Oleh Uthaya Sankar SB
Erna
Mahyuni dalam makalah berjudul “Time we stopped rejecting Bahasa Malaysia (The
Malaysian Insider, 13 Februari 2013) antara lain menegaskan apabila seseorang
menguasai bahasa-bahasa lain atau lebih fasih bercakap bahasa ibunda berbanding
Bahasa Malaysia, keadaan itu tidak menjadikannya “kurang berjiwa Malaysia”
(less Malaysian).
Saya amat bersetuju
dengan pandangan ini. Malah, saya secara automatik berfikir dalam Bahasa
Inggeris tetapi memilih untuk menulis menggunakan Bahasa Malaysia. Sejak kecil,
semasa belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong — sebuah sekolah
campur di Aulong, Taiping — saya banyak membaca buku-buku cerita Bahasa
Malaysia dan Inggeris.
Pada masa sekarang,
pelbagai kempen galakan membaca tetap dijalankan pada skala kecil dan besar di
seluruh negara. Rungutan “rasmi” pihak kerajaan dan kementerian terbabit adalah
bahawa tahap/minat membaca rakyat Malaysia masih rendah; berbeza dengan data
“sebenar” yang diperoleh oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang
menunjukkan peningkatan yang memuaskan.
Jumlah buku-buku cerita
(cerpen/novel) Bahasa Malaysia dalam pasaran juga semakin meningkat. Namun,
kelemahan ketara yang saya sendiri perhatikan sejak dahulu adalah salah tanggap
yang sering wujud dalam kalangan penulis.
Ramai yang masih
beranggapan bahawa apabila seseorang menulis menggunakan “bahasa Melayu”, maka
karya itu mestilah mengenai “orang Melayu” dan “budaya Melayu”. Seolah-olah
pembaca kaum Melayu sendiri tidak akan, tidak boleh dan tidak sanggup membaca
mana-mana karya yang keluar daripada sempadan itu.
Dalam hal ini, seperti
yang saya tegaskan dalam prakata kumpulan cerpen “Kisah dari Siru Kambam”
(2013), mujurlah saya menulis menggunakan “Bahasa Malaysia” dan karya-karya
saya adalah mengenai “orang Malaysia” dan “budaya Malaysia”. Saya tidak menulis
untuk kaum tertentu atau penganut agama tertentu. Karya saya adalah untuk Bangsa
Malaysia.
Saya sedar bahawa
pendirian saya menyebabkan puak tertentu melabel saya sebagai “cuba menyebarkan
agama Hindu” selain membuat fitnah bahawa saya bersikap “anti-Melayu”
semata-mata kerana saya lebih gemar menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila
merujuk pada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.
Kehadiran puak berfikiran sempit dan golongan etnosentrik yang
jahil memang tidak dapat dielakkan. Hal ini juga amat nyata apabila kita
perhatikan senario politik dan parti politik di negara kita. Apatah lagi
apabila politikus tertentu turut memberi sokongan moral — dan habuan kewangan —
kepada puak-puak yang cuba menghancurkan perpaduan yang cuba dilahirkan
menerusi bahasa kebangsaan.
Secara tidak langsung,
apabila bahasa kebangsaan di negara kita dikatakan tidak boleh dipanggil
“Bahasa Malaysia” tetapi harus dirujuk hanya sebagai bahasa milik kaum/kelompok
tertentu, pasti sahaja minat dan kecintaan orang ramai akan mula pudar.
Mujurlah Kabinet pada
Mei 2007 serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah memperakukan bahawa istilah
“Bahasa Malaysia” betul dan sah digunakan apabila merujuk kepada bahasa
kebangsaan; khususnya dalam konteks mewujudkan perasaan kekitaan dalam kalangan
Bangsa Malaysia.
Maka, usaha juga perlu
dipergiatkan untuk menggalakkan masyarakat pelbagai kaum kembali menggemari
buku-buku cerita dalam Bahasa Malaysia — tanpa sedikit pun menafikan hak
meneruskan minat membaca karya dalam mana-mana bahasa lain.
Bercakap mengenai topik
ini, pengarang novel “Ngeri” (2011) dan “Mangsa” (2012), Gina Yap Lai Yoong
terkenang akan bagaimana minatnya terhadap pembacaan buku cerita Bahasa
Malaysia bermula pada zaman persekolahan.
“Minat saya dipupuk
selepas membaca novel ‘Bukit Kepong’ dan ‘Konserto Terakhir’ untuk SPM dulu.
Itu pertama kali saya membaca novel Bahasa Malaysia dan rasanya saya terpegun
seketika kerana tidak sangka sesebuah cerita boleh mengundang perasaan dan
pengalaman yang berbeza apabila ditulis dalam bahasa lain,” kata pereka grafik
itu yang lebih banyak membaca karya Bahasa Inggeris.
Menurut anak jati Kuala
Lumpur itu, selepas pengalaman awal (yang agak lewat!) itu, beliau meneruskan
minat membaca karya Bahasa Malaysia kerana “saya percaya pengalaman yang
diperoleh adalah berbeza dalam setiap cerita yang ditulis dalam bahasa yang
berbeza.”
Sementara itu, seorang lagi rakan di Facebook, Nur ‘Azzyati
mengakui bahawa beliau lebih mengutamakan karya-karya pelbagai bahasa dari luar
negara yang diterjemah ke Bahasa Malaysia atau Inggeris.
Beliau yang berasal
dari Kota Baru, Kelantan dan kini sedang meneruskan pengajian bidang sarjana
sains di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut berpendapat bahawa “dalam
konteks masyarakat pelbagai kaum di negara ini, elok jika buku cerita dalam
Bahasa Tamil dan Mandarin dibuat edisi terjemahan Bahasa Malaysia. Dengan itu,
kaum Cina dapat membaca buku cerita dari kaum India dan sebaliknya. Begitu juga
dengan kaum Melayu. Pendek kata, setiap kaum boleh mengenali dan membaca
karya-karya hebat kaum yang berlainan.”
Pandangan yang
dikemukakan adalah amat wajar. Malah, sejak dahulu, saya mengimpikan supaya
majalah Dewan Sastera (DBP) menyiarkan cerpen terjemahan penulis Tamil/Mandarin
tempatan berbanding karya pengarang dari India/China.
Impian itu menjadi
kenyataan apabila sebuah cerpen oleh Dr Re. Karthigesu disiarkan dalam Dewan
Sastera keluaran Julai 2012. Malangnya, usaha murni seperti itu turut mendapat
bantahan puak etnosentrik tertentu yang kurang menyenangi usaha-usaha memupuk
perpaduan menerusi terjemahan karya pengarang tempatan.
“Adalah sesuatu yang
ironis jika kita boleh membaca karya luar negara untuk berkenal-kenalan dengan
budaya asing, sedangkan kita kurang mengambil tahu budaya pelbagai kaum
rakyat Malaysia. Saya yakin, (hampir) setiap penulis pasti menyerapkan nilai
budaya kaum masing-masing dalam karya mereka,” kata Nur ‘Azzyati lagi tanpa
menyedari kekangan dan halangan yang wujud.
Sesungguhnya, seperti
dikatakan oleh beliau, jika terjemahan Bahasa Malaysia dilakukan,
pembaca-pembaca yang berminat tentu akan mendapatkan edisi terjemahan itu.
Dalam hal ini, satu-satunya kumpulan cerpen Tamil yang diterjemahkan ke Bahasa
Malaysia adalah Seruling di Persimpangan (1999).
Sama-sama kita harapkan
agar akan ada usaha seperti itu pada masa hadapan. Atau sekurang-kurangnya
tiada usaha sabotaj oleh puak tertentu yang tidak mahu penulis pelbagai kaum
dan pelbagai bahasa memperkaya khazanah sastera kebangsaan.
Dalam pada itu, tentu sahaja kita wajar mengharapkan serta
menggalakkan penulis pelbagai kaum menulis mengenai budaya dan citra masyarakat
pelbagai kaum menerusi karya Bahasa Malaysia. Hasil pengalaman saya sejak 1991,
memang ramai penulis yang ketara mengangkat watak, kisah dan budaya
Melayu-Islam dalam cerpen dan novel.
Perkara sama juga
diperhatikan A. Praveen Raj dari Melaka. Pada penelitian beliau, satu aspek
yang paling penting adalah penglibatan rakyat berbilang kaum dalam kisah yang
disajikan.
“Kebanyakan cerita
memaparkan watak daripada kaum tertentu. Malah, watak tersebut digambarkan
sebagai superior character berbanding watak-watak kaum lain. Tidak perlulah
dinyatakan watak kaum mana yang saya maksudkan,” kata graduan Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.
Perkara yang dinyatakan
oleh Praveen adalah realiti yang saya perhatikan sejak tahun 1970-an. Mungkin
pengarang Melayu kurang memahami budaya kaum/agama lain untuk mampu menulis
mengenai watak-watak selain watak Melayu — kecuali jika watak itu adalah watak
jahat atau watak yang tiada pegangan agama (asal) lalu memeluk Islam pada akhir
cerita.
Malangnya, pengarang
kaum India, Cina dan sebagainya turut ketara mengangkat kisah mengenai budaya
Melayu-Islam semata-mata dalam karya. Akhirnya, tahap kualiti dan kepelbagaian
khazanah sastera kebangsaan tidak ke mana. Mujurlah penulis pelbagai etnik di
Sabah dan Sarawak mampu mengatasi kekurangan ini.
“Untuk menangani isu
ini, seelok-eloknya penceritaan harus dibuat dengan memberikan watak-watak
daripada pelbagai kaum atau latar belakang peranan yang setara. Tidak ada kaum
yang lebih bagus atau superior daripada kaum lain. Perkara ini harus
diketengahkan, diamalkan dan diterapkan kepada semua,” kata Praveen lagi dalam
membincangkan topik sama.
Pandangan beliau memang
ada kebenarannya dalam konteks karya Bahasa Malaysia yang disasarkan kepada
Bangsa Malaysia. Sekiranya kesemua watak tanpa mengira kaum diberikan peranan
yang adil dan saksama, pembaca pelbagai kaum akan selesa membaca cerpen/novel
berkenaan.
“Bukan itu sahaja,
cerpen/novel Bahasa Malaysia juga harus mengandungi elemen berkaitan masyarakat
pelbagai kaum dan tidak menjurus kepada komuniti majoriti semata-mata. Adakah
saya akan tertarik untuk membaca cerpen/novel yang menceritakan kisah hidup
watak-watak yang tidak ada kaitan dengan diri saya, atau cerita yang boleh saya
kaitkan serba sedikit dengan diri saya?” Praveen bertanya soalan retorik yang
tidak memerlukan jawapan.
Pandangan yang
dikemukakan ini sedikit sebanyak mampu membuatkan kita memikirkan persoalan
sama secara mendalam — sebagai penulis, penerbit, pustakawan, guru dan ibu
bapa. Tambahan pula, cara paling mudah memupuk rasa cinta akan Bahasa Malaysia
dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum adalah dengan menggalakkan mereka
membaca karya/cerita Bahasa Malaysia.
Bak kata sebuah
perbahasa Tamil, “kalau ada nasi di dalam periuk, barulah boleh dicedok dengan
senduk”. Maknanya, jika novel dan cerpen Bahasa Malaysia tidak menarik,
janganlah mengharapkan orang ramai membacanya dengan penuh minat; sama ada
sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas)
atau sebagai bahan bacaan santai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan