Sabtu, 7 Julai 2012

PENULIS Sokong Sastera Sebagai Subjek Wajib


                                      PENULIS/2012/03-KA/02

Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS) ingin merujuk kepada kenyataan Yang di Pertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Encik Ahmad Malie, yang tidak setuju pelajaran sastera dijadikan subjek wajib lulus dalam sistem pendidikan kebangsaan, seperti yang disiarkan dalam akhbar Utusan Sarawak pada 4 Julai 2012.
          PENULIS berpendapat, kenyataan tersebut agak tergesa-gesa, dan tidak melihat realiti sebenar yang berlaku kepada perkembangan pelajar kita hari ini. Sebagai sebuah kesatuan yang besar sifatnya, KGBS seharusnya mengambil sikap melihat, meneliti kesan jangka panjang, dan bukannya sekadar melihat dasar pemisahan aliran yang memberi kesan kepada sistem pendidikan Negara iaitu aliran Sains dan Sastera.

         PENULIS juga terkilan dan terkesan dengan kenyataan yang tidak rasional KGBS, yang mengatakan bahawa “memadai pelajar mempelajari sastera sebagai satu subjek, selain mengetahui unsur-unsur sastera dalam kehidupan”.
          Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mula diperkenal pada tahun 1957. Matlamatnya untuk membolehkan individu pelajar dapat menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Peranan utama sastera dalam pendidikan ialah membina insaniah dalam kehidupan manusia. Dalam maksud lain, memanusiakan manusia dengan segala watak dan perwatakan yang bermoral dan penuh integriti.
         Selain daripada itu, kita perlu faham bahawa sastera bukanlah sekadar cerita atau dogengan semata-mata. Subjek sastera secara lateralnya mempunyai nilai pemikiran, pengajaran dan perasaan yang subjektif. Sesungguhnya amat tepat sekiranya pihak Kementerian Pelajaran bersedia menerima cadangan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), supaya matapelajaran sastera wajib dipelajari dari peringkat prasekolah hingga ke institusi pengajian tinggi, ketika budaya dan akhlak pelajar masa kini semakin membimbangkan dengan pelbagai kerenah dan salah laku yang kronik.
         Diyakini bahawa masalah atau krisis ini berpunca daripada suasana pelajar kita dewasa ini yang kurang menghayati nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka, sama ada di rumah atau di sekolah. Di rumah, ibu bapa lebih mementingkan kerjaya mereka dan pembentukan kerjaya anak-anak akan datang dengan memaksa atau mendesak anak-anak dengan belajar untuk lulus peperiksaan tanpa penerapan nilai ilmu itu sendiri. Demikian juga di sekolah, lebih mementingkan peratus kelulusan daripada penerapan nilai dalam diri pelajar. Hal ini merupakan suatu realiti atau kenyataan sebenar hari ini.
         Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan sekarang kian terarah dengan hidup berasaskan ketakjuban ciptaan sains dan teknologi, maka pembelajaran sastera sangat bererti. Hal ini penting bagi penyeimbangan dalam pencapaian lengkap dalam membina kehidupan ini. Sesungguhnya tanpa pembelajaran sastera yang sempurna, masyarakat maju pasti kehilangan unsur terpenting dalam kehidupannya. Hakikat ini ditegaskan oleh John Naisbitt, melalui bukunya yang bertajuk High Tech High Touch, mengatakan bahawa ada teknologi (high tech) yang memabukkan manusia kerana mencengkam semangat manusia dan meningkatkan pencarian manusia tentang makna atau kepastian. Hasilnya, manusia berada dalam keadaan yang kompleks, dan sering pula terperangkap dengan hubungan yang bersifat paradoksikal antara teknologi dengan usaha mencari makna.
       Sastera, jika diajar sebaiknya dapat mendidik pelajar dan pembaca memahami kehidupan dengan lebih berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan tentang manusia dan masyarakat yang kadangkala sukar untuk dimengertikan oleh fikiran rasional.
         Lapan nilai yang diterapkan dalam konsep 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti, semuanya memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran sastera. Sememangnya kehidupan manusia ini penuh dengan kemungkinan yang tidak terduga dan sastera mampu menjelaskannya. Pengarang ialah manusia kreatif yang memiliki kemampuan berfikir, berimaginasi, dan berbahasa untuk menghasilkan karya, sama ada puisi, novel, cerpen, ataupun drama. Manusia dan masyarakatnya ialah bahan mentah yang sangat penting kepada pengarang. Keperihalan manusia dan masyarakat menjadi ilham kepada pengarang untuk berkarya. Maka, karya sastera dilihat sebagai cermin masyarakat yang melalui proses pemilihan, pentafsiran, dan penilaian pengarangnya. Lantaran itu, karya sastera sangat menarik untuk dibaca bukanlah hanya sebagai cermin kehidupan, tetapi juga sebagai pandangan alternatif kepada apa-apa yang kita lihat dan fikirkan tentang manusia dan masyarakatnya.
         Laporan Akhir PIPP 2006-2010 ini, KPM juga telah mengenal pasti isu-isu yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut dalam perancangan pendidikan dan cabaran masa hadapan.  Antaranya ialah meneruskan program  pendidikan yang mempunyai impak tinggi bagi memupuk perpaduan dalam kalangan murid seperti Rancangan Integrasi Murid untuk perpaduan (RIMUP) agar menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara mereka. Hal ini adalah antara matlamat pengajaran subjek sastera, iaitu membolehkan pelajar menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai.
           Sastera mampu menembusi batas kemungkinan. Kemungkinan sastera melihat masa hadapan masyarakat ada hubungannya dengan keupayaan sastera untuk memberikan kebijaksanaan kepada pembacanya dengan membawa pembaca melihat dirinya dan persekitarannya.
        Sastera membawa dunia baharu kepada pembaca dan dunia ini memperkaya pembaca dalam konteks emosi dan intelek. Sastera berupaya memberikan pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca. Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mampu berfikir tentang kehidupan, dan sastera bererti atau berharga kerana memiliki kemampuan ini. Sastera seni perasaan, lantaran itulah di Barat subjek kesusasteraan amat penting. Malah dalam jurusan profesional, satu subjek yang wajib untuk mengambil bahagian dalam apa-apa jua bidang sastera, sama ada kesenian, muzik, seni tampak, dan sebagainya. Hal inilah yang kurang difahami atau terlepas pandang oleh masyarakat di Malaysia akan kepentingan sastera dalam kehidupan.
         PENULIS menyokong agar sastera dijadikan subjek wajib dipelajari secara khusus dan wajib lulus dalam sistem pendidikan persekolahan kebangsaan. KOMSAS yang diajar secara tempelan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak memberikan kesan yang mendalam dalam diri pelajar. Peratusan nilai dan pengajaran yang diajar dalam masa yang terhad itu,  ditambah dengan ketiadaan usaha yang mencukupi untuk menarik rangsangan pengajaran subjek tersebut, selain daripada belajar untuk menjawab soalan peperiksaan dengan betul.
         Sesuai dengan usaha Kementerian Pelajaran yang sedang mengumpul dan merangka dasar Sistem Pendidikan Negara yang baharu untuk 15 tahun akan datang, yang akan dilancarkan pada hujung tahun ini, maka kami menyeru semua pihak terus subur dan tegar dalam memberikan pandangan dan saranan yang bernas untuk kebaikan dan ketamadunan negara bangsa pada masa hadapan.
         Sudah tiba masanya untuk kita mengutamakan penerapan nilai dalam diri pelajar selari dengan usaha kita memartabatkan negara bangsa Malaysia. Jika mata pelajaran lain yang tidak begitu berkaitan dengan pelajar dan nilai boleh dimasukkan, kenapa sastera yang lebih penting dan lebih bermanfaat tidak?
PERSATUAN PENULIS SARAWAK (PENULIS)
                                               Dikeluarkan oleh:
                                               Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS) pada 7 Julai 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan