Pengerusi Persatuan Penulis Sarawak
(PENULIS), yang baharu dipilih dan dilantik, Encik Awang Zaidel Bin Awang Jamil, telah secara sukarela menarik
diri untuk mengganggotai ahli jawatankuasa kecil Persatuan Karyawan Sastera
Sarawak (PEKASA), bagi menumpukan fokus kepada PENULIS.
Menurut kenyataan beliau kepada Blog
PENULIS, keputusan itu diambil bagi memastikan tidak berlaku pertindihan dan
perselisihan dalam etika berpersatuan. Beliau yang pernah memegang jawatan
sebagai Setiausaha, dan Penolong Setiausaha PEKASA selama satu
penggal, dan pernah berkhidmat bersama PEKASA semasa diterajui oleh Tuan Haji Taufiq
Firdausi dan Encik Jaafar Haji Hamdan.
“Terima kasih diucapkan kepada
kepimpinan PEKASA di atas kepercayaan yang telah diberikan selama ini, dan
insya-Allah, kerjasama erat tetap akan diteruskan walau pemimpin silih
berganti,” ujar beliau dalam twitternya kepada Blog PENULIS.
Selama bersama PEKASA, beliau terlibat dalam melestarikan penubuhan PEKASA Cawangan Simunjan, penerbitan buku
Harum Manis Negeri Kami, penganjuran Bicara Orang Muda (BOM), Perkampungan
Karyawan Sarawak 2012, Bengkel Penerbitan PENA-ITBM-DBP, Hari Penyair Nusantara
di Palembang, Indonesia, sambutan Hari Pejuang Bahasa 152, penganjuran pertandingan lagu
puisi, penganjuran bengkel penulisan dan penulisan kreatif.
PEKASA yang ditubuhkan pada 27 Mei
2004, telah dilulus daftarkan penubuhannya pada 21 Julai 2005. Selain PEKASA
yang berada di selatan Bumi Kenyalang, terdapat dua buah lagi persatuan penulis
iaitu Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan Persatuan Karyawan Limbang
(PENGKARYA). Oleh JS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan