Rabu, 13 Jun 2012

Adat Perkahwinan Orang Melayu Sarawak


JARANG sekali penulis membuat penyelidikan mendalam tentang budaya sesebuah puak atau kaum, apatah lagi menjalankan penyelidikan terperinci mengenai adat perkahwinan serta pantang larang yang mesti dipatuhi oleh pasangan pengantin dan keluarga mereka. Kekurangan ini diisi buku Adat Perkahwinan Orang Melayu Sarawak yang dihasilkan berdasarkan penyelidikan mendalam oleh Abang Yusuf Puteh yang juga banyak menghasilkan buku berdasarkan budaya dan adat orang Melayu khususnya.

Buku ini adalah terbitan edisi kedua dan kesinambungan daripada edisi pertama yang dihasilkan penulis semasa menulis tesisnya pada 1958 dan edisi kedua ini menghuraikan adat perkahwinan orang Melayu Sarawak secara khusus. Buku ini memberi tumpuan kepada perjalanan perkahwinan suku itu khususnya di Kuching, bermula dengan proses pemilihan teman hidup, berkenalan dan bertenung, selain dilengkapi pandangan tentang asal usul, status pendidikan, ekonomi, agama serta bahasa.

Pengarang membahagikan buku ini kepada lima bahagian, dimulai dengan pandangan asal usul keturunan, sistem kekeluargaan, bahasa, agama dan lapisan masyarakat, diikuti tanggapan tentang perkahwinan dan perceraian, adat permulaan perkahwinan, persediaan dan sesudah berlangsungnya perkahwinan. Dapatan kajian pengarang menunjukkan adat perkahwinan orang Melayu di Kucing sudah bercampur baur ekoran mengalami penghijrahan dan perkahwinan campur dan penulis merumuskan orang Melayu Sarawak sebagai satu anggota daripada satu keluarga bangsa Melayu.

Bagi pengarang, pasangan pengantin dan keluarga melalui beberapa proses rumit dan ‘leceh’ sebelum perkahwinan kerana mengikut adat tradisi turun-temurun budaya mereka termasuk berkenal-kenalan dan ‘berugam’ iaitu menilik keserasian pasangan berdasarkan horoskop dan sekiranya didapati sepadan, maka proses seterusnya akan dilakukan. Seperti juga masyarakat Melayu di Semenanjung, wakil untuk melihat gadis yang bakal disunting akan dihantar dan ini dipanggil ‘bertenung’ dengan petanda seperti kicauan burung, kucing menyapu muka dengan kaki dan ular melintas disifatkan sebagai petanda baik.

Adat merisik atau disebut ‘kerisit kerimum’ pula dijalankan untuk mengetahui sama ada seseorang gadis yang dihajati sudah berpunya atau sebaliknya, dan jika belum berpunya, maka tarikh bagi rundingan seterusnya akan dibincangkan secara rasmi melalui adat ‘jarum-jarum’. Dalam upacara adat ‘jarum-jarum’, wakil lelaki yang berkunjung ke rumah gadis yang hendak disunting akan memilih tarikh untuk acara ‘tekul’ atau pertunangan rasmi yang akan ditetapkan secara kasar.  Adat ‘mereya’ atau menghantar duit iaitu menghantar belanja bagi orang Semenanjung akan dirundingkan dan sekiranya si gadis mempunyai kakak yang belum berkahwin, pemberian hadiah dikenali ‘langkah batang’ kepada si kakak ditetapkan bagi mengelak nasib malang.

Hampir tibanya hari perkahwinan, pelbagai acara dilakukan untuk menyambut hari bersejarah itu dan uniknya upacara orang Melayu Sarawak sangat menitikberatkan persiapan untuk bilik pengantin seperti acara ‘ngantung kelambu’ dan bilik pengantin akan dihias seperti pentas bangsawan. Akad nikah dijalankan seperti masyarakat Melayu di Semenanjung, disusuli ‘mandi air perantan’ sebelum memakai persalinan untuk upacara ‘berbandin’ iaitu duduk di atas kerusi di hadapan bilik pengantin, selain amalan memberi sagu hati kepada tuan rumah yang dikenali ‘sarung surat’ turut diamalkan masyarakat Melayu Sarawak.

Buku ini memberi gambaran jelas mengenai adat perkahwinan orang Melayu Sarawak, terutama adat serta upacara tradisional amalan nenek moyang yang semakin pupus dan semakin dilupakan masyarakat zaman kini. Pelbagai amalan, budaya dan pantang larang telah dirangkumkan dengan sempurna dalam buku setebal 135 halaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dapat menambah pengetahuan mengenai budaya kaum lain. 

Oleh Shuhaniza Said, BERITA HARIAN

1 ulasan:

  1. Saya pernah membaca edisi pertama buku ini. Malangnya, saya sudah tidak dapat mengesan lokasi buku tersebut sekarang. Bagaimana saya boleh mendapatkan senaskhah buku ini?

    BalasPadam