Saya membayangkan sekurang-kurangnya pelancong dalam negeri akan singgah di
Banggul Dedab, di daerah Sik, Kedah. Apakah istimewanya kampung itu? Sasterawan
Negara Shahnon Ahmad mengabadikan tempat kelahirannya dalam novel Ranjau
Sepanjang Jalan. Ratusan ribu pelajar telah membaca novel itu sebagai buku teks
selain ratusan ribu lagi pembaca umum dan peminat sastera. Novel yang ditulis
pada tahun 1966 itu mengisahkan kehidupan keluarga Lahuma dan isterinya Jeha
serta tujuh orang anak-anak perempuan mereka.
Ranjau Sepanjang Jalan merupakan salah sebuah novel yang paling popular yang
berlatar belakangkan negara ini. Banyak lagi novel, cerpen, drama dan sajak
yang menggunakan pelbagai bandar dan desa di negara ini sebagai latar
belakangnya. Karya-karya ini mencerminkan kehidupan setempat dengan nilai dan
keunikannya. Novel-novel awal dalam Bahasa Melayu seperti Iakah Salmah (Ahmad
Rashid Talu) dan Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (Ahmad Kotot) jelas
menggambarkan masyarakat Melayu abad ke-20.
Entah ribuan lagi novel, cerpen, drama
dan sajak nukilan Usman Awang, A. Samad Said, Latiff Mohidin, T. Alias Taib,
Kemala, Muhammad Haji Salleh, Baharuddin Zainal, Suhami Haji Muhammad, Adibah
Amin, Azizi Haji Abdullah, Ismail Abas, Kalam Hamidi, Bidin Subari, Hatta Azad
Khan, Dinsman, Zaen Kasturi, Faisal Tehrani yang mempunyai latar cerita dan
sejarah di belakangnya. Di manakah karya-karya ini terhasil, siapakah di
belakang mereka dan apakah inspirasi di sebaliknya?
Istilah literary tours atau pelancongan sastera merupakan industri besar di
banyak negara. United Kingdom (UK) memanfaatkan sepenuhnya pelancongan cara ini.
Menggunakan kemasyhuran karyawan mereka daripada Shakespeare hingga J.K.
Rowling (novelis siri Harry Potter), tempat-tempat di mana lahirnya karya
tersebut atau tempat bersejarah yang membabitkan karyawan itu sendiri telah
dipopularkan. Stratford-upon-Avon, tempat lahir, kematian dan bermulanya karier
Shakespeare kini menarik jutaan pelancong. Bandar kecil itu mendapat manfaat
daripada kunjungan ini. Pelancongan Shakespeare dipercayai merupakan industri
beratus juta ringgit setahun.
Banyak lagi penulis Inggeris yang dijadikan bahan untuk menarik pelancong. Tempat-tempat yang ada kaitannya dengan novelis Jane Austen (karyanya antara lain Pride and Prejudice, Emma dan Persuasion) kini amat dikenal. Demikian juga tempat-tempat yang membabitkan karyawan Charles Dickens, D.H. Lawrence, Thomas Hardy, Agatha Christie, George Orwell, Lord Byron dan ramai lagi.
Filem The French Lieutenants Women arahan Karel Reisz muncul pada tahun 1981,
berdasarkan novel John Fowles. Filem ini menggunakan sebuah bandar pelabuhan kecil
yang indah bernama Lyme Regis di Dorset, England. Hari ini tempat tersorok yang
mempunyai kira-kira 4,000 penduduk ini menjadikan salah satu tarikan
pelancongan. Keindahan Lyme Regis telah menjadi inspirasi dan latar belakang
oleh karyawan lain seperti Jane Austin, Thomas Hardy dan ramai lagi.
Kita seharusnya menggalakkan industri pelancongan domestik yang berlatar
belakangkan sastera. Sekurang-kurangnya ia memberikan pemahaman tentang dunia
kreatif tanah air. Sastera adalah cerminan sebenar masyarakat. Ia juga
merakamkan nilai dan pandangan dunia manusia yang tercatat di dalamnya. Tidak
ada bahan yang lebih tepat menggambarkan psyche dan budaya masyarakat selain
karya kreatif yang terhasil.Pelancongan sastera sama sekali belum berkembang di Asia Tenggara. Sayang
sekali, kerana wilayah ini mempunyai demikian banyak karyawan terkenal yang
telah mencorakkan landskap seni, budaya dan sastera. Novel Di Bawah Lindungan
Kabah karya Hamka terkenal sejak sekian lama. Kisah cinta yang malang itu baru
sahaja difilemkan oleh Hanny R. Saputra. Demikian juga novel-novel Indonesia
lain yang terkenal seperti Salah Asuhan (Marah Rusli), Layar Terkembang (Sutan
Takdir Alisjahbana), Keluarga Gerilya dan Nyanyi Sunyi Seorang Bisu
(kedua-duanya karya Pramoedya Ananta Toer) yang mempunyai sejarah unik
penulisannya. Banyak penyair terbilang Indonesia dari Amir Hamzah, W.S. Rendra
hingga Goenawan Mohamad yang karya mereka lahir dalam suasana yang unik.
Singapura tempat lahirnya novel A. Samad Said yang awal seperti Salina dan
Sungai Mengalir Lesu, juga novel-novel A. Samad Ismail dan banyak
cerpen-cerpennya.
Rantau ini juga dijadikan bahan latar belakang banyak penulis novel Barat
seperti Joseph Conrad, Anthony Burgess dan W. Somerset Maugham. Salah sebuah
novel Conrad kini diadaptasikan oleh Uwei Haji Shaari sebagai Hanyut. Wacana
kolonialis (colonialist discourse) merupakan satu cabang ilmu yang mengkaji
perspektif penulis orientalis mengenai orang tempatan.
Banggul Dedab tentulah sudah jauh berbeza daripada desa yang dijadikan latar belakang novel Shahnon pada tahun 50-an itu. Besar kemungkinan kemiskinan tegar yang dihadapi oleh keluarga Lahuma sudah tidak wujud lagi di situ. Sik sebagai daerah sudah membangun. Tetapi Banggul Dedap dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan tetap merupakan sejarah bermakna sebuah kehidupan pada era pembangunan sebuah negara bangsa yang baru merdeka. Itu sahaja menjadi alasan yang baik untuk mengenal Banggul Dedab dari dekat.
Oleh Datuk Johan Jaaffar (Berita Harian
10/1/2013)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan