Pendirian tegas kerajaan untuk terus
memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan
negara adalah satu jaminan untuk membela, memelihara serta memartabatkan bahasa
Melayu, sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan. Dalam mengharungi
era globalisasi, bahasa Melayu berdepan pelbagai cabaran bagi menghalangnya
menjadi bahasa ilmu.
Pelbagai bentuk pencemaran bahasa
akibat ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memburukkan lagi
keadaan, sekali gus menuntut usaha bersepadu semua pihak bagi menjadikan bahasa
Melayu terus relevan sebagai bahasa ilmu seiring perkembangan semasa.
Walaupun kedudukan bahasa Melayu
dijamin Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, usaha memastikan bahasa Melayu
digunakan secara ilmiah di samping dapat menggambarkan citra Melayu perlu
diperkukuhkan. Toleransi dalam bertutur menggunakan bahasa ibunda mengikut kaum
di negara ini memang sudah sebati, namun alangkah lebih manis jika semua kaum di negara ini menjadikan bahasa
Melayu sebagai medium utama dalam berkomunikasi tanpa sebarang prejudis.
Komitmen ditunjukkan kerajaan untuk
mempertahan bahasa Melayu tidak sepatutnya dipandang serong atau diiringi
dengan perasaan perkauman kerana bahasa lain juga bebas dituturkan di negara
ini. Selepas 57 tahun Malaysia merdeka,
rakyat sepatutnya tidak lagi memandang negatif terhadap kemampuan bahasa Melayu
menjadi bahasa ilmu tinggi seperti digunakan secara meluas dalam bidang sains,
teknologi dan perundangan termasuk digunakan dalam dokumen perjanjian serta
surat-menyurat.
Hakikat sebenar yang mungkin kurang
diketahui umum ialah kita sebenarnya mempunyai ribuan istilah dalam pelbagai
bidang seperti sains dan teknologi di dalam kamus serta glosari yang
diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Panduan penggunaan bahasa
kebangsaan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam pekelilingnya
adalah antara formaliti yang harus dikekalkan, manakala kelemahan yang masih
wujud adalah satu isu yang harus ditangani dengan berkesan.
Namun demikian, mengangkat martabat
bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi akan terkubur sekiranya rakyat sendiri
tidak peka ke arah itu. Sekiranya bahasa Melayu tinggi dipraktikkan dengan
meluas dalam kalangan rakyat, maka amalan itu akan meningkatkan martabat bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Amalan penggunaan bahasa Melayu
rendah, seperti bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) dan bahasa rojak wajar
dihindarkan dengan harapan martabat bahasa Melayu terus terpelihara. Sebagai
rakyat yang terdedah dengan bahasa Melayu, semua pihak perlu bersikap
positif untuk menggunakan bahasa Melayu tinggi dalam semua urusan tanpa mengira
status atau keturunan.
Sumber : Berita Harian 30 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan