“Semua
penulis adalah politisi”. Itu memang betul apabila politik tidaklah diartikan
hanya rujuk Parti Politik. Heboh dikatakan orang, di twitter, di
pejabat, warong sampai ke tangga masjid, yang penulis lirik Awan Nano
itu adalah politisi.
Apakah yang kita
faham tentang “politik”. Saya pernah beri ceramah awam di Muzium Universiti
Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang tentang hubungan politik-dengan-seni.
Rata-rata mahasiswa yang datang, adalah pelajar dalam bidang seni. Di sana,
tiga tahun lalu, saya katakan semua karya seni yang dipapar atau dibaca oleh
lebih dari seorang, maka karya itu sudah ada unsur politik. Sekali lagi, bukan
politik ke-parti-an.
Begitu tafsir itu
saya ambil daripada makna politik yang paling murni dan asasi. Apabila
satu orang bertemu dengan satu orang, maka bermulalah apa yang disebut sebagai
politik. Politik takkan wujud kalau seseorang itu terpendam sahaja di dalam
biliknya dan tidak bertemu sesiapa. Begitu juga dengan karya, sekiranya
sesebuah lukisan itu, sebagai contoh, digantung sahaja di dalam studio seorang
pelukis dengan tak pernah dipamerkan kepada sesiapa, maka tak wujud tafsiran
atau permulaan politik. Ia seakan-akan tiada kaitan dengan manusia, kecuali
pengkaryanya.
Dalam kata mudah,
semua lagu yang dimainkan di radio punya unsur untuk ‘mempengaruhi’ khalayak.
Pengaruhnya tidak semestinya tentang menyokong mana-mana kelompok politik,
tetapi mungkin sahaja menyebar rasa yang manusiawi. Begitu jugalah dengan filem
mahupun apa sahaja bentuk karya, sekiranya dinikmati lebih daripada sang
karyanya, maka, ia adalah politik.
Kesian apabila
mendengar cerita penulis lirik lagu Awan Nano adalah seorang politisi.
Ada yang mula-mula suka, kemudian memaksa telinga untuk tidak suka. Manusia
sebegini bukan sahaja datang daripada satu parti sahaja, tetapi daripada
pelbagai parti sama ada oposisi mahupun parti pemerintah. Agaknya ini masalah
“kemodenan”. Moden juga bermaksud apabila manusia menyusun cabang dan
bidang-bidang di dalam kehidupan mereka. Di era pra-moden, manusia tidak
menyusun apa-apa, termasuk tempat tinggalnya. Mereka tinggal di dalam gua, atau
di mana-mana sahaja yang difikirkan selamat.
Apabila pengalaman
pun terkumpul, barangkali ada yang mati dibaham harimau atau terpijak gajah
ketika tidur, manusia mula menyusun hidup dan keperluan hidup untuk tujuan
keselamatan. Begitu juga dengan rumah yang pada awalnya dibuat secara
berselerak, semakin hari semakin tersusun—walaupun kadang-kala susunan itu juga
membosankan. Itu cerita lain. Pokok pangkalnya, manusia “menyusun”.
Lihatlah bagaimana
ketika waktu-waktu awal manusia mencipta kereta. Mereka tak terfikir untuk
menyediakan tempat letak kereta. Hanya ketika kereta semakin dan semakin
banyak, maka sepertimana hari ini, manusia pun merancang tempat letak kereta. Ayuh
dipanjangkan pula kepada bidang ilmu pengetahuan. Manusia mulai menyusun dan
memisah-misahkan antara satu bidang dengan bidang yang lain. Sebagai contoh,
seorang doktor perubatan bukan seorang pelukis. Seorang peguam bukan seorang
ahli agama. Seorang peniaga bukan seorang birokrat. Banyak lagi
contoh-contohnya.
Bahkan di sekolah
atau universiti, bidang seni dipisahkan daripada bidang sains, bidang teknikal
dipisahkan daripada bidang sastera. Pemisahkan ini ada pro dan ada kontra. Ada
baik dan ada buruknya.
Pada peringkat awal
ilmu berkembang, terutama sebelum dan sewaktu era Renaissance di
Eropah, dinding pemisah atau disebut sebagai “dikotomi” itu belum begitu
ketara. Seorang ahli kaji bintang, masih boleh sahaja dianggap sebagai seorang
sasterawan. Seorang doktor boleh menjadi ahli falsafah kemasyarakatan. Seorang
aktivis boleh sahaja menjadi seorang penulis puisi atau lirik. Tradisi ini
masih kuat termasuk di dalam sejarah tamadun Islam, terutamanya di Andalusia.
Begitu juga selalu
saya sebutkan dan jadikan contoh bagaimana pejuang kemerdekaan dan
pendiri pelbagai bangsa dahulu juga dalah seorang penulis. Soekarno, Hatta dan
Muhammad Natsir di Indonesia, bukan hanya seorang ahli politik, tetapi juga
seorang penulis. Ada yang menjadi seorang ahli agama. Begitu juga Mahatma
Ghandi di India sampailah kepada Thomas Jefferson sebagai bapa pendiri bangsa
Amerika Syarikat, juga adalah seorang penulis yang sangat tekun. Baru sahaja di
dalam kolum saya yang lalu, “Politik hati
Nurani Havel”, saya menulis kenang-kenangan terhadap mantan Presiden
Czech.
Havel bukan sahaja
seorang presiden, tetapi dia juga seorang sasterawan, seorang pembikin teater
bahkan penulis skrip filem. Bagaimanakah lagi hendak saya jelaskan, selepas
bertahun-tahun, tentang apa artinya “politik” sebagai bidang asas kemasyarakat.
Betapa gelapnya hari-hari kita apabila disebut sahaja sebagai “politik”, terus
dirujuk kepada “parti politik”.
Lantas, untuk
mengembalikan kejernihan akal fikir masyarakat, sejak saya menemukan apa yang
disebut sebagai Pencerahan sebagai cara untuk keluar daripada
kebingungan yang sudah melebar. Gunalah apa sahaja istilah, sama ada perubahan,
tranformasi, pembaharuan mahupun reformasi; itu semua
tidak akan memberi arti apa-apa andai tidak dilatari dengan pencerahan.
Bagi yang belum jelas, “pencerahan” itu merujukan kepada “kecelekan akal”.
Politik kekuasaan
boleh membodohkan manusia. Tak kira oleh siapa dan parti apa. Sentiasa ada tendency atau
kecenderungan untuk membodohkan manusia. Politikus yang ketagih kekuasaan
memang suka andai orang lain, apatah lagi seniman tidak tahu apa itu maknanya
politik. Mereka rasa ‘selamat’, tak dicabar. Apabila manusia (baca: rakyat) itu
bodoh, maka senang untuk ‘ditawan’. Masyarakat yang terkena penyakit pembodohan
akan menjadi bukan sahaja takut dan semakin takut, tetapi juga tidak kreatif.
Mereka jumud. Beku.
Jumud, beku adalah
permulaan kepada kemunduran tamadun. Memang ada politik yang bisa mengangkat atau
menganjak tamadun, namun, ada juga mainan politik kekuasaan yang menarik
kebelakang sesuatu tamadun itu. Contoh begini: begitu kasar, biadap dan
kotornya mainan politik untuk merebut kekuasaan, maka semakin rosaklah tamadun.
Kita boleh temukan gaya tulisan, bahkan lukisan yang bukan sahaja cenderung
mencerca, bahkan memfitnah manusia terang-terangan. Lawak jenaka atau dengan
alasan seni, maka apa sahaja hinaan seakan-akan terizinkan.
Keadaan ini, pada
saya, semakin dan semakin merebak, terutama sejak hampir 15 tahun lalu. Apakah
mainan politik sebegini mampu menjadikan kebenaran timbul? Bagi saya tidak.
Apakah juga budaya dan tamadun bangsa kita akan berkembang segar dengan cara
yang barbarik dan bebalis? Juga tidak dan tidak.
Terpulanglah sama
ada untuk mengancurkan bangsa ini secara pelan-pelan, mahupun mahu
membinanya agar setiap nyawa itu bahagia. Sama ada saya dipanggil dengan gelar
“ahli politik” atau “seniman”, saya tak punya pilihan kecuali dengan sedar
memilih yang kedua.
Hasmi
bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan
sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan
kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai
nama pena Buddhi Hekayat.
Sumber: http://jalantelawi.com/2012/02/sekali-lagi-politik-atau-seni/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan