mekanisme yang sedia ada terutama yang melibatkan hubungan dan kerjasama antara kerajaan dan negara (G2G), seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). Kerajaan telah memberikan komitmen dengan meluluskan MABM pada tahun 1997 dan berharap kegiatan yang telah rancak dilaksanakan pada sekitar tahun 2000-2004 dapat diteruskan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

24. Pada hari ini, saya akan melancarkan Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015. Penyediaan pelan ini dianggap tepat pada masanya. Selepas ini, sukacita saya menyarankan DBP menyediakan pelan tindakan strategik memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu jangka panjang sehingga tahun 2020 selaras dengan pencapaian taraf negara maju agar dalam pencapaian taraf itu, bahasa dan persuratan Melayu sebagai salah satu teras jati diri kita dapat dilonjakkan. Ini akan membolehkan rakan strategik DBP dalam kerajaan menyusun program pembudayaan dan pemasyarakatan bahasa dan persuratan Melayu dalam program tahunan agensi masing-masing.

25. Lebih 56 tahun dahulu DBP lahir daripada perjuangan dan sokongan rakyat, malah soal bahasa menjadi isu penting ketika semangat perjuangan menuntut kemerdekaan. Bahasa Melayu bukan sahaja sebagai simbol dan maruah bangsa malah kedaulatan pusaka bangsa yang harus dipelihara dan dipulihkan. Maka DBP perlu terus relevan dan dirasakan kehadirannya di tengah-tengah masyarakat pada masa ini dan pada masa hadapan. DBP dan bahasa Melayu perlu mencapai taraf kemajuan dan perkembangan yang sejajar dengan kemajuan politik, ilmu pengetahuan dan kemasyarakatan, bukan sahaja di dalam negara bahkan pada peringkat antarabangsa.

26. Pelan yang baik di atas kertas tidak memberikan apa-apa makna jika tidak dilaksanakan dengan perancangan yang rapi dan bersungguh-sungguh. Saya berharap pelan yang akan saya lancarkan nanti akan menjadi panduan arah yang jelas kepada semua warga kerja DBP dalam usaha memajukan bahasa dan persuratan Melayu. Saya juga berharap pelan ini dapat menjadi panduan kepada pihak di luar DBP untuk membantu melaksanakan program yang berkaitan dengan pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan di sektor masing-masing. Mudah-mudahan Dasar Bahasa Kebangsaan yang menjadi salah satu dasar penting negara kita dapat dilaksanakan dengan jayanya. Saya ingin menyaksikan gelombang baharu bahasa dan persuratan Melayu menjelang tahun 2020, selaras dengan pencapaian negara kita sebagai negara maju, agar kemajuan negara tidak sahaja ditandai oleh kemajuan fizikal tetapi juga kemajuan aspek jati diri dan maruah negara, termasuk bahasa dan persuratan.

27. Saya berharap pelan ini diukur berdasarkan keberhasilan dan impak setiap program yang dilaksanakan. Kajian dan semakan semula pelan ini perlu dilakukan pada setiap tahun bagi memastikan program yang dilaksanakan memberikan impak yang tinggi dalam pencapaian matlamat DBP dan sumbangan yang positif kepada agenda pembangunan negara. Saya akan sentiasa memberikan sokongan, bantuan dan kerjasama yang padu kepada DBP bagi menjayakan hasrat murni ini.

28. Dalam pelan ini, satu inisiatif baru yang saya nampak berimpak tinggi ialah program Audit Bahasa. Program ini bukan bertujuan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya usaha ini merupakan langkah kerajaan untuk membantu meningkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam. Saya telah bersetuju, Audit Bahasa yang akan dimulakan pada tahun 2013 memberikan tumpuan awal pada 6 sektor di bawah Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang saya pengerusikan, iaitu (i) perkhidmatan awam, (ii) tempat awam, (iii) penyiaran dan komunikasi, (iv) kewangan dan perbankan, (v) perdagangan, dan (vi) pendidikan. Ini tidak bermakna sektor lain tidak terlibat dalam program ini. Saya meminta DBP melaksanakan Audit Bahasa dalam sektor lain dalam fasa kedua.

29. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih saya kepada semua jawatankuasa kecil sektor yang saya nyatakan tadi kerana memberikan perhatian yang serius terhadap usaha kerajaan memartabatkan bahasa kebangsaan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan audit bahasa terhadap papan iklan luar selain mewujudkan penarafan bintang kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan beberapa bahagian terpilih di JPA untuk diaudit bahasa pada bulan Disember ini. Kementerian Pengajian Tinggi telah meletakkan sasaran penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di IPT. Kementerian Kewangan telah mengarahkan bank dan insurans menggunakan bahasa kebangsaan. Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengadakan seminar untuk kumpulan peniaga dan usahawan. Saya yakin, jika usaha begini dapat menjadi amalan kita, bahasa Melayu tidak akan terpinggir di buminya sendiri.

30. Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis pada hari ini. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015: Memartabatkan Bahasa dan Persuratan Melayu.

Sekian. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.