Isnin, 4 Jun 2012

Fokus Kepada PENULIS



Pengerusi Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS), yang baharu dipilih dan dilantik, Encik Awang Zaidel Bin Awang Jamil, telah secara sukarela menarik diri untuk mengganggotai ahli jawatankuasa kecil Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), bagi menumpukan fokus kepada PENULIS. 

Menurut kenyataan beliau kepada Blog PENULIS, keputusan itu diambil bagi memastikan tidak berlaku pertindihan dan perselisihan dalam etika berpersatuan. Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha, dan Penolong Setiausaha PEKASA selama satu penggal, dan pernah berkhidmat bersama PEKASA semasa diterajui oleh Tuan Haji Taufiq Firdausi dan Encik Jaafar Haji Hamdan.

“Terima kasih diucapkan kepada kepimpinan PEKASA di atas kepercayaan yang telah diberikan selama ini, dan insya-Allah, kerjasama erat tetap akan diteruskan walau pemimpin silih berganti,” ujar beliau dalam twitternya kepada Blog PENULIS.

Selama bersama PEKASA, beliau terlibat dalam melestarikan penubuhan PEKASA Cawangan Simunjan, penerbitan buku Harum Manis Negeri Kami, penganjuran Bicara Orang Muda (BOM), Perkampungan Karyawan Sarawak 2012, Bengkel Penerbitan PENA-ITBM-DBP, Hari Penyair Nusantara di Palembang, Indonesia, sambutan Hari Pejuang Bahasa 152, penganjuran pertandingan lagu puisi, penganjuran bengkel penulisan dan penulisan kreatif.

PEKASA yang ditubuhkan pada 27 Mei 2004, telah dilulus daftarkan penubuhannya pada 21 Julai 2005. Selain PEKASA yang berada di selatan Bumi Kenyalang, terdapat dua buah lagi persatuan penulis iaitu Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan Persatuan Karyawan Limbang (PENGKARYA). Oleh JS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan