Selasa, 7 Ogos 2012

Langkah Martabat Jiwa Bangsa

Oleh Muhammad Nizam Ab Ghani

KELAZIMANNYA perkataan audit menimbulkan konotasi yang menggerunkan, terutama di kalangan penjawat awam. Selama ini perkara konvensional yang sentiasa menjadi perhatian untuk diaudit oleh pasukan khas lantikan kerajaan ialah aspek pengurusan kewangan yang menitikberatkan integriti dan akauntabiliti sesebuah agensi kerajaan.

Untuk mengukur sejauh manakah sesebuah agensi kerajaan itu mematuhi sesuatu prosedur kewangan maka akta, pekeliling atau sebarang bentuk punca kuasa akan dijadikan sumber rujukan dalam sebarang program pengauditan.

Demikianlah senario pengauditan kewangan yang sentiasa menjadi bahan perhatian orang ramai, khususnya mereka yang bergelar pembayar cukai kepada negara.

Namun demikian apakah pula senario penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor awam. Bagi meningkatkan kredibiliti sektor perkhidmatan awam maka komitmen kerajaan untuk melaksanakan program audit bahasa adalah satu lagi kaedah untuk mengukuhkan tahap kesedaran penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor berkenaan.

Bahasa Melayu sudah menjadi medium rasmi komunikasi kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan. Peri pentingnya bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam dapat dilihat melalui penguatkuasaan syarat wajib memperoleh gred kepujian bagi subjek bahasa Melayu pada peringkat SPM sekiranya seseorang itu ingin memohon sebarang jawatan dalam kerajaan. Bagaimanapun, penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam masih mempunyai ruang untuk diperbaiki. Atas kesedaran betapa perlunya memperkasakan bahasa Melayu dalam sektor awam, maka Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 bertajuk Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam.

Sebelum itu satu surat pekeliling am pernah diedarkan pada 2006 kepada semua jabatan kerajaan yang memperincikan langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam sektor awam. Kedua-dua pekeliling tersebut meletakkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rujukan tertinggi berhubung penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat.

Sememangnya terdapat banyak elemen bahasa yang perlu ditambah baik dalam sektor awam. Umpamanya dalam penulisan surat masih terdapat pegawai keliru dalam penggunaan istilah atau frasa tertentu.

Di samping itu berlaku juga ketidakpastian berhubung kata panggilan hormat yang sesuai untuk digunakan kepada pegawai kanan di gred tertentu sama ada yang mempunyai gelaran Datuk atau tidak.


Inilah antara beberapa realiti cabaran untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang benar-benar berfungsi sebagai wadah komunikasi rasmi dalam perkhidmatan awam. Kadangkala berlaku juga percakapan rojak dalam pengendalian sesuatu mesyuarat atau sesi perbincangan. Keadaan sedemikian sudah menjadi fenomena biasa dalam kalangan penjawat awam. Kadangkala timbul juga situasi seorang pegawai terpaksa bertindak berani sebagai hero dengan menterjemahkan sewenang-wenangnya sesuatu istilah atau frasa daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Akhirnya ia mengakibatkan kecanggungan dalam penggunaan bahasa kebangsaan. Walhal dalam aspek bahasa, DBP bertindak sebagai sebuah agensi yang mempunyai punca kuasa dan menjadi pusat rujukan utama dalam perkara bahasa.

DBP sepanjang masa mempunyai perancangan khusus dalam penggubalan istilah, terutama berkaitan sektor awam. Berkat usaha gigih perancang bahasa di DBP akhirnya berjaya menerbitkan banyak buku glosari istilah dalam pelbagai disiplin ilmu yang sepatutnya menjadi rujukan rakyat Malaysia, terutama penjawat awam.

Namun, oleh kerana segelintir rakyat di negara ini kurang cakna dengan penggunaan bahasa Melayu yang tepat maka sekian banyak kamus dan daftar glosari diterbitkan itu hanya sekadar menjadi perhiasan di rak buku di perpustakaan atau kedai buku. Buat masa sekarang format dan skop pengauditan bahasa di jabatan kerajaan masih belum diuar-uarkan oleh DBP. Berdasarkan laporan akhbar baru-baru ini beberapa bahagian di JPA akan menjadi agensi perintis untuk menjalani program audit bahasa berkenaan tahun ini.

Pelaksanaan audit bahasa yang dijadualkan pelaksanaannya pada tahun hadapan ini sewajarnya dirangka dalam bentuk situasi menang-menang iaitu pihak pengaudit iaitu DBP dan auditee iaitu jabatan kerajaan akan sama-sama mendapat manfaat berbaloi sebagai hasil audit bahasa dijalankan kelak.

Sebelum ini pun kementerian dan jabatan kerajaan sudah mempunyai pengalaman dengan program pemeriksaan sistem penarafan bintang dan penarafan audit kewangan yang menjadi satu mekanisme untuk menjadikan setiap agensi kerajaan supaya lebih peka terhadap instrumen pengurusan jabatan kerajaan yang lebih efisien.

Justeru, adalah diharapkan instrumen audit bahasa yang akan dilaksanakan nanti tidak bertindih dengan pelbagai jenis program pengauditan yang sudah berlangsung.

Sebaik-baiknya projek perintis audit bahasa yang akan dilaksanakan di JPA itu menjadi medan cuba jaya sebelum diperluaskan ke kementerian dan jabatan lain. Bagi memantapkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di segenap jabatan kerajaan maka satu lagi langkah proaktif yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan ialah penempatan seorang pegawai perancang bahasa sekurang-kurangnya gred S41 di setiap kementerian.

Pada masa sekarang semua pegawai perancang bahasa ditempatkan DBP. Sebagai golongan penjawat awam yang memiliki kepakaran luas dalam bidang bahasa, maka adalah menjadi satu kerugian andainya pengalaman pegawai perancang bahasa tidak dikembangkan di luar DBP.

Walaupun idea ini sekadar satu lontaran peribadi penulis, namun jika ia boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan maka tidak mustahil langkah berkenaan bakal memberi impak tinggi terhadap usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam sektor awam. Warga sektor awam meletakkan harapan tinggi agar audit bahasa yang bakal dilaksanakan kelak bukanlah sebagai landasan mencari kesalahan bahasa dilakukan oleh sesebuah jabatan kerajaan. Sebaliknya ia menjadi medan untuk mendidik dan meluruskan kefahaman terhadap kaedah penggunaan bahasa Melayu yang betul agar slogan bahasa jiwa bangsa dapat direalisasikan.

Penulis lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian), Universiti Multimedia. Artikel ini disiarkan di Harian Metro pada : 2012/08/02

Tiada ulasan:

Catat Ulasan