MESKIPUN isu bahasa Melayu sudah lama diperkatakan, namun setakat
ini tiada perubahan drastik yang boleh dilihat bagi memartabatkan bahasa rasmi
Malaysia di buminya sendiri.
Bahasa Melayu layu di tanah air sendiri. Layu umpama menanti rebah
ke bumi. Pengalaman penulis ketika berada di Kuala Lumpur baru-baru ini,
menggambarkan bahawa Bahasa Melayu dipinggirkan oleh rakyat Malaysia sendiri.
Ketika penulis tercari-cari jalan menuju ke sebuah kilang di
Petaling Jaya, penulis berhenti sejenak untuk bertanya laluan ke kilang
tersebut di salah sebuah kilang automatif. Penulis menemui tiga orang pekerja rakyat Malaysia di kilang
tersebut dan bertanyakan soalan dalam bahasa Melayu. Setiap kali penulis
bertanya dalam bahasa Melayu, dibalas oleh mereka dalam bahasa Inggeris.
Sebanyak tiga kali penulis bertanya kepada mereka sehinggakan
penulis beranggapan betapa rendahnya martabat bahasa Melayu di hati
pekerja-pekerja kilang tersebut. Walhal, mereka sememangnya memahami soalan
penulis. Jika tidak mana mungkin mereka mampu menjawab dengan baik apa yang
ditanya oleh penulis.
Itu kejadian pertama. Kejadian kedua berlaku pada bekas-bekas
pelajar penulis. Ramai di antara mereka bercita-cita untuk bekerja di syarikat
multinasional antarabangsa. Ada di antara mereka dipanggil temu duga.
Sungguh memeranjatkan, terdapat syarikat minyak antarabangsa yang
mengenakan syarat mahir berbahasa Mandarin untuk diambil bekerja. Sudahlah
hanya segelintir orang Melayu dipanggil temu duga berbanding bukan Melayu,
syarat berbahasa Mandarin pula disebut ketika ditemu duga.
Kalau begitu, lebih baik tidak dipanggil temu duga langsung. Buang
masa sahaja! Adakah memanggil orang Melayu untuk ditemu duga hanya untuk memenuhi
syarat kononnya tiada berlaku diskriminasi kaum? Syarat sebegini wajib
dihapuskan.
Pernahkah kita mendengar syarikat-syarikat Jepun yang beroperasi
di Malaysia mengenakan syarat bahasa Jepun untuk mengambil pekerja Malaysia
bekerja dengan mereka? Mohon pihak berkuasa dan barisan kabinet buatlah sesuatu agar
lebih ramai orang Melayu dan bumiputera bekerja di syarikat-syarikat
multinasional tanpa adanya syarat mahir berbahasa Mandarin.
Kalau tidak, orang Melayu dan bumiputera hanya bekerja di
jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bagi penulis
perkara ini amat memalukan. Kita cuba lihat di negara-negara lain seperti Perancis dan Jepun,
hatta jiran kita Indonesia dan Thailand, rata-rata keseluruhan rakyat mereka
menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan peribadi dan rasmi.
Penulis ingin memberi dua contoh bagaimana rakyat mereka berbangga
dengan bahasa mereka sendiri. Cuba kita bercakap dalam bahasa Inggeris ketika
mula-mula menjejaki bumi Perancis. Percayalah, mereka tidak akan layan kita. Mereka akan layan
sehinggalah kita bercakap dalam bahasa Melayu atau bahasa selain bahasa
Inggeris, barulah mereka mula bercakap dalam bahasa Ingeris. Sebenarnya mereka
mengharapkan kita bercakap dalam Bahasa Perancis.
Itu kes pertama, kes kedua berlaku sendiri pada rakan penulis
ketika belajar di United Kingdom. Wajah rakan penulis ini ada iras-iras orang
Jepun, maka, selalu sahaja berlaku kejadian orang Jepun memarahi beliau.
Puncanya kerana menyangkakan beliau merupakan orang Jepun, maka
soalan-soalan yang diajukan kepada beliau dalam bahasa Jepun. Apabila setiap
kali beliau menjawab dalam bahasa Inggeris dengan menyatakan bahawa beliau
tidak memahami bahasa Jepun, orang Jepun ini memarahinya dalam bahasa Inggeris
bahawa beliau sudah lupa daratan kerana tidak mahu bercakap dalam bahasa Jepun!
Perancis dan Jepun adalah dua bangsa yang jauh maju ke hadapan
berbanding Malaysia tetapi di hati mereka hanyalah bahasa kebangsaan mereka.
Kita pula masih tercari-cari rentak untuk bergelar negara maju, tetapi sudah
mula lupa diri.
Apakah akan terjadi pada tahun 2020 nanti? Adakah ketika itu
bahasa Melayu hanya sesuai menjadi tatapan generasi 2020 sebagai salah satu
lipatan sejarah di Muzium Negara?
Malaysia tidak akan menjadi negara maju dan mapan jika rakyatnya
sendiri tidak mempunyai jati diri mempertahankan kekuatan yang ada. Bahasa
Melayu adalah salah satu kekuatan yang wajib dipertahankan. Paling penting
bahasa Melayu wajib dimartabatkan sehingga seluruh Malaysia menggunakannya
tanpa rasa segan dan silu.
Mengambil iktibar seorang profesor rakyat Malaysia yang bukan
berbangsa Melayu, bekerja di luar negara berpuluh-puluh tahun lamanya tetapi
masih berbicara dalam bahasa Melayu dengan fasihnya apabila berada di sini.
Kita yang menetap di Malaysia janganlah sesekali merendahkan
bahasa kebangsaan kita sendiri. Tiada gunanya bahasa Melayu dinyatakan dengan
jelas dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan tetapi pengisiannya tidak
langsung menggambarkan ia sebagai bahasa teras rakyat Malaysia.
Pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Sebagai permulaan,
penulis mencadangkan agar bahasa Melayu diamalkan dan dimartabatkan dalam
segala program transformasi kerajaan (Program Transformasi Kerajaan, Model Baru
Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi) dan selepas itu diperluaskan dalam
segala urusan kehidupan rakyat Malaysia.
Oleh ROHAMI SHAFIE
Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia
Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan