Awal
Muharam atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi seluruh umat
Islam. Ia menandakan suatu peristiwa penting yang pernah berlaku dalam kalendar
sejarah Islam iaitu penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari kota Makkah ke kota Madinah
pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku tepat pada tanggal 1
Muharam tahun baharu bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari
Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.
Maal bermaksud "bersama". Maal
Hijrah, membawa maksud "bersama berhijrah" atau "bersama hayati
Hijrah". Hijrah haruslah difahami sebagai berpindah dari suatu keadaan
tidak baik kepada keadaan yang lebih baik.
Oleh yang demikian, sebagai langkah atau
usaha awal dalam menghayati tibanya tahun Hijrah ini maka Persatuan Penulis
Sarawak (PENULIS) dengan kerjasama Sanggar Seni Satok telah menganjurkan Malam Pengucapan Puisi
Hijrah bertempat di Sanggar Seni Satok, Kuching.
Sanggar Seni Satok telah dirasmikan
oleh Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun
Abang Haji Openg, dan dicadangkan
sebagai medium pengkongsian dalam mengadakan acara baca puisi secara berkala
oleh seluruh penyair tanpa mengira usia dan status, khususnya di Bandar raya
Kuching.
Adalah sengaja bagi
pihak penganjur untuk membenarkan sesiapa sahaja yang berminat untuk membaca
puisi dengan tema yang ditentukan dalam majlis tersebut. Justeru kebebasan berpuisi
sedemikian diharapkan akan dapat melahirkan generasi pelapis bagi kelangsungan
bersastera di persada setempat atau domestik.
Maka para penyair
yang mengisi dan memeriahkan majlis tersebut adalah daripada kalangan otai dan
generasi muda yang masih segar penampilannya seperti kemunculan kumpulan
Indraloka.
Persembahan pada
malam tersebut turut diselitkan dengan takkiran, deklamasi puisi, persembahan
lagu puisi, lagu rakyat, monolog dan puisidra. Kehadiran karyawan seperti Haji
Hassim Daud, Zakaria Manan, Abdillah Untong, Haziz Wahab, Awang Kelana Awang
Hassan, Waizan Saili, Anuar Pisang, Kumpulan Indraloka, Yus, Abang Saiet, dan
ramai lagi nama mereka yang tidak dapat dituliskan dalam ini, adalah satu
petanda “perpaduan” karyawan Sarawak dalam menyambut tahun hijrah 1434.
Kehadiran wakil
kepada Menteri Pelancongan Sarawak, yang juga Pegawai Khas kepada Menteri
Pelancongan Sarawak, Encik Mohamad Abdul Rahman Haji Adenan, memberi semangat
baharu kepada para karyawan yang membuat persembahan pada malam tersebut. Malah
beliau turut mencadangkan agar program ini diadakan secara berkala, agar dapat
menyemarakkan lagi program kesenian khususnya di Bandar raya Kuching.
Kehadiran beliau
yang agak lewat kerana baru pulang dari Kuala Lumpur, membuktikan sokongan
Menteri Pelancongan Sarawak terhadap program ini. Hakikatnya, kelestarian
program baca puisi di Sanggar Seni Sarawak hanya akan dapat diadakan jika
mendapat sokongan padu daripada para karyawan sendiri.
Memandangkan
sambutan yang diberikan pada malam tersebut cukup membanggakan maka menjadi
harapan kepada pihak penganjur untuk tidak hanya mengadakan majlis pengucapan
puisi tersebut hanya pada malam Maal Hijrah sahaja tetapi berterusan dari bulan
ke bulan. Walaupun tidak disangkal akan kekangan material, tenaga sukarelawan dan masa tapi
diyakini jika ada sokongan padu daripada pihak lain yang berminat untuk turut
serta maka sangatlah dialu-alukan.
Menurut Pengerusi
Persatuan Penulis Sarawak , Encik Awang Zaidel Bin Awang Jamil, Sanggar Seni
Satok ini akan dijadikan lokasi tetap bagi program Baca Puisi, yang akan
diadakan pada setiap bulan.
“Dengan memandangkan
Sanggar Seni Satok, adalah ruang percuma yang disediakan, maka kami dengan
kerjasama persatuan karyawan yang lain, akan merancang untuk mengadakan program
baca puisi secara berkala di tempat ini.”
“Kami juga
mengalu-alukan golongan belia dan remaja yang sudah membentuk kumpulan lagu
puisi, untuk tampil di pentas Seni Sanggar Satok ini. Sanggar Seni Satok ini
adalah lokasi untuk berkumpul dan santai semua golongan karyawan, khususnya di
Bandar raya Kuching ini,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi,
“PENULIS berusaha merancang agar program baca puisi dapat diadakan secara
berkala setiap bulan, dengan pelbagai tema dan genre persembahan.”
Namun, tegas beliau
lagi, semuanya adalah bergantung pada golongan karyawan sendiri. “PENULIS
merancang, dan jika dapat sambutan akan diteruskan, dan jika sebaliknya, kita
akan fikirkan program yang selayaknya.”
Dalam pada itu,
Pengurus Sanggar Seni Satok, Encik Ismail Hamdan, mengharapkan para karyawan
dan penyair dari sekitar Bandar raya Kuching agar manfaatkan Sanggar Seni Satok
untuk kegiatan kesusasteraan kesenian.
“Program yang
dianjurkan di sini adalah bersifat santai, kehadiran semua pihak dialu-alukan.
Kepada kaum remaja dan belia yang ingin mengetengahkan bakat mereka dalam
bidang nyanyian lagu puisi, mendeklamasi puisi, melukis, menjual hasil seni dan
sebagainya yang ada hubung kait dengan seni dan kesusasteraan, kehadiran mereka
dialu-alukan,” jelas Ismail.
Mudah-mudahan usaha
murni sebegini mudah mendapat tempat di hati mereka yang lain untuk terus
memartabatkan aktiviti sastera dan seni masyarakat kita sendiri khasnya. Dengan
azam dan hasrat dalam mengangkat jati diri dan peradaban minda yang berkarisma
dan berwawasan jauh. Salam Maal Hijrah.