Rabu, 18 Julai 2012

Gelombang Baharu Bahasa dan Persuratan Melayu


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD.YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI

MAJLIS PELANCARAN PELAN TINDAKAN STRATEGIK DBP 2011-2015
13 JULAI 2012, 9.00 PAGI
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KUALA LUMPUR

Pertama sekali, marilah kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada pagi ini untuk menyempurnakan majlis pelancaran Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015. Saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mengundang saya untuk menyempurnakan majlis ini.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada DBP yang telah berjaya menyusun Pelan Tindakan Strategik 2011-2015 untuk merealisasikan hasrat kerajaan menghasilkan perancangan konkrit usaha pemartabatan bahasa dan persuratan Melayu yang komprehensif ke arah mencapai matlamat menjadikan bahasa Melayu sebagai tunjang tamadun negara dan salah satu bahasa utama dunia. Inilah juga hasrat saya untuk menyaksikan kegemilangan DBP sebagai badan bahasa dan persuratan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Pembinaan sesebuah negara selalunya dilihat dari sudut fizikal seperti prasarana dan ekonomi. Sebilangan orang terlupa bahawa pembinaan dan pembangunan sesebuah negara perlu ditunjangi dengan aspek yang juga penting seperti falsafah, pemikiran, bahasa dan persuratan serta pendidikan bagi memastikan negara yang terbina itu seimbang dari semua segi.

4. Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan untuk melihat dua perkara dasar yang ada kaitannya dengan majlis kita pada pagi ini. Pertama, bahasa Melayu telah ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Hakikat ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 yang diterima pakai sejak negara merdeka pada tahun 1957. Perlembagaan Persekutuan digubal berserta maklum balas dan pandangan daripada parti-parti politik, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan. Perkara ini juga ditetapkan dengan mengambil kira beberapa faktor penting seperti kedudukan Raja-raja Melayu, agama Islam serta peranan bahasa Melayu. Inilah yang membentuk Dasar Bahasa Kebangsaan di negara kita hingga ke hari ini.

5. Satu lagi peristiwa yang tidak kurang pentingnya berlaku pada tahun 1956 apabila rakyat di Tanah Melayu mendesak agar ditubuhkan sebuah badan yang akan memastikan bahasa Melayu terus terpelihara dan maju di negara ini. Oleh itu, pada 22 Jun 1956, Balai Pustaka ditubuhkan di Bukit Timbalan, Johor Bahru, sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Pelajaran dengan tumpuan dalam penerbitan buku berbahasa Melayu. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang bersidang pada 16–21 September 1956 di Universiti Malaya, Singapura mengusulkan supaya Balai Pustaka ditukar namanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

6. DBP ditubuhkan untuk menjadi pusat bagi menjaga hal ehwal dan perkembangan bahasa dan persuratan Melayu dengan bertitik tolak daripada asal usul bahasa Melayu yang telah wujud sejak dua abad lalu serta menjadi pendorong kepada perkembangan kebudayaan Tanah Melayu pada masa itu. Dengan demikian, pada tahun 1957, sesuai dengan usul Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III, bukan sahaja namanya berubah menjadi Dewan Bahasa dan Pustaka, malah tempatnya juga berpindah dari Johor Bahru ke ibu negara, Kuala Lumpur untuk melaksanakan peranannya dengan lebih berkesan.

7. Peristiwa besar yang berlaku ini memberikan bayangan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh DBP sebagai satu-satunya badan yang diberi mandat oleh kerajaan untuk merumuskan dan melaksanakan dasar-dasar yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa kebangsaan. Kemudiannya, bagi memberikan wibawa kepada DBP, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959 (Akta 213) diluluskan oleh Parlimen.

8. Jelaslah bahawa semenjak awal-awal lagi para pengasas negara dan sebahagian besar warga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai pilihan yang sah untuk dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan berdasarkan pertimbangan sejarah dan geopolitik semasa.

9. Pilihan ini diperkukuh lagi dengan tergubalnya Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) yang menghuraikan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dengan lebih lanjut serta Akta Pendidikan 1961 dan 1996 (Akta 550) yang mentakrifkan peranan bahasa kebangsaan dalam sektor pendidikan.

10. Dengan termaktubnya dasar bahasa dalam pelbagai akta dan peraturan negara, maka usaha digerakkan untuk memperlengkap dan memperkukuh bahasa Melayu melalui program perancangan bahasa yang berkesan supaya bahasa tersebut dapat memenuhi peranannya, selain memupuk pengguna untuk menggunakan bahasa yang baik, betul, dan baku dalam semua urusan kenegaraan dan keilmuan.

11. Perkembangan bahasa Melayu, dalam hubungannya dengan pembinaan negara bangsa tidak cukup sekadar dilihat dari aspek perkembangan sistem bahasanya. Perkembangan yang lebih mendasar adalah yang berkaitan dengan pengisian Dasar Bahasa Kebangsaan. Di samping itu, perkembangan bahasa Melayu juga wajar dikaitkan dengan cita-cita besar kita pada peringkat supranasional iaitu menjadikan bahasa Melayu salah satu bahasa utama dunia.

12. Pengurusan dan pelaksanaan dasar bahasa inilah yang menjadi asas kewujudan dan kerelevanan DBP di Malaysia. Liku-liku pemartabatan, pembinaan dan pengembangan bahasa kebangsaan yang dilalui oleh DBP selama lebih 56 tahun ini perlu menjadi pedoman dan panduan kepada kita semua. Masa mendatang ini banyak cabarannya. Fenomena globalisasi dan perkembangan pesat ilmu pengetahuan, khususnya dalam bidang sains, teknologi maklumat dan telekomunikasi sentiasa mencabar kita untuk bertindak balas dengan bijaksana.

13. Sesekali kita perlu menoleh ke belakang untuk melihat sejarah dan menjadikannya sebagai pedoman. Yang lebih penting daripada itu, pada pandangan saya ialah cara kita merangka strategi dan pendekatan baru untuk menghadapi masa hadapan yang lebih kompleks dan mencabar itu.

Tuan-tuan dan puan-puan,

14. Saya mengikuti perkembangan DBP sejak ditubuhkan hingga kini, apatah lagi apabila saya menerajui Kementerian Pelajaran. Saya mendapati sejak 56 tahun penubuhannya, DBP telah mencapai kejayaan yang membanggakan dan pada masa yang sama masih banyak perkara yang perlu dilakukan. DBP memerlukan dukungan semua pihak kerana tidak mungkin DBP dapat memikul tugas berat ini secara bersendirian.


15. Pada hemat saya, DBP perlu menjadi badan pemegang amanah atau penjaga (custodian) perbendaharaan ilmu dan persuratan Melayu di negara kita. DBP juga perlu berperanan sebagai pusat rujukan sehenti oleh penyelidik dalam dan luar negara tentang ilmu dan persuratan Melayu. DBP perlu menjadi penyelaras semua kegiatan penyelidikan dan penerbitan ilmu tentang bahasa dan persuratan dalam bahasa Melayu. Penerbitan ilmiah juga perlu ditingkatkan.

16. Untuk tujuan itu, DBP perlu meningkatkan kerjasama strategik dan sinergi dengan pelbagai pusat penyelidikan dan universiti. Ini akan dapat direalisasikan jika perancangan yang teliti dapat disediakan. Saya bersedia untuk mempertimbangkan cadangan ini dan seterusnya mengemukakan gagasan ini kepada Jemaah Menteri untuk persetujuan. Penubuhan Pusat Persuratan Melayu Malaysia yang dicadangkan di bangunan lama DBP boleh dijadikan gerak awal untuk memulakan usaha ini.

17. Selain itu, saya berharap DBP dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada pencapaian bidang keberhasilan utama Kementerian Pelajaran Malaysia (MKRA) dan bidang keberhasilan utama negara (NKRA) dalam rangka Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Antara langkah yang dapat dilakukan termasuklah menyediakan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan yang dapat diperoleh dengan mudah dan cepat. Penyampaian keberhasilan dengan cepat kepada rakyat ini merupakan antara matlamat GTP kerajaan.

18. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara, Kementerian Pelajaran telah melancarkan Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) Dalam Pendidikan pada tahun 2011. Melalui dasar ini, sasaran kerajaan adalah untuk memperluas capaian jalur lebar di seluruh negara dan menyediakan persekitaran pembelajaran maya kepada rakyat. Pemasangan capaian jalur lebar untuk semua sekolah dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Mac 2013.

19. DBP telah berada pada landasan yang betul dengan menyediakan prasarana TMK untuk capaian mudah. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah melipatgandakan usaha untuk meningkatkan kandungan. Istilah, kamus, ensiklopedia dan bahan rujukan bahasa dan persuratan lain perlulah diperbanyak dan dipelbagaikan. Saya menyarankan agar maklumat dan bahan rujukan bahasa dan persuratan Melayu ini juga disebarkan melalui aplikasi telefon pintar dan komputer tablet kerana peranti sebegini merupakan saluran utama pelajar, remaja dan golongan profesional muda berhubungan dan berinteraksi. Dengan cara inilah perkhidmatan DBP dapat diberikan dengan cekap, tepat dan penuh integriti.

20. Negara kita sedang memasuki era pascaindustri yang menuntut perubahan kepada perubahan sektor sumber manusia melalui pelaburan modal insan. Dalam era pascaindustri, modal insan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan. Sesungguhnya, Kementerian Pelajaran adalah nadi utama dalam usaha untuk membangunkan modal insan. DBP juga perlu mempersiapkan diri untuk bergerak ke hala yang sama.

21. Untuk itu, setiap warga kerja DBP perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta melipatgandakan usaha bagi menjadi warga kerja yang berilmu, kreatif dan inovatif. Penekanan untuk menghasilkan warga kerja yang mempunyai kemahiran yang pelbagai (multi skilling) serta mampu melaksanakan pelbagai tugas (multi tasking) perlu menjadi keutamaan DBP. Tuntutan terhadap kemahiran pelbagai ini merupakan salah satu cabaran besar dalam sesebuah organisasi supaya dapat bertindak balas terhadap perubahan semasa dengan berkesan.

22. Dari aspek wibawa bahasa, kedudukan dan peranan bahasa Melayu tidak seharusnya terbatas pada peringkat negara semata-mata. Bahasa Melayu perlu diangkat menjadi bahasa serantau dan antarabangsa yang diiktiraf sebagai salah satu bahasa penting di dunia. Sejarah lampau bahasa Melayu, terutama dalam zaman kegemilangan bahasa Melayu pada sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19 Masihi membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa dunia yang dihormati. Sejarah kegemilangan bahasa Melayu ini sewajarnya kita jadikan iltizam untuk menggemilangkan semula bahasa ini, bukan sekadar untuk nostalgia semata-mata.

23. Oleh itu, saya berharap DBP akan terus meningkatkan usaha untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia, apatah lagi dengan potensi Malaysia sebagai pusat pendidikan antarabangsa, pusat pelancongan dan pusat kerjaya yang menarik minat warga asing. DBP perlu memanfaatkan prasarana dan mekanisme yang sedia ada terutama yang melibatkan hubungan dan kerjasama antara kerajaan dan negara (G2G), seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). Kerajaan telah memberikan komitmen dengan meluluskan MABM pada tahun 1997 dan berharap kegiatan yang telah rancak dilaksanakan pada sekitar tahun 2000-2004 dapat diteruskan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

24. Pada hari ini, saya akan melancarkan Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015. Penyediaan pelan ini dianggap tepat pada masanya. Selepas ini, sukacita saya menyarankan DBP menyediakan pelan tindakan strategik memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu jangka panjang sehingga tahun 2020 selaras dengan pencapaian taraf negara maju agar dalam pencapaian taraf itu, bahasa dan persuratan Melayu sebagai salah satu teras jati diri kita dapat dilonjakkan. Ini akan membolehkan rakan strategik DBP dalam kerajaan menyusun program pembudayaan dan pemasyarakatan bahasa dan persuratan Melayu dalam program tahunan agensi masing-masing.

25. Lebih 56 tahun dahulu DBP lahir daripada perjuangan dan sokongan rakyat, malah soal bahasa menjadi isu penting ketika semangat perjuangan menuntut kemerdekaan. Bahasa Melayu bukan sahaja sebagai simbol dan maruah bangsa malah kedaulatan pusaka bangsa yang harus dipelihara dan dipulihkan. Maka DBP perlu terus relevan dan dirasakan kehadirannya di tengah-tengah masyarakat pada masa ini dan pada masa hadapan. DBP dan bahasa Melayu perlu mencapai taraf kemajuan dan perkembangan yang sejajar dengan kemajuan politik, ilmu pengetahuan dan kemasyarakatan, bukan sahaja di dalam negara bahkan pada peringkat antarabangsa.

26. Pelan yang baik di atas kertas tidak memberikan apa-apa makna jika tidak dilaksanakan dengan perancangan yang rapi dan bersungguh-sungguh. Saya berharap pelan yang akan saya lancarkan nanti akan menjadi panduan arah yang jelas kepada semua warga kerja DBP dalam usaha memajukan bahasa dan persuratan Melayu. Saya juga berharap pelan ini dapat menjadi panduan kepada pihak di luar DBP untuk membantu melaksanakan program yang berkaitan dengan pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan di sektor masing-masing. Mudah-mudahan Dasar Bahasa Kebangsaan yang menjadi salah satu dasar penting negara kita dapat dilaksanakan dengan jayanya. Saya ingin menyaksikan gelombang baharu bahasa dan persuratan Melayu menjelang tahun 2020, selaras dengan pencapaian negara kita sebagai negara maju, agar kemajuan negara tidak sahaja ditandai oleh kemajuan fizikal tetapi juga kemajuan aspek jati diri dan maruah negara, termasuk bahasa dan persuratan.

27. Saya berharap pelan ini diukur berdasarkan keberhasilan dan impak setiap program yang dilaksanakan. Kajian dan semakan semula pelan ini perlu dilakukan pada setiap tahun bagi memastikan program yang dilaksanakan memberikan impak yang tinggi dalam pencapaian matlamat DBP dan sumbangan yang positif kepada agenda pembangunan negara. Saya akan sentiasa memberikan sokongan, bantuan dan kerjasama yang padu kepada DBP bagi menjayakan hasrat murni ini.

28. Dalam pelan ini, satu inisiatif baru yang saya nampak berimpak tinggi ialah program Audit Bahasa. Program ini bukan bertujuan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya usaha ini merupakan langkah kerajaan untuk membantu meningkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam. Saya telah bersetuju, Audit Bahasa yang akan dimulakan pada tahun 2013 memberikan tumpuan awal pada 6 sektor di bawah Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang saya pengerusikan, iaitu (i) perkhidmatan awam, (ii) tempat awam, (iii) penyiaran dan komunikasi, (iv) kewangan dan perbankan, (v) perdagangan, dan (vi) pendidikan. Ini tidak bermakna sektor lain tidak terlibat dalam program ini. Saya meminta DBP melaksanakan Audit Bahasa dalam sektor lain dalam fasa kedua.

29. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih saya kepada semua jawatankuasa kecil sektor yang saya nyatakan tadi kerana memberikan perhatian yang serius terhadap usaha kerajaan memartabatkan bahasa kebangsaan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan audit bahasa terhadap papan iklan luar selain mewujudkan penarafan bintang kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan beberapa bahagian terpilih di JPA untuk diaudit bahasa pada bulan Disember ini. Kementerian Pengajian Tinggi telah meletakkan sasaran penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di IPT. Kementerian Kewangan telah mengarahkan bank dan insurans menggunakan bahasa kebangsaan. Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengadakan seminar untuk kumpulan peniaga dan usahawan. Saya yakin, jika usaha begini dapat menjadi amalan kita, bahasa Melayu tidak akan terpinggir di buminya sendiri.

30. Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis pada hari ini. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015: Memartabatkan Bahasa dan Persuratan Melayu.

Sekian. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan