Khamis, 14 Februari 2013

Yang indah, yang santun itu bahasa

Saya menamakannya 'Sindrom Cengkareng'. Cengkareng merupakan bandara (Bahasa Indonesia bermaksud bandaraya udara) antarabangsa bagi kota Jakarta atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta. Rakyat Malaysia tiba-tiba bertutur dalam ‘longhat Indonesia’ apabila menjejakkan kaki di sana.

Sindrom Cengkareng ini menjadi modal ceramah saya apabila bercakap tentang kedudukan Bahasa Melayu di negara ini. Tanpa kita sedari kita bercakap dalam bahasa formal dengan rakyat Indonesia, tanpa mengira kedudukan mereka, tetapi sesama kita, kita bercakap dalam laras bahasa pasar? Itu belum lagi penggunaan loghat, pengaruh kolokial atau gaya setempat yang menguasai pertuturan kita. Apakah secara tidak sedar kita mengakui bahawa Bahasa Indonesia perlu dituturkan secara lebih formal tetapi Bahasa Melayu tidak perlu? Apakah secara tidak sedar juga kita mengakui bahawa Bahasa Indonesia lebih tinggi darjatnya daripada bahasa kita?
 
Saya selalu menghujahkan bahawa pelakon terkenal seperti Brad Pitt, Ryan Gosling, Danzel Washington, Angelina Jolie dan Megan Fox tidak akan bercakap dalam Bahasa Inggeris yang buruk dalam filem-filem mereka. Mereka tidak melanggar tatabahasa asas dalam bahasa itu. Shah Rukh Khan, Aamir Khan, Hrithik Roshan dan John Abraham menggunakan Bahasa Hindi yang relatif baik. Sinetron dari Indonesia memanfaatkan bahasa yang berkualiti tinggi apabila diucapkan oleh para pelakonnya. Filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Sang Pencerah dan Lashkar Pelangi menonjolkan penggunaan bahasa yang baik dan bermutu.
 
Filem-filem Melayu pada zaman gemilangnya adalah contoh terbaik penggunaan Bahasa Melayu. Filem-filem seperti Hang Tuah, Penarik Beca, Sri Mersing dan Hang Jebat mengetengahkan penggunaan bahasa yang baik. Malah pengarah filem Hang Tuah (Phani Majumdar) tidak boleh berbahasa Melayu tetapi menggunakan pakar bahasa untuk mendapatkan dialog yang baik untuk pelakon-pelakonnya, P Ramlee, Ahmad Mahmud dan Saadiah.
 
Banyak orang menghujahkan bahawa bahasa dalam filem seharus menggambarkan realiti sebenar di luar sana. Saya mohon untuk tidak bersetuju. Realiti dalam filem tidak sama dengan realiti sebenar. Realiti dalam cereka merupakan sajian semula. Seperti novel yang baik mengangkat bahasa dalam penceritaan dan dialog pada tahap yang lebih tinggi daripada realiti, begitu juga filem.
Saya tidak boleh membayangkan Brad Pitt atau Shah Rukh Khan melanggar tatabahasa Bahasa Inggeris atau Hindi seperti juga saya tidak akan percaya para pelakon filem Garin Nugroho yang terbaru, Soegija akan melanggar tatabahasa Bahasa Indonesia. Di Malaysia, semakin buruk bahasa digunakan, ‘semakin real’ dan semakin baik.
Saya juga mengesan terlalu banyak kesilapan bahasa dalam media massa hari ini. Saya tidak tahu bagaimanakah para pelajar kita yang belajar Bahasa Malaysia sejak Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima (11 tahun) tidak boleh membezakan di antara ‘ialah’ dan ‘adalah’, ‘dari’ dan ‘daripada’ atau ‘antara’ dan ‘di antara.’
Saya lebih tidak faham bagaimanakah pengguna Bahasa Melayu tidak boleh membezakan dalam konteks mana sendi nama ‘di’ perlu dirapatkan atau dijarakkan. Lebih malang lagi, bagaimanakah masih terdapat kesalahan menggunakan kata ganti diri ketiga bagi bilangan yang banyak ‘mereka’ hingga menjadi ‘mereka-mereka?’ Bagaimanakah kata sendi nama ‘oleh’ pupus daripada ayat Bahasa Melayu akhir-akhir ini? ‘Rumah itu dibina Awang’ sebenarnya janggal tanpa ‘oleh.’ Sepatutnya ‘majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri’, dan bukan ‘dirasmikan Perdana Menteri.’ Memang ada keadaannya ‘oleh’ boleh ditiadakan, misalnya ‘penoreh getah itu dipatuk ular,’ tetapi lazimnya ‘oleh’ memberikan ayat yang lebih santun dan baik.
 
Saya juga pernah menegur penggunaan kata-kata yang membawa pengertian khusus dalam agama Islam. Seperti juga kalimah ‘Allah’ tidak wajar digunakan dalam Kitab Bible, ada perkataan yang maknanya khusus dan dianggap kudus. ‘Hijrah’ memang bermaksud ‘berpindah’ tetapi maknanya mengkhusus kepada kebaikan mengambil semangat Hijrah Rasullulah. Maka itu, kita tidak boleh menggunakan ‘pelacur berhijrah dari Ipoh ke Kuala Lumpur’ atau ‘panda dari Beijing berhijrah ke Kuala Lumpur.’ Konotasi agamanya harus kita fahami.

Banyak lagi kelemahan dan kesilapan yang berleluasa dalam Bahasa Melayu hari ini. Maka itu saya mengalu-alukan penerbitan buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media Massa. Buku ini diterbitkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Buku kecil ini besar maknanya bagi memperbaiki kelemahan penggunaan bahasa. Anggaplah buku ini usaha awal dalam mengenal pasti kelemahan itu. Buku ini sudah pasti akan diperbaiki berdasarkan maklum balas pengguna bahasa dalam media massa.
 
Saya melihat buku ini mengambil semangat Tatabahasa Dewan dan beberapa siri panduan bahasa yang pernah diterbitkan oleh DBP sebelum ini. Saya bersetuju dengan Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan bahawa dengan terbitnya panduan ini usaha untuk memungkinkan penggunaan bahasa yang lebih baik akan terlaksana.

Kita berharap rakyat kita lebih peka pada keperluan menggunakan bahasa yang baik dan betul. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa kebangsaan merupakan bahasa rasmi negara. Media harus menunjukkan contoh yang baik.
Oleh Datuk Johan Jaaffar (Berita harian 7/2/2013)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan