Rabu, 13 Jun 2012

Cabaran PENULIS Sarawak


PENGARANG Sarawak menggalas tanggungjawab besar dalam menggali, mengetengah dan memperkembangkan nilai tradisi masyarakat pelbagai etnik negeri itu menerusi penerbitan karya dengan aspirasi tempatan, tetapi malangnya kelebihan itu belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Ketua Satu Persatuan Karyawan Limbang (PENGKARYA), Benyamin Matussin berkata, masih ramai penulis Sarawak yang tidak menonjolkan kesungguhan dalam menghasilkan karya yang diadun dengan nilai budaya bangsa.

“Sarawak kaya dengan cerita rakyat, pantun, syair, seloka, mantera, lagu rakyat, perbilangan dan mantera. Ia indah dan satu kerugian sekiranya segala tradisi yang kaya dengan teladan itu hilang ditelan zaman. Ia lambang keintelektualan dan kebijaksanaan bangsa,” katanya ketika berkongsi Memperteguh Jati Diri Pengarang: Mempertahan Nilai-nilai Tradisi, Meneropong Masa Depan Secara Realistik bersempena Perhimpunan Karyawan Sarawak 2012.

Benyamin memaklumkan, ada lebih daripada 24 suku kaum di Sarawak yang mengamalkan nilai budaya, sistem politik, sosial, kesenian, bahasa dan sastera yang sehingga kini masih belum diterokai sepenuhnya. 

“Suatu kerugian sekiranya penulis tidak menggunakan ‘modal’ kepelbagaian kebudayaan setempat dalam memperkenalkan sastera Sarawak pada peringkat nasional dan antarabangsa, apatah lagi kisah kebudayaan Borneo mendapat permintaan menggalakkan penduduk di Semenanjung Malaysia. 

Setakat ini, Sarawak boleh berbangga dengan kehadiran pengarang seperti penerima Anugerah Penulisan Sea 2006, Jong Chian Lai; Jais Sahok, Abang Patdeli Abang Muhi, Jaya Ramba, Hajijah Jais, Latifah Shebli dan Poul Nanggang yang tegar mempertahan nilai budaya dengan karya mengenai tradisi masyarakat Melayu, Melanau, Iban, Kedayan dan Bisaya.

Bagaimanapun, kehadiran pelapis muda dalam menterjemah persuratan bangsa termasuk cerita mitos, legenda, cerita penglipur lara secara kreatif dan segar amat diperlukan dan berupaya meletakkan sastera Sarawak dalam liga tersendiri. Benyamin mencadangkan usaha pengumpulan khazanah tradisi, kajian dan penerbitan semula dilaksanakan menerusi sinergi membabitkan pihak berwajib termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak, persatuan penulis, kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan sejarah, seni dan kebudayaan tradisional terus dihayati. 
Penulis Sarawak yang kerap mengadun etnik Iban, Jong Chian Lai meluahkan kekecewaannya mengenai ketidakprihatinan pihak bertanggungjawab dalam membantu penulis dalam penerbitan karya berunsur tradisi dan budaya bangsa.

“Kebanyakan penulis kurang berkarya bukan kerana tidak produktif, tetapi kekangan dana serta sokongan pihak berwajib yang membantutkan penghasilan karya berunsur ilmu. Kebanyakan bantuan diberikan untuk aktiviti persatuan penulis, sewajarnya dana turut disalur untuk membantu penulis secara individu terutama dalam urusan penerbitan buku, apatah lagi karya yang mengangkat unsur budaya dan tradisi agak lembap penjualannya,” katanya.
Oleh Latifah Arifin BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan